BAB 1

Thriller Completed 3653

Ada apa dengan rumah itu? Entah kenapa setiap kali aku melaluinya bagai ada satu perasaan aneh menjentik diriku.

Nadira melangkah laju meninggalkan restoran Sri Kenanga. Selepas melahap nasi ayam kegemarannya sebentar tadi, dia perlu tergesa-gesa kerana tuntutan kerja. Masakan tidak, hanya mempunyai setengah jam untuk menjamu makan tengahari membuatkan nasi ayam sebentar tadi tidak dikunyah sebaliknya hanya ditelan.

Nasib baik ada air suam untuk melancarkan perjalanan nasi! Bisik hati kecilnya. Bukan dia tidak kenal dengan perangai bos nya yang mengalahkan singa lapar. Kalau berkaitan kerja, tiada kompromi. Sedangkan kerana bos tua itulah yang membuatkan masa makan tengahari nya menjadi singkat. Mesyuarat macam tak ada hari esok! Gumam hari Nadira geram.

“Dira, bos nak jumpa, baru selangkah kakiknya melangkah masuk ke dalam pejabat, bergema suara Yatt, receptionist di pejabat itu.

“Orang tua tu memang tak kasi can aku nak rehat lah”, keluhku perlahan. Yatt hanya melemparkan senyuman nipis. Dimana dia memperolehi nama Yatt itu pun, Nadira tak tahu padahal nama sebenar dia Sabtuyah. Nadira mengekek di dalam hati. Kalau didengar dek Yatt, mahu tujuh hari tujuh malam bebelan tidak henti-henti dari receptionist muda itu.

Nadira mengetuk pintu bilik Encik Firman, lelaki tua yang juga merupakan ‘bos singa’ bagi dirinya. Gelaran itu dia yang tentukan kerana tidak tahan apabila sering dimarah lelaki itu tidak kira di depan orang ramai ataupun di depan rakan sepejabatnya. Kerana perangai singanya itulah ramai kakitangan pejabat itu angkat kaki. Cuma dirinya yang masih bertahan sehingga kini.

“Masuk,” arah satu suara garau. Yang pasti itulah Encik Firman. Huh! Nama saja macam orang beriman tapi hampeh, keluh Nadira.

“Bos nak jumpa saya?” tanya Nadira bodoh.

“Habis tu, takkan aku nak jumpa bapak kau pulak,” tanpa jeda Encik Firman menjawab membuatkan kawah gunung berapi yang hendak meletup seakan-akan mahu meletup. Sabar Dira! Pujuk hatinya.

“Aku nak kau siasat rumah tu, aku nak cerita pasal rumah tu,” tanpa mempelawa pekerjanya duduk, Encik Firman terus memberi arahan.

“Tapi bos, bos juga yang cakap rumah tu takde apa-apa. Bos kan suruh saya pergi tengok kapal terbiar dalam hutan tu,” jawab Nadira.

“Aku bos ke engkau bos?”

“Bos lah bos,” jawab Nadira perlahan.

“Aku beri masa seminggu untuk engkau. Yang aku tahu seminggu lepas tu, cerita pasal rumah tu dah keluar,”

“Tapi bos, singkat sangat masa tu. Lagipun, kalau takde apa-apa cerita pasal rumah tu macam mana?”

“Engkau buat kerja engkau tanpa banyak soalan tak boleh ke? Kau bawa Najib sekali untuk siasat pasal rumah tu. Kalau boleh, korang tidur kat sana. Mana tahu, banyak yang korang boleh tengok,”

“Gila,” gumam Nadira perlahan.

“Apa dia!!”

Terangkat bahu Nadira mendengar sergahan tersebut.

“Errrkk. Tak…takde apa-apa bos. Saya cakap semut ni gila, gigit kaki saya,” Nadira segera menjawab. Segera dia angkat punggung meninggalkan Encik Firman yang sudah membara. Ah lantaklah dia, memang Encik Firman sudah gila. Disuruh bermalam di rumah yang tidak berpenghuni bersama dengan Najib, rakan sekerjanya. Memang sah bos tua itu sudah mereng!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience