Ujian

Horror & Thriller Series 22056

Minggu ini, si Khalil tak guna itu mengikut aku ke mana sahaja aku pergi. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia mahu berkepit denganku dua puluh empat jam, bila aku bertanyakan kenapa, jawapannya ialah “Aku tak ada kawan kat sini, aku bosan.”

Jauh dalam lubuk hati aku, aku tahu yang dia sebenarnya bukan perlukan aku pun. Dia hanya mahu tahu tentang apa yang jadi pada Taha, siapa yang ambil dia, siapa dalang di sebalik semua ini, dan yang paling penting, dia mahu tahu adakah aku terlibat dengan semua ini.

Aku yakin yang Khalil sanggup bunuh aku kalau aku memang ada kaitan dengan kematian Taha.

Lelaki bodoh.

Ketika aku berjalan dengannya pagi ini, maaf, pembetulan. Ketika dia mengekori aku pagi ini, dia mendesak aku untuk membelikannya air jagung di kafe kerana dia malas bangun daripada kerusinya. Aku sudah kata yang aku tidak ada duit kecil dan dia juga tiada duit kecil.

“La, kalau takde duit kecil, pakai jelah duit besar. Apa masalah kau?” Dia membuang wajah jengkel ke arah aku sambal melayang layangkan not lima ringgit di depan wajahku, tidak mahu bergerak dari kerusinya.
“Kau takkan faham.”Aku menghela nafas bosan.

“Una, cuba kau cakap apa masalahnya.”Khalil menarik tangan aku yang sedang menongkat dagu di meja.

“Kalau tak ada duit kecil, aku terpaksa ambil duit baki dari makcik tu. Maksudnya aku akan terpegang tapak tangan dia dan aku terpaksa melihat benda yang aku tak mahu lihat lagi tu.” Aku merenung wajahnya, mengetap gigi geram kerana aku terpaksa menerangkan perkara sebegitu kepadanya yang mungkin saja tidak memahami.

“Oh.” Ujarnya pendek.

Kami berdua kekal senyap untuk lebih kurang seminit selepas itu.

“Suruh jela dia letak baki tu atas meja.”Sambungnya selepas jeda itu. Aku menghembus nafas geram.

“Okaylah, aku sebenarnya malas. Puas hati?”Aku akhirnya memberitahu perkara sebenar.

“Manusia macam kau ni pun ada rupanya.”Khalil memutar matanya ke atas lalu bangun untuk membeli air jagungnya. Aku tertawa sinis, aku menang.

Aku membuang pandang ke arah Khalil yang berdiri di depan kedai air itu. Tingkahnya yang membetul betulkan rambutnya dengan ekspresi seakan artisnya membuatkan aku tertawa kecil lagi. ‘Lawak juga lelaki tak guna ni.’

Saat itu, seseorang melanggar kepala aku dengan sesuatu dengan kuat dan aku mengaduh kesakitan. Terkejut pun ada juga sebenarnya.

Gadis itu berhenti dan menoleh, kotak yang diangkatnya tadi diletakkan di atas lantai. “Ya Allah, maaf saya tak sengaja.” Kedengaran rasa bersalah dalam suaranya saat dia mendekati aku.

“Eh takpe,takpe.”Aku memaniskan muka.

“Awak betul ke okay ni?” Wajahnya risau.

“Ya,ya.” Aku tersenyum kecil sambil mengangguk angguk. Tidak semena mena saat itu, tangannya menarik tangan aku dan digengggam erat. “Maaf sangat tau.” Ialah ayat terakhir aku dengar sebelum fikiran aku menunjukkan gadis itu di atas sebuah katil bujang.

Di depannya waktu itu buku buku memenuhi katilnya. Tangannya bergerak ke belakang kepalanya dan mengetatkan ikatan tali di dahi.

“Aku kena belajar betul betul! Aku taknak repeat semester!”Dia bermonolog kepada dirinya sendiri, namun suaranya kuat, rakannya dari luar bilik pun boleh mendengarnya.

“Amboi Husna, bersemangatnya!” Rakannya itu tertawa besar.

“Eh mesti, esok exam physics.” Husna mencebik risau. “Ala, jangan risaulah. Kalau malam ni kau belajar betul betul, esok kau boleh jawab punya!” Rakannya mengusap kepalanya seperti dia seekor kucing. “Tapi tulah, kalau tak study last minute kan lagi bagus.”Rakannya menyambung, menasihati seperti ibu ibu.

“Ala kau mcam tak tau aku, aku suka study last minute. Baru ingat.”

“Ha yelah, cik Husna oi.”

Husna tersengih sebelum mencapai pensel setelah rakannya keluar dari bilik.

“Okay, lets get it.” Dia mula mencatit nota daripada buku yang dipinjam daripada perpustakaan dan menyalin formula formula di buku kecil supaya lebih senang dibaca nanti.

Sesi menelaah itu berlanjutan sehingga pukul 12 malam sebelum mata Husna terkatup katup dengan sendirinya kerana mengantuk.

“Ya Allah, mengantuknya.”Dia menguap. Matanya yang sedia kecil sudah semakin kecil sekarang. Pandangnnya kabur.

Namun saat itu, sesuatu membuatkan matanya segar bugar kembali.

Baru sahaja dia depannya tadi, dia ternampak jari jemari yang pucat diletakkan di atas bukunya. Panjang dan runcing seperti ranting kayu.Ia sepertinya dating dari bawah katil. Namun bila dia kelipkan mata, ia hilang.

Darahnya terasa sejuk dalam pembuluh. Jantungnya serta merta laju. Liur ditelan.

‘Halusinasi je ni. Aku mengantuk sangat ni.’Husna berkata kata dalam hati, menenagkan diri sendiri biarpun sukar.

Dia menarik dan menghela nafas sebelum mula membaca semula. Berharap yang halusinasi itu tidak akan berulang kembali.

Selang beberapa minit kemudian, Husna mula menggigil.

Sebab apa?

Sebab dia terasa ada cecair jatuh dari atas syiling ke atas kepalanya. Bukannya kebocoran atap, di pasti itu kerana sekarang bukannya hujan.

Titisan titisan itu jatuh ke atas tengah kepalanya. Semakin lama semakin laju. Dia cuba juga mahu mengendahkannya tetapi tidak mampu.

Dalam fikirannya sekarang ialah ada seekor makhluk berlidah panjang yang melekat di syiling sedang menitiskan air liurnya ke atas kepalanya.

Bulu roma Husna meremang.

Dia tidak akan mendongak, dia tahu dia tidak cukup berani untuk melakukan itu. Namun, semakin lama semakin deras air itu.

“Ya Allah lindungi hambamu ini.” Husna menutup mata rapat rapat. Dia tahu dia takkan boleh belajar dengan tenang sehingga dia mendongak dan memastikan tiada apa dia atasnya.

Dia membaca bismilah.

Satu, dia mula mengira.

Dua.

Dua setengah.

Dua , tiga suku. Husna sengaja melengah lengahkan kiraannya. Humoristik.

Tiga.

Dia mendongak dan dia boleh bersumpah yang dia Nampak rambut panjang bergantungan tadi tetapi sekarang tiada apa pun dia atas kepalanya.

Tangannya mencapai atas kepalanya dan rasa basah tadi serta merta hilang. Tiada cecair apa pun. Mungkin benarlah yang kali ini juga hanya halusinasi.

Dia menarik nafas lagi dan teruskan menulis formula tadi.

F= -kx. Bermaksud daya bersamaan dengan-
Saat itu mindanya terfikir. Macam mana kalau…

Makhluk itu bukannya tidak wujud, ia cuma bersembunyi dari pandangannya? Dia membayangkan makhluk itu melekat di syiling namun merangkak ke tempat lain apabila dia mendongak.

Bulu romanya seakan mahu tercabut dan jantungnya seakan mahu gugur. Dia baru teringat yang rakan rakan serumahnya pergi ke rumah sebelah kerana mahu menonoton filem bersama, mentang mentanglah sudah habis peperiksaaan. Hanya Husna sahaja belum tamat peperiksaan. Esok kertas terakhir.

‘Esok kertas terakhir, aku tak boleh putus asa.’ Dia memberi semangat kepada diri sendiri.

Dia tahu syaitan hanya mahu menghalangnya daripada belajar.

Tangan bergegas menulis. Lama kelamaan dia mula merasa tenang semula. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Kepala Husna mulai pening jadi dia memutuskan untuk tidur sebentar dan bangun semula pada pukul empat untuk belajar dan solat tahajud.

Buku buku disusun elok di sebelah kepalanya dan kepala diletak di atas bantal. Perlahan lahan matanya tertutup.

Waktu itu kedengaran bunyi ketawa kecil.

Husna tersentak.

Dia yakin dia dengar suara itu, dia bukan berkhayal.

Namun kepenatan memenuhi ruang fikirannya, menyelimuti ketakutan akhirnya dia tertidur nyenyak.

Apabila dia bangun semula, jam sudah menunjukkan pukul enam pagi dan azan subuh berkumandang.

Husna mengeluh kerana dia tidak terbangun lebih awal namun bersyukur juga kerana sekurang kurangnya dia tidak perlu memberanikan diri dengan makhluk yang menganggunya semalam.

Usai solat subuh, dia bergerak ke dewan peperiksaan dengan bas yang disediakan universiti. Dalam perjalanan dia menhafal nota yang telah ditulis, bersyukur yang dia sudah bersedia biarpun tidak berjaga lebih lewat semalam.

Sesampai di dewan, dia mengambil tempat di sudut yang tiada orang sementara menunggu pengawas peperiksaan memanggil calon masuk.

Mulutnya terkumat kamit membaca formula dan definisi definisi yang penting. Mata dikatup.

Tiba tiba dia terasa nafas di tengkuknya. Badannya menjadi tidak boleh bergerak.

“Husna…”

Namanya dipanggil ibarat dari kejauhan. Dia teringat ibunya berkata, “Kalau dengar suara dari kejauhan, maksudnya makhluk halus tu dekat dengan kita.”

“Ya Allah..”Husna cuba bernafas dengan tenang semula. Sudah pagi, mustahil ada hantu pagi pagi.

Dia dengan berani menoleh dan dia menggigil saat melihat mahkluk itu, makhluk berambut panjang, sedang memeluk lutut,merenung ke arahnya. Matanya panjang sehingga ke posisi mulut dan mulutnya berbentuk ‘0’.

Husna menjerit namun tiada siapa pun kisah akannya.

“Calon calon diminta masuk ke dewan.”Pengawas peperiksaan mengumumkan dari pintu dewan itu.

Husna dengan mata terbeliak melihat semua orang mula memenuhi pintu masuk dewan dan dia kembali merenung makhluk tadi. Sudah ghaib.

Dia menggeleng geleng kepala dan bangun menuju ke pintu untuk masuk ke dewan.

Setibanya di tempat duduk yang ditetapkan, dia duduk dan mengeluarkan semua alatan peperiksaan yang diperlukan.

Kertas mula diedarkan dan beberapa minit kemudian semua calon sudah boleh mula menjawab namun Husna masih tidak boleh fokus. Ketakutan tadi masih memenuhi jiwanya, merayu rayu minta dilayankan.

Tangannya yang mengigil mula menulis jawapan yang dia tahu. Mulut terkumat kamit membaca ayat kursi supaya ketakutannya hilang.

Tepat pada waktu itu, ekor matanya terpandang sesuatu di atas meja calon sebelah mejanya. Seekor makhluk seakan seekor ular hitam dengan tiga kepala sedang menjerut kepalanya. Calon itu menekan nekan dahinya, sakit mungkin.

Tetapi dia tidak sedar akan kehadiran makhluk itu.
Hanya Husna yang boleh nampak.

Kemudian dia memutuskan untuk mengendahkan sahaja apa yang terjadi dan kembali memenuhkan ruang kosong di kertas peperiksaanya.

Makhluk itu memutuskan untuk mengacaunya lagi apabila tangan semalam mula merayap ke atas meja Husna, Husna menggeleng geleng kepala.

Mengingatkan diri yang ini semua ujian.

Sepuluh minit terakhir, dia merasa cecair menitik di atas kepalanya. Persis semalam. Namun kali ini dia mendongak cepat cepat dan ya, makhluk menyeramkan itu ada.

Berambut panjang, berkaki lapan seperti lelabah melekat di syiling, lidahnya yang panjang menjatuhkan liur ke atas Husna.

Dunia Husna jadi gelap apabila mahluk itu tidak lagi melekat pada syiling itu dan ia jatuh ke atas Husna.

Husna terbangun di atas katilnya, buku di atas muka.

Jam diperiksa dan baru pukul empat setengah pagi. Mustahil itu semua mimpi, ia terasa amat nyata. Husna ambil keputusan menelefon rakannya untuk pulang menemaninya.

Petang keeseokannya dia termenung apabila keluar dari dewan peperiksaan, calon di sebelahnya tadi mengetuk ngetuk kepala seperti dalam kesakitan persis seperti dalam mimpinya namun kali ini Husna tidak nampak makhluk ular itu. Dan dia boleh dengar bunyi sesuatu di syiling dewan itu tetapi tiada apa kelihatan.

Tahu apa yang lebih menakutkan?

Kertas yang dijawabnya itu sama, peris seperti dalam mimpinya.

Nampaknya dia tidak perlu mengulang semester lagi.

Aku tersentak dan terus menarik tanganku. “Its okay.”

Aku tersenyum pahit, tidak ikhlas.

“Okay, saya pergi dulu ya.” Husna mengangkat kotak yang penuh barangnya itu. Pasti sudah mahu pulang kerana sudah habis peperiksaan. Tidak perlu lagi dia bertemu makhluk makhluk itu.

Khalil menepuk bahu aku dan aku tersentak. “Hish kau ni terkejut aku.”Aku mengurut dada.

“Nah.”Khalil meletakkan sesuatu di atas meja makan itu.

Sarung tangan?

“Untuk apa ni?”

“Supaya kau tak terpegang tangan orang dah.”

Jawabnya, sedikit bangga kerana merasa dirinya bijak.

Aku tersenyum sinis, aku sudah pernah mencubanya dulu. Sarung tangan tidak dapat menahan dari perkara itu terjadi.

Namun… Baik juga si Khalil ni nak tolong aku. Mungkin juga dia bukannya lelaki tak guna.

“Lepas ni kau boleh ambil duit baki, boleh belikan aku air jagung.” Katanya sambil minum air berwarna kuning itu.

Lelaki tak guna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience