Bab 40

Short Story Series 55082

Rina memandang wajah Rose seperti mahu dikenang wajah itu sebelum memeluk wanita itu dengan sangat erat. Rose juga membalas pelukan Rina dengan sangat erat. Walaupun baru semalam mereka berjumpa tetapi seperti sudah lama mereka berkenalan. Rose seakan tidak mahu berpisah dengan Rina ketika itu. Dia mahu berada di sisi Rina dan mahu belajar agama dengan wanita yang sederhana itu tetapi dia tahu itu semua tidak mungkin kerana Rina tinggal bersama keluarga mertuanya. Dia juga tidak mahu berjumpa dengan Haikal kerana pasti dia berasa kekok apabila melihat lelaki yang cuba digodanya semalam.

“Hati-hati di luar sana. Jaga solat dan sentiasa ingat Allah.” Rina melepaskan pelukannya dan mengusap wajah Rose dengan sangat lembut. Dia sudah menganggap Rose itu seperti adiknya sendiri.

“InsyaAllah, doakan saya agar istiqomah di jalan Allah.” Rose memegang tangan Rina yang mengusap pipinya itu dan mencium tangan Rina sebelum ditarik perlahan oleh Rina kerana wanita itu tidak suka dianggap wanita yang alim. Rina merasakan dia tidak layak untuk dicium tangannya kerana dia juga penuh kekurangan.

“Saya akan doakan awak segala kebaikan yang berada di dunia ini dan dijauhkan dari segala keburukan di dunia ini. Jika awak berputus asa ingatlah ada Allah tempat awak bergantung. Jangan menyerah kalah kerana sesungguhnya jihad yang paling besar adalah jihad terhadap diri sendiri iaitu berperang dengan hawa nafsu kita.” Sekali lagi Rina berpesan sebelum menjatuhkan lututnya ke tanah dan meminta Qalifh bersalaman dengan Rose.

“Semoga Qalifh menjadi anak yang soleh dan membawa ummi ke syurga Allah.” Rose mencium kedua pipi Qalifh sebelum memeluk erat anak kecil itu.

“Aunty jangan lupakan Qalifh ya.” Qalifh berkata malu-malu sebelum membalas ciuman Rose dengan mencium kedua belah pipi wanita itu.

“Ini saya berikan pakaian saya kepada awak sebagai hadiah. Walau tidak baru tetapi InsyaAllah masih dalam keadaan yang baik.” Rina menghulurkan satu beg kertas besar yang berisi dengan pakaian-pakaian muslimah miliknya yang masih cantik dan baru.

Rose melihat sekilas sebelum melihat pakaian yang dipakai Rina. Jubah yang dikenakan oleh Rina seperti jubah yang sudah lama dipakai tetapi di dalam beg kertas itu terdapat banyak jubah dan khimar yang cantik-cantik dan masih baru. Adakah itu tidak berlebihan fikirnya di dalam hati.

“Ambillah, saya ikhlas berikannya kepada awak.” Rina seperti dapat membaca fikiran Rose ketika itu apabila mellihat wanita itu melirik ke arah baju yang dipakainya.

“Adakah ini tidak terlalu banyak Rina? Mengapa tidak awak sendiri yang memakainya. Pakaian ini lebih bagus dan cantik daripada apa yang awak pakai sekarang.” Rose seperti tidak percaya apa yang dilakukan oleh Rina ketika itu.

“Pakaian ini adalah pakaian terbaik yang saya ada sepanjang hidup saya. Saya hadiahkannya kepada awak kerana saya yakin jubah-jubah ini cantik jika dipakai oleh awak. Hanya ini yang mampu saya berikan kepada awak sebagai tetamu saya.” Rina meyakinkan Rose untuk mengambil pakaian yang diberikannya itu.
Rose mengalah dengan pujukan Rina. Dia memang wanita yang luar biasa baiknya. Dia berasa gembira Allah mempertemukan dirinya dengan orang yang baik seperti Rina. Sekali lagi mereka berpelukan sebelum Rose masuk ke dalam teksi yang telah lama menunggu mereka berbual. Mereka saling membalas lambaian sebelum teksi itu hilang daripada pandangan Rina, Mak Sofi dan Qalifh.

“Kenapa Rina?” Mak Sofi yang daripada tadi hanya menjadi pendengar setia bertanya kepada Rina apabila melihat tingkah laku Rina yang seperti orang kegelisahan ketika itu.

“Entahlah, Rina tidak sedap hati Mak Sofi. Seperti ada sesuatu… astaghfirullah.” Rina mengucap cuba menenangkan hatinya yang berdebar-debar ketika itu. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa tidak nyaman.

“Sudahlah, mari kita balik ke rumah. Mungkin disebabkan kita terlalu lama berada di taman permainan ini sejak daripada tadi. Pasti Encik Aqil dan tan sri juga sudah berada dalam perjalanan pulang. Ain juga sudah menunggu kita di rumah, Qalifh mari balik ya sayang besok kita main lagi.” Mak Sofi memipin kedua anak beranak itu untuk pulang ke rumah mereka yang berada di hujung kawasan perumahan itu.

Haikal masuk ke dalam rumah bapanya dengan keadaan yang tergesa-gesa mencari kelibat sesiapa saja orang di dalam rumah itu. Tiada seorang pun yang dilihatnya sehingga dia berlari naik ke tingkat atas dan bertembung dengan seorang perempuan yang tidak dikenalinya. Perempuan itu sempat menjerit dengan kuat apabila melihat dirinya ketika itu dan meminta tolong kepada orang yang mendengar jeritannya. Mungkin perempuan itu menganggap dirinya seorang pencuri.

"Kau siapa?" Ain bertanya menjauhkan diri daripada Haikal. Kelihatannya lelaki itu bukan seperti seorang pencuri kerana wajahnya yang tampan dan bersih serta pakaian yang dipakainya saja berjenama tidak mungkin lelaki ini seorang pencuri tetapi memandangkan zaman sekarang sudah banyak helah yang dilakukan oleh perompak untuk merompak dia harus berhati-hati.

"Kau tu yang siapa? Kenapa kau ada di dalam rumah aku?" Haikal bertanya. Kenapa banyak sangat muka baru di rumah bapanya ini sepanjang tiga tahun pemergiannya.

"Rumah kau? Kau jangan nak membohong akulah. Kau pencuri ke? Baik kau lupakan niat nak mencuri di sini sebab rumah ni banyak kamera tersembunyi. Aku tak akan laporkan kau pada polis kalau kau pergi sekarang." Ain cuba berhelah kepada Haikal yang dianggap pencuri.

"Kau jangan nak tipu aku. Bapak aku tak pernah pasang kamera tersembunyi dalam rumah ini. Sebenarnya kau yang pencuri kan?" Haikal memarahi perempuan yang menyangka dirinya seorang pencuri.

"Nanti sekejap! Kalau betul ni rumah kau, siapa nama tuan rumah ni?" Ain pula berang dituduh pencuri dan berasa pelik bagaimana lelaki itu boleh tahu bahawa dirinya menipu tentang kamera tersembunyi yang tidak pernah wujud itu. .

"Tan Sri Mansur! Aku, Amirul Haikal anak sulung Tan Sri Mansur!" Haikal tidak tahu kenapa dia harus menjelaskan siapa dirinya kepada perempuan itu tetapi dia memberitahu juga kerana tidak mahu dituduh sebagai seorang pencuri.

"Ya Allah, Encik Haikal! Encik suami Puan Rina!" Ain ternganga kerana melihat lelaki dihadapannya itu yang hanya dikenali namanya sahaja selama ini tetapi belum pernah berjumpa.

"Kau kenal Rina Altafunisa?" Haikal mendekatkan dirinya kepada Ain apabila mengetahui perempuan itu mengenali isterinya.

"Saya jururawat Puan Rina dan pengasuh Qalifh sejak tiga tahun yang lalu. Nama saya Ain. Selamat berkenalan. Maafkan saya kerana saya tidak tahu bahawa encik ini Encik Haikal." Ain terus berbahasa formal kepada Haikal kerana lelaki itu juga merupakan majikannya.

"Qalifh?" Sekali lagi Haikal terkejut mendengar kata-kata Ain itu.

"Ya, Muhammad Qalifh Althar, anak encik." Ain mengulanginya keliru. Ain mengerutkan keningnya kerana Haikal seperti tidak mengetahui nama anaknya sendiri. Apakah Tan Sri Mansur dan Encik Aqil tidak pernah mengkhabarkan berita tentang Qalifh kepada Haikal? Jika difikirkan selama ini Rina juga tidak pernah menghubungi suaminya memberitahu tentang anak mereka. Apa sebenarnya yang terjadi kepada keluarga ini? Mengapa begitu banyak misteri di rumah ini? Sudah tiga tahun dia bekerja tetapi dia masih tidak mengetahui apa yang terjadi pada keluarga majikannya itu.

“Apa yang kau merepek ni. Qalifh bukan anak aku dia anak Aqil dan Shofwah.” Haikal berasa jantungnya berdegup dengan kencang dengan kata-kata Ain sebentar tadi.

“Encik Aqil tidak berkahwin lagi. Qalifh ini anak encik dengan Puan Rina.” Ain semakin kebingungan dengan tingkah Haikal yang sepertinya memang tidak mengetahui bahawa Qalifh adalah anak lelakinya.

"Maksud kau perempuan yang tinggal di dalam bilik ini bukan Shofwah?" Haikal bertanya apabila teringat akan wanita berpurdah yang tinggal bersama mereka. Daripada awal dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan hubungan Aqil dan isterinya tetapi dia tidak mahu mengambil peduli tentang itu tetapi sekarang dia semakin yakin memang ada yang tidak kena dengan hubungan mereka.

"Cik Shofwah sudah meninggal dunia sebelum sempat berkahwin dengan Encik Aqil. Ini bilik Puan Rina." Ain terkejut apabila nama Shofwah disebut-sebut oleh Haikal sejak daripada tadi. Biar betul lelaki ini tidak mengetahui langsung tentang apa yang terjadi kepada keluargnya sepanjang tiga tahun ini.

"Ain? Kami dah balik." Kedengaran suara Rina memanggil nama Ain di tingkat bawah tiba-tiba.
Haikal tidak menunggu lama langsung dia menuruni anak tangga dan matanya menangkap tubuh Rina yang memimpin Qalifh dan disisinya ada Mak Sofi bersama. Mungkin mereka bertiga baru balik keluar daripada bersiar-siar cari angin petang fikirnya.

Rina memandang wajah Haikal yang merenungnya tajam sebelum berjalan laju kea rah dirinya. Tidak berada di dalam keadaan bersedia, tangan Rina ditarik kasar oleh Haikal untuk dibawa masuk ke bililk tetamu yang berhampiran dengan mereka mereka.

"Mak Sofi, tolong..." Rina menjerit apabila Haikal tetap menariknya kuat walaupun dia cuba melawan.

"Ya Allah, kenapa ni Encik Haikal. Lepaskan tangan dia." Mak Sofi cuba membantu Rina daripada cengkaman Haikal tetapi apalah sangat kudratnya yang sudah tua itu jika dibandingkan dengan Haikal yang masih muda dan gagah perkasa.

"Ummi…" Qalifh mula menangis akibat terkejut dengan keadaan yang kecoh tiba-tiba itu. Dia berasa takut melihat keadaan Haikal yang bengis dan Rina yang menjerit meminta pertolongan.

"Astaghfirullahalazim, kenapa ni encik?" Ain yang berada di tingkat atas terus turun ke bawah apabila mendengar suara teriakan Rina dan Mak Sofi. Dia segera membantu Mak Sofi menarik tangan Rina daripada terus ditarik Haikal.

"Kau berdua jangan masuk campur urusan aku dengan dia!" Dengan sekali tarikan yang kuat tangan Mak Sofi dan Ain terlepas daripada tangan Rina. Haikal mengambil kesempatan itu dan menolak Rina masuk ke dalam bilik sebelum mengunci pintu itu daripada dalam. Haikal merenung Rina yang kini berada betul-betul dihadapannya.

Ya, mata itu. Kenapa dia boleh tidak perasaankan mata itu? Mata itu adalah mata milik Rina yang pernah menatapnya dengan pandangan yang sama tiga tahun yang lalu. Mata yang diselubungi ketakutan.

"Ain telefon Aqil sekarang!" Mak Sofi mengarahkan Ain menelefon Aqil untuk memberitahu apa yang sedang terjadi di rumah agam milik Tan Sri Mansur kerana dia risaukan keadaan Rina yang dibawa masuk ke dalam bilik itu. Qalifh segera didukung dan ditenangkan agar berhenti menangis.

“Ummi…” Qalifh memanggil sambil tangan kecilnya menepuk pintu bilik itu berkali-kali. Dia mahukan Rina memeluknya ketika itu bukan Mak Sofi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience