Arif merebahkan badan, dihalakan belakangnya kepadaku sedang aku masih belum lena. Dia tahu, bukannya dia tak nampak aku masih berjaga.
Perlahan aku memusingkan badan, sama sama membelakangi. Hatiku terusik. Arif tak seperti dulu.
Jika dulu, pulang lewat macam mana pun pasti ada ciuman singgah di pipiku, di bibirku. Tidur malamku pasti berada dalam dakapannya. Kepalaku berbantalkan lengannya. Nafas hangatku menjadi haba di dadanya. Kini tidak lagi.
Hatiku pedih mengenangkan perubahan Arif hari demi hari semenjak aku pulang dari hospital. Kadang kala aku sedang mandi ketika dia bersiap untuk pergi kerja, aku bukannya mandi lama. Usai mandi, terdengar bunyi enjin kereta sudah meninggalkan perkarangan rumah. Aku tak sempat menyalami Arif untuk hari tersebut.
Alangkah indahnya malamku jika ada anak di sisi. Kala Arif menjauhkan diri, aku masih punya anak untuk kudakapi. Meskipun kecil, kasih sayangku malam itu dapat kukongsikan dengannya. Malamku akan terus hangat memeluknya. Apatah lagi jika dia menyusu terus dariku. Biarlah penat tubuh ini, biarlah lenaku terganggu dek rengekannya yang lapar dahaga sepanjang malam, aku sanggup. Dari malamku terganggu begini. Mataku tak bisa tertutup, fikiranku terganggu, emosiku tertekan dengan kedinginan yang membeku dari insan yang aku cintai dan dengan hati yang pilu dan rindu akan dia. Dia yang telah bersemadi buat selamanya.
Air mata membasahi sarung bantal yang menjadi alas kepalaku. Lembap dan hangat. Aku perlukan Arif, aku mahukan dakapannya, aku inginkan belaiannya, aku ingin melupakan rinduku pada dia - dia penghuni didalam rahimku sekian lama. Lalu aku berpusing seratus lapan puluh darjah. Belakang tubuh Arif aku amati.
Dulu aku sering mencium bermula dari hujung rambut Arif di tengkoknya, kemudian sepanjang tulang belakang. Tapi sejak kebelakangan ini dengan kedinginan Arif, aku kaku.
"Abang.....", bisikku.
Jeda.
"Abang....", kuseru sekali lagi, kali ini dengan sentuhan di lengan sasanya.
"Ermmmm...."
"Saya....."
"Tak payah ganggu abang. Nanti abang tidur kat bilik sebelah baru tau".
Aku tak tahu samada itu satu amaran atau herdikan, satu lafaz kecewa atau satu lafaz mengingatkan bahawa aku perlu menjaga diri yang baru sembuh dioperasi?
Aku bukannya mahu digauli seperti dulu. Aku mahukan dia, agar melindungi aku dengan jasad dan emosinya. Aku beralih posisi dari baring, aku duduk di birai katil. Ini bukan malam pertama aku tak bisa lena. Seringnya hampir subuh baru aku dapat melelapkan mata. Dan kerana itu aku bangun kala matahari sudah meninggi diri.
Air yang bertakung di kelopak mata, aku kesat dengan tapak tangan. Sendu aku tahan dari terlepas. Aku tak mahu mendengar walau dengusan kurang senang dari Arif. Aku bangun berdiri, aku lemparkan pandangan pada Arif.
Selimut yang sudah berada di paha Arif aku tarik ke atas agar menyelimuti tiga suku badannya. Aku rapatkan bibirku di hujung pelipis mata Arif, kulayangkan kucupan ringan sebagai tanda kasih sebelum aku beredar ke bilik sebelah.
Pintu bilik kurapatkan, laci almari tersebut aku buka. Tiap malam aku keluar dan lipat semula baju bayi dan kain lampin yang sempat kami beli dulu. Tak banyak tapi ada. Baru peringkat pertama pembelian. Ianya cukup membuatkan rinduku membuak buak. Rindu pada yang tiada. Perkataan 'Mama' dah tak bererti lagi buatku. Aku tak layak mengguna panggilan itu. Aku sendiri tak mahu.
Aku lambakkan semuanya di katil bujang dalam bilik itu. Laci seterusnya aku buka lagi, bungkusan kain bengkung lilit jawa kiriman kakZah melalui PosLaju masih belum kubuka. Laci terakhir, aku terduduk bila melihat fail berplastik tatkala aku menarik keluar. Satu persatu helaian fail aku buka. Bersusun kertas cetakan imbasan imej selama beberapa bulan lalu, aku kumpul. Aku bercadang untuk membuat buku skrap, aku ingin bercerita padanya bila dia sudah besar. Imej bersebelahan bulatan, aku sentuh dan aku cium dengan penuh cinta. Aku rindu. Berganda rasa rindu sejak Arif dingin padaku. Apatah lagi dengan tergurisnya hati dek kata kata bonda pagi tadi.
Puas aku menangis dan meratap rindu, aku kemas semuanya kembali. Aku lap seluruh almari dan lantai serta perabut. Aku tak mahu ada debu di dalam bilik yang menyimpan barang bayiku.
Aku kembali ke bilik bila hampir subuh, Arif keluar dari bilik mandi.
"Ke mana?"
"Bilik sebelah". Arif menggeleng dengan jawapan aku.
"Dah berbulan Nura. Cukup la. Minggu depan dah mula kerja".
Aku diam. Luaranku nampak cergas dan ceria, tapi bukan emosi. Aku perlukan Arif tapi dia seolah tak faham. Aku perlukan Arif sepertimana aku keguguran pertama kali. Kenapa Arif tak buat perkara yang sama sekarang? Lilis hanya membantu kerja rumah, merawat aku bukan membaiki jiwaku yang parah ini. Aku bukan setakat kehilangan anak, aku kehilangan rahim. Arif tak faham ke yang aku kehilangan sesuatu yang berharga bagi seorang wanita?
"Awal shooting pagi ni?"
Aku memerhati Arif menyarung boxernya kemudian menanggalkan tuala. Itu menjentik naluri kewanitaanku. Arif mencangkung mencari baju yang tersusun dan terlipat di rak bawah dalam almari kemudian memandang aku sekilas. Apakah Arif tak teringin pada aku lagi yang berdiri di muka pintu dengan baju tidur dari kain sutera bertali kecil ini?
"Habis dah semalam. Pagi ni meeting. Tak tau habis pukul berapa. Tapi lepas tu abang balik ambil Lilis bawa balik rumah bonda. Dah ada majikan nak ambil Lilis. Ayah nak hantar ke Nilai Spring. Nak ikut balik rumah bonda sekali?", jawab Arif tanpa memandangku.
"Abang tidur sana?"
"Tak pasti. Tengok la pukul berapa. Penat ke tak".
Aku melabuhkan punggung di tepi katil. Walau itu jawapan Arif, aku tau dia akan tidur di sana. Sudah beberapa kali aku ditinggalkan bersama Lilis. Malam ini aku sendirian. Masakan aku nak ikut bersama, dah terang terang bonda tak sukakan aku.
"Berani ke tinggal sorang kalau abang tak balik?", soal Arif pabila aku tak menjawab soalannya.
"Dah biasa, bang".
"Betul ni?" Aku mengangguk, nekad. Pertanyaan itu bukan ikhlas pun.
Rumah yang memang sunyi bertambah sunyi bila Lilis tiada. Jika tidak, ada juga nyanyian dangdut dari Lilis. Walau sumbang sekurangnya aku tak sendirian.
Lauk tengah hari yang tak kujamah tadi, aku panaskan di dalam ketuhar gelombang. Setiap suapan terasa kesat di tekak. Dalam diam aku terkenangkan mak, pasti mak juga makan sendirian sekarang ni. Apa lauk mak? Mak masih marah padaku?
Laju jari ini menari di skrin telefon. Nama mak aku tekan. Aku membuat panggilan padanya. Hampa lagi. Air mataku menitis. Besar betul kesalahan aku pada mak, hingga kini mak masih tak memaafkan aku. Jika bisa diundur waktu, memang aku akan pilih mak. Aku tak pernah menyangka kemelut yang aku harus tempuhi serumit ini.
Nasi sesenduk pun tak habis kujamah. Bakinya ke tong sampah. Masuk mesej dari Arif menyatakan dia tak pulang dan akan menemani ayah dan bonda ke Nilai kerana along Paan punya urusan lain. Kaklong akan datang ke sini bersama along Paan.
Malam itu, aku berbaring di katil bujang mengadap tingkap, memeluk kain lampin yang belum sempat membalut tubuh sang pemilik. Cahaya rembulan penuh memasuki ruang bilik menembusi langsir jarang yang aku pasang di tingkap. Bunyi ngiauan kucing jelas kedengaran seolah memuja rembulan yang dirindui.
Wahai kucing, kau ibarat burung pungguk pula merindui bulan. Sama seperti aku merindui suamiku yang jauh dan anakku di alam baqa. Ngiauan kucing kedengaran sayu, sama sayu dengan hatiku yang menangis. Aku menutup mata perlahan lahan bagi menahan air mata dari terus mengalir.
Seketika kemudian aku membuka mata, ada kelibat hitam beredar dari tingkapku laju. Aku termangu, adakah itu hanya bayangan atau mimpi. Aku seperti terlelap juga tadi. Aku bangun ingin menarik langsir tebal menutupi tingkap, sempat aku pandang sekeliling. Sunyi sepi. Lampu taman di sudut belakang laman rumah kami berkelip kelip seperti akan mengakhiri hayatnya tak lama lagi. Aku nampak ada susuk hitam setiap kali ia berkelip. Pantas aku menarik langsir tersebut. Tubuhku mengeletar.
"Abang...", panggilku dalam nada ketar.
"Hmmm...".
"Ada orang kat laman dapur kita", bisikku ketakutan.
"Buka spotlight tak tadi?", soal Arif malas. Aku tau dia sedang tidur.
"Tak ingat", jawabku dengan rasa bersalah.
"Jap abang check cctv".
Aku terlupa tentang cctv kerana takut. Walaupun gelap di luar, aku dapat rasakan susuk hitam tadi memandang aku.
"Sayang ni, semua lupa. Semua tak ingat. Kan dah bahaya macam ni", bebel Arif. Aku dengar Arif membuka pintu bilik.
"Ni kunci pintu tak? Tingkap tutup semua?", tambahnya. Aku sekadar menjawab ya. Aku lupa, lupa sungguh samada aku buat atau tidak. Selalunya Lilis yang buat. Nak turun dan periksa di waktu ini, memang aku tak berani.
"Ada apa Yeh?". Kedengaran suara bonda.
"Nura call. Kata ada orang kat belakang rumah. Yeh nak check kat komputer kejap".
"Ala.... kawasan berpengawal takkan ada orang jahat masuk. Mengada Nura tu. Belajar belajar la tinggal sorang. Nanti kalau Yeh kawin baru, takkan nak duduk serumah?"
Hilang rasa takut timbul rasa sedih, rasa geram dalam diri. Kenapa bonda kejam sangat? Bonda juga seorang perempuan macam aku cuma bonda bertuah, masih ada rahim dan sempat melahirkan zuriat.
"Siapa pula nak kawin lain? Cukup la Nura tu".
Aku sekadar memasang telinga.
"Yeh tak mau zuriat sendiri? Takde dalam keluarga bonda tak punya zuriat. Apapun bonda nak cucu dari darah daging Yeh. Bukan cucu angkat, entah asal usul mana datangnya. Tak guna simpan Nura tu. Dengar cakap bonda ni. Terima saja wanita pilihan bonda. Sebab degil la, hidup Yeh jadi macam sekarang".
Arif diam tak membalas, aku hanya dengar bunyi ketikan di papan kekunci.
"Takde apa sayang. Dalam cctv, semua clear ni. Agaknya tadi tu, khayalan sayang je kot. Nanti abang call pengawal minta buat rondaan".
"Abang...."
"Apa dia?", balas Arif. Suara bonda masih menjadi latar perbualan kami. Nampaknya bonda banyak sekali bercakap dengan Arif.
"Bonda suruh abang kawin lain?", tanyaku untuk kepastian.
"Takde tu. Bonda cakap je", dalih Arif.
"Bonda memang tak sukakan saya dari dulu kan? Saya bukan pilihan bonda. Bonda memang dah ada pilihan untuk abang ye?"
"Nura Lisa, jangan nak membesarkan hal ni. Kan abang dah kata tak. Jangan pandai pandai cakap bonda tak suka sayang. Banding bonda dengan mak, siapa lebih beri perhatian pada sayang selama ni? Ada mak sayang bertanya khabar?"
Aku diam.
"Jangan sekali kali memburukkan bonda. Dia ibu abang. Syurga".
Share this novel
macam mnyampah lak ngn Arif
ah...sedeh
segala perubahan sikap bonda..arif serta sikap nura sendiri pun dpt dijelaskan dgn sempurna sbbnya dlm 2 chapter terakhir ni. walaupun mudah utk ditebak akibat dari hilang baby dan rahim.. tp cara semua kehilangan yg di paparkan dari 3 watak ni diceritakan dgn santai dan berbekas rasa dihati. TQ utk cerita yg tidak berbelit2