TUJUH TAHUN KEMUDIAN…
KEDENGARAN pintu bilik diketuk bertalu-talu dari luar. Arissa Edrea yang leka menyemak laporan mengangkat wajah lalu mengalih pandangan ke arah pintu. Sebuah keluhan kecil meniti di bibir mungilnya.
“Masuk!” Ujar Arissa Edrea.
Ketukan pada pintu biliknya terhenti. Tidak lama kemudian terpacul wajah sahabat baiknya, Katrina. Dengan air mata yang masih bersisa di wajah, Katrina berlari mendapatkan Arissa Edrea. Melihat keadaan sahabatnya itu, Arissa Edrea pantas bangkit dari duduknya lalu menapak mendapatkan Katrina.
“Ed…”
Tubuh Arissa Edrea didakap erat. Tanpa sempat Arissa Edrea berbicara, Katrina sudah menghembur tangisan semahu-mahunya di bahu Arissa Edrea. Arissa Edrea hanya membiarkan sahabatnya melepaskan kesedihannya. Menunggu sehingga Katrina sedikit tenang.
“Kenapa dia buat aku macam ni, Ed? Apa salah aku? Apa kurangnya aku?” Soal Katrina berselang-seli dengan tangisan yang masih mendayu-dayu.
Arissa Edrea cuba menenangkan sahabatnya itu. Belakang tubuh Katrina diusap lembut.
“Kat, cuba kau bertenang. Apa yang dah berlaku ni? Aku tak faham hujung pangkal tiba-tiba kau tanya aku soalan macam tu. Memang aku tak boleh nak jawab.”
Pelukan dileraikan. Katrina menyeka air matanya yang masih bersisa. Nafasnya digali dalam sebelum dia mencari kekuatan untuk memulakan bicaranya semula. Wajah Arissa Edrea ditatap redup. Kedua-dua tangan Arissa Edrea dicapai lalu digenggam kemas seakan mencari kekuatan daripada sahabatnya itu.
“Aku tahu apa yang kau nasihat dekat aku dulu sikit pun aku tak pernah nak dengar. Aku terlalu taksub dengan rasa cinta. Mata aku buta dengan kekacakan Bad. Walhal, awal-awal kau dah warning aku pasal dia. Tapi aku langsung tak nak dengar. Ed, aku minta maaf sangat pada kau. Kalau buaya tu akan selamanya jadi buaya. Sekarang aku sedar. Semua yang kau cakap pasal Bad tu semuanya betul. Aku yang buta. Aku yang tuli. Sekarang dah terkena batang hidung sendiri, buatkan aku sedar dari mimpi indah.” Lirih Katrina meluahkan perasaannya.
Arissa Edrea menarik tubuh Katrina ke arah sofa. Punggung dilabuhkan di situ.
“Cuba kau cerita pada aku apa yang terjadi pada kau orang berdua. Aku tak boleh nak hadam kalau kau tak berterus-terang dengan aku.”
“Bad, dia… dia ada perempuan lain dekat belakang aku.”
Bulat mata Arissa Edrea saat mendengar kata-kata sahabat baiknya itu.
“Kau silap orang kot. Mungkin pelanduk dua serupa?”
“Aku tak buta lagilah, Ed. Takkan aku tak kenal suami aku sendiri!”
Arissa Edrea jeda seketika. Wajah sahabatnya itu ditatap dengan riak simpati.
“Kau nak aku jumpa Bad ke? Nak aku berdepan dengan dia? Atau kau nak aku belasah dia?” Soal Arissa Edrea dengan raut wajah yang serius.
Pantas Katrina menggeleng laju. Bukan itu yang dia mahukan. Tujuan dia datang berjumpa Arissa Edrea hanya sekadar ingin berkongsi cerita. Melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia kenal sahabatnya yang seorang ini. Pantang kalau mendengar tentang sesuatu yang berkaitan dengan ‘lelaki’. Lebih-lebih lagi jika manusia yang bernama ‘lelaki’ menindas mana-mana perempuan. Itu akan membuatkan amarahnya pada kaum itu semakin meluap-luap. Katrina tidak pernah lupa suatu ketika dulu Arissa Edrea pernah membelasah seorang lelaki kerana cuba mengganggu dia ketika pulang dari kelas. Sejak itu, ramai kaum lelaki yang tidak berani rapat mahupun mendekati mereka. Takut mendapat nasib yang sama seperti lelaki tersebut.
“Eh, tak payahlah. Aku cuma nak luahkan perasaan aku pada kau je. Kau sahaja kawan baik yang aku ada. Nak jumpa Jannah, dia sibuk uruskan hal Airil. Sebab tu aku datang jumpa kau.”
Arissa Edrea mengeluh halus. Pelipisnya diurut lembut.
“Habis tu, apa rancangan kau lepas ni? Nak minta cerai? Kalau kau nak, aku ada kawan yang boleh uruskan hal cerai-berai ni. Itu pun kalau kau naklah.”
Serta-merta air muka Katrina berubah. Cerai? Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk melakukan hal itu.
“Ed, aku hargai dengan pertolongan kau tu. Tapi buat masa ini bukan itu pilihan aku. Biarlah aku berdepan dengan Bad dulu. Aku cuba bincang dengan dia. Mungkin ada jalan penyelesaian yang lebih baik daripada ‘cerai’.” Balas Katrina dengan rasa serba salah. Takut juga jika Arissa Edrea marah dengan kata-katanya itu.
“Habis tu kalau dia kata dia betul ada hubungan dengan perempuan lain, kau sanggup berkongsi Bad dengan perempuan tu? Kau nak bermadu? Hidup berpoligami?” Duga Arissa Edrea. Geram pula dia mendengar balasan sahabatnya itu. Jari-jemarinya digenggam erat menahan sabar.
“Kalau itu jalan yang terbaik, why not?”
“What? Are you out of your mind? No, aku tak setuju! Ini semua kerja gila. Kalau kau buat keputusan tu maknanya kau bukan kawan aku lagi!” Lengking nada Arissa Edrea membantah. Dari duduk kini dia terus sahaja berdiri. Semakin membuak amarahnya.
Terhenjut bahu Katrina kerana terkejut. Melihat amarah sahabatnya itu, air liur ditelan kesat. Dengan tangan yang terketar-ketar dia mencapai tangan Arissa Edrea. Menarik sahabatnya untuk kembali duduk.
“Ed, aku tahu kau marah. Tapi aku sayang sangat dengan Bad tu. Dia cinta pertama aku. Sebab dia, aku jadi semakin matang. Kau jangan lupa, sebab dia juga maruah aku dapat diselamatkan. Kalau dia tak ada masa kejadian tu, aku rasa aku bukan lagi Katrina yang macam kau nampak sekarang. Selama kami berkahwin, dia tak pernah abaikan aku. Takkanlah sebab satu kesilapan tu aku nak berpisah dengan dia?”
Satu keluhan berat meniti di bibir Arissa Edrea. Cuba menenangkan hatinya.
“Aku minta maaf. Aku terlampau ikutkan perasaan aku. Aku tahu aku tak sepatutnya masuk campur hal rumah tangga kau orang berdua. Aku cuma tak nak kawan baik aku ditindas dan disakiti. Aku tak nak kau alami apa yang ibu aku pernah alami. Aku sayangkan kawan-kawan aku. Aku tak nak kawan aku dianiaya dengan kaum tak guna tu. Kat, kau fahamkan maksud aku.”
Katrina tersenyum hambar. Kekura tangan Arissa Edrea diusap lembut.
“Aku faham. Aku tak salahkan kau pun. Aku tahu kau nak yang terbaik untuk aku. Aku hargai sangat. Tapi cukuplah kau dah pinjamkan telinga kau untuk aku. Jadi pendengar setia masalah aku. Aku cuma nak kau faham situasi aku. Perasaan aku. Itu pun dah cukup bermakna buat aku.” Air matanya kembali mengalir.
Tubuh Katrina terus sahaja ditarik dalam pelukan. Tanpa sedar Arissa Edrea turut menangis. Katrina menghemburkan tangisan semahunya di bahu Arissa Edrea. Moga selepas ini dia akan kuat menghadapi suaminya.
Setelah puas melepaskan kesedihan, pelukan dileraikan. Hati sedikit tenang. Air mata yang bersisa diseka.
“Ed, terima kasih sudi dengar luahan aku. Sorry kalau aku dah ambil masa kau lama. Aku balik dulu.”
“Tak ada apalah. Bila-bila sahaja kau boleh jumpa aku. Ingat, aku sentiasa ada untuk kau dan juga Jannah. Kau orang berdua je kawan baik yang aku ada. Tanpa kau orang, aku rasa mungkin aku tak capai apa yang aku ada sekarang. Kau balik, tenangkan diri. Kau bincanglah baik-baik dengan Bad. Apa pun keputusan yang kau nak buat, fikir sebaiknya. Aku tak nak kau menyesal kemudian hari.”
Katrina senyum segaris. Tubuh Arissa Edrea didakap seketika.
“Aku balik dulu.Thanks again.”
“No worries. Kata kawan. Kalau ada apa-apa jangan pendam sendiri. Tolong bagitahu aku atau Jannah. Kami sentiasa ada untuk kau. Ingat tu.” Arissa Edrea kembali mengingatkan sahabatnya itu.
“I will. Bye. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Take care.”
Katrina terus berlalu keluar dari ruangan bilik kerja Arissa Edrea. Arissa Edrea sekadar mengekori langkah sahabatnya itu dengan ekor matanya. Dalam hati dia tidak putus berdoa agar sahabatnya itu tidak salah dalam membuat keputusan.
USAI memberi salam, kaki melangkah longlai masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu. Tanpa berlengah tubuhnya direbahkan di atas sofa. Lega saat belakang tubuhnya sudah mencecah permukaan sofa yang lembut itu. Kedua-dua matanya dipejam seketika. Menghilangkan rasa kantuk yang ditahan sejak tadi.
“Eh, dah balik rupanya anak ibu ni. Penat je ibu tengok. Banyak sangat ke kerja dekat pejabat tu?” Sapa Nadia saat melihat Arissa Edrea sedang berbaring lelah di sofa.
Kelopak mata dibuka. Tersentak dengan sapaan ibunya. Bangkit dari perbaringan, Arissa Edrea menegakkan tubuh bersandar di dada sofa. Pelupuk matanya ditenyeh kecil.
“Banyaklah juga. Tapi biasalah ibu, nama pun kerja. Mana ada yang tak penat. Nenek mana? Tak nampak pun kelibat dia.” Matanya melilau mencari susuk tubuh Puan Habsah.
“Nenek biasalah kalau waktu macam ni dia nak ke mana lagi kalau bukan ke surau. Kejap lagi dia baliklah tu.”
“Lewat dia balik? Selalunya sebelum Ed balik dia dah sampai dulu dekat rumah. Kelas mengaji dia belum habis lagilah tu agaknya.”
“Agaknyalah tu. Ibu dengar sekarang ni ramai yang masuk kelas mengaji nenek. Tak apalah. Sekurang-kurangnya nenek tak adalah bosan. Asyik terperap je dekat rumah ni.”
Arissa Edrea merenung wajah ibunya. Seakan dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata ibunya itu. Tidak selesa dengan tatapan mata anaknya, Nadia mula menyoal.
“Er… kenapa Ed pandang ibu macam tu? Ibu ada salah cakap ke?”
Arissa Edrea menggeleng.
“Ibu bosan ya duduk dekat rumah? Kalau ibu bosan, apa kata ibu cari aktiviti untuk hilangkan rasa bosan ibu tu.”
“Ibu tak ada apa-apalah. Ibu okay je. Lagi pun ibu tak tahu nak buat aktiviti apa dekat luar tu. Baik ibu duduk dekat rumah. Boleh kemas rumah, buat apa yang patut dalam rumah ni.”
Arissa Edrea mengeluh halus. Dia bangkit dari duduknya sebelum melabuhkan punggung di sisi Nadia. Tangan Nadia dicapai lalu digenggam kemas.
“Ibu…Ed tahu ibu bosan. Lagipun dalam rumah ni kita bertiga je yang ada. Apa sahajalah yang nak dikemaskan. Ed tengok barang dalam rumah ni semuanya dah kemas dan teratur. Ibu, banyak je aktiviti yang boleh ibu buat dekat luar tu. Sekarang ni banyak je kelas-kelas untuk suri rumah. Mungkin ibu boleh masuk persatuan wanita yang ada dekat taman ni? Kalau tak pun ibu boleh ikut nenek pergi kelas mengaji. Atau pun ibu buka kelas sendiri.” Arissa Edrea memberi cadangan.
Arissa Edrea tidak mahu Nadia terus mengasingkan diri seperti sekarang. Sejak enam tahun lalu selepas ibunya bercerai dengan ayahnya, ibunya lebih selesa berada di rumah berbanding bergaul dengan orang sekeliling. Itu pun setelah tiga tahun hidup bermadu, Nadia meminta cerai kerana sudah tidak tahan dengan sikap Hazran yang sentiasa mengabaikan tanggungjawab dan tidak adil dalam hubungan. Hazran sentiasa melebihkan isteri mudanya berbanding Nadia. Kerana itu jugalah Puan Habsah membawa Nadia dan Arissa Edrea berpindah ke rumahnya. Tidak sanggup melihat keadaan Nadia sebegitu. Seakan sudah putus harapan untuk meneruskan hidup. Sejak itu, Puan Habsah yang menanggung kehidupan Nadia dan Arissa Edrea. Tetapi setelah Arissa Edrea mempunyai kerjaya sendiri, Arissa Edrea pula mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga ibu dan neneknya. Kini sudah hampir satu tahun mereka mendiami banglo dua tingkat yang dibeli oleh Arissa Edrea. Di mana kediamannya lebih selesa berbanding rumah lama neneknya dahulu.
“Tak apa, ibu selesa macam ni. Ibu tak bosan pun.Banyak kerja yang ibu boleh buat dalam rumah kita ni. Ed jangan risau. Dah nak Maghrib ni. Apa kata Ed pergi naik bilik, mandi. Nanti kita boleh solat sama-sama. Ibu nak ke dapur masak makan malam.”
Baru sahaja Nadia ingin memusing tubuh, Arissa Edrea pantas menghalang. Tangan ibunya dilelar.
“Ibu tak payah masaklah.”
Nadia berkerut kening.
“Kalau ibu tak masak, kita nak makan apa malam ni? Ed nak masak ke?”
Pantas Arissa Edrea menggeleng laju.
“Kita makan dekat luar. Hari ni Ed dah gaji. Tekak Ed ni teringin nak makan seafood. Teringin nak makan ketam black pepper, ikan tiga rasa dan tom yam seafood. Sedapnya!” Arissa Edrea kecur air liur. Terbayang menu-menu itu di hadapan mata.
“Tak payahlah membazir. Ibu masak jelah malam ni.” Nadia menolak.
“Ala...ibu. Bolehlah…bukan selalu pun kita makan dekat luar. Please...” Rayu Arissa Edrea. Matanya dikerdipkan beberapa kali. Mengharap persetujuan daripada ibunya.
“Okay. Ibu ikut je kehendak anak ibu ni. Tapi kita pergi lepas solat Maghriblah. Tunggu nenek sekali. Mesti nenek happy hari ni cucu kesayangan dia nak belanja makan.
“Yay!! Kalau macam tu Ed naik atas bersihkan diri. Ibu pun jangan lupa bersiap juga. Takkan nak pergi dengan baju kaftan ni?”
“Apa salahnya…. janji pakai baju. Dahlah. Pergi mandi cepat! Dah masam dah bau Ed ni.” Gurau Nadia.
Arissa Edrea tarik muncung. Lalu, menapak mendaki anak tangga naik ke bilik tidurnya. Nadia yang melihat wajah cemberut anaknya itu sekadar menggeleng kepala. Bibirnya melengkung senyum.
“Dah besar panjang pun perangai macam budak-budak lagi.” Gumam Nadia sendiri sebelum mengatur langkah ke arah dapur. Menyimpan semula barang basah ke dalam peti sejuk.
Share this novel