LAUNGAN suara Puan Akma yang disertai dengan ketukan bertubi-tubi pada pintu bilik membuatkan Eyra Zafira dengan pantas membuka pintu dengan muka sebal, bukannya dia tidak tahu mengapa ibunya terpekik-pekik di luar memanggilnya.
"Kenapa Eyra matikan lampu bilik air Zul ada kat dalam?" soal Puan Akma dengan mata terjegil garang sebaik sahaja pintu dibuka.
"Siapa suruh dia cari pasal?"
"Eyra... Eyra." Tergeleng kepala wanita berusia separuh abad itu mendengarkan jawapan daripada anaknya. "Zul tu tak biasa lagi suasana kampung, Eyra janganlah buat suami Eyra macam tu."
"Tak ada kena-mengena tak biasa suasana kampung dengan cari pasal, mak. Dia yang cari pasal dulu."
"Hisy, dah, dah! Zul tunggu kat dapur tu. Kesian dia. Pergilah, Eyra. Berdosa tau kalau..."
"Ya, mak, Eyra pergilah ni." Laju Eyra Zafira memintas percakapan ibunya sambil melangkah keluar dari bilik.
"Haih, anak aku ni! yang pelik-pelik ajelah!" desis Puan Akma sambil memerhati anaknya berjalan menuju ke dapur.
- - - - - -
DARI jarak beberapa meter, Eyra Zafira sudah melihat renungan mata helang milik lelaki bertubuh kekar yang sedang duduk berpeluk tubuh di meja makan. Bukannya takut, dia malah berasa lucu melihat lelaki itu berkemban dengan kain pelikat dan rambut yang masih bersyampu. Tetapi, senyumnya sedaya upaya ditahan.
“Pergilah sambung mandi. Siapa suruh, lain kali… argh!” Belum sempat Eyra Zafira menghabiskan percakapannya, tubuhnya terasa melayang sebelum mendarat di atas bahu suaminya. “Turunkan akulah! Turunkan aku!”
Zul Aryan tidak bercakap apa-apa, rontaan isterinya tidak diendahkan langsung, malah langkah kakinya semakin dipercepatkan lagi. Tindakan wanita itu lima minit lepas benar-benar membuatkan dia marah dan sakit hati.
“Apa kau nak buat ni? Turunkan akulah! Kau nak aku jerit biar satu kampung dengar ke?!”
“Jeritlah!” cabar Zul Aryan sambil melangkah masuk ke dalam bilik air, lalu dengan pantas dia mengunci pintu. Dengan Eyra Zafira yang masih berada di dalam cempungannya, dia terus memasang air pancuran.
“Hei, aku dah mandilah! Turunkan aku! Kau dengar tak ni!” bentaknya dengan perasaan geram kerana seluruh tubuhnya sudah basah akibat tindakan lelaki yang sedang marah itu.
“Kau tunggu sampai aku siap!” kata Zul Aryan sambil menurunkan isterinya, lalu dengan selamba dia melepaskan kain pelikatnya.
“Hisy, tak senonoh punya manusia!” Dengan pantas Eyra Zafira memusingkan tubuhnya menghadap dinding bilik air yang agak sempit untuk mereka berdua itu. Dia hanya mampu pasrah percikan air memercik di seluruh bahagian belakang tubuhnya, kerana dia tahu dia tidak mampu lari lagi.
“Kalau kau nak tengok pun aku tak kisah. Halal juga kan, tapi kalau kau lari, awas!”
“Hisy, perasan! Macamlah aku nak tengok! Geli aku!” Eyra Zafira membentak keras dengan perasaan tidak puas hati dan sakit hati kerana berasa terhukum akibat tindakannya sendiri.
- - - - - -
"MAK." Zul Aryan tersipu malu ketika dia melepasi ibu mentuanya yang baru hendak ke dapur. Dia berasa segan kerana dia hanya bertuala.
Eyra Zafira pula tidak bercakap apa-apa sambil menayang muka cemberut mengekori suaminya dalam keadaan basah kuyup.
"Astaghfirullahalazim." Hanya perkataan itu sahaja yang mampu diucapkan oleh wanita berusia separuh abad itu.
Ketika mereka semakin menghampiri pintu bilik, Eyra Zafira segera memintas suaminya dan terus masuk ke dalam bilik.
Klak!
Terkedip-kedip mata Zul Aryan memandang pintu yang dikunci dari dalam. Pasrah, namun dengan hati yang sakit, dia terus menuju ke ruang tamu yang kosong, lalu punggungnya dilabuhkan di atas kerusi yang diperbuat daripada rotan.
Sejak mereka tiba pagi tadi, belum pernah lagi dia melihat penghuni rumah yang lain selain daripada ibu mentuanya. Bapa mentuanya pula, dia hanya melihat lelaki itu satu kali ketika kepulangannya dari kebun, namun lelaki itu berlagak acuh tak acuh ketika bersalaman. Tiada sapaan mesra, apalagi sambutan. Namun, dia tidak kisah langsung.
Bola matanya bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan memerhatikan hiasan dan susun atur perabot di ruang tamu yang berkeluasan sederhana itu dan ketika sedang asyik mengamati ruangan itu, pandangannya tertancap pada sesuatu di almari perhiasan kaca yang menarik minatnya untuk pergi melihat dengan lebih dekat lagi.
"Eh, Zul. Kenapa kat luar ni?" soal Puan Akma, lalu spontan dia memandang pintu bilik anaknya. "Eyra tak bagi masuk ya?"
Zul Aryan berdeham canggung. "Taklah, saya tiba-tiba ternampak ni, jadi saya saja nak tengok-tengok sekejap sementara tunggu Eyra salin pakaian," bohongnya.
Kerana rasa hormatnya terhadap ibu mentuanya, dia tidak mahu wanita itu tahu tentang kedinginan hubungan perkahwinan mereka yang bermula dengan tidak begitu baik, lagipun dia tahu tentang penyakit ibu mentuanya.
Puan Akma tersenyum sambil memandang gambar berbingkai di tangan menantunya. "Itu gambar lengkap family mak dengan arwah suami pertama. Ayah Eyra meninggal sebab kemalangan di tempat kerja sepuluh tahun lepas."
"Ini pula..." Zul Aryan menuding seorang lelaki muda yang sedang memeluk bahu isterinya di dalam gambar.
"Itu abang Eyra, pun dah meninggal juga. Nama dia Irsyad. Kalau arwah masih ada sekarang, mesti dia gembira tengok adik dia dah kahwin, sebab arwah tu nak adik dia kahwin dulu baru dia kahwin. Hubungan arwah dengan Eyra tu rapat sangat-sangat," jelas Puan Akma sambil tersenyum tawar terkenangkan anak sulungnya.
"Kenapa arwah meninggal?" soal Zul Aryan dengan riak wajah berminat hendak tahu.
Puan Akma menarik hembus satu nafas panjang sambil menunduk sebelum dia memandang wajah menantunya. "Kena bunuh."
"Kena bunuh?" Zul Ayan kelihatan terkejut.
"Ya," jawab Puan Akma bersama dengan anggukan lemah. "Depan mata Eyra," lanjutnya dengan riak muka yang sudah berubah sayu.
"Mak."
Puan Akma dan Zul Aryan serentak menoleh ke belakang.
“Makanan yang Eyra masak tadi, Eyra letak kat bawah tudung saji, mak dah makan ke?” soal Eyra Zafira dengan muka serius, lantas pandangannya beralih kepada suaminya. “Pergilah pakai baju.”
“Belum, mak tunggu Eyra dengan Zul nak makan sama-sama. Ayah dengan Nadra tu macam biasalah. Nanti lapar, pandai juga dia orang turun makan tu,” jawab Puan Akma sambil melirik wajah menantunya dengan muka risau. Dia tidak pasti sama ada anaknya terdengar atau tidak perbualan mereka tadi, namun yang pasti, anaknya sangat tidak suka mendengar kisah arwah abangnya menjadi topik perbualan.
“Saya pergi pakai pakaian dulu ya, mak,” ujar Zul Aryan dengan sopan sambil meletakkan gambar yang dipegangnya di tempat asal.
“Ha, pergilah, lepas tu kita makan sama-sama.”
Eyra Zafira memerhati tubuh suaminya dari belakang dengan riak muka tidak puas hati. Boleh pula dia bercakap elok-elok sopan dengan mak. Kalau dengan aku, bukan main kerek bin poyo lagi kau ya! “Mak sembang apa dengan dia tadi?” soalnya dengan pandangan yang kini menghala pada wajah ibunya.
“Sembang? Emmm… tu haa, pasal gambar tu. Mak kenalkan arwah ayah dan Irsyad tu kat Zul.”
Eyra Zafira menjongketkan sepasang keningnya yang terukir cantik semulajadi bersama dengan pandangan curiga. “Itu je?”
“Ya, itu je. Eh! Jomlah pergi ke dapur. Kita tunggu Zul kat situ,” kata Puan Akma sambil menarik lengan anaknya menuju ke dapur.
- - - - - -
SEDANG Eyra Zafira sibuk menyediakan apa yang patut di atas meja makan, Nadra masuk ke dapur, lalu dengan selamba wanita itu mencedok nasi dan lauk untuk dibawa naik ke biliknya di tingkat atas.
“Senang betul hidup kau kan?”
“Eh! Yang kau sibuk pasal hidup aku kenapa?” balas Nadra dengan mata terjegil.
“Sebab kau menyusahkan hidup orang!”
“Kau dah kahwin kan? Ikut ajelah laki kau, buat apa kau nak menyibuk pasal hal dalam rumah ni lagi!”
“Yang kau susahkan tu mak aku, tahu tak!”
Cepat-cepat Puan Akma berdiri dan menarik tangan anaknya yang hendak meluru ke tempat anak tirinya. Bukannya dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh anaknya itu. “Eyra, biarkan aje dia. Nanti ayah turun, jadi makin kecoh pula. Apa kata suami Eyra nanti kalau dia nampak,” bisiknya dengan nada memujuk.
Eyra Zafira mendengus sambil mengetap kuat giginya menahan perasaan marah. Kalau diikutkan hati, mahu dihantuk-hantukkan kepala anak dara itu di dinding, mujur ada ibunya di situ.
Nadra mencebik sambil melemparkan jelingan tajam kepada Eyra Zafira sebelum dia berjalan keluar dari dapur membawa pinggan yang penuh dengan makanan, namun langkahnya serta-merta terhenti saat dia terpandang Zul Aryan yang sedang berjalan menuju ke dapur. “Handsomenya!” Spontan mulutnya mendesis dengan mata membulat tidak berkedip langsung. Ini merupakan pertama kali dia melihat lelaki itu, kerana ketika majlis perkahwinan kakak tirinya, dia hanya berkurung di rumah sahaja atau lebih tepat lagi di dalam bilik.
“Plan nak sondol juga ke?” perli Eyra Zafira dengan suara yang sengaja dikuatkan.
Nadra menoleh ke belakang dengan renungan tajam, kemudian dia terus berlalu pergi sambil menggumam dengan butir bicara yang tidak jelas hujung pangkalnya.
- - - - - -
SELEPAS makan malam tadi, Eyra Zafira tidak terus masuk ke bilik, tetapi dia terus menuju ke ruang tamu untuk menonton television, manakala Puan Akma pula sudah naik ke biliknya di tingkat atas. Bilik di tingkat bawah itu ada dua iaitu bilik Eyra Zafira dan arwah abangnya, namun bilik arwah abangnya sudah dijadikan bilik penyimpanan barang-barang.
Setelah hampir tiga jam menonton, Eyra Zafira sudah mulai mengantuk. Pintu biliknya dipandang sambil berfikir. “Ni kalau aku tidur kat sofa malam ni, mesti mak nampak. Hisy! Masalahnya aku malas nak hadap laki poyo tu!”
“Eyra?”
Laju Eyra Zafira menoleh dengan mata terbeliak kerana terkejut. “Aduh, mak ni! Terkejut orang!” Dadanya diusap-usap sambil melepaskan keluhan panjang. “Mak belum tidur ke dari tadi?”
“Dah tidur dah pun, tapi mak terbangun nak buang air. Eyra kenapa tak tidur lagi? Suami Eyra mana?”
“Eyra tengok movie ni,” jawab Eyra Zafira sambil menjuihkan bibirnya ke arah skrin besar di depannya. “Dia dalam bilik, mungkin dah tidur kut.”
Puan Akma melepaskan keluhan sambil menggeleng. “Pasangan pengantin baru kalau boleh nak berkepit 24 jam tak keluar dari bilik, lebih-lebih lagi yang baru kahwin, tapi kau orang ni…”
“Okeylah, mak. Eyra nak masuk dah ni,” pintas Eyra Zafira sambil mematikan television, lalu dia segera berdiri dan melangkah pantas menuju ke biliknya, tidak sanggup dia mendengar bebelan ibunya yang berkenaan dengan menantu pilihan terbaiknya itu, kerana kesudahannya, pasti dia yang dipersalahkan.
- - - - - -
LAMPU di dalam bilik yang gelap-gelita itu terus dipasang sebaik sahaja dia masuk sekadar hendak melihat di mana keberadaan suaminya sahaja. Buat seketika, Eyra Zafira memandang suaminya yang sudah terlena di atas lantai bersebelahan dengan katil beralaskan kelengkapan tidur yang sama digunakannya di hotel semalam.
“Kesian? Memang taklah!” desisnya, kemudian dia mematikan semula lampu dan terus berjalan menuju ke katil dalam kegelapan.
Oleh kerana dia sememangnya sudah mengantuk, tidak sampai lima minit selepas dia merebahkan tubuhnya di atas tilam, dia terus terlena.
- - - - - -
“SAMPAI pun menantu mama. Lama mama tunggu tau!” kata Datin Amalina dengan muka teruja. Tubuh menantunya langsung diterpa dan dipeluk erat selepas mereka bersalaman.
“Jalan jammed,” jawab Zul Aryan dengan lagak bersahaja sambil melangkah menuju ke pintu utama selepas menyalami wanita kesayangannya itu.
“Eyra, jomlah masuk. Bibik tengah sediakan makanan tengah hari tu. Jom, jom! Kita terus lunch. Beg dan barang-barang tu, biar Khairul yang bawa naik.”
“Err… mama, boleh tak kalau Eyra mandi dulu?” soal Eyra Zafira dengan perasaan kekok. Sempat dia melirik seorang lelaki bertubuh tinggi dan tegap yang sedang mengeluarkan beg-beg bagasi dari bonet kereta suaminya sebelum dia jalan beriringan dengan ibu mentuanya.
“Boleh, kenapa tak boleh pula?” balas wanita cantik bersanggul itu bersama dengan senyuman lebar. Tiba-tiba, dahinya berkerut memandang anaknya yang sedang berjalan mendahului mereka. “Zul, kenapa tinggalkan isteri Zul ni? Eyra kan tak tahu bilik kat mana.’’
Zul Aryan menoleh ke belakang tanpa memberhentikan ayunan langkah kakinya. “Tingkat atas, bilik paling hujung.” Dia memandang semula ke depan sambil memasukkan sebelah tangannya ke dalam poket seluar.
“Eyra jangan ambil hati sangat dengan sikap Zul tu ya? Zul tu ada masa-masa pandai bertukar angin,” kata Datin Amalina sambil menepuk-nepuk lembut bahu menantunya.
Spontan Eyra Zafira mengetap gigi selepas mendengar kata-kata wanita itu. Bukan ada masa-masa, tapi setiap masa! bidasnya, namun hanya di dalam hati sahaja.
- - - - - -
“KAU dengar sini!” kata Zul Aryan ambil menarik tangan isterinya sehingga tubuh wanita itu terpusing menghadapnya. “Kau bebas nak buat apa je yang kau nak. Kau nak hidup macam kehidupan kau sebelum kahwin ke, aku tak peduli dan aku tak kisah, tapi satu je yang aku nak kau buat...”
Eyra Zafira mendengus sambil menarik kasar pergelangan tangannya yang dicengkam kuat sehingga terlepas daripada pegangan suaminya. Lantas, renungan serius lelaki itu dibalas dengan perasaan geram menanti lelaki itu menyambung bicara.
“Kau jangan menyibuk hal aku. Apa aku nak buat, aku pergi mana, keluar dengan siapa, semua tu kau tak perlu sibuk, faham?” Zul Aryan menaikkan jari telunjuknya di depan hidung isterinya. “dan aku juga takkan peduli pasal kau.”
“Ingat aku hairan? Baguslah! Aku tak teringin pun nak ambil tahu pasal kau dan aku lagi suka kalau kau tak peduli pasal aku,” balas Eyra Zafira dengan muka selamba, lalu dia kembali melangkah menuju ke bilik air sambil menggumam.
Jiwanya benar-benar terseksa menahan sakit hati setiap kali melihat dan mendengar suaminya bercakap. Dia sendiri tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan dengan ikatan perkahwinan yang awal-awal lagi sudah memberikan bayangan penderitaan jiwa itu.
Share this novel
semua nak pakai Coin alih penat
Terbaik
hallo kk author salm knal ya ijin singgah dikaryamu ya