BAB 3

Romance Completed 20898

Aku pantas mengangguk untuk mengelakkan salah faham. Aku hanya memandang seketika tangan dan kaki Malaeka dengan ditutupi jubah hitam yang dipakainya. Aku lihat kakinya pendek dan bengkok. Entah kenapa hati aku tiba-tiba menjadi sayu walhal aku sudah menjumpai lebih ramai pesakit yang mana keadannya lebih teruk dari Malaeka.

“Jadi awak pernah terima apa-apa rawatan yang sesuai untuk penyakit ini?”

“Pembedahan dan Pamidronate. Doktor mesti tahu ubat tu, bukan?” Aku mengangguk lagi, memang aku tahu Pamidronate itu merupakan rawatan yang sering digunakan untuk mengurangkan tahap kekerapan tulang pesakit dari terus patah. Maklumlah, penyakit ini tidak boleh hilangkan terus, hanya boleh kurangkan kesakitan sahaja.

Kali ni aku tidak tahu hendak menyoal apa lagi. Rasanya aku sudah sediakan soalan yang begitu banyak sejak di UKM tempoh hari. Sengaja aku tidak menyimpan soalan-soalan tersebut kerana aku terlalu yakin yang aku boleh mengingatinya. Tapi aku jadi bingung serta-merta ketika bertemu Malaeka.
“Jadi saya rasa kita..”

“Bradfield..”

Kami bersuara serentak, Malaeka yang sedang membaca nama Dr. J.J.C. Bradfield itu memandangku. Kemudian dia ketawa.
“Saya rasa kita tak patut berjumpa di perpustakaan. Ini akan menyebabkan saya hilang tumpuan terhadap semua soalan doktor.” Malaeka berkata perlahan sambil tersenyum malu. Aku turut ketawa.

“Saya pun rasa macam tu,” usikku lalu kami meneruskan ketawa. Seorang wanita yang kelihatan agak berusia memandang kami dengan pandangan kurang senang. Segera kami memberhentikan ketawa. “Ini sebab kedua kenapa kita tak boleh ada di perpustakaan, gelak mengilai-ngilai!” Kataku lagi dan kali ini Malaeka cuba menahan tawanya. Namun aku terkesima seketika semasa melihat lesung pipitnya.

Segera aku membuang pandang. Aku terus menyimpan buku nota di dalam poket. “Eh, dah habis?” Malaeka mula pelik. Aku tersenyum dan mengangguk buat kesekian kali. “Saya sebenarnya terlupa nak tanya apa lagi. Nanti kalau saya dah ingat, kita jumpa lagi ya?”

“Saya tak pastilah bila lagi saya ada kelapangan.” Jelas riak bersalah pada wajah Malaeka ketika dia menyatakannya. Segera aku mengeluarkan kembali buku nota dan menyalin sesuatu di dalamnya, lalu kuhulurkan padanya.

“Ini nombor saya, awak boleh telefon atau mesej saya kalau ada kelapangan. Kalau awak ada Whatsapp lagi bagus!” Aku tidak pasti apa yang aku buat sekarang ni betul atau salah. Sungguh tak tahu malu tindakanku ini. “Err maksud saya, nanti kalau ada kelapangan awak boleh kongsikan lagi fasal O.I. pada saya tak?” Malaeka tersenyum, tiada lagi kerutan dari keningnya.
“Insya Allah boleh. Saya yakin, Allah akan mudahkan urusan doktor. Bukan senang nak cari doktor yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mengkaji penyakit tertentu. Kadang-kadang pelajar tahun empat atau lima akan fikir dua-tiga kali untuk menyoal jawab pesakit walaupun pesakit dah ada kat depan mata.”

Aku hanya menundukkan kepala ketika mendapat pujian. “Saya pun harap matlamat saya dipermudahkan sepanjang seminggu berada disini.” Kataku mengakhiri perbualan sebelum masing-masing meminta diri untuk pulang ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience