Chapter 19

Romance Completed 32270

Sembilan Belas

“Ya Allah, apa aku sudah buat ni?” Farhan menghela nafasnya.

Dia bingung mengapa Marha cuba menjauhkan diri daripadanya. Dia cuba menegur dengan gadis itu lagi tapi Marha seringkali cuba mengelakkan diri daripada terserempak dengannya selepas perbualan mereka malam itu.

Hari ini adalah hari terakhir kursus induksi di Hotel Putra. Dia tidak boleh terlepas peluang lagi kali ini. Dia tidak boleh biarkan bidadarinya pergi lagi. Dia menelefon ibunya.

“Assalamualaikum ibu. Along ingin mohon restu daripada ibu dan ayah.”

“Mohon restu apa, Along? Kalau benda yang baik, Insha Allah.”

“Hari ini Along ingin melamar Marha. Ibu dan ayah restukan?”

“Insha Allah. Kami restu. Lagipun kita tahu Marha perempuan yang baikkan? Kita sudah usaha untuk mengenali keluarga dia. Teruskan niat Along tu. Ibu dan ayah sokong pilihan Along.”

“Terima kasih ibu. Along akan beritahu hasrat hati Along sebelum habis kursus. Terima kasih ibu. Doakan Along.”

Farhan mematikan panggilan. Dia bercadang hendak meluahkan perasaannya selepas sesi peperiksaan tamat. Farhan bergerak merapati Marha yang sedang khusyuk membaca nota.

“Assalamualaikum Marha. Maaf mengganggu awak. Boleh saya berjumpa dengan awak selepas exam tamat? Saya ada hal penting hendak beritahu awak.” Farhan bertanya dengan penuh pengharapan.

“Emm, penting sangatkah?” Wajah Marha menunjukkan dia ragu-ragu untuk bersetuju.

“Penting sangat. Please, Marha?”

“Baiklah.”

“Terima kasih Marha. Saya tunggu awak di lobi nanti. Terima kasih sekali lagi.” Farhan girang.

“Insha Allah.” Jawab Marha acuh tidak acuh sahaja.

...........................................

Dua Puluh

Farhan mundar-mandir di lobi Hotel Putra. Sekejap dia duduk, sekejap dia berdiri. Gelisah dan resah membelenggu dirinya sekarang. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya ketika itu. Adakah Marha akan menerimanya atau dia ditolak mentah-mentah.

“Ah, tak salah kalau mencuba. Ya Allah, permudahkanlah urusanku. Aku memang cintakan dia.” Dia berkata perlahan.

Setelah menunggu selama 20 minit, Marha pun tiba di lobi. Dia kelihatan tergesa-gesa.

“Maaf Farhan. Saya terlewat. I’m so sorry.” Marha termengah-mengah meminta maaf. Dia mengambil nafasnya.

“Tak mengapa. Saya baru sahaja sampai.” Farhan terpaksa bercakap tidak benar. Sebetulnya dia sudah sampai awal di lobi kerana dia keluar awal semasa peperiksaan tadi.

“Ada apa awak mahu jumpa saya? Hal apa yang penting sangat tu?” Tanya Marha seperti tidak senang dengan lelaki muda itu.

“Kenapa awak asyik mengelak daripada berjumpa dengan saya? Saya ada buat salahkah?” Soalan dilontarkan Farhan kepada Marha. Dahinya berkerut. Riak wajahnya seperti meminta Marha memberi penjelasan kepada persoalan yang bermain-main di benak fikirannya sejak daripada semalam.

“Mengelak daripada awak? Eh, mana ada.” Marha cuba menafikan kenyataan Farhan.

“Ada. Bila saya panggil awak, awak buat tak tahu sahaja.” Balas Farhan. “Awak seperti cuba menjauhkan diri daripada saya. Kenapa Marha?” Dia menambah lagi.

“Saya minta maaf. Mungkin saya tak dengar awak panggil saya masa tu. Lagipun, atas sebab apa saya hendak rapat dengan awak? Awak sudah mahu berkahwin. Takkanlah saya hendak rapat dengan awak pula.”

“Ooo... sebab itu awak lari bila nampak saya? Bila saya sebut hendak pinang wanita pilihan saya, awak terus sahaja tak mahu berkawan dengan saya. Baru saya faham sekarang kenapa awak berkelakuan begini.” Dia menghela nafas berat.

“Emm.” Marha mengangguk lemah.

“Awak hendak tahu tak siapa bidadari saya?”

“Eh, hendak buat apa saya ambil tahu. Tak ada kena-mengena dengan saya. Itu urusan awak.” Wajah Marha berkerut.

Farhan menyeluk kocek seluarnya. Sebuah kotak baldu berwarna merah dikeluarkan. Sebentuk cincin emas bertakhtakan berlian tersemat indah di dalam kotak baldu itu. Selepas tamat sesi terakhir pada malam dia berbual dengan Marha itu, dia bergegas keluar mencari kedai emas di sekitar Kuala Lumpur. Mujur masih ada yang buka. Dia sudah memasang tekad untuk melamar Marha walaupun tanpa sebentuk cincin di tangannya.

Tangannya ditahan daripada terketar-ketar ketika membuka kotak tersebut. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum mulutnya terus berbicara. Dia berdoa agar diberi ketenangan. Dirinya cuba berlagak selamba sedangkan hanya Allah sahaja yang tahu betapa hatinya sedang berdebar-debar hebat.

“Auni Marha bt Razali, sudikah awak menjadi bidadari hati saya di dunia dan di syurga?” Jantung Farhan berdengup kencang.

Masa seperti terhenti seketika buat Farhan dan Marha. Lidah masing-masing kelu daripada terus berbicara.

Farhan mengangkat wajahnya dan memandang gadis yang menjadi idamannya sejak dari dulu lagi. Dia lihat titisan airmata mengalir jatuh di pipi mulus Marha.

“Jumpa ayah dan ibu saya dahulu.” Marha tunduk sejak dari tadi bersuara.

“Maknanya Marha setuju?” Farhan cuba berlagak tenang walaupun hatinya tersangat gembira. Kalau boleh dia mahu melompat sahaja masa itu.

Gadis yang berdiri di hadapannya hanya mengangguk.

“Alhamdulillah.” Airmata Farhan merembes keluar. Dia bersyukur kepada Allah kerana dia tidak terlepas lagi bidadari hatinya seperti dahulu. “Terima kasih Marha. Terima kasih kerana sudi terima saya.”

Marha terus menundukkan pandangannya. Malu untuk bertentang mata dengan lelaki yang berada di hadapannya. Jauh di sudut hatinya dia turut rasa bersyukur dan gembira.

“Terima kasih ya Allah.” Bisik hati kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience