Bab 15 : Ujian Hati

Horror & Thriller Completed 71148

Syafiq kelihatan tergesa-gesa saat dia kembali dari bilik air. Dia sebenarnya pergi ke bilik air untuk mengambil air wudhu' kerana baru dia teringat bahawa dia belum menunaikan solat asar lagi.

Seusai dia tiba di dalam bilik, kelibat Alif sudah tidak kelihatan. Dia menoleh ke kiri dan kanan biliknya untuk mencari Alif, namun gagal. Memikirkan yang dia belum lagi menunaikan solat asar, langsung dia mencapai sejadah yang dilipat kemas di atas mejanya lalu dibentangkan di hadapannya.

Allahuakhbar~~

Kedengaran perlahan suara Syafiq mengangkat takbir. Dia berdiri dengan penuh khusyuk. Lalu dilafaznya satu persatu ayat suci al Quran bagi melengkapkan lagi ibadah nya itu. Fikirannya tenang, jiwanya seakan terlupa seketika akan gangguan yang dia terima.

Syafiq akhirnya tenggelam di dalam kekhusyukannya. Dunia tidak lagi dihirau, kerana waktu itu dia merasa sungguh dekat dengan pencipta Nya. Dan tanpa dia sedar, air matanya mula jatuh berguguran. Syafiq cuba meraih kekuatan, dari ujian yang Allah timpakan.

-0-0-0-0-

Jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Syafiq yang baru sahaja selesai menunaikan solat isyak duduk termenung di atas sejadahnya itu. Fikirannya jauh melayang memikirkan banyak perkara, antaranya siapa lelaki tua yang muncul di dalam mimpinya petang tadi.

Seusai berdoa, Syafiq bangkit perlahan lalu melipat kembali sejadahnya itu. Diperkemaskan lagi lipatan, lalu dia meletakkan kembali sejadah itu di hujung kepala katilnya. Saat dia memandang ke arah meja belajarnya, matanya terpandang dan terhenti pada sesuatu yang sudah lama tidak dia sentuh.

Dengan perasaan yang sukar untuk dilafazkan, Syafiq berjalan perlahan menuju ke arah meja belajarnya itu. Dicapainya senaskah Al Quran lalu dia menarik kerusi nya untuk diduduk.

Ditenung lama Al Quran berwarna hijau itu. Banyak kenangan dan juga memori dia bersama Al Quran itu. Teringat yang dia sudah lama tidak membacanya, membuatkan dirinya sedikit sedih.

Lalu dibukanya perlahan Al Quran itu. Saat itu, matanya terus terpandang akan tulisan jawi yang ditulis cantik di muka surat pertama. Syafiq membacanya perlahan.

Kehadapan anak lelaki Ibu yang amat Ibu sayangi.

Al Quran ini Ibu hadiahkan, agar Along jadikan ia sebagai teman hidup di atas dunia ini. Bukan sekadar untuk dibaca, namun Ibu harap Along dapat memahami tiap ayat yang Allah turunkan ini untuk dijadikan sebagai pedoman di dalam hidup. Tiap kali Along rindukan Ibu, bacalah Al Quran ini ye nak. Dan ingat lah bahawa Allah itu sentiasa bersama kita. InsyaAllah.

Yang ikhlas,
Ibumu

Air mata Syafiq terus mengalir deras. Saat itu dia benar-benar merindui arwah Ibunya. Al Quran di tangannya masih dipegang erat, lalu diletakkan di dada dan dipeluk sekuat kuatnya.

"Ibu, Along rindu Ibu sangat-sangat. Along rindu nak peluk Ibu, nak cium Ibu, nak bermanja dengan Ibu. Along rindu semua tentang Ibu. Kenapa Ibu pergi cepat sangat?" Kata Syafiq perlahan saat dia tidak lagi mampu menahan sebak di dada.

Sejak kehilangan Ibunya 3 tahun lepas, segalanya telah banyak berubah. Ayah nya yang kini sudah berkahwin lagi, sedikit sebanyak terisi kekosongan di dalam jiwa nya itu. Namun bagi Syafiq, Ibunya itu tiada siapa pun yang mampu diganti.

Kerana itu Syafiq tidak merasa keberatan andai tidak pulang ke rumah semasa cuti semester. Kerana bagi dirinya, menjauhkan diri dari ayah dan ibu tirinya itu merupakan jalan terbaik untuk dia terus tabah menghadapi segala nya ini.

Air mata yang masih deras berjujuran disapu perlahan. Hidung nya yang mula dipenuhi hingus mulai sukar menembuskan udara pernafasan. Syafiq cuba bertenang. Air matanya cuba ditahan, malah tangisannya mula perlahan.

Dicapainya sehelai tisu yang ada di dalam laci mejanya lalu Syafiq mengelap air mata dan hingus nya. Diambil lagi beberapa helai sehingga air matanya kering dan dia betul-betul reda dari kesedihan yang tiba-tiba datang melanda.

Saat itu tiba-tiba kedengaran bunyi pintu bilik mereka dibuka. Syafiq menoleh ke belakang dan melihat Alif sedang berdiri tegak di muka pintu bilik mereka itu.

"Kau dari mana Alif? Tadi terus hilang, sekarang ni baru muncul." Tanya Syafiq sejurus sahaja dia melihat Alif mulai masuk ke dalam bilik mereka itu.

"Aku ke masjid tadi Syafiq, lepas tu aku singgah kedai Embun kejap. Belikan kau nasi goreng daging black paper, makanan kegemaran kau ni." Jawab Alif sambil menghulurkan sebungkus nasi kepada Syafiq.

"Kau pergi masjid bukannya nak ajak aku. Paling kurang pun cakap lah dulu dengan aku. Jadi tak adalah aku ni risau Alif. Makanan ni tak de hal lah, kau tu yang aku risaukan. Kau asyik-asyik hilang je sekarang ni. Risau aku." Kata Syafiq sedikit bengang.

"Alaaa sory lah. Tadi aku nak cepat. Tak sempat nak cakap dekat kau. Aku janji, lepas ni kalau aku nak ke mana-mana aku bagitai kau dulu. Ok?" Kata Alif sambil tersenyum pada Syafiq yang masih duduk di atas kerusinya itu.

Syafiq tidak membalas kata-kata Alif itu, sebaliknya dia hanya tersenyum kelat lalu memalingkan badannya semula ke arah meja belajarnya. Dia yang telah meletakkan al Quran tadi di sisinya mencapai al Quran itu kembali.

"Syafiq, makanan ni aku letak dekat sini ea. Nanti kalau kau lapar, kau makan lah." Kata Alif lalu meletakkan bungkusan makanan itu di atas almari kecil di tepi meja belajar mereka.

"Aku tak lapar lagi, nanti lah malam sikit aku makan. Btw terima kasih Alif, nanti aku bagi duit ye." Jawab Syafiq ringkas.

-0-0-0-0-

Jam menunjukkan tepat pukul 2am. Syafiq dan Alif masing-masing sedang lena diulit mimpi. Cahaya samar-samar dari luar pintu bilik mereka menerangi sedikit ruang di hadapan pintu bilik mereka itu.

Tidak lama kemudian, tiba-tiba kedengaran suara seseorang di hadapan pintu bilik mereka. Mulanya suara itu seakan berbual, namun lama kelamaan kedengaran suara tangisan dilafazkan.

Alif yang sedang tidur nyenyak, tidak mendengar apa-apa pun. Syafiq pula sedikit tergangu dan mula bergerak ke kiri dan kanan katilnya itu. Bunyi tangisan yang semakin kuat membuatkan Syafiq terjaga dari lenanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience