Sekumpulan pelajar universiti menyewa sebuah banglo berhampiran kampus tempat mereka belajar di Seksyen 2, Shah Alam. Rumah banglo dua tingkat itu mempunyai empat bilik, satu di tingkat bawah manakala tiga lagi di tingkat atas. Jarak banglo mereka dengan kampus kira-kira dua kilometer sahaja.
Jadi sangat mudahlah untuk mereka bergerak dan berulang-alik ke kampus.
Namun yang tak sedapnya apabila, lapan pelajar yang mahu menyewa ini rasa macam bermimpi dan seperti ada sesuatu yang tidak ena dengan banglo yang mereka mahu sewa ini. Lapan orang pelajar itu memasuki rumah itu dengan perasaan berbelah-bahagi.
Pertama, tuan rumah hanya mengambil RM50 wang deposit dan bayaran sewa hanya RM50 sebulan.Kedua, tuan rumah melarang penyewa membawa banyak barang kerana takut menyusahkan mereka apabila hendak dibawa keluar semula nanti. Ketiga, terdapat sebatang pokok kayu ara yang sangat besar di tepi rumah itu yang dahannya boleh memasuki tingkap bilik atas.
Tapi bila memikirkan semula apa yang bakal mereka dapat dari segi keuntungan, mereka masuk juga menyewa banglo itu.
Murah kan? Siapalah yang tak mahu.
Insiden pertama berlaku pada pukul 10.30 pagi sehari selepas mereka mendiami rumah tersebut. Salah seorang penghuni, Azmi, yang hendak membuang air besar mendapati tandas di tingkat bawah terkunci dan ada bunyi orang menarik flush.
Lantaran tidak tahan menunggu lama, Azmi menjerit menyuruh orang di dalam tandas itu supaya cepat menyelesaikan urusannya kerana dia mahu menggunakannya pula. Jeritan Azmi menyebabkan semua penghuni berkumpul di tingkat bawah.
Yang peliknya, kelapan-lapan mereka ada di situ. Jadi siapa yang ada di dalam tandas? Selepas pintu tandas itu direntap, mereka terkejut kerana tiada siapa di dalamnya.
Share this novel