Chapter 10

Romance Completed 32271

Sepuluh

Marha termenung sejak dia pulang dari bangunan Canselori. Nuha hairan dengan sikap sahabatnya itu. Dia pelik melihat mata Marha kemerahan seperti baru lepas menangis semasa dia sampai di rumahnya.

“Marha, kenapa dengan kau ni? Kau ada masalahkah?” Nuha cuba memancing mood Marha.

“Hmm...” Marha mengeluh.

“Ish, kenapa ni? Selalu tak macam ni. Sudah lama kita tak berjumpa tapi kau buat muka macam ni. Apa masalah kau, Marha? Cuba cerita kepada aku. Mana tahu aku boleh bantu.” Nuha duduk di sebelah Marha. Bahu Marha dipaut lembut..

“Entahlah, Nuha. Aku sendiri tak faham apa yang terjadi kepada diri aku sekarang.” Balas Marha dengan suara yang perlahan. Bahunya dijungkit.

“Cerita kepada aku. Aku kan sahabat kau.”

“Aku rasa terseksa selama ni. Aku rasa berdosa sangat kepada Allah. Aku rasa aku sudah menduakanNya.” Marha mula menangis.

“Kenapa kau rasa macam tu pula?”

“Aku sudah jatuh hati dengan seseorang, Nuha. Aku... Aku tak sanggup rasa macam ni lagi.”

“Kau... Kau menaruh perasaan terhadap Farhan?”

“Emm.” Marha menganggukkan kepalanya. Mukanya disembamkan ke bantal kepala milik Nuha. “Aku tak faham dengan perasaan ni. Aku benci rasa macam ni.”

“Marha, Marha, Marha.” Nuha ketawa kecil. Dia menarik bangun badan Marha yang sedang terbaring itu.

“Rasa cinta itu fitrah manusia. Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ianya bersih dan suci. Ada satu kata pujangga berkata cinta itu ibarat setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”

“Hamka?”

“Ha, pandai pun Cikgu Marha.” Nuha mencuit hidung Marha.

“Lagi satu, orang selalu kata kalau kita sukakan seseorang, kita kena simpan dalam hati. Berdoa kepada Allah agar dia menjadi jodoh kita. Tak pun minta Allah beri yang terbaik untuk kita. Kau pernah dengar ayat macam ni?” Nuha merenung wajah bersih Marha.

“Selalu juga aku baca dalam blog-blog dakwah. Kenapa?” Marha mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Tahu tak konsep tawakal? Konsep tawakal yang betul ialah kita berusaha dahulu untuk capai apa yang kita inginkan. Selepas itu barulah kita bertawakal.”

“Betullah tu tapi apa kaitan dengan masalah aku sekarang?” Marha mengerutkan dahinya.

“Macam ni. Kau dengar baik-baik ya? Andai kita sukakan seseorang, kita kenalah beritahu dia. Itu yang dinamakan usaha. Tapi kenalah berpada-pada usaha itu. Letakkan usaha itu dalam batasan syarak.”

“Maksudnya?”

“Maksudnya, kalau kau sukakan Farhan, hantarlah wakil untuk menyatakan rasa hati kau itu. Tapi kena persiapkan diri serba sedikit sebelum memberitahu. Andai perasaan kau ditolak,tak adalah kau frust menonggeng macam burung unta! Hehe.” Nuha mengangkat keningnya sambil tertawa. Dia berseloroh.

“Ala kau ni. Bercanda pula. Mana aku layak hendak beritahu perasaan aku kepada dia. Siapalah aku kalau hendak dibandingkan dengan kawan-kawan perempuan dia? Lagi-lagi pelajar Diploma Pendidikan Pengajian Islam. Aku?” Marha menumbuk lembut dada Nuha.

“Marha, kalau kau betul-betul rasakan diri kau tak baik, kau masih boleh ubah. Jangan mengukur kebaikan, keimanan dan ketinggian ilmu agama seseorang itu tak boleh diukur daripada gelaran ustaz atau ustazah, tak ternilai dengan songkok dan tudung labuh yang dipakai. Kita semua sama sahaja. Hanya takwa menjadi kayu pengukur.” Nadanya lembut berbicara tetapi punya ketegasan di sebalik kelembutan itu.

“Emm, aku akan jadi yang terbaik. Aku akan jadi anak yang solehah, kakak yang solehah, pelajar yang solehah, sahabat yang solehah, pendidik yang solehah, isteri yang solehah. Pendek kata, aku akan jadi solehah dalam semua aspek dan keadaan. Terima kasih, Nuha. Aku sayang kau. Uhibbukifillah.” Marha merapatkan tubuhnya kepada Nuha. Perlahan-lahan tangannya bergerak melepasi belakang tubuh Nuha dan memeluk sahabatnya itu.

Nuha membalas pelukan Marha. Kepalanya diletakkan di atas kepala Marha.

“Uhibbukifillah kaman.” Nuha membalas perlahan.

“Marha, aku ingin tanya kau. Cinta memang fitrah manusia. Tapi atas dasar apa kau rasa cinta kau kepada Farhan? Nafsu? Atau berpaksikan iman? Kalau kerana nafsu, itu sudah tak betul, Marha. Cinta yang kita bina kerana nafsu akan sentiasa merosakkan diri kita, mengundang rasa kecewa. Tetapi kalau cinta yang kita bina untuk mendapat redha Allah, berpaksikan keimanan kita, Insha Allah kita akan bahagia dunia dan akhirat.” Kepala Marha diusap lembut.

“Apa maksud kau cinta berpaksikan nafsu dan keimanan?” Marha mengangkat kepalanya daripada bahu Nuha. Dia menoleh ke arah sahabatnya yang sedang berbicara.

“Macam ni. Kalau kau cintakan Farhan sekadar hendak mengisi kekosongan di jiwa kau, itu salah. Sangat salah. Bila dasar cinta itu kerana nafsu, cinta itu pasti bersulamkan maksiat. Contohnya kita berpegang tangan, duduk berdua-duaan dan sering terbayangkan orang yang kita suka. Cinta nafsu hanya mengundang murka Allah. Kau mahu macam tu?” Nuha menerang dengan panjang lebar.

“Mestilah tak mahu. Aku tak sanggup kalau Allah bencikan aku.” Marha menggeleng kepalanya. Mukanya berkerut seribu.

“Bagaimana pula kalau cinta itu berpaksikan keimanan kepada Allah? Pasti perbezaannya ketara. Cinta itu ibadah. Kalau cinta itu ibadah pasti kau tak mahu cinta suci itu terpalit dengan noda maksiat? Betul tak?”

Marha mengangguk. “Kalau kita cintakan seseorang itu kita pasti mahu membawanya ke syurga. Bukan ke neraka. Kau mahu ayah yang macam mana untuk anak-anak kau nanti? Fikirkanlah ya?” Nuha menyambung bicaranya. Senyuman tidak lekang daripada wajahnya.

“Terima kasih, Nuha. Kau banyak beri nasihat kepada aku dalam bab-bab agama. Kalau aku tiada sahabat sepeti kau, sudah pasti aku hanyut. Mungkin aku tak macam sekarang. Kau sahabat aku di dunia dan akhirat. Tapi memang hebatlah kau berkata-kata.”

“Alhamdulillah. Sedikit ilmu yang dipinjamkan oleh Allah dan sedikit kata-kata aku petik daripada buku Sinergi oleh Hilal Asyraf. Masakan kau boleh lupa kata-kata penulis kegemaran kau?” Nuha mencubit pipi gebu Marha.

“Aku manusia yang sering lupa. Sebab tu Allah kurniakan sahabat macam kau kepada aku. Kau akan ingatkan aku bila aku lupa dan alpa.” Marha memuncungkan bibirnya.

“Yalah, sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain. Lagi satu, simpanlah muncung itik kau tu.” Nuha tergelak kecil melihat telatah sahabatnya itu.

“Wekk. Kau jahat.” Marha mencemik.

“Kau nak aku tolong risik siapa yang dia suka? Mana tahu dia sukakan kau juga. Arfan pernah beritahu aku dulu yang dia ada sukakan seseorang. Mungkin kau?”

“Tak perlulah, Nuha. Apa-apa pun terima kasih. Belum masanya lagi. Kalau ada jodoh, Insha Allah.” Marha memeluk Nuha. Terharu dengan kasih-sayang sahabatnya itu.

“Tak mengapalah kalau begitu. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau.”

“Terima kasih, Nuha. Baiklah, aku hendak solat Zohor sebentar. Aku pinjam telekung kau ya?” Dia bangun dan terus menyucikan dirinya dengan berwuduk.

Setelah dia usai menunaikan solat, dia berdoa.

“Ya Allah, bila kehadiranku menganggu hatinya, tidak membawa kebaikan padanya, maka Kau pisahkanlah kami biar pun kami terluka. Bila aku tidak layak dan bukan yang terbaik untuknya, maka Kau jauhkanlah aku darinya. Bila bukan aku yang tertulis untuk melengkapkan separuh agamanya, maka jarakkan kami agar tidak timbul rasa yang mengundang kecewa.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience