PUNAT alat kawalan jauh ditekan. Rasanya dari tadi Damia menghadap televisyen je sementara tunggu suaminya munculkan diri dari tandas.
Hari ini, dah masuk hari kedua Damia dan suaminya tinggal kat homestay kepunyaan Mak Cik Zainab. Seronok pulak menumpang seketika di homestay ini.
Tinggal kat homestay ni ajelah mampu membuatkan Syafiq dan Damia bebas dari menerima tikaman panah-panah kebencian Mak Siti tu. Sudah Mak Siti yang biarkan mereka tinggal kat homestay ni, jadi tak jadi masalahlah buat mereka.
Mak Siti benarkan mereka pergi pun sebab dia dah muak mahu menumpangkan laki bini itu tinggal di rumahnya.
Serta, alang-alang Mak Cik Zainab sudah beri mereka tinggal percuma saja kat homestay tu, mereka guna sahaja peluang ni. Lagipun bukannya mereka berniat mahu ambil kesempatan. Lepas aje rumah asal yang dibina semula itu siap, nanti mereka keluarlah dari homestay ni.
Terpaksa jualah mereka tinggalkan Mak Siti berseorangan kat rumah. Tetapi bukannya abaikan terus pun. Waktu Syafiq bekerja di gerai, Damia la yang akan menemani Mak Siti sehinggalah Syafiq tamat bekerja seperti biasa.
Bukannya mereka tak boleh tinggal di rumah Mak Siti itu tetapi mereka juga perlukan privasi. Duduk kat rumah Mak Siti tu, setiap hari mahu hilang anak tekak mereka tu kerana sering bertengkar.
Stres hidup! Disebabkan itulah Damia memilih tinggal di sini berbanding di rumah ibunya.
Biarpun homestay ini tidaklah semewah mana, tetapi suasananya cukup nyaman. Satu tingkat tetapi cukup luas. Siap ada air conditioner lagi.
Bentuk rekaan rumah yang agak moden membuatkan mereka tertarik untuk tinggal di sini. Patutlah homestay Mak Cik Zainab sentiasa menerima sewaan dari para pengunjung luar. Kemudahan yang disediakan amat memuaskan.
Dalam fikiran Damia melayang tadi, matanya lalu tertumpu kepada suaminya yang baru keluar dari tandas. Dengan tuala yang masih disangkut pada leher, dia majukan langkah menuju ke arah isterinya.
Syafiq selepas je pulang dari meniaga, terus dia menjemput isterinya dari rumah Mak Siti dan pulang untuk mandi seperti biasa. Semuanya disebabkan Damialah. Kata Damia, bau asap yang melekat di baju Syafiq sedikit tak selesa untuk disedut.
Syafiq dah nama pun sayang bini, ikut sahajalah kata Damia itu biarpun terpaksa mandi malam-malam. Lagipun, dia sendiri pun rasa rimas tak mencuci tubuh badan selepas bekerja.
"Sayang tak nak tidur lagi ke?" Tanpa dipelawa, Syafiq terus menghenyakkan punggungnya di sebelah Damia.
"Tak ngantuk lagilah, bang. Kejap lagi saya tidur," jawab Damia tayang sengih.
"Hmm ... ye la," balas Syafiq sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala.Â
Kalau diikutkan matanya yang sudah sayup-sayup mahu terkatup tu, nak aje dia merebahkan dirinya di atas katil sekarang juga. Tapi melihat isterinya yang leka menonton televisyen tu, dia putuskan untuk menemani isterinya sahaja. Selalunya Damia yang akan menemaninya tatkala makan ataupun buat apa-apa saja. Biarlah kali ini dia buat benda yang selalu dilakukan isterinya itu.
"Abang, saya nak tanya sikit boleh?" Damia ajukan soalan. Badannya ditegakkan dan wajah suaminya diteliti.
"Ha, tanyalah." Syafiq pandang sekilas wajah Damia sebelum menumpukan semula pandangannya ke kaca televisyen.
"Tadi abang pergi rumah Pak Ya, buat apa?"
Pertanyaan itu meluncur jua setelah dari siang tadi Damia bergelut memikirkan tentang itu. Selalunya, setiap kali Syafiq mahu bertemu Pak Ya, Syafiq selalu memberitahu tujuannya bertemu dengan lelaki tua itu. Tetapi siang tadi karenah Syafiq lain sedikit. Saat Damia bertanya, Syafiq hanya membalas dengan senyuman sahaja.
Nak kata berbincang fasal Lokman, rasanya baru beberapa hari mereka berbincang tentang itu. Nak kata tentang hal bantuan kewangan, rasanya Pak Ya sudah membantu sehabis mungkin.Â
Syafiq diam tak berkutik. Dia cuba kawal wajahnya setenang mungkin. Memang dia tahu, isterinya bakal bertanya tentang ini dan syak sesuatu.
Dia pun sudah berniat untuk memberitahu hal itu kepada isterinya tadi, sebab itulah dia duduk di sofa ini tanpa dipelawa.
Syafiq palingkan tubuhnya menghadap Damia. Liur diteguk untuk mengumpul semangat.
"Abang jumpa dia sebab nak bayar hutang."
"Hutang?" Terbuntang mata Damia mengatakan perkataan itu. Hutang apa bendanya? Takkanlah Syafiq ada pinjam wang dari Pak Ya?Â
Syafiq angguk. "Pak Ya dah banyak tolong kitalah, sayang. Masa kita kena timpa musibah tu, dialah yang tak putus-putus tolong kita. Majlis tahlil arwah Syafiqah dia uruskan, tabung derma kat kampung ni pun dia sendiri yang lancarkan. Abang rasa macam ambik kesempatan pulak atas kebaikan dia tu kalau abang tak buat apa-apa. Jadi dengan bayar semula duit ni, harap sangat ia dapat bantu Pak Ya. Walaupun abang tahu, duit yang abang bayar tu tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan jasa dia selama ni."
Damia tak bereaksi apa-apa sebaliknya otaknya giat berfikir. Pak Ya tak minta pun duit atau apa-apa balasan dari mereka tetapi kenapa Syafiq murah hati sangat nak langsaikan hutang yang tak wujud tu?
Bukan Damia tak tahu, pasti beribu ringgit juga Syafiq beri kepada Pak Ya tu. Mesti punya. Dan lebih pastinya, Pak Ya menolak untuk menerima duit itu tetapi Syafiq tetap berkeras untuk memberi.
Sudahlah baru kelmarin sahaja dia terlihat dalam diam suaminya seperti termenung memikirkan sesuatu. Semuanya pasal duit ke? Duit tak cukup?
Padahal wang bantuan yang diberi pun masih berbaki lagi. Tapi apabila Damia teringat akan ibunya tu, baru dirinya dapat membuat kesimpulan.
Baru saja mereka merancang untuk menyimpan buat keperluan rumah pada masa hadapan, habis kecundang rancangan itu. Syafiq pun pandai-pandai je bagi duit kepada Pak Ya tatkala mereka dalam kesempitan. Entah berapa ribu lagilah wang yang mereka ada.
"Jadi abang ada berapa ringgit je sekarang lepas kasi kat Pak Ya?" soal Damia sedikit dingin. Dia bukannya marah dengan suaminya, tetapi dia agak kecewa kerana suaminya membuat keputusan di luar pengetahuannya.
"Lagi RM3,000. Sayang jangan risaulah, banyak lagi tu. Duit yang Mak Cik Zainab bagi pun abang belum usik lagi. Lagipun abang tak naklah kita bergantung sangat pada duit sumbangan orang tu. Abang janji, abang akan kerja lebih keras untuk sara kita. Kalau sebelum ni abang dapat jual 400 cucuk sate sehari, lepas ni abang akan jual lebih 600 cucuk." Syafiq mengelus perlahan rambut Damia. Tahu isterinya sedang kesal sekarang, jadi dengan cara tu sajalah yang mampu menenangkan isterinya.
RM3,000 saja yang tinggal? Itu bermakna RM2,000 diberi kepada Pak Ya. Tapi dikira okeylah tu jika nak dibandingkan dengan jumlah yang telah dihabiskan kepada Mak Siti. Duit yang lesap kerana orang tua itu habis RM5,000 untuk dia seorang sahaja padahal dia tak buat apa-apa pun. Sanggup gunakan kuasa veto sebagai seorang ibu kandung dan ibu mentua semata-mata nak duit.
Damia diam seketika sebelum kepalanya diangguk. Akhirnya termakan jua dengan pujukan suaminya.
Dengar suara lembut suaminya itu, siapa tak terpujuk. Lagipun, apa yang suaminya buat tu bukannya salah pun. Bayar balik apa yang sudah Pak Ya berikan.
*****
Dah macam anak ayam kebasahan bulu pula Damia mundar-mandir di sekitar ruang tamu memikirkan tentang suaminya. Entah kenapa, tiba-tiba timbul pula satu niat yang tak pernah dia mahu fikirkan dan lakukan sebelum ini.
Semuanya demi membantu suaminya tu. Memang semalam suaminya sudah ceritakan semuanya tentang hal kewangan itu, tetapi Damia rasakan suaminya tetap dalam keadaan kesempitan.
Dia tak boleh berdiam diri. Takkanlah sampai tua kerepot nanti dia mahu duduk di rumah macam ni? Lepas tu, setiap malam kena tengok-tengokkan ibunya yang banyak songeh tu pula. Mulalah fikiran berserabut padahal selama ini, dia rasakan itu perkara biasa sahaja.
Dah nama pun manusia, mestilah cepat bosan. Mesti nak mencuba benda baru, kan? Hidup mesti sentiasa mencuba, kalau tak sampai bila diri tu nak berkembang? Tapi mencuba benda yang baiklah, jangan mencuba benda yang menjahanamkan pulak. Sempat lagi hati Damia berbisik menyedapkan hati.
Nak atau tak, hari ini Damia perlu nyatakan hasratnya itu kepada suaminya. Tak kisahlah suaminya nak marah atau tak, janji hasratnya itu selamat diluahkan.
Tapi bila difikir balik, suami aku bukannya jenis mengongkong. Kalau aku mintak baik-baik, mesti dia bagi punya. Gumam Damia sendiri.
Kepalanya terjenguk-jenguk melihat ke luar rumah. Keluhan dilepaskan untuk ke berapa kalinya apabila gerangan yang ditunggu belum lagi tiba.
Dia dah punya rencana sendiri. Sebaik suaminya melangkah masuk ke dalam selepas dari membeli barang dapur, dia akan gunakan lagak comel dan jurus memujuk tahap tiganya untuk meleburkan hati suaminya itu.
Aduh! Rasa resah mulai merasuk diri. Padahal dia tahu suaminya seorang yang baik dan sentiasa berlembut dengannya tetapi kenapa dia rasa gerun sekarang ni?
Takut jugak kalau niat dan hasratnya ini tak boleh diterima suaminya. Kalau suaminya tak terima akan niatnya, dia akan lancarkan perang mogok 1.0 seperti yang pernah dilakukan kepada ibunya sebelum ini. Titik!
Bibir terus terukir senyuman apabila gegendang telinganya menangkap deruman enjin motosikal suaminya.
Yay! Panjang umur.
Baru sahaja dia nak menunggu di depan pintu, perbuatannya terhenti. Pantas tubuh kecilnya itu menyorok di balik dinding bersebelahan pintu. Sambil-sambil itu, kepala dijengulkan sedikit untuk melihat keadaan di luar.
Damia lihat suaminya sedang bersembang bersama seorang lelaki. Siap bersalam lagi. Mereka saling kenal ke? Tapi tengok gaya mereka, macam baru berjumpa saja. Sebab nampak awkward semacam.
Lelaki yang sedang berbual dengan Syafiq tu pun Damia tak kenal siapa dia. Sudah tubuhnya membelakangi Damia, jadi niatnya untuk mengetahui akan rupa lelaki itu terus hancur. Tapi lihat dari cara berpakaiannya, pasti dia orang berada.
Justifikasi Damia lebih kukuh apabila lelaki tu elok sahaja menyandarkan tubuhnya pada sebuah kereta tapi Damia tak tahu tu kereta apa. Nampak macam kereta import aje.
Orang kaya tinggal kat kampung? Tak pelik. Pasti lelaki itu adalah penyewa salah satu jajaran homestay Mak Cik Zainab. Maklumlah, Mak Cik Zainab kan ada lapan buah homestay yang didirikan saling berdekatan antara satu sama lain. Ini siap nak tambah lagi dua buah homestay lagi yang sedang dalam fasa pembinaan.
Damia terangguk-angguk sendiri. Jadinya, lelaki itu jiran merekalah, kan? Tapi jiran sementara sajalah. Takkanlah lelaki itu nak menetap atau tinggal di homestay ini dalam jangka masa yang lama seperti dia dan Syafiq.
Layanan yang Mak Cik Zainab bagi kat aku dengan Syafiq ni special okey? Damia tak habis berdebat dengan suara hatinya.
Tapi kenapa mesti bermalam kat homestay? Kalau vacation atau ada kerja sekali pun, bukan ke orang kaya selalu bermalam kat hotel je?
Oh lupa, kat kawasan ni mana ada hotel. Ni kawasan kampung! Damia tepuk dahinya perlahan.
Huh! Persetanlah dengan lelaki itu. Damia bukan peduli pun. Bukannya lelaki itu penting sangat dalam hidupnya. Yang paling penting Syafiq tu, lelaki yang paling Damia cintai.
Teringat pasal suaminya, pantas Damia menggosok matanya sebelum berniat menjengul sekali ke luar.
Tapi alangkah terkejutnya apabila suaminya sudah tercegat berada di dalam rumah. Tepat di depan matanya.
"Ah!" Terjerit kecil Damia sambil menekup mulut apabila mukanya tepat menghadap suaminya. Lah ... dah habis berbual rupanya. Berangan lama sangat, sampai tak perasan suaminya sudah di situ.
"Astaghfirullah ... sayang berangan apa kat belakang pintu ni? Curi dengar abang bersembanglah tu." Syafiq malas melayan terus melangkah menuju ke dapur. Plastik yang berisi barang dapur itu diletak di atas meja sebelum tangannya dicuci di singki.
"Mana ada." Damia tersengih malu. Tak menjawab soalan suaminya, dia ikut sahaja ke mana langkah suaminya itu pergi. "Abang bersembang dengan siapa tadi?"
"Customer Mak Cik Zainab. Dia baru sewa tadi. Dia duduk kat sebelah rumah kita je. Abang terserempak dia, lepas tu dia yang tegur abang dulu." Mulut Syafiq terkumat-kamit tetapi tangannya lincah menyusun satu per satu telur ke dalam tempat simpanan telur di dalam peti sejuk.
Damia angguk tetapi wajahnya terpampang riak tak berminat. Saja bertanya fasal lelaki itu sekadar bermanis mulut sebelum dia cucuk jarum.
Betul, tentang niat dan hasrat tadinya yang mahu dia luahkan tak patut dilupakan. Dia kena utarakan sekarang kepada suaminya.
"Abang, saya nak cakap sikit boleh?" Sehabis mungkin Damia rendahkan nada suaranya
"Ha, cakaplah. Abang dengar."
"Ala, bang. Duduklah dulu. Saya nak cakap benda penting ni," rengek Damia muncungkan bibir. Dia dari tadi sudah melabuhkan punggung di meja makan.
Lihat mulut isterinya panjang sedepa, Syafiq tertawa kecil. Mengalah jualah dia untuk turuti isterinya itu. Selesai menyusun telur ayam, kerusi ditarik dan dilabuhkan punggungnya menghadap isterinya.
"Sayang nak cakap apa?"
Damia telan liur. Itu dia! Dia muncul dah aura yang tak berapa nak menyedapkan hati ni. Mulalah fikiran negatif datang menerpa. Padahal tadi berkobar-kobar dia nak bercakap.
Syafiq jongketkan keningnya berkali-kali. Pelik tengok isterinya ni. Lihat dari wajah isterinya, pasti isterinya mahu membuat satu permintaan. Tapi permintaan apa?
Damia telan liurnya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Dirinya patut bertenang. Lagipun, niatnya ini tak salah pun. Kenapa mahu takut?
"Abang, boleh tak kalau saya nak cari kerja?"
Dan riak wajah Syafiq terus berubah.
Bersambung...
Dah dapat hidu dah bau-bau wujudnya watak si pencaras ni :-/
Share this novel