BB - BAB 54

Drama Completed 309184

“PUAN baring dekat katil tu, saya nak scan sekejap.” arah doktor Fazliana dengan senyuman. Qaireena kemudian bangun dan terus menuju ke katil rawatan yang terdapat di dalam bilik tersebut.

Lama doktor Fazliana mengerakkan alat scan tersebut di atas perut Qaireena sambil matanya terarah pada skrin monitor.

“Sama seperti minggu lalu, hasil scan kali ni masih tidak menampakkan kantung bayi.” ujar doktor Fazliana.

“Maksud doktor?” soal Qaireena. Wajah doktor Fazliana yang masih melihat skrin monitor dipandangnya.

“Kalau mengikut kiraan, usia kandungan Puan Qaireena sekarang adalah lima minggu. Pada usia ini, sepatutnya kantung amnion sudah terbentuk dan kantung itulah yang akan menjadi rumah kepada bayi sehinggalah tiba masanya untuk dilahirkan.” jelas doktor Fazliana.

“Jadi doktor, adakah saya benar-benar mengandung sekarang ni atau tak?” tanya Qaireena lagi. Sungguh dia semakin takut. Didalam kepala penuh tanda tanya apa sebenarnya yang berlaku terhadap dirinya.

“Kita buat pregnancy test sekali lagi ya.” kata doktor Fazliana. Qaireena menganggukkan kepalanya dan bangun dari katil rawatan.

“Keputusan tetap sama, masih menunjukkan yang Puan Qaireena mengandung.” tutur doktor Fazliana sambil memandang Qaireena setelah dia mendapat keputusan ujian itu.

“Kalau betul saya mengandung kenapa ada darah yang asyik keluar doktor.” soal Qaireena penuh kerisauan.

“Buat masa ni pendarahan yang Puan alami tu kita boleh anggap sebagai pendarahan implantasi. Ianya berlaku sewaktu implantasi embrio ke dinding rahim, dan perkara itu adalah sesuatu yang normal bagi wanita yang berada diawal kehamilan. Tetapi memandangkan hasil scan yang saya buat tadi tidak menampakkan langsung kantung bayi pada rahim Puan Reen, saya perlu membuat ujian darah beta HCG terhadap Puan.” jawab doktor Fazliana. Berkerut dahi Qaireena mendengar apa yang baru sahaja dikatakan oleh doktor di hadapannya itu.

“Human Chorionic Gonadotropin ataupun nama singkatannya HCG adalah hormon yang dihasilkan semasa kehamilan. Selalunya ujian darah beta HCG akan memberikan ketepatan keputusan sehingga 99 peratus. Saya akan lakukan ujian ini sebanyak dua kali iaitu pada hari ini dan juga selepas 48 jam.  Sekiranya terdapat peningkatan HCG selepas 48 jam, itu bermaksud Puan Reen benar-benar sedang mengandung dan jika keputusannya menunjukkan penurunan kemungkinan besar Puan tidak mengandung ataupun Puan sedang mengalami keguguran tidak lengkap.” jelas doktor Fazliana. 

Mendengar sahaja perkataan keguguran itu, membuatkan jantung Qaireena semakin berdegup kencang.  Sungguh dia sangat takut, dia tidak mahu perkara itu berulang lagi.  Dia tidak sanggup untuk melalui ujian  itu dan melihat Taufiq kecewa sekali lagi, kerana menimang cahaya mata bersama adalah impian mereka.

~~~

Seharian Qaireena hanya berehat di atas katil, dia hanya bangun apabila mahu menunaikan solat dan ke bilik air sahaja.  Selagi keputusan sebenar tentang kandungannya belum diperolehi dia mahu lebih berhati-hati dan menjaga dirinya sebaik mungkin. 

Taufiq yang baru sahaja sampai, terus menghampiri Qaireena dan melabuhkan punggungnya di birai katil.

“Sayang okay tak ni? Masih pening lagi?” soal Taufiq sambil menyentuh pipi Qaireena lembut.

“Reen okay, seharian berehat je dekat atas katil ni.” jawab Qaireena dengan senyuman.

“Abang rasa lebih baik Reen bercuti je buat sementara waktu ni sampai keadaan kesihatan Reen betul-betul baik.  Lagipun kandungan Reen masih baru lagi, Abang nak Reen lebih berhati-hati dan banyakkan berehat.” wajah Qaireena dipandang.  Berharap agar isterinya itu mendengar nasihatnya.

“Baiklah, Reen akan ambil cuti sampai Reen betul-betul dah rasa sihat dan bertenaga.” senyuman diukir kepada Taufiq.  Dia dapat melihat wajah penuh pengharapan suaminya itu. 

“Macam tulah bakal Mama yang baik.” kata Taufiq bersama senyuman. Bibirnya hinggap di dahi Qaireena kemudian turun ke pipi dan akhirnya berhenti di bibir wanita itu.  Lama dia memagut bibir Qaireena.  Dada Taufiq yang masih dibaluti kemeja disentuh oleh Qaireena dan dia turut membalas kucupan lelaki itu.

“Rindulah tu.” tutur Qaireena sambil tersenyum apabila Taufiq melepaskan pautan dibibirnya.

“Sangat.” jawab Taufiq sepatah.

“Duduk serumah pun masih tersangat rindu ke.” ujar Qaireena dengan tawa kecil.

“Bahasa romantiknya rindu, bahasa lain pula, ketagih.”

“Abang dah ketagih dengan bibir ni dan juga orangnya.” kata Taufiq sambil sekali lagi mengucup bibir wanita itu. Qaireena tertawa kecil.

“Baby, jangan jealous tau, selagi awak tak keluar lagi, Mama, Papa yang punya.” Taufiq menyentuh perut Qaireena.  Mendengarkan kata-kata suaminya itu, Qaireena mula berdebar-debar saat teringat semula tentang kata-kata doktor Fazliana.  Namun, sedaya upaya dia cuba berfikiran positif dan tidak putus berdoa di dalam hati agar segalanya akan baik-baik sahaja.

“Dah, Abang pergilah mandi, sekejap lagi dah nak masuk waktu maghrib ni.”

“Sayang dah mandi?” wajah Qaireena dipandangnya.

“Dah, sebab tu Reen wangi, tak busuk macam Abang.” tutur Qaireena sambil menyembunyikan senyumannya.

“Busuk-busuk pun, badan ni juga yang Reen peluk tadi.” ujar Taufiq sambil mencuit hidung wanita itu. Qaireena tertawa kecil apabila mendengar kata-kata lelaki itu.

••••••••••

“Bacaan HCG Puan pada ujian pertama adalah 283 mIU/L, manakala bacaan untuk ujian kedua adalah 797 mIU/L.  Keputusan ujian ini jelas menunjukkan bahawa Puan sedang mengandung kerana bacaan HCG meningkat dalam tempoh 48 jam.” kata doktor Fazliana sambil memandang Qaireena.  Mendengar sahaja itu, Qaireena terus menarik nafas lega.

“Tapi macam mana pula dengan kantung bayi yang masih belum berada dalam rahim saya seperti yang doktor kata sebelum ni?” soal Qaireena.

“Memandangkan sebelum ni saya cuma jalankan transabnormal scan, hari ni saya akan buat transvaginal scan.  Selalu nya scan melalui vagina ini adalah lebih tepat.  Semoga baby dapat tunjukkan diri dia hari ni.” ujar doktor Fazliana bersama senyuman.  Cuba untuk menenangkan hati Qaireena kerana dia dapat melihat wajah itu penuh dengan kerisauan. 

Qaireena menganggukkan kepalanya.  Jauh disudut hatinya berharap agar kali ini dia dapat melihat si kecil yang menghuni rahimnya berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Just relax ya.” tutur doktor Fazliana sambil perlahan memasukkan alat scan melalui vagina Qaireena.  Hampir lima minit dia mengerak - gerakkan alat tersebut sehinggalah matanya terpandang sesuatu.  Lama doktor Fazliana mengamati apa yang sedang dilihatnya.  Dia kemudian menarik nafas panjang, mencari kekuatan untuk memberitahu kepada bakal ibu itu tentang apa yang sebenarnya sedang dialami oleh wanita itu.

“Puan Reen, nampak ke bulatan yang berada di tepi sebelah kanan tu?” wajah Qaireena dipandangnya.

“Itu ke baby saya doktor?” soal Qaireena dengan teruja bersama senyuman di bibir.  Perlahan doktor Fazliana menganggukkan kepalanya.  Dia kemudian membuat cetakan gambar scan tersebut sebelum mengeluarkan alat scan dari vagina Qaireena.

“Saya tunggu Puan dekat meja dan saya akan jelaskan apa yang sebenarnya sedang Puan alami.” kata doktor Fazliana.  Perlahan Qaireena bangun dari katil rawatan dan menyarung semula pakaiannya.

Meleret senyuman Qaireena saat melihat cetakan gambar yang di hulurkan oleh doktor Fazliana kepadanya sewaktu dia melabuhkan punggungnya dikerusi bertentangan wanita itu.

“Puan Reen, berat untuk saya katakan tetapi saya tidak ada pilihan selain berterus terang kepada Puan.” doktor Fazliana memulakan bicaranya.  Jika diikutkan dia tidak sampai hati untuk meragut senyuman yang sedang menghiasi wajah bakal ibu di hadapannya itu.  Namun sebagai seorang doktor dia tidak mempunyai pilihan kerana itu adalah tugasnya.  Berkerut dahi Qaireena apabila mendengar kata-kata doktor Fazliana.

“Apa maksud doktor?” tanya Qaireena.

“Saya dah dapat jawapan kenapa Puan mengalami pendarahan dan juga kantung bayi tidak berada di dalam rahim Puan.” nafas ditarik dalam dan wajah Qaireena dipandang oleh doktor Fazliana.

“Puan sedang mengalami ectopic pregnancy.  Atau lebih mudah untuk difahami adalah kehamilan diluar rahim.” kata doktor Fazliana lagi.  Terkejut Qaireena saat mendengar apa yang baru sahaja disampaikan oleh doktor Fazliana. Menggeletar tangannya naik menutup mulutnya. Airmatanya juga mula mengalir membasahi pipi.

“A...apa yang perlu saya buat doktor?” soal Qaireena bersama tangisnya.

“Kandungan Puan tidak dapat diteruskan.” jawab doktor Fazliana.

“Tak...tak mungkin doktor, saya yakin doktor boleh lakukan sesuatu supaya saya dapat teruskan kandungan ni sampai anak saya dilahirkan.” airmata yang mengalir semakin deras.  Sungguh, terlalu sukar untuk dia menerima berita itu.

“Maafkan saya Puan, kandungan Puan berada di dalam tiub fallapio.  Dan untuk pengetahuan Puan, kandungan yang berada di dalam tiub fallapio tidak akan dapat membesar seperti janin lain yang berada dalam kandungan normal.  Tiub fallapio sebelah kanan Puan harus dibuang sekali bersama kandungan tersebut dengan segera kerana ianya boleh mengancam nyawa Puan sendiri sekiranya tiub fallapio itu pecah.” jelas doktor Fazliana. 

Lemah seluruh badan Qaireena ketika mendengar satu persatu penjelasan daripada doktor Fazliana. Dia benar-benar tidak kuat untuk melalui ujian itu.  Bagaimana dia mahu memberitahu kepada Taufiq bahawa impian mereka untuk memiliki cahaya mata bersama sekali lagi musnah?  Ah, dia tidak sanggup untuk melihat kekecewaan lelaki itu.

“Ya Allah, mengapa aku yang Kau uji sebegini.” raung Qaireena tanpa mempedulikan doktor Fazliana yang berada di depannya ketika itu. 

Lama doktor Fazliana membiarkan Qaireena melayan perasaannya.  Dia juga turut sedih melihat wanita itu, tetapi sebagai seorang doktor dia harus bersikap professional dan tidak boleh terlalu mengikut perasaan.

Lemah langkah kaki Qaireena memasuki kereta, namun sedaya upaya dia cuba menyembunyikan kesedihannya agar tidak dilihat oleh Pak Abu.

Sampai sahaja di rumah, Qaireena terus masuk ke dalam bilik.  Gambar ultrasound yang dicetak oleh doktor Fazliana direnung, manakala sebelah tangannya pula  menyentuh perutnya.  Perlahan airmata mengalir membasahi pipinya.

“Sayang, Mama yakin akan ada keajaiban yang berlaku.  Sayang akan keluar dan  berpindah ke dalam rahim Mama kan? Please sayang, Mama dah tak sanggup untuk menghadapi kehilangan demi kehilangan insan yang Mama sayang.” kata Qaireena sendiri.

“Mama dan Papa nak sangat jumpa dan tatap wajah comel anak Mama ni, jadi tolong jangan kecewakan Mama dan Papa ya.” tangisan Qaireena semakin berlagu selepas sahaja dia menuturkan kata-kata itu.  Jauh disudut hatinya dia masih mengharapkan sebuah keajaiban daripada yang Esa.

Dia kemudian bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Sejadah dihamparkan, dan telekung disarungkan ke tubuhnya. Usai menunaikan solat zohor, dia menadah tangan untuk berdoa. Memohon agar Allah mengurniakan keajaiban terhadap kandungannya. Dia masih berharap agar dia dapat meneruskan kandungan itu tanpa mempedulikan apa yang dikatakan oleh doktor Fazliana.

Qaireena duduk sambil menikmati minum petang di meja yang terdapat ditepi kolam ikan. Dari jauh dia melihat Taufiq yang baru sahaja pulang dari pejabat menapak ke arahnya sambil mengukir senyuman. Sayu hatinya saat melihat senyuman sang suami. Pasti senyuman itu akan lenyap apabila lelaki itu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap kandungannya. Sungguh dia tidak sanggup untuk melihat kekecewaan diwajah lelaki itu.

“Awal Abang sampai hari ni?” soal Qaireena dengan senyuman. Taufiq mengucup dahi Qaireena dan sempat tangannya mengusap perut isterinya itu sebelum dia melabuhkan punggungnya disebelah Qaireena.

“Abang ada meeting dekat luar tadi dengan Yazid, malas nak masuk pejabat semula jadi Abang terus baliklah. Nak luangkan masa dengan isteri Abang ni.” jawab Taufiq bersama senyuman. Wajah Qaireena dipandang.

“Kenapa mata Reen bengkak? Reen baru habis menangis ke?” berkerut dahi Taufiq saat melihat mata isterinya itu bengkak.

“Tadi Reen menonton drama korea, cerita tu sedih, adalah nangis sikit. Lepas tu Reen tertidur, bila bangun mata nampak bengkaklah.” tipu Qaireena.

“Ish...Sayang ni, janganlah tengok cerita emosi sangat. Reen kan tengah mengandung tak boleh stress, lagipun Abang tak nak nanti muka baby terkenan macam pelakon korea tu. Biar baby ikut muka Papa dia yang kacak ni je.” ujar Taufiq. Matanya pula dikenyitkan sebelah.

Luluh hati Qaireena ketika mendengar kata-kata Taufiq itu. Namun sedaya upaya dia cuba memaniskan senyuman. Sungguh dia tidak kuat untuk memberitahu perkara itu kepada Taufiq.

••••••••••

*Seminggu kemudian*

Setelah menghantar Taufiq ke pintu utama dan melihat kereta lelaki itu bergerak keluar dari garaj, Qaireena terus menapak naik ke biliknya. Sedari tadi bawah perutnya sakit, tetapi sedaya upaya dia menahan ketika berada di hadapan Taufiq. Dia kemudian baring di atas katil, berharap agar sakit itu akan berkurang sebentar lagi.

Tiga jam berlalu, rasa sakit itu langsung tidak berkurang sedikit pun. Malah seluruh badannya juga turut merasa sakit. Qaireena sudah mula terasa lemah. Tangannya juga mula menggigil akibat menahan rasa sakit yang teramat sangat.

Dia bangun dari katil, perlahan langkah kaki dibawa menuju ke pintu dengan keadaan yang terbongkok-bongkok sambil sebelah tangan memegang perutnya.

“Mak Leha...” panggil Qaireena lemah.

“Mak Leha...Pak Abu...” dia melangkah ke hujung tangga.

“Ada apa Reen?” tanya Mak Leha yang baru sahaja keluar dari dapur.

“Ya Allah, Reen kenapa ni?” terkejut Mak Leha ketika melihat ke arah Qaireena yang sedang terbongkok-bongkok. Laju Mak Leha menapak naik dan menghampiri Qaireena.

“Mak Leha, tolong bawa Reen ke hospital, Reen dah tak tahan.” ujar Qaireena sambil terus terduduk dihujung tangga itu.

“Reen jatuh ke tadi?” soal Mak Leha, dia takut perkara sama terjadi lagi pada isteri majikannya itu. Qaireena hanya menggelengkan kepala. Dia sudah tidak mampu untuk bercakap lagi.

“Abang...” jerit Mak Leha memanggil Pak Abu.

“Apa yang awak terjerit-jerit ni?” bebel Pak Abu yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.

“Kita kena bawa Reen ke hospital sekarang Bang.” jawab Mak Leha. Mendengarkan itu, cepat-cepat Pak Abu menapak naik dan membantu Mak Leha memapah Qaireena turun ke bawah.

“Ya Allah, kenapa dengan Reen ni, muka pun dah pucat. Dah call Tuan ke?” tutur Pak Abu penuh kerisauan. Qaireena geleng kepala lagi.

“Tak apa sekejap lagi Pak Abu call Tuan.” kata Pak Abu.

~~~

Selepas sahaja Taufiq menerima panggilan daripada Pak Abu, dia terus bergegas menuju ke hospital. Di dalam hati dia berdoa agar tidak ada perkara serius yang berlaku terhadap Qaireena dan juga kandungannya.

Sampai sahaja di hospital, Taufiq terus menerpa ke arah Pak Abu dan Mak Leha.

“Macam mana keadaan Reen Mak Leha, Pak Abu?” soal Taufiq cemas.

“Tuan, doktor sedang tunggu Tuan dekat dalam bilik tu.” kata Pak Abu. Mendengarkan itu, Taufiq terus melangkah menuju ke bilik yang ditunjuk oleh Pak Abu.

“Tuan, saya perlu jalankan pembedahan untuk membuang tiub fallapio Puan Reen dengan segera.” ujar doktor Fazliana sebaik sahaja Taufiq berada di depannya.

“Macam mana dengan anak dalam kandungan isteri saya doktor?” semakin deras airmata Qaireena mengalir di sebalik langsir yang menutupi ruang katil rawatan itu, saat dia mendengar pertanyaan Taufiq tersebut.

“Tuan tahukan yang Puan Reen mengandung di luar rahim?” soal doktor Fazliana.

“Saya tak tahu doktor.” jawab Taufiq. Mendengarkan itu, doktor Fazliana menarik nafas dalam. Tahulah dia bahawa Puan Qaireena menyembunyikan perkara itu daripada suaminya.

“Memandangkan janin berada di dalam tiub fallapio, janin tersebut akan dibuang sekali bersama dengan tiub tersebut. Tiub fallapio sebelah kanan Puan Reen telah pecah dan ianya boleh membahayakan nyawa beliau.” tutur doktor Fazliana. Luluh hati Taufiq saat mendengar kenyataan itu. Tanpa sedar airmatanya mengalir membasahi pipi.

Happy Reading korang :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience