Setelah beberapa tahun berlalu, sudah tiba masanya untuk aku meluahkan niat di hati. Dengan salam menjadi mukaddimah, aku luahkan niat yang selama ini terbuku dalam hati dengan berhati-hati untuk elak dia rasa tertekan dan mengelakkan daripada diri di cap sebagai tak tahu malu.
Namun, responnya agak membimbangkan. Bukan sebab aku takut akan cinta tak berbalas tetapi takut akan putusnya hubungan sahabat yang selama ini terjalin erat meski komunikasi langsung tidak menjadi asas.
Dia tidak menolak mahupun menerima sebaliknya dia hanya membisu.
Esoknya, aku sedar, dia cuba untuk larikan diri dari aku. Dan secara automatiknya aku menjangkakan bahawa, “mungkin sebab nak jaga hati aku daripada terluka itu sebab dia tak membalas apa-apa”.
Pada malam itu, aku menghantar teks pesanan ringkas yang bermula dengan salam, pertengahannya maaf dan pengakhirannya pengharapan agar hubungan sahabat antara aku dan dia tidak terputus walau cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan. Aku menyatakan juga bahawa aku tidak kisah dan tak berkecil hati sekiranya bukan aku yang dia perjuangkan dalam diam selama ini. Dan seperti yang telah kuduga, dia tidak membalas walau sepatah.
Tak mengapalah, orang dah tak sudi, tak perlu nak dipaksa-paksa. Lagipun, kumbang bukan seekor dan jodoh itu kan rahsia-Nya. Kalau Dia berkehendak, maka jauh manapun lari, tetap akan disatukan juga.
Share this novel