Bab 62 : Elak

Romance Series 403831

Dari luar pagar rumah, dapat dia lihat kereta yang baru sahaja dibeli oleh Idris berada di garaj bersebelahan kereta ayahnya. Memandangkan tiada sesiapa berada di halaman rumah ketika itu, pantas Anne memusingkan stereng kereta Myvi nya menghala keluar ke jalan besar semula. Destinasinya cuma satu, Pantai Chempaka.

Sebelum melanjutkan perjalanannya lagi, Anne berhenti di stesen minyak terdekat untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Keadaan cuaca yang redup membantu mengekalkan moodnya berada dalam keadaan tenang. Sempat dia membeli sebotol besar air mineral sejuk dan beberapa jenis snek ringan untuk dinikmati di tepi pantai nanti.

Tiba sahaja di pantai, kereta di parkirkan sedikit jauh dari kereta-kereta lain. Pada waktu kerja pejabat masih belum tamat beroperasi ini, tidak banyak kereta yang ada. Tingkap dibuka dengan bukaan yang kecil sahaja. Sekadar cukup untuk angin masuk supaya dia tidak kepanasan setelah aircond berhenti berfungsi apabila enjin kereta dimatikan.

Air mineral sejuk diteguk perlahan untuk membasahkan tekaknya. Nyaman. Kemudian, Anne mencapai telefon bimbitnya. Mesej dihantar kepada adiknya Anif yang sedang berada dirumah kerana telah dijangkiti demam cacar air.

Kak Chik: Jangan cakap dekat mak akak mesej. Bila tetamu tu dah balik beritahu akak. Akak tak nak balik rumah lagi.

Belum sempat 30 saat berlalu, Anif membalas mesejnya.

Anif Arshad: Tapi abang tengah tunggu akak balik ni.

Satu emoji jari telunjuk di dagu diletakkan bersama di dalam balasan mesej itu.

Kak Chik: Jangan derhaka pada akak yang beri kau duit belanja Anif!

Anif Arshad: Okey okey. Anif zip mulut dekat abang.

Anne tersengih membaca mesej itu yang disertakan bersama emoji mulut di zip rapat. Bukan susah untuk membuatkan Anif memberikan kerjasama. Cukup gertak pasal duit belanja, tentu dia patuh dan taat sahaja. Aplikasi Instagram dibuka. Dia mencari gambar dengan satu kata-kata yang cukup kena dengan situasinya sekarang.

Baru sahaja beberapa minit Instagram di skrol, peluput matanya terasa berat. Ditambah pula dengan angin nyaman sepoi-sepoi bahasa yang menghembus, tidak memerlukan masa yang lama untuk Anne terlelap di dalam kereta itu.

*****

"Lambat pulak Anis balik hari ni?" Komen Arshad separa berbisik pada Fauziah di meja makan usai makan tengahari bersama berdua.

Anif sudah hilang sebaik sahaja kenyang perutnya. Manakala Idris masih menunggu isterinya itu tiba di rumah dari sekolah di ruang tamu.

"Entah lah. Ke, Anis memang sengaja balik lambat sebab dia tahu Idris nak datang? Ke dia dah nampak kereta Idris tu tadi? Risau betul saya dengan Anis. Tak bercakap, tak makan." Ujar Fauziah yang juga terikut berbicara dengan suaminya separa berbisik.

"Boleh jadi jugak tu. Tapi dah lewat macam ni, dia pergi ke mana? Solat kat mana-mana jelah tu." Bebel Arshad.

"Alahhh, tahulah dia solat tu. Kita dah didik dia dengan ilmu agama." Balas Fauziah.

"Memang lah. Tapi saya ni ayah dia. Tetap risau. Takut anak-anak tak amalkan apa yang saya didik. Apa saya nak jawab bila Allah tanya dekat akhirat nanti? Ini tanggungjawab saya." Balas Arshad kembali.

Idris yang langkah kakinya diatur untuk ke dapur itu terhenti sebaik terdengar perbualan mentuanya yang seakan berbisik itu. Sempat dia memasang telinga tatkala namanya dan isteri bersilih ganti disebut oleh Arshad dan Fauziah. Niatnya untuk ke dapur dibatalkan. Sebaliknya, dia ke ruang tamu semula dan terus sahaja dia mengeluarkan telefonnya untuk mendapatkan lokasi keberadaan isterinya.

*****

Ketukan perlahan pada tingkap itu cukup untuk mengejutkan Anne dari tidurnya. Sempat dia meraup wajahnya dan membetulkan tudung sebelum dia melihat ke arah tingkap untuk mencari tahu empunya badan yang dengan beraninya mengetuk tingkap keretanya. Sempat juga tepi mulut di lap perlahan, kalau-kalau ada air liur meleleh sewaktu seronok dia belayar ke alam mimpi tadi.

Oh alamak, Idris!

Mata Anne terkebil-kebil memandang wajah Idris walaupun berkali-kali Idris memberi isyarat supaya dia menurunkan tingkap keretanya. Anne hanya menggeleng. Masih belum bersedia untuk berhadapan dengan Idris. Nasib baik dia tidak lupa mengunci keretanya tadi. Jika tidak dikunci, entah-entah Idris sudah menyeret dirinya di atas pasir itu terus dicampak ke pantai agaknya. Tak pasal-pasal jadi pameran orang yang sedang lalu lalang.

"Buka pintu kereta ni Rumaysa. Or I can easily call a few of my friends to come over and ask them to break this car door." Ugut Idris.

Anne terdiam sambil matanya masih terkebil-kebil memandang Idris. Eleh, dasar pengambil kesempatan. Pengugut tercemerlang. Haaa, ugut lah lagi. Ugut banyak-banyak. Mudah sikit nak bawak diri, buat hal masing-masing. Dia kembali menyandar di kerusi kereta itu. Rasa mengantuknya kembali semula.

Dengan selambanya dia mengambil telefon dan membuka aplikasi Instagram. Titik merah di atas, sebelah kanan skrin itu menarik perhatiannya. Laju sahaja dia menyentuh titik merah itu yang membawa dia ke postingnya sebelum dia terlelap tadi.

You're telling me the things I want to hear, but you're not showing me the things I want to see.

Penulis kesukaannya telah meninggalkan tanda suka pada postingnya itu. Eh kejap, Ansori_anak_umi follow Instagram dia? Serius? Tidak cukup dengan itu, ada titik merah juga pada ruangan Direct Message nya.

~Jika cinta pertamamu meninggalkan luka,
Semoga cinta terakhirmu menghadirkan syurga :)

These words are definitely not mine but I guess it can help to comfort you a bit. Like how it comforted me before.~

Serius Ansori DM dia? Serius? Serius? Hampir melompat jantungnya membaca bait-bait kata yang begitu indah. Walaupun kata Ansori bukan kata-katanya sendiri. Tak kisah lah, yang penting Ansori DM dia. Yeayyyy!

"Rumaysa, buka pintu kereta ni."

Eh terlupa, ada seseorang diluar kereta itu sedang cuba berkomunikasi dengannya. Anne pantas menghidupkan enjin kereta. Sempat dia toleh ke kanannya. Wajah Idris di tenung sahaja lama. Cinta pertama sudah menghadirkan luka. Rupanya cinta kedua juga memberi derita bukan bahagia.

"Saya nak balik." Laung Anne kuat.

Idris menggeleng kepalanya.

"Buka pintu ni dulu." Ujar Idris dengan suara yang meninggi.

Anne menggelengkan kepalanya lagi sambil menyilang kedua lengannya membentuk huruf X. Hilang sabar, Idris sempat menepuk pintu kereta itu sebelum Myvi yang dipandu Anne berlalu pergi. Tanpa berlengah, dia berkejar masuk ke kereta sendiri lalu mengikuti Anne dari belakang.

"Rumaysa...!"

Maaf ya lama tak update. Nanti N ceritakan kenapa. Enjoy reading sayang-sayang sekalian. :) Love, N

Share this novel

imah adey
2022-03-16 17:56:12 

tq N update

Ella Halim
2022-03-16 02:01:46 

terima kasih N update.Rindu kisah idris dan Rumasya

Hawani Hashim66
2022-03-15 23:46:37 

Alhamdulillah .N dah muncul semula .moga sihat ya N


NovelPlus Premium

The best ads free experience