Zal tersengih dengan penuh makna. Dave berdiri dengan bersandar di pintu. Rokok daun itu dibakar hujungnya, Zal menarik dua kali sedutan sebelum dihulur rokok tersebut kepadaku.
Aku menolak tangan Zal. "Zal, rokok ni aku tak nak. Dave, kau takde ke John ke Surya ke", tanyaku pada Dave sedang meneguk air dari tin hijau. Aku tau mereka ni sering menghisap rokok seludup kerana harganya lebih murah. Lagipun mereka ni penghisap rokok tegar, sehari tak cukup sekotak rokok. Tak seperti aku, sekotak lebih seminggu. Ikut pada kesempatan yang aku dapat dan keinginan aku pada minggu tersebut.
"Takde. Try la tu. Sama je dengan Surya. Tapi ni lebih asli dan original", pujuk Dave. Aku perasan yang ada pandangan yang penuh muslihat antara Zal dan Dave.
Zal mendekati aku, rokok daun itu disua ke mulutku seolah memaksa aku menghisapnya. Tangan Zal aku tepis, mukanya aku keronyokan. Zal terhenyak di lantai.
"Aku dah cakap aku tak nak, kau tak reti bahasa ke?", jerkahku. Telefon, aku pisahkan dari wayar pengecas. Aku lihat hanya sebelas peratus. Biarlah! Aku nak keluar dari sini. Itu saja yang aku fikirkan saat itu.
"Wei... kurang ajar kau buat kat Zal macam tu", ujar Dave berang melihat Zal begitu.
"Korang yang kurang ajar. Aku kata tak nak, paksa paksa kenapa? Dah, tepi. Aku nak keluar", ujarku keras. Dave masih berdiri di pintu, wajahnya penuh kemarahan.
"Siapa nak bagi kau keluar? Kau dah masuk, mana boleh keluar? Kau yang serah diri datang sini"
"Dei paria... ". Sengaja aku gelarkan begitu, biar dia marah. Dan ya, berapi di matanya.
"Aku datang sebab kata nak tengok movie baru. Aku tak kata nak join korang".
"Tak semudah tu aku nak bagi kau keluar", ujar Dave mengugutku. Tin hijau dikemek kuat dan dilempar ke tong sampah kecil berhampiran tingkap.
Aku berdiri berhadapan dengan Dave. Ya, dia lelaki India yang tinggi dan besar. Aku? Pendek dan gebu jika dibandingkan dengan dia.
Dave cuba menolak aku agar jatuh pada Zal yang masih terduduk. Mungkin terasa sengal tulang bontotnya.
"Dave, kau buka je bagi dia keluar", ujar Zal bila aku berjaya mengelak gerakan Dave.
"Mana boleh, apa beza dia dengan perempuan yang dulu dulu? Takkan sebab Arif suka dia, dia boleh lepas", kata Dave masih cuba memegang aku dengan pelbagai cara namun gagal.
"Lepaskan je dia ni", gesa Zal yang menolak kakiku supaya keluar cepat.
"No way!", jerit Dave kuat bila aku mencapai tombol pintu. Pergelangan tangan kiriku berjaya direntap dan dipulas kuat. Sakit sial!
Aku berpusing, tangan kananku menampar telinga Dave kuat. Mata Dave terpejam, aku tahu penglihatannya akan berpinar seketika. Kesempatan itu aku ambil. Perutnya aku tumbuk dan terus menghentak kepalanya ke dinding. Aku tahu pasti akan ada kecederaan pada kepala Dave tapi tak parah. Mungkin akan ada sedikit luka. Pelipat lututnya aku sepak agar dia terjatuh melutut. Kemudian tengkuk Dave aku tetak menggunakan tangan. Yang pasti, dia takkan mati.Â
Dengan segera aku melangkah keluar. Berlari. Ingat badan gebu tak boleh berlari? Pintu pagar aku biarkan terbuka, Kak Iris terpinga melihat aku. Dia masih belum habis berbual. Lantak kau la, kau yang bayar bil.
Aku cekalkan hati untuk berjalan keluar sendirian ke jalan utama. Aku tahu tiada pengangkutan awam di waktu begini. Aku tawakkal saja. Dalam hati, aku membaca segala ayat ayat suci yang pernah aku hafal semasa sekolah dulu.
Lampu jalan di kawasan perumahan ini agak jauh antara satu sama lain. Dan kemalapan cahaya lampu jalan warna kuning menambahkan rasa kecut perutku tapi aku buat buat berani. Bunyi lolongan anjing bersahut sahutan. Cengkerik dan sahutan katak kedengaran jelas, sekali sekala burung jampuk menyampuk.
Aku bulatkan hati. Untuk berpatah semula ke rumah tadi memang tidaklah. Itu menempah maut. Apa akan terjadi di depan sana nanti, aku akan terima padahnya. Aku yang buat keputusan tadi untuk mengikut mereka.
Berasa agak lelah dan sedikit semput akibat kekurangan oksigen, aku memperlahankan langkah ketika melalui lorong lorong dan celah perumahan. Bukan tak mahu ikut jalan utama, aku bimbang Dave mencari aku dengan memandu van produksi. Zal memang membiarkan aku pergi.
Rumah rumah di situ sunyi, gelap. Pastinya semua sudah lena diulit mimpi. Ya, kerna sudah dinihari. Pelik. Selalunya di kebanyakan kawasan perumahan atau kampung, malam malam minggu begini ramai anak anak muda melepak di simpang simpang. Tapi di sini tiada. Apakah orang di sini anak anak mereka masih kecil atau ini kawasan perumahan baru?
Sebatang kayu yang aku jumpa di tepi jalan, ku bawa bersama. Bukan apa, untuk keselamatan. Bimbang juga ada anjing liar mengejar kerana bunyi sahutannya seolah olah berkumpulan.
Sambil berjalan aku terfikir tentang apa yang
Dave cakap tadi pada Zal. Arif suka aku? Mengarut! Cerita mengarut abad ini. Entah entah Dave dah mabuk. Mabuk beer dan mabuk ganja. Two in one... memang terbaik. Cakap pun merepek.
Hurmmm... jika benar Arif suka aku, pasti tadi dia halang aku dari mengikut Zal dan team produksi. Ini? Dia biar saja tanpa pesan. Siap lambai tangan lagi kat aku. Takkan la Arif yang orang kata hot tu... orang kata, bukan aku kata yer, suka kat aku? Lagipun kan dia pernah cakap hati dia telah dimiliki. Terlupa pula nak tanya, dia dah tahu ke belum buah hati yang dinantikan itu sudah berpunya atau tidak.
Sedang berjalan, tiba tiba aku baru tersedar kiri kanan jalan tiada lampu jalan yang menyala. Hanya satu saja yang bercahaya. Di simpang masuk tanah perkuburan India. Hati aku mula rasa kurang senang. Lalu aku bersiul perlahan mengikut rentak lagu Yuna, Terukir di Bintang. Sesekali aku mendongak ke langit, cuba melihat bintang. Hampeh. Sebutir pun takde. Orang tua tua selalu berkata, kalau tiada bintang di langit tandanya nak hujan.
Tangan yang memegang kayu, aku hayunkan ke kiri dan kanan. Adakalanya aku pusingkan tiga ratus enam puluh darjah untuk menenangkan perasaan yang kurang enak. Tanah perkuburan itu aku pandang sipi sipi saja. Tak nak la karang tetiba ternampak minachi pakai sari sambil bergelek atas kubur. Huishhh!!
Ching.. ching.. ching..
Aku menangkap bunyi sesuatu. Bunyi itu seolah olah mengikut setiap langkahku. Sekali aku melangkah, sekali dia berbunyi. Jika laju aku melangkah, laju la bunyinya. Jika perlahan langkahku, maka perlahanlah dia. Peluh dingin mulai terbit di dahi. Bulu romaku mulai merinding. Aku tahu bunyi apa itu. Saat kritikal begini, mulalah memori ingatan membuka halaman cerita cerita hantu yang ditonton, dibaca dan didengari.
Aku teringat mak pernah bercerita tentang hantu India berdasarkan pengalamannya ketika kami menyewa di rumah pertama sebaik kami keluar dari kampung. Abah tak dapat rumah kuarter, jadi kami terpaksa menyewa rumah kampung yang dikelilingi dengan pokok getah.
Ketika itu abah pulang lewat malam kerana terlibat dalam operasi. Malam itu hujan, jadi abah terus pulang selepas tamat bertugas. Abah tiba di rumah dengan perut kosong. Setelah abah makan, barulah dia mandi. Kami adik beradik sudah terbongkang lena di bilik masing masing. Mak ketika itu pula, sedang mengemas dapur dan mencuci peralatan yang digunakan ketika abah menjamu selera tadi.
Sedang leka mencuci pinggan, mak terdengar bunyi loceng di belakang rumah kami. Loceng seperti yang dipakai oleh penari tarian India ketika majlis keraian. Mak membuka tingkap nako bersebelahan sinki. Dia nampak ada cahaya pelita lama terliang liuk ditiup api dan bunyi loceng itu semakin jelas kedengaran seolah mendekati tingkap nako yang terbuka itu. Mak berfikir sejenak, takkan la ada yang sudah datang menoreh di kala hujan begini dan memakai loceng di kaki. Terus mak menutup tingkap dan meninggalkan pinggan yang belum bercuci begitu saja. Aku bertanya apa yang mak nampak. Mak sekadar menggeleng kepala.
Dan kini, aku. Aku mendengar bunyi gelang loceng kaki. Sangat jelas seolah hampir benar denganku. Aku pasti itu bunyi loceng kaki sebab aku selalu menempel jika Yati menonton cerita hindi atau tamil. Paling dia suka tonton berulang kali filem seram ChandraMukhi.
Ada juga aku dengar, untuk menguji samada hantu atau manusia, aku harus menonggeng melihat gerangannya di belakang. Sekarang siapakah di belakang? Aku tak tahu.
Aku cuba menghidu jikalau ada bau wangi setanggi atau busuk bangkai. Kembang kempis hidungku tapi tiada bau apa apa. Tapi bulu romaku semakin meremang. Dan bunyi burung jampuk semakin galak. Kenapa aku rasa macam lama pula aku berjalan di hadapan kawasan perkuburan ni?
Tubuhku semakin menggeletar kesejukan. Baju berhoodieku tak cukup untuk memanaskan badan aku yang penuh lemak. Lemak yang ada pun tak menolong. Huh!
Sekejap...
Jika manusia atau haiwan, pasti sudah terkena kayu yang aku hayunkan sedari tadi. Maknanya apa sekarang ni???
Perlukah aku berpaling ke belakang, mana tau jika benar ada cahaya pelita. Patutkah aku tiup sehingga padam? Bukan apa, aku tak sanggup nak tengok rupa yang memegang pelita tu. Entah mata terjojol keluar, entahkan hidung rompong. Takut oiiii.
Sesekali aku menggosok tengkok bagi meredakan rasa gementar sambil berfikir. Macam berani sangat aku nak berhadapan dengan berpaling ke belakang. Nak berpusing atau aku sekadar menonggeng je?
Menghadapi manusia jahat dengan hantu... dua perkara aku temui malam ni. Itulah ikutkan rasa, binasa malam aku. Kalaulah aku duduk je di rumah tadi, pasti malam ni aku dah belayar ke alam mimpi yang indah.
Aku menghentikan langkah. Kali ni aku nekad, aku rimas dengan bunyi ching, ching, ching tu. Bingit. Sakit telinga aku.
Ya Allah selamatkan aku, hambamu yang lemah ini, yang penuh dosa. Aku menyesal kerana terlalu mengikut kata hati. Ampuni aku.
Aku menutup mata dan menonggeng. Setelah agak stabil, lafazku "Bismillahirahmanirahim".
Aku membuka mata namun aku tutup kembali kerana tersilau terang. Berdetik di hati,' terang sangat cahaya pelita ni'.
Aku buka mata sekali lagi, ada wajah betul betul di hadapanku.
Makkk!!!!!!
Share this novel
arifff kann...kann....cuma nak ckp...dlm suasana gawat..sempat lg dia bebelkan bil telepon org ya...pastu chandramukhi...hana ingat..mata bercahaya..ting...lampu suluh dia tala kt mata hero...hahahhaa