Prolog

Romance Completed 374778

SEPI, perih dan menyakitkan.  Itulah gambaran suasana di dalam kereta yang sedang aku diami bersama suamiku ketika itu. Aku sendiri tidak tahu apa perasaan sebenar di antara aku dengan dia setelah kata-kata marah dan benci itu terungkap barusan.  Terungkap hanya kerana dia lebih mempercayai kata-kata orang lain berbanding dengan penjelasan aku yang merupakan isterinya sendiri.

Menggigil ulas bibirku, dadaku pula terasa kian sebak dan sesak. Perlahan-lahan empangan air mataku akhirnya memecah juga. Ku kira diriku kuat, tetapi ternyata tidak. Mungkin kerana semua itu terlalu menyakitkan. Dituduh, dibenci, dihina di saat diri sedang sarat, malah hanya menunggu masa sahaja untuk melahirkan.  Hati siapa yang tidak akan sakit?

Siapa lagi yang aku ada di muka bumi ini selain daripada dia? Aku tidak punya orang tua, saudara-saudara kandung apatah lagi.  Hanya seorang lelaki yang bernama Khir Adli sahaja tempatku mengemis kasih.  Perkahwinan kami terikat kerana cinta, cinta pandang pertama. Semuanya bermula dengan sangat indah walaupun orang tua dengan seluruh ahli keluarganya tidak pernah menyukai aku hanya kerana aku seorang anak yatim piatu yang bukan setaraf hidup dengan mereka. Namun aku butakan mataku, aku terima diri dimaki dalam diam kerana hatiku sudah terlanjur menyayangi dia, dan aku tahu yang dia juga amat menyayangi aku.

"Arghhh!!!" Raungan suamiku membuat aku langsung tersentak. Kuat, dan nadanya jelas kedengaran sakit, sama sakit seperti apa yang sedang aku rasa ketika itu.

Bubbb!!!

Bahuku terangkat sewaktu dia memukul stereng kereta dengan tiba-tiba, namun aku tetap tidak menoleh. Hanya memandang ke arah luar sedari tadi bersama esakan tanpa suara. Semua itu sudah pasti menjadi satu hal yang meninggalkan kesan yang paling perih di dalam hatiku. Tanganku yang menggigil tidak berhenti mengusap perutku sendiri.  Kali ini aku tahu, aku harus kuat demi kandunganku itu.

Dia yang memulakan semuanya. Dia lebih memilih untuk mempercayai orang lain, dan dia juga seolah-olah lebih memilih untuk membuang kami. Aku enggan mempamerkan kesakitanku, biar dia nampak kekentalan hatiku seperti apa?  Bukannya aku tidak biasa hidup sendiri!

"Kenapa awak sanggup buat abang macam ni, Hawa?! Kenapa???" Khir Adli kembali membentak membuatkan aku spontan menoleh semula ke arahnya.

"Awa berani bersumpah, Awa tak pernah duakan abang dan Awa juga berani bersumpah, anak dalam perut Awa ni adalah anak abang.  Tapi abang... "

"Jangan main-main dengan sumpah, Hawa! Awak ingat abang bodoh? Apa yang tak cukup daripada abang untuk awak selama ni sampai awak sanggup khianat pada abang? Apa yang kurang, Hawa? Abang kerja siang malam, sebab nak awak dengan... budak dalam perut awak tu senang tapi ni... ni cara awak balas abang." Khir Adli pantas menyela kata-kataku dengan nada ungkapannya yang jelas kedengaran menggeletar.  Aku tahu, dia juga sedang membela rasa kecewa dan sakit yang lebih parah daripada hatinya.

Aku menunduk, kekal menangis namun aku tidak akan mahu terlihat lemah.  Beberapa saat setelah itu, barulah aku melirik ke arah wajah tampan yang kebasahan itu.  "Kalau abang memang sayangkan Awa, abang tak kan percaya cakap orang luar.  Awa tak bodoh abang, kalau Awa nak curang sekalipun, Awa akan pilih orang lain, bukan sepupu abang sendiri!" kataku dengan tegas, biarpun ada getaran pada alunan suaraku.

"Bukan sekali dua, Hawa! Tapi dah berkali-kali abang tangkap dia datang ke rumah masa abang tak ada! Cakap, macam mana abang nak percayakan awak lagi?!"

"Awa tak tahu, kenapa dia datang.  Dia kata mama yang... "

"Lagi-lagi mama, lagi-lagi mama! Salah kau, kau jangan nak libatkan orang lain, boleh tak?! Kau ingat aku bodoh?!"

Kali ini rasa sakit pada hatiku kian meluap-luap tatkala mendengar mulutnya mula membahasakan diri sebagai 'aku', memanggil aku dengan gelaran 'kau'.

"Awa cakap benda yang betul. Mama dengan adik abang tu memang tak sukakan Awa." luahku sayu.

"Memang patut pun mama tak sukakan kau! Tengok dulu, fikir dulu perangai kau ni macam mana? Macam ni kau buat aku! Aku ikhlas kutip kau dari kampung tu, jadikan kau ni isteri aku tapi ni yang kau buat."

"Awa tak curang dan Awa tak akan curang! Awa sedar diri, bang!"

"Anak dalam perut kau ni, anak siapa Hawa? Cakap!"

"Anak abang, sumpah... ni anak abang. Percayalah cakap Awa bang. Awa difitnah. Awa tak buat semua tu."

"Habis tu kau nak cakap yang gambar tu, diedit? Gambar tu tak betul? Aku nampak dia peluk kau, Siti Hawa!"

"Awak tak buat. Sumpah, Awa tak buat." Berkali-kali aku menggeleng, cuba untuk meraih tangannya namun dia tetap berkeras untuk tidak mempercayai aku.

"Kau jangan bermain dengan sumpah, Hawa! Sumpah tu makan diri kau nanti! Kau tu mengandung!"

"Kalau abang memang dah tak sayangkan Awa, kalau abang memang dah tak percayakan Awa... " Jeda buat sesaat kerana ketika itu aku sedang gigih mengumpul seluruh kekuatanku untuk meneruskan kata. Rasa sayangku pada dia terlalu dalam, tetapi mengapa sukar sekali untuk dia mempercayai kata-kataku? Tuhan, aku tak curang! Aku setia hanya pada dia! "Kalau abang rasa yang Awa ni memang isteri yang tak baik, tolong... tolong lepaskan Awa." luahku untuk yang kesekian kalinya.

"Kau jangan cabar aku, Hawa! Kau jangan cabar aku!"

"Memang Awa cabar abang! Awa dah muak... Awa dah muak hidup macam ni. Abang lebih dengar cakap orang lain daripada isteri abang sendiri!" aku membentak.

"Orang takkan bercakap kalau benda tu tak betul! Abang tak bodoh, abang tak pekak dan abang tak buta! Selama ni, abang diam bodohkan diri abang sebab abang percayakan awak.  Abang sayangkan awak tapi rupa-rupanya... abang yang salah.  Kau sebenarnya memang curang! Anak dalam ni, anak siapa Hawa?! Cakap!"

"Sudahlah! Awa betul-betul dah penat, Awa... Awa penat jaga hati orang, jaga perasaan orang. Awa dah tak sanggup lagi bang. Awa merayu, Awa mohon pada abang... tolong lepaskan Awa." Aku merayu dengan suara yang parah menggeletar. Sebutanku mungkin tidak begitu jelas kerana ketika itu aku sedang gigih menguatkan perasaanku sendiri.

"Jangan cabar aku, Hawa!"

"Memang Awa cabar abang. Lepaskan Awa, lepaskan kami dari hidup abang. Awa akan pergi bawa budak ni. Tu yang abang nak kan? Darjat Awa seorang isteri memang tak ada nilainya kat mata abang. Abang cuma dengar cakap mama abang, cakap adik abang tu je. Tapi cakap Awa... sikit pun abang tak nak percaya." Aku melirih sakit. Rasa sakit itu bahkan semakin lama, semakin membuatkan nafasku hampir hilang. "Awa dah muak, Awa dah penat. Lepaskan Awa."

Aku dapat melihat dia diam tanpa berkata apa-apa. Sebelah tangannya dibawa meraup wajah, sedang sebelah lagi digunakan untuk mengawal pemanduannya. Aku nampak bibirnya menggeletar, dan aku juga nampak air matanya menitis membasahi pipi kasarnya.

"Hidup Awa memang sebatang kara, tak macam abang. Selama ni, Awa diam. Awa diam sebab Awa tak nak tambahkan masalah dalam kepala abang tu. Awa pendam rasa sakit, Awa pendam semuanya, abang. Sakit!" Aku menekap dada dengan tangan yang semakin menggigil teruk. "Betul kata mama abang, Awa memang... "

"Kau boleh tak berhenti burukkan mama aku, Hawa! Jangan berlagak macam kau tu... mangsa keadaan!"

"Awa tak pernah burukkan dia! Semua tu, hakikat! Hakikat, faham tak?! Kalau abang lebih pilih mama dengan adik angkat abang tu, baik abang kahwin je dengan mereka!" Aku menengking paling lantang, dan untuk saat itu, ini kali pertama aku meninggikan suara pada suamiku. Ya, kali pertama.

Khir Adli lantas menoleh ke arahku dengan tatapan yang sangat tercabar. Merah padam seluruh wajahnya, mungkin marah dan bengang dengan sikap biadabku.

"Hawa!" suamiku menengking. Dia kembali menoleh ke arahku dengan tatapan yang paling tajam dan penuh. Aku tahu, ketika itu tahap kesabarannya benar-benar sudah memuncak.

"Ceraikan Awa, abang! Ceraikan Awa!"

"Aku ulang sekali lagi, kau jangan cabar aku!"

"Ce... "

"Siti Hawa binti Fauzan, aku ceraikan kau dengan talak satu! Puas???"

"Abanggg!!!"

Semerta, gelap terasa dunia. Namun aku masih mampu sedar yang diriku adalah makhluk Allah yang masih diizinkan untuk bernafas. Aku tidak mampu membuka mata, tetapi aku dapat mendengar dengan jelas suara-suara riuh di sekelilingku. Seluruh tubuhku terasa sakit, namun aku dapat merasakan ada sepasang tangan kekar sedang memeluk erat tubuhku. Tangan itu seolah-olah sedang melindungi diriku dengan kandunganku walaupun dirinya... benar-benar sudah terkaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience