Zarinaz sedar memang salah dia. Tapi apahal yang mamat ni kerek sangat pula ni? Zarinaz memaniskan muka sebaik mungkin walhal kalau ikut hati. Makan penampar mamat ni jadinya. “Maaf, saya tak sengaja. Saya tak sedar awak ada di belakang.”
“Kepala otak kau tak perasan. Aku tak kira kau bayar balik air aku yang dah tumpah ni,”
Zarinaz mula bercakap kasar, “Aku dah pun minta maaf yang kau ni, angin sangat kenapa? Nak kata datang bulan. Dah memang jelas kau ni lelaki. Tapi tak tahulah pula aku, kalau kau ni normal ke tidak!”
Pelajar itu terkebil-kebil matanya. “Boleh tahan laser juga mulut kau. Tapi lantaklah aku kira apa. Kau bayar juga kat aku. Sekarang!!”
Bangang gila mamat ni. Air seciput macam itu pun nak berkira. Memang dasar haji bakhil, tangkai jering, kedekut.
“Ambil dua ringgit ni, cukup tak? Kalau masih tak cukup aku tambah lagi.” sindir Zarinaz .
Pelajar lelaki itu kemudian tersenyum nakal. “Barulah betul begini. By the way, aku lelaki yang normal tau. Nama aku Imzi Shafik . Panggil sahaja aku Shafik .” Mata kirinya di kenyitkan dan senyumnya semakin meleret.
Ini yang aku malas ni, Zarinaz menggumam perlahan, beg terus di sangkutkannya ke bahu. Selera makannya terus mati.
“La... dah nak pergi? Tak nak makan dulu kasihan perut tu nanti.”
“Perut aku bukannya perut kau. Lagipun, aku dah tak ada mood nak makan. Tambah-tambah nampak muka kau, mamat skema!!” Zarinaz terus beredar.
Shafik terus balun ketawa. Memang tak makan godaan minah ni.
Teman Shafik yang baru sahaja duduk itu menggeleng kepala. Faham sangat dia dengan sikap Shafik yang gemar menyakat pelajar baru. “Kau ni tak habis-habis hendak menyakat. Dengan budak junior pun nak cari gaduh, dari jauh aku dengar suara kau memekik.”
Shafik ketawa lagi. Cermin mata yang hampir jatuh ditarik naik ke atas. “Tapi kan Hamzah , dia ni memang lasaklah. Habis tumpah air aku hanya sebab dia hentak beg dia tu. Jiwa pun kental. Aku tengking, langsung mata dia tak berkelip. Nampak macam tenang tapi sekali dia bercakap ternganga aku.”
Hamzah turut ketawa. “Aku tengok budak ni boleh tahan comel juga. Agak-agaknya kan kalau aku tackle dapat tak?” Hamzah angkat kening dua kali.
“Banyaklah kau punya agak, spesis macam dia tu, sipi pun belum tentu tau,” Mereka berdua terus tergelak besar.
Hamzah menduga Shafik , “Aku tengok dari cara kau sakat budak tadi tu bukan main lagi. Lain macam sahaja entah-entah kau pun ada hati nak pikat dia?”
“Tak inginlah aku dengan perempuan yang tak macam perempuan. Jalan pun sudah macam king-kong.”
“Banyaklah kau punya king- kong. Tersangkut nanti baru tahu.”
“Kalau betul tersangkut, bergegar bumi ni.” kata-kata Shafik mengundang tawa Hamzah . Shafik juga ikut ketawa.
PUNAT volume di radio dikuatkan. Mulutnya mula membebel, “Sakitnya hati aku. Sudahlah kena dengan Puan Nik, terjumpa pula dengan makhluk asing yang sawan. Memang hari yang teruk.” Dalam tengah membebel, tanpa sedar Zarinaz terus terlelap.
Teman sebilik Zarinaz yang baharu sahaja balik terus menggeleng kepala.“Apalah nak jadi dengan perempuan ni.” Dia lalu memperlahankan volume radio. Badan Zarinaz di goyangnya perlahan. “Zarinaz , bangunlah. Sudah Asar ni. Kau dah solat ke belum?” Zarinaz masih lagi di bawah sedar. Mata di bukanya separuh. “Tira aku periodlah.” Tira angguk. Patutlah….angin semacam.
Share this novel