KISAH 11 - RUMAH ATUK

Horror & Thriller Series 23829

Ibu aku baru sahaja pulang daripada menunaikan ibadah haji baru baru ini. Jadi, pada suatu hari tu, aku sedang berada di meja makan bersamanya. Entah bagaimana, sedang aku bersembang-sembang dengannya, dia menceritakan satu peristiwa seram yang berlaku kira-kira 50 tahun dahulu sewaktu dia masih kecil lagi.

Pada zaman itu, dia dan adik beradiknya yang lain duduk di sebuah rumah yang terletak di parit Bunga, Muar. Keadaan rumah tersebut kiranya agak mewah, kerana bapanya (arwah datukku) sewaktu itu bekerja sebagai seorang cikgu, iaitu pekerjaan yang sama dengan isterinya juga.

Dia mewarisi beberapa ekar tanah daripada bapanya, yang sehingga ke tahap sanggup mengikat perut demi mengumpulkan hartanya untuk diturunkan kepada generasi demi generasi yang mendatang ini.

Rumah yang dibina itu merupakan rumah campuran kayu dan batu. Rumah tersebut mempunyai dua bahagian, dan di tengah-tengah rumah tersebut terdapat sebuah kolah yang penuh berisi dengan air dan dikelilingi oleh pasu-pasu bunga sebagai hiasan.

Di sebalik kolah tersebut adalah sebatang pokok rambutan, yang terletak bersebelahan dengan 3 batang pokok mangga dan sebatang pokok belimbing.

Mengikut ibuku, dalam masa-masa sehari, pokok rambutan tersebut akan bergoncang dengan kuat. Walaupun tanpa angin mahupun kewujudan beruk di atas pokok tersebut, tetap pokok tersebut bergoncang dengan kuat.

Katanya, di situ menjadi tempat sangkutan pontianak, tapi ada juga yang mengatakan itu tempat laluan orang bunian yang ramai mendiami kawasan hutan di sekitar rumah tersebut.

Kemudiannya, Tok Cik aku, iaitu mak angkat yang menjaga ibu aku sewaktu dia kecil tinggal bersebelahan sahaja dengan rumah tersebut. Pada suatu malam, lebih kurang jam 11.00 malam, pintu rumahnya diketuk berkali-kali. “Bang! Bang! Bang!”.

Jadi, Tok Cik aku ni pun bukalah pintu. Ada seorang lelaki membawa dulang berisikan ayam beserta nasi. Memang meriahlah kiranya jika dilihat masakan yang terdapat dalam dulang tersebut. Macam ayam masak merah dan nasi briyani pun ada.

Jadi, lelaki itu mengatakan, dia inginkan semula dulang tersebut. Jadi, Tok Cik aku ni pun bersusah payahlah memindahkan kesemua makanan tu kedalam pinggan. Lauk dan nasi agak banyak juga, dan dalam hatinya, bersyukur. Mungkin rezeki tengah malam. Sambil daripada dapur tu, Tok Cik aku bercakap la dengan lelaki tu.

“Awak ni daripada mana? Tak pernah perasan pula awak sebelum ni”, katanya dengan suara yang kuat.

“Dekat je makcik, daripada belakang rumah ni je”, kata lelaki tersebut.

Tok Cik pun tak adalah nak suspek apa-apa, memandangkan memanglah belakang rumahnya itu hutan tebal, tetapi, selepas hutan itu, ada juga kawasan perumahan. Mungkin daripada situ agaknya. Tapi entah, agaknya Tok Cik aku ni ambil masa lama sangat nak pindahkan makanan ke dalam pinggan, lelaki tersebut terus becakap.

“Makcik, tak mengapalah. Nanti makcik letak je dulang ni atas kolah rumah sebelah ni ya. Saya nak cepat ni”, katanya dengan nada yang nak kalut.

“Eh, sekejaplah. Sekejap, sekejap. Ni dah nak siap dah ni”, kata Tok CIk sambil kalut nak mengelap dulang tersebut yang dibasuhnya dengan bersih sebelum nak dipulangkan. Tetapi, kelibat lelaki tersebut sudah hilang. Jadi, Tok Cik aku ni pun jalanlah ke kolah rumah atokku.

Dia meninggalkan sahaja dulang di atas kolah tersebut, sememangnya, tiada apa yang nak dirisaukan kerana dia sangkakan, mungkin lelaki tersebut nak menghantar makanan ke rumah berdekatan, kemudian apabila dia pulang, dia akan melalui jalan yang sama dan mengambil dulang tersebut.

Selepas meletakkan dulang tersebut di kolah, Tok CIk ni pun jalanlah ke rumahnya balik, yang terletak lebih kurang 30 meter daripada situ. Memang malam tersebut cerah kerana disinari cahaya bulan mengambang yang memudahkannya untuk pulang ke rumah.

Dalam hatinya itu penuh rasa kesyukuran kerana mendapat rezeki di tengah malam. Masakan tidak, esok pagi nanti dia bolehlah menyambung makan jikalau makanan tersebut tidak habis malam ini.

Setibanya dia di rumah, apabila dia membuka pintu, semerbak bau busuk tamsil bangkai mereput yang hadir daripada ruangan dapurnya. Tok Cik aku ni mula mencari daripada mana datangnya bau yang sebegitu busuk itu.

Dia terkejut apabila makanan yang tadinya diberikan oleh lelaki itu yang dipindahkan di atas pinggannya, kini adalah seketul daging entah tidak tahu daging apa yang dipenuhi ulat dan berenga di sekelilingnya.

Dia menyatakan, baunya sebegitu busuk sehinggakan dia muntah beberapa kali ketika cuba membersihkannya. Sirna rasa kesyukuran, muncul pula rasa ketakutan pada malam itu. Dia segera mengemaskan kesemuanya, dan membasuh pinggan mangkuk yang dipenuhi ulat dan bendalir serta cecair yang berbau mayat reput itu.

Malam itu, Tok CIk aku mula mencari uslub untuk menenangkan atmanya yang terlalu takut dan gementar. Dia membuat solat sunat dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendinding agar tidak diganggu lagi. Lupa aku nak beritahu, Tok Cik aku ni tinggal berseorangan di rumah itu sejak suaminya bergelar arwah beberapa tahun sebelum itu.

Jadinya, mahu tak mahu, dia terpaksalah menghadapi gangguan sebegitu dahsyat berseorangan kerana niat hatinya yang baik itu tidak mahu mengganggu orang lain dikala malam mula memekat.

Keesokkan paginya, Tok Cik aku dikejutkan oleh nenek aku yang terkejut kerana katanya, dia telah berjaya menjumpai semula dulang di dapurnya yang sudah lama hilang pada waktu itu. Dah berbulan hilang, dan ingatkan, dulangnya itu dicuri orang. Selepas mendengar perkhabaran tersebut, Tok Cik aku tu pun berfikir.

Entah barulah dia sedar juga, dulang itu sebenarnya mungkin ‘dipinjam’ oleh mereka, dan mereka nak pulang kembali sambil memberi sedikit buah tangan, tetapi entah bagaimana buah tangan tersebut sebenarnya adalah seketul daging besar yang berulat.

Segera Tok CIk aku menceritakan perihal yang berlaku malam tadi. Mereka juga menjadi cuak dan seperti biasalah, bomoh dipanggil untuk menyiasat dan membuat pendinding agar segala gangguan itu dapat dihentikan. Memang selepas itu, gangguan yang dikatakan berasal daripada orang bunian itu berkurangan, namun, pokok yang bergoyang itu masih lagi tidak berhenti.

Memang mereka pastikan tiada orang, beruk, kongkang mahupun siamang yang menggoyangkan pokok tersebut yang akan bergoyang pada waktu siang sekali, petang dan malam.

Beberapa tahun selepas itu, ibu aku berkahwin dengan ayahku. Ayah kepada ibuku, bimbang akan perkara pokok rambutan yang bergoyang itu menakutkan menantunya yang dikira ‘orang baru’ di kawasan tersebut membuat keputusan untuk menebang pokok itu lebih kurang seminggu sebelum majilis perkahwinan ibu dan ayahku ini. Sebenarnya, ayahku sewaktu itu agak dewasa, dan banyak mempelajari ilmu kebatinan sewaktu dia muda.

Ayahku, kini sudahpun bergelar arwah merupakan seorang guru sekolah juga. DIa pernah menetap bersama sekumpula orang asli pada waktu mudanya untu mempelajari cara kehidupan dan perubatan orang asli serta cara untuk menangani ilmu-ilmu sihir ini.

Pada malam pertama mereka berdua berkahwin, pokok belimbing dan pokok mangga yang terletak di sebelah kolah itu bergoncang dengan kuat.

Seperti biasa, bukannya ada angin kencang mahupun apa-apa benda yang menggoncangkan pokok tersebut, tetapi, kini goncangannya menjadi amat kuat sehingga dapat didengari daripada dalam rumah.

Semasa mereka berdua sedang baring di atas katil di dalam rumah tersebut, tak semena-mena tingkap kayu yang terdapat dalam bilik itu ditolak dengan kuat daripada luar, seolah-olah ada benda yang ingin masuk.

Tolakkannya begitu kuat, sehinggakan selak yang terdapat pada pintu tersebut hampir nak tercabut dibuatnya. Ayah aku segera mencapai bantal peluk yang berada di atas katilnya itu, dan membaling sekuat-kuat hati kepada tingkap tersebut seraya membaca beberapa ayat pendinding. Tingkap tersebut tidak lagi ditolak, dan pokok yang bergoncang kuat daripada luar itu berhenti bergoncang.

“Pontianak….”, ujarnya perlahan kepada ibuku.

“Habis tu macamana kita nak buat ni?”, tanya ibuku kepadanya.

“Tak mengapa, biarkan dulu. Malam ni insya Allah dia tak mengganggu kita lagi”, kata ayahku.

Mungkin korang ingat segalanya dah berakhir selepas itu, tetapi silap. Memang pokok tersebut masih bergoncang sekali sekala pada waktu tertentu, tetapi, nak dijadikan cerita, sewaktu itu, ibu aku baru sahaja mendapat seorang anak saudara. Bayi tersebut baru sahaja berumur beberapa hari, milik kakak ibuku dan suaminya.

Sedikit masalah berlaku, terutama sekali apabila makcikku ini ingin memandikan anaknya. Setiap kali masuk sahaja ke dalam tandas, pasti dia meraung dan menangis teresak-esak. Tetapi, yang peliknya, adakalanya apabila dia dibawa masuk ke dalam tandas untuk mandi, dia ketawa pula.

Tetapi, apa yang pasti adalah matanya tertumpu pada satu sudut di atas dinding yang memisahkan bilik mandi dengan tandas. Mungkin apa yang dinampaknya itu boleh berubah-ubah wajahnya. Ibuku menceritakan kepada ayahku, dan ketika itu, mereka berdua telahpun berpindah ke rumah lain, terletak lebih kurang 20 minit daripada rumah tersebut di seberang di bandar Muar, iaitu rumah tempat aku dibesarkan.

Ayahku mengeluh panjang. Dia memberitahu ibuku, bahawa pontianak yang bergayut di luar rumah tersebut di atas pokok dan cuba menyerang mereka berdua pada malam itu ada kemungkinan telahpun masuk di dalam rumah mereka. Jadi, beberapa hari kemudian, mereka berdua pun pulang ke kampung pada hari sabtu, iaitu hari cuti sekolah di mana ayahku tidak bekerja.

Masuk sahaja di dalam rumah itu, segera kakak kepada ibuku ini menunjukkan lokasi tandas tersebut. Sewaktu itu, kedua-dua datuk aku sedang berkursus di Segamat, jadi mereka berdua tiada di rumah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ayahku masuk ke dalam tandas tersebut, dan tandas itu, seperti kebanyakkan tandas yang terdapat dalam rumah pada marcapada ini merupakan tandas yang dibagi dua, satu bilik mandi dan satu lagi jamban. Terdapat satu dinding rendah memisahkan kedua-dua tempat tersebut.

Pontianak tersebut, yang merupakan satu lembaga menyerupai perempuan tetapi tidak mendukung bayi atau apa-apa menginap di atas dinding rendah tersebut. Itulah sebabnya mengapa bayi yang masuk ke dalam tandas dan ingin dimandikan selalunya berada pada posisi terlentang, dan dapat melihat wajah pontianak yang kadangkala membuat rupa yang kelakar menyebabkan mana-mana bayi itu ketawa, ataupun membuat muka seram, menyebabkannya menangis.

Ayah aku mengarahkan ibuku untuk menghubungi bomoh yang berada di kawasan tersebut, Tok Mat, kerana dia sendiri pun tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk mengusir keluar mahupun menangkap makhluk tersebut. Jam 10 pagi pada hari berikutnya, satu upacara dilaksanakan. Bacaan jampi serapah beserta kemenyan dibakar, dan memang banyak perkara pelik berlaku pada waktu itu.

Bunyi pontianak tersebut menjerit, mengilai dan keadaan rumah yang bergegar menandakan ‘benda’ tersebut sedang ingin melawan semula bomoh tersebut. Akan tetapi, dengan ilmu yang dimilikinya, tidak setanding dengan lembaga tersebut, yang dikatakan berjaya diusir keluar oleh bomoh yang berasal daripada kampung batu 2 itu. Tetapi, diusir keluar bukanlah bermaksud ianya tamat begitu sahaja.

3 malam berturut-turut kedengaran suara perempuan menangis dibawah pokok belimbing yang terletak bersebelahan tunggul pokok rambutan. Memang semuanya masing-masing menggeletar ketakutan daripada dalam rumah, tetapi, mereka tidak boleh menunjukkan rasa takut atau rasa simpati.

Kalau terlalu takut, disampuk pula. Kalau rasa simpati, dia kan mengikut balik ke rumah kerana dia menganggap kita berasa kasihan padanya kerana rumahnya sudah lagi tiada, dan akan menjadikan rumah kita untuk berteduh pula.

Suara tangisan pula semakin lama semakin jelas apabila pagi mulai menjelma. Jam 3 - 4 pagi waktu kemuncaknya. Acapkali pokok belimbing tersebut pula digoncang kuat, sambil bunyi mengilai yang panjang menandakan betapa murkanya dia pada orang yang menghancurkan tempat tinggalnya.

Namun, setelah mereka semua berjaya menahan rasa ketakutan dan simpati, lama-kelamaan bunyi-bunyi tangisan semakin perlahan dan tiba satu masa, segalanya hilang.

Mengikut pada Tok Mat, ada kemungkinan si dia telah meninggalkan kawasan tersebut. Atau, ada juga kemungkinan dia mengikuti entah siapa-siapa yang mendengar suara tersebut dan menzahirkan rasa simpati terhadap suara tersebut.

Yalah, siapa-siapa pun boleh. Cuba bayangkan, apabila kedengaran sayup-sayup bunyi tangisan, sudah tentu ada orang yang akan berkata

“Eh, siapalah yang menangis malam-malam ni. Kasihan. Pasti ada masalah tu. Kalaulah aku boleh membantu”

Hanya dengan kata-kata begitu sahaja dah membuka satu peluang untuknya mendapatkan tempat tinggal yang baru. Tok Mat kata, kalau dia ada di rumah tersebut, sama ada bayi, atau haiwan yang masuk seperti kucing pasti matanya akan tertumpu kepada satu tempat sahaja.

Cicak yang jatuh daripada siling serta bunyi tapak kaki dan ketukkan tingkap pada waktu-waktu tertentu seperti menjelang maghrib atau menjelang subuh sudah cukup menandakan bahawa dia ada di dalam rumah itu.

Memang dia boleh berubah-ubah wajah, sama seperti manusia yang mempunyai riak-riak muka tertentu. Tenungan tajam kepada seseorang pasti akan menjadikan bulu roma berdiri secara tiba-tiba, tanda refleks badan terhadap satu firasat yang tiba-tiba hadir dalam atma manusia yang rapuh dan masih mempunyai ciri-ciri primitif. Bayi yang sentiasa menangis dan matanya tertumpu pada satu tempat, maka itulah tempatnya.

Mengikut Tok Mat, dia suka tinggal di tempat-tempat yang mempunyai objek tegantung, kerana fizikalnya dan sifatnya yang suka bertenggek, sama ada seperti burung yang sedang bertenggek di atas dahan pokok mahupun seperti kelawar yang sedang bergantung, kaki di atas, kepala di bawah.

Rumah zaman dulukala, manalah ada lampu-lampu mewah seperti chendelierm yang ada cumalah lampu kalimantang yang melekat pada siling. Bukan kerana tak mampu, orang kampung ni banyak duit, banyak harta dan tanah, tetapi, mereka sendiri tahu, tempat sebegitu akan dijadikan tempat bergayut makhluk-makluk seperti ini.

Jadi, begitulah kisahnya mengenai kisah rumah yang terletak di Parit Bunga. Rumah tersebut kini masih didiami oleh makcik dan pakcik aku, dan aku dah berkali-kali mengunjungi rumah tersebut. Alhamdulillah, segalanya nampak tiada apa-apa masalah. Cuma itulah aku nak pesan, kalau cicak selalu jatuh, atau kalau kau sedang duduk dan tiba-tiba bulu roma kau berdiri, maksudnya, adalah tu yang sedang memerhati.

Share this novel

Adila Mohamed
2020-11-28 14:17:52 

cume nk tau je rmh mane 1..sbb ade gak dngr cite dkt prt bunge org slalu nmpk 'akak cntik' dkt umah yg lpas trun jmbtn tu,dkt2 corner..


NovelPlus Premium

The best ads free experience