AWAS
Tubuhnya menggeletar kerana ketakutan. Peluh dingin merenek di dahinya. Dia tidak tahu sama ada dia adalah mangsa seterusnya atau bukan. Dia tidak tahu sama ada dia telah menjadi sasaran pembunuh kejam itu atau dia cuma dipermainkan oleh seseorang.
Dia membelingaskan mata ke sekeliling restoran itu. Cuba mencari orang yang mencurigakan namun semuanya berlagak seperti biasa. Hamiza terus bangun dan berlalu pergi bersama bagasinya tanpa menghabiskan makanan di atas meja.
Tit tit!
Hamiza menilik sekilas. Mesej daripada Zaquan.
Balik ya, sayang. I’m waiting for you.
Matanya bergenang dengan air mata. Ya, dia lupa dia ada suami. Lelaki itu akan melindunginya. Dia perlu segera sampai ke rumah. Dia akan berada selamat jika berada dalam rangkulan erat suaminya.
Hamiza terus menuju ke keretanya. Bagasi dimasukkan ke dalam bonet belakang sebelum dia memboloskan diri ke dalam kereta. Tanggannya sedikit menggeletar mahu menghidupkan enjin.
Ketakutan masih menguasi diri. Lantas dia mengundurkan kereta dan memecut laju sebaik sahaja enjin dihidupkan. Dia mahu segera sampai ke rumah.
Apabila tiba di kawasan parkir rumahnya, dia tidak terus keluar dari keretanya. Akal mengingatkan tuannya supaya menghubungi pihak berkuasa.
Mereka perlu tahu kerana kemungkinan mereka dapat menangkap penjenayah yang selama ini melakukan pembunuhan yang sadis dan kejam.
Dia mengenangkan sahabatnya, Puteri Diana yang berada dalam pasukan polis. Cepat dia menghantar pesanan ringkas kepada gadis itu sebelum mendapat balasan dalam beberapa minit.
Share this novel