BELLA menarik bantal putih di sisi lalu digunakan untuk menutup seluruh wajahnya. Bunyi deringan telefon bimbit yang sedari tadi tidak habis-habis memekik dirasa benar-benar mengganggu tidurnya. Kerana malas untuk bangkitkan diri, maka bantal putih itulah yang menjadi pertahanan telinga. Namun masih sahaja gegendang telinganya dicemari dengan bunyi yang sangat menyebalkan itu, bahkan semakin lama, semakin menyakitkan hati.
Lalu, dengan perasaan yang terlalu geram, Bella akhirnya membuka paksa matanya juga sebelum beralih bangkit dari posisi pembaringan.
"Hisshh, siapa pula yang telefon awal-awal pagi ni?! Nak bangun lambat sikit pun tak dapat, ada-ada je!" Bella merungut sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Telefon bimbit yang bergetar-getar menari di atas meja dicapai dengan kasar, belum lagi jika hendak dinyatakan tentang muncungan bibirnya.
"Apa?!" tanpa salam, juga tanpa melihat gerangan yang memanggil, langsung sahaja Bella menghamburkan kemarahannya namun sudah tentu dengan rengekan manja kerana dia sudah dapat mengagak siapa yang tega mengganggu lenanya di pagi-pagi buta yang tidak berapa buta itu.
"Good morning, tuan puteri. Amboi, garangnya! Takutlah." alunan suara garau bernada ejekan kedengaran di hujung talian, malah diselangi pula dengan gelak tawa yang kejam.
"Hari ni i masih cuti la, Faizal. Sampai hati you kacau i! Tak berhati perut langsung!" rungut Bella sambil menumbuk permukaan tilam yang empuk. Kalaulah gerangan yang memanggil ada di depan mata, sudah pasti wajah itu juga akan menjadi mangsa tumbukan padunya.
"Disebabkan you off day la i nak minta tolong. I tahu you free je kan, and you sudah tentu masih belum mandi!"
"Hei Faizal, you stalk i erkk?" Luah Bella dengan mata yang spontan terbeliak. Rasa kantuk yang besar langsung hilang diganti pula dengan perasaan geram.
"Alaaa Bella, I betul-betul perlukan pertolongan you. Please... " Suara rayuan Tengku Faizal yang lunak kedengaran lantas membuatkan Bella mendengus dalam.
"Pertolongan apa lagi ni? Nak suruh i gosokkan bangunan syarikat you tu ke?" Bella memerli sebal. Walau dalam kemarahan, tetap sahaja telinganya ditadahkan setia untuk menunggu sambungan kata dari bibir Tengku Faizal.
"I nak minta tolong you hantarkan dokumen kepada CEO PutraWasa Holdings and minta sign dia. Dia tu, cousin i. Kalau diikutkan, i ada temu janji dengan dia hari ni, tapi i betul-betul tak dapat nak pergi. Staf-staf yang lain pun semua sibuk. Client kita yang cerewet tu tiba-tiba nak datang mengejut buat surprise sat gi dan harapan kami semua hanyalah you, Bella Hanesya."
"Ni mesti scandal you, Puan Sri Zalia tu kan?" wajah nakal Bella mula terhias dengan koyakan senyuman sinis.
"Mulut you tu jaga sikit errk, mentang-mentang orang tu janda."
"Laaa, kacau sikit dah sentap! You ni kan, memang pantang tengok i senang, mengarah tak habis-habis! Janji dengan dia pukul berapa??" Bella akhirnya mengalah juga sedang di dalam hati, sempat juga memarahi Tengku Faizal.
'Mentang-mentanglah dia tu bos, sesuka hati je nak mengganggu waktu cuti seorang pekerja yang teraniaya! Sadis sungguh!'
"Pukul 10 pagi tuan puteri."
Mendengar itu, Bella terus mengerling ke arah jam loceng Doraemonnya yang terduduk di atas meja sisi. Sekilas dipandang 'Oh, pukul 10.00... namun dua kali dipandang lagi dan lagi dan lagi sehinggalah akal waras Bella terjentik tiba-tiba. Matanya yang sudah tidak berapa malas lalu spontan dibuka meluas.
"Sepuluh?? Kenapa you tak call i pukul 11 je, Faizal? You ingat i robot ke, mampu bersiap 60 minit dari sekarang, dengan jalan jem lagi.." Bella mula membebel panjang, bibirnya juga diketap kuat dengan perasaan yang sangat geram.
"Daripada you terus membebel, lagi bagus you datang office sekarang. Nanti i suruh Nani tunggu kat parking untuk bagi dokumen tu dengan you."
"Faizal you ni kan... "
"Now, Bella Hanesya." arah Tengku Faizal sebelum dengan selamba mematikan talian.
Ternganga-nganga Bella sesudah itu. Geram, buntu, malas semuanya bercampur menjadi satu.
"Ishhh, dia ni kan, main letak macam tu je! Siap you esok, Faizal!" Bella merungut geram sambil membaringkan semula tubuhnya di atas katil. Sempat menguap malas sebelum sepasang mata nan kelayuan dikatup semula. Bukan berniat mahu tidur melainkan sekadar untuk menenangkan diri dan...
_
_
_
Hahhh!
Bella yang baru sahaja tersedar daripada lena yang dirasa pendek bingkas bangkit semula. Argggghhh, saat itu matanya tidak sudi untuk menoleh ke arah jam Doraemon kesayangan lagi. Beg tangan hitam berjenama Gucci, kunci kereta dan telefon bimbitnya dicapai rakus lalu dibawa berlari keluar tanpa memikirkan apa-apa lagi.
Tadinya, dia tidak sedar yang dirinya terlajak ketiduran selama 20 minit tadi dan saat ini waktu yang tersisa untuknya hanyalah berbaki 40 minit.
Pedal minyak ditekan agak kuat sehingga kereta yang dipandu, bergerak laju membelah jalan besar.
Selang beberapa minit kemudian, akhirnya dia berjaya juga tiba di kawasan meletak kereta tempat kerjanya dan dari kejauhan, susuk Nani yang bersama tampang kesengihan dilihat melangkah semakin dekat ke arahnya.
"Nani cepat, i dah lambat. Thanks, bye!" tanpa sempat Nani berkata apa-apa, Bella terus sahaja lolos membawa keretanya pergi meninggalkan kawasan itu.
Dalam perasaan lucu dan geram, Nani hanya menggelengkan kepala sebelum melangkah masuk semula ke dalam bangunan besar tempat kerjanya.
'Ladybos ingat ni litar Sepang ke apa??'
_
_
_
Dengan aksi pemanduan ala-ala Leona Chin, Bella selamat tiba di kawasan syarikat besar milik PutraWasa Holdings dan ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki di situ. Dia mengambil tempat parkir untuk keretanya bersantai agak jauh dari pintu masuk kerana bimbang tiada lagi ruang parkir depan yang tersisa untuknya.
Bella sempat meniliki keadaan penampilan dirinya yang hanya berseluar pendek dan memakai T-shirt berwarna merah jambu pudar. Rasa malu sudah tentu ada, namun tetapi apakan daya. Sesungguhnya, masa itu emas! Terlajak perahu bolehlah diundur beramai-ramai, tetapi jika terlajak masa? Arggh, sudah pasti telingaku yang binasa!
Rambut hitamnya yang agak berserabut, disisir kemas hanya menggunakan jari. Dengan menggunakan tisu pelembab pula, dia mengelap wajahnya agar tidak kelihatan begitu kering dan berhantu. Lip balm tanpa warna juga sempat dicalitkan sedikit pada bibir dan... siap.
'Cantik! Bersiap dengan cara yang instant, apa ada hal??'
Satu pujian manis untuk dirinya sendiri, hanya sekadar untuk menyedapkan hati sebenarnya.
Setelah itu, dia lantas mencapai dokumen yang diberikan oleh Nani tadi lalu dibawa keluar berjalan menuju ke arah bangunan besar yang sedikit jauh dari lokasinya ketika itu. Sedang elok mengatur langkah, telinga disapa pula dengan jeritan pendek daripada telefon bimbitnya menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Meneruskan langkahan, sambil-sambil itu juga jari halus Bella sibuk menatal skrin telefon.
'Dah sampai ke tu? Nani kata you kelam kabut tadi dan you belum mandi lagi!Tengku tu duda anak satu, you tahu! Kalau you belum mandi, habislah peluang you untuk mengurat dia nanti!'
Sakan Bella mengekeh tatkala membaca pesanan gila daripada seorang sahabat baik yang juga merupakan bos besarnya. Saking geram berbaur lucu, laju dia membalas.
'You memang gila Faizal! Suka je nak kacau i!'
Send!
Langkahannya diteruskan dengan sangat perlahan sedang mata pula tetap sahaja menatapi telefon. Jika ada yang melihat, sudah pasti akan menganggap Bella gila kerana saat itu dia sedang tertawa sendiri tanpa mempedulikan langsung keadaan di sekeliling.
_
_
_
Sementara itu, di belakang Bella:
Tengku Hariz mendengus geram apabila melihat seorang wanita berdiri tepat di tengah-tengah jalan tanpa menyedari akan kehadiran keretanya yang sedari tadi menunggu di belakang.
'Orang ni pekak agaknya. Tak dengar bunyi kereta ke? Dahlah aku ni dah lambat!'
Lelaki itu mula membebel sendiri. Kesabaran yang telah sedikit lama
ditahan kini kian menipis. Sebentar lagi dia ada janji temu bersama seorang staf dari syarikat sepupunya, Tengku Faizal.
'Buat hallah minah ni!'
Cermin kereta mula diturunkan, kepalanya juga dijengukkan ke luar tingkap sambil berdeham sekali untuk mempersiapkan intonasi suara. Minah yang menyemak itu harus segera disergah.
"Cik, cik! " laungan suara Tengku Hariz mula terlontar keluar. Namun tetap sahaja tiada respon.
'Sabar Hariz, sabar!'
"Cik, cik! Dengar tak?" Tengku Hariz semakin mengeraskan lantunan suaranya namun malang sekali, masih sahaja tiada tindak balas. Barangkali memang sah, minah tu pekak!
Tengku Hariz yang sememangnya sudah kehilangan rasa sabar langsung sahaja menekan hon kereta.
Beep beep beep!
Bukan sekali, tetapi berkali-kali sehingga membuatkan manusia di sekeliling ikutan menoleh.
Bella yang sedang begitu asyik menaip, laju sahaja memalingkan wajah ke belakang membuat kedua-dua insan itu saling berpandangan. Daripada sedetik kini menjadi berdetik-detik. Pandangan kali pertama itu bertaut agak lama. Masing-masing bagaikan terpaku. Jatuh cintakah mereka?
Bella terkedu. Makhluk Tuhan jenis apakah ini? Sesungguhnya dan sememangnya kacak!
'Oh mama, oh papa... Aku terjatuh hati padanya!'
"Isshhh, apa aku merepek ni!" Bella laju menyedarkan diri. Dahinya juga ditepuk berkali-kali.
"Maaf, abang. Saya tak sedar." Spontan sahaja kata- kata itu terluncur tanpa dia sedar. Sudahlah menggelar lelaki itu sebagai abang!
'Abang??'
Tengku Hariz sudah tertawa sinis kerana seumur hidupnya, ini pertama kali ada yang berani tidak memanggilnya dengan gelaran Tengku. Sudahlah di kawasan syarikat miliknya! "Kalau nak main telefon, bukan kat sini! You jual barang ke? Nasib badan you yang kerdil tu tak langgar kereta i yang mahal ni!" Tengku Hariz memerli sinis. Tangannya pula dibawa untuk mengetuk stereng kereta sambil bercurian meniliki penampilan Bella. Wanita itu aneh sekali menurutnya, mujur sahaja... cantik walaupun hanya berseluar pendek dan berbaju pink lusuh.
Bella pula paling pantang dengan manusia yang berjenis riak dan sombong. Dengan segala keberanian yang dia ada, kakinya terus dibawa berlari laju menghampiri lokasi Tengku Hariz. Serautan wajahnya ketika itu sangat tegang dan masam, hanya Tengku Hariz sahaja tetap dengan riaknya yang sinis dan tidak kisah.
"Ishh sombong! Awak ingat kereta awak ni cantik sangat ke? Jangan-jangan yang awak naik ni pun kereta curi! Awak ingat awak bos besar kat sini? Huhhh, mimpi di siang hari!" Bella bermadah kejam.
"Kalau betul kereta ni kereta curi pun, apa you peduli? Daripada you tu, entah-entah datang sini jalan kaki. Kalau pun i bukan bos besar kat sini, apa kaitannya dengan you?"
"Apa kaitannya dengan you?" Bella mengajuk kata-kata lelaki angkuh itu sambil membentuk riak meluat yang paling maksimum sedang kedua-dua tangannya pula disilangkan cantik pada dada.
Tengku Hariz tetap mencuba keras untuk menahan ketawa dan dalam masa yang sama, dia juga berusaha sungguhan memasang wajah yang paling serius walaupun sebenarnya dia benar-benar sedang geli hati dengan perwatakan Bella. Kelakuan gadis sewel itu sangat menarik perhatian. Cantik, tinggi, mulus tapi itulah, ada wayar yang putus di dalam otaknya barangkali.
"Awak tunggu ya pak cik. Nanti saya goda habis-habis bos besar kat sini dan saya akan pastikan pak cik yang akan dipecat dulu! Biar pak cik merempat, makan pasir, makan batu, makan hati, makan perasaan. lepas tu, kereta pak cik ni akan kena tarik. Lepas tu, pak cik nak balik tapi tak ada kereta. Pak cik jalan kaki. Kemudian saya ternampak pak cik, pak cik nak tumpang kereta saya tapi jangan harap saya nak benarkan! Masa tu lah saya akan gelakkan pak cik puas-puas!" Bella melampiaskan seluruh rasa geram dengan cerita karutnya sambil menatap tajam ke arah wajah Tengku Hariz.
Tengku Hariz pula terus membuntangkan matanya besar-besar. Kecut perut juga dengan kenyataan berani mati gadis itu.
Tadi diabangkan, sekarang dipakcikkan pula.
'Nampak tua sangat ke aku ni?'
"You ni kan, sewel! Kalau nak jual barang, bukan kat sini! Pergi, pergi!"
Tengku Hariz yang mengejar masa mula membuat isyarat pergi kepada Bella sebelum bersedia untuk memecut keretanya tetapi Bella pula, tidak menunggu lama terus berlari semula ke hadapan, lalu mendepangkan tangannya luas-luas tanda mahu menghalang jalan kereta lelaki itu dengan aksi dan tampang yang bersahaja.
"Ishh, you ni kan. I dah lambat tahu tak?!" tempik Tengku Hariz geram. Saat itu, dia sudah mahu bergerak untuk keluar dari keretanya. Panik dengan tindakan Tengku Hariz, Bella terus berlari menyelamatkan diri dengan membawa kaki menuju ke arah bangunan besar di hadapan meninggalkan Tengku Hariz sendirian menahan geram.
"Tau pun takut, sewel! Woi, yang dalam tu, black kan? I nampak!" Tengku Hariz separuh menjerit. Sakit hati dengan sikap nakal Bella,namun bibirnya tetap terhias dengan senyuman nakal apalagi tika terpandang sesuatu yang menggugat iman kelelakiannya.
'Cantik tapi sewel!' gumam Tengku Hariz sendiri.
"Tak guna! Kau tengok bra aku! Jantan tua miang! Dahlah berlagak, dia tu yang sewel, puaka, tak sedar diri tapi... nasib awak handsome! Handsome tapi... berpuaka!" Bella mengutuk sambil tetap mengayunkan kaki memasuki dalaman bangunan. Dokumen yang berada di tangan lantas dipeluk erat untuk menutupi bahagian dadanya, terkesan juga dengan kata-kata lelaki tadi sebenarnya.
"Cik, saya wakil Tengku Faizal dari syarikat FY Holdings. Nak pass dokumen ni dengan Tengku Hariz Is Akmal. Dia ada? Bella mula memperkenalkan diri dan maksud tujuannya ke situ.
"Tengku belum sampai tapi cik boleh naik ke tingkat 5 terus. Nanti PA Tengku akan tolong cik." balas wanita itu ramah dengan bibir yang tidak teralih dengan senyuman manis.
"Terima kasih." ucap Bella lalu melangkah laju ke arah pintu lift. Hanya ada dua lift di situ, yang satu sudah tentu dikhaskan untuk para VIP, CEO dan yang setaraf dengannya.
Tengku Hariz berjalan dengan penuh gaya menuju ke arah lift dan spontan matanya menangkap satu susuk yang benar-benar menarik perhatiannya. Niat untuk masuk ke dalam lift yang dikhaskan untuk dirinya dibatalkan lalu dengan tampang bersahaja dia kemudiannya menapak mendekati susuk tubuh wanita sewel tadi.
Saat menyedari kemunculan Tengku Hariz, cepat-cepat Bella memeluk erat dokumen yang sememangnya sedang dirangkul agar tetap menutupi bahagian dadanya. Mulutnya pula mencebik buruk tanda meluat.
"You ingat i tak nampak ke rupa mulut senget you tu?!" Tengku Hariz memerli tanpa mengalihkan pandangan dari pintu lift.
"Terasa sangat apasal? Suka hati sayalah nak buat mulut panjang ke, pendek ke, senget ke, comel ke... mulut saya kan, bukannya mulut awak." Bella berhujah geram sambil mencari tatapan mata Tengku Hariz.
'Berani sangat, tengoklah sini, pandang depan buat apa? Pintu lift tu ke yang cari pasal dengan awak?!'
Pintu lift terbuka tiba-tiba sebelum lama dua insan itu menunggu. Dengan pantas Bella melangkah masuk duluan, kakinya dijengketkan sedikit lalu dengan sengaja sahaja bahu musuh baharunya dilanggar.
Saat itu, Tengku Hariz hanya melepaskan nafas namun riak wajahnya masih sahaja tenang. "Tak malu, dahlah pendek." perli Tengku Hariz perlahan sambil ketawa sinis. Sengaja mahu menyakiti hati Bella.
Bella pula tetap meriak selamba kerana dia sama sekali tidak terkesan dengan perkataan pendek itu. Baginya, dia tidaklah terlampau pendek, cuma ketinggian lelaki itu sahaja yang sedikit melebihi ketinggiannya. Sedikit sahaja!
Sekilas, Tengku Hariz kembali melirik ke arah wajah nakal Bella, dan butang 5 ditekan. Bella pula yang menyedari lelaki itu sudah duluan menekan butang 5, dengan selamba kembali menekan butang 5 sambil bibir dikoyakkan dengan senyuman nakal. Tengku Hariz hanya menggelengkan kepala dengan sikap kebudak-budakan Bella. Terkumat-kumit mulut Bella menyatakan sesuatu tanpa Tengku Hariz fahami.
"Membebel, macam nenek-nenek nyanyuk. Kan i dah cakap, kalau nak jual barang bukan kat sini. Siapa yang benarkan you naik tadi?" Tengku Hariz menyoal dengan nada yang masih tenang dan bersahaja.
"Wahai pak cik yang bermulut berpuaka, saya datang sini nak jumpa C.E.O kat sini, nak pass dokumen ni, nampak? Daripada
bos saya, Tengku Faizal. Tak ada kena mengena langsung dengan awak ye pak cik. Awak tunggu, nanti saya akan goda bos awak, lepas tu saya akan pastikan awaklah orang yang pertama yang akan dipecat serta merta tanpa notis. Awak tunggu, tu janji saya! Jangan main-main, saya akan ingat muka awak ni!"
"You tak takut ke CEO yang awak maksudkan tu entah-entah orang tua nyanyuk, dah bercucu cicit."
"Saya yakin tak. Bos saya ada cakap. Duda anak satu. Awwww, lebih berpengalaman gitu! Tak macam awak! Kesian!" Bella semakin menampakkan keberanian dalam melawan hujah lelaki angkuh itu.
Tengku Hariz yang sudah terlalu lelah beradu kata dengan seorang perempuan yang tidak pernah mengaku salah atau kalah pada akhirnya langsung menggagu kata namun diam-diam tetap mencari cara untuk menyakitkan hati Bella.
Ting!
Sebaik sahaja pintu lift terbuka, kali ini Tengku Hariz yang duluan membawa diri, dan sempat juga menitipkan kata buat Bella.
"Perempuan senget kurang akal!"
"Saya dengar tu pak cik. Pak cik tua expired! Tak sedar diri! Berpuaka! Berpenunggu!" Bella separuh menjerit sehinggalah kelibat lelaki itu hilang dari pandangan matanya.
"Arggghh, benci! Balik-balik aku yang kena!" Bella merungut geram sambil berjalan mendekati seorang wanita yang sudah tersenyum ramah ke arahnya. Rasa sakit hati dan perasaan geramnya tadi, langsung hilang tiba-tiba. Di dalam hati, Bella sempat memuji keramahan para staf di situ. Dari pondok pengawal sehinggalah ke tingkat atas dia dilayan dengan baik sekali kecualilah makhluk yang satu tadi.
"Cik nak jumpa siapa?" lemah-lembut wanita itu menyoal.
"Saya Bella, wakil dari syarikat Tengku Faizal nak berjumpa dengan Tengku Hariz untuk pass dokumen ni." Bella juga berbicara lembut sambil mata sesekali meliar-liar ke setiap sudut.
"Sekejap." ujar wanita itu sebelum menekan butang interkom.
"Tengku, Cik Bella, staf Tengku Faizal dah sampai."
"Okay, benarkan dia masuk Ain." satu suara garau menyahut juga mengarah lembut. Bella spontan terangkat kening, kerana suara itu seperti pernah mendatangi telinganya namun untuk mengingat lebih, dia tidak mampu.
"Mari cik, saya tunjukkan bilik Tengku." pelawa Ain dengan ramah lalu berjalan mendahului Bella.
Pintu ruangan yang agak besar itu diketuk beberapa kali oleh Ain sehingga kedengaran satu suara memberi izin masuk.
"Silakan, cik." Ain membukakan pintu untuk Bella sebelum pergi meninggalkan ruangan itu.
"Selamat pagi, Tengku Hariz." Bella menyapa formal sambil memandang tepat ke arah susuk yang sedang membelakangnya ketika itu.
Lelaki itu memusingkan tubuh sambil bibirnya mengoyak senyuman yang penuh bermakna baik yang tersurat mahupun yang tersirat.
"Awak? Awak... Tengku puaka?!"
"Kenapa, terkejut? Dah nak pengsan dah ke? Nak i call ambulance?"
"Errr... Awak Tengku Hariz? ke awak menyamar??" Bella cuba menyedapkan hati, sempat pula menayang senyuman paksa.
"Perkenalkan, Tengku Hariz Is Akmal, CEO PutraWasa Holdings. Selamat datang." ujar Tengku Hariz sinis seraya menarik papan nama yang diletakkan di atas mejanya tepat ke hadapan Bella.
Ketika itu, Bella langsung hilang bicara. Wajahnya terasa membahang sebahang bahangnya, bahkan terasa merah pekat warna wajahnya saat itu. Dia laju menundukkan wajah sambil bercurian mengelap dahinya yang dibasahi dengan peluh secara tiba-tiba. Ah, sadis!
Share this novel
hahaha..dua2 tak mau mengalah