Bab 38

Short Story Series 55831

Cahaya matahari yang menyengat kulitnya membuatkan Haikal terjaga dari tidurnya. Matanya terasa silau sebaik saja dibuka apabila sinaran pagi matahari sudah lama meninggi. Haikal meraup wajahnya berkali-kali dan diurut tengkuknya yang terasa bengal akibat tidur di dalam kereta dalam keadaan yang tidak selesa. Haikal menolak daun pintu keretanya dan dia terus keluar bagi mengirup udara pagi itu.

Haikal melihat rumah separuh papan dan separuh konkrit yang berada di hadapannya ketika itu. Rumah itu sama seperti tadi pagi sewaktu dia sampai di situ awal-awal subuh selepas keluar dari rumah Tan Sri Mansur. Masih berkunci rapat seakan memang tiada penghuni di dalamnya. Haikal melihat sekeliling dengan harapan ada orang yang berlalu lalang disitu untuk dia bertumpang tanya tetapi tiada satupun kelibat manusia yang kelihatan ketika itu.
Haikal menarik kunci mangga yang mengunci pintu utama rumah itu dan ditariknya berkali-kali dengan harapan pintu itu terbuka tetapi perbuatannya itu hanya sia-sia. Haikal mengelilingi rumah itu pula untuk mengintip jika ada orang atau tidak di dalam rumah itu tetapi dia tidak melihat sesiapa.

“Macam tak ada orang yang tinggal tapi kenapa bersih pula kawasan rumah dia ni?” Haikal berkata sendiri dan menggaru kepalanya yang terasa gatal.

Haikal melihat sekeliling cuba mencari sesuatu yang boleh dia gunakan untuk memecahkan mangga pintu yang berkunci itu. Dia tahu apa yang dia lakukan ketika itu adalah salah disisi undang-undang kerana telah memecah masuk rumah orang tanpa kebenaran tetapi dia tidak peduli semua itu asalkan dia dapat masuk ke dalam rumah itu dan mencari apa yang diinginkan oleh dirinya.

Matanya ralat mencari sesuatu sehingga terlihat batu besar yang boleh digunakan untuk memecahkan mangga kecil yang mengunci pintu hadapan rumah itu. Diambil batu besar itu dan tanpa berlengah dia terus mengetukkan batu itu kepada mangga kecil itu berkali-kali sehingga akhirnya dia berjaya memecahkan mangga kecil itu daripada terus mengunci pintu rumah yang ingin dimasukinya.

Haikal melihat keadaan di dalam rumah itu sudah banyak yang rosak perabotnya yang terbuat daripada kayu sudah dimakan anai-anai. Rumah itu kelihatan bersih tersusun tetapi hanya debu dan habuk sahaja yang membuatkan dia tidak betah berlama-lama sehingga dia menutup hidungnya dengan tangan kanannya. Dia melihat sekeliling rumah itu. Bermula daripada ruang tamu, ke bilik sehinggalah ke dapur tetapi tiada seorangpun yang dilihatnya.

“Hish, mana kau pergi ni?” Haikal menderam marah apabila apa yang dicarinya tidak dijumpai. Haikal keluar selepas sepuluh minit berada di dalam rumah itu. Terbatuk-batuk dia dibuatnya apabila habuk masuk ke dalam rongga pernafasannya.

"Assalamualaikum, encik ni siapa?" Tiba-tiba seorang lelaki muda datang mendekatinya dan bersalaman dengannya.

"Oh, hai. Saya saudara jauh orang yang tinggal di sini tetapi nampaknya mereka sudah berpindah sebab kosong saja rumahnya." Haikal berbohong dan cuba bersikap selamba kerana dia tidak mahu dianggap penceroboh rumah orang.

"Saudara jauh? Saya rapat dengan orang yang tinggal di sini dan saya tidak tahu pula dia ada saudara jauh. Rumah ini sudah empat tahun tidak berpenghuni dan saya yang membersihkan setiap kali saya pulang ke kampung. " Lelaki itu mengecilkan matanya kerana dia tahu lelaki itu sepertinya sedang berbohong dan menyembunyikan sesuatu. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat mangga yang mengunci pintu rumah itu berada di tanah dan rosak.

"Encik rapat dengan orang yang tinggal di sini? Jadi encik pasti kenal perempuan yang bernama Rina Altafunisa kan?" Haikal memandang lelaki itu dengan penuh pengharapan agar lelaki itu membantunya memberitahu dimana keberadaan wanita yang dicarinya itu.

"Saya tidak tahu apa urusan encik dengan Rina tapi saya kawan baik dia. Nama saya Syahiran. Jadi saya boleh tahu kalau encik ini menipu atau tidak. Setahu saya Rina tiada ahli keluarga lain dan dia sebatang kara selepas semua ahli keluarganya yang terdekat meninggal dunia. Encik siapa sebenarnya ni?" Syahiran bertanya tidak sabar. Siapakah lelaki asing di hadapannya itu. Mengapa dia mencari Rina yang sudah empat tahun menghilangkan diri tanpa khabar berita selepas peristiwa pengusiran itu. Puas dia, Aqilah dan Jun mencarinya tetapi langsung tiada sebarang jejak yang membawa mereka kepada Rina. Rina seakan-akan hilang ditelan bumi.

"Aku suami dia. Kalau kau kawan baik dia mesti dia ada beritahu kau yang dia sudah berkahwin. So, aku tak nak buang masa lagi. Cepat beritahu aku di mana dia sekarang?" Akhirnya Haikal membuang sikap formalnya dan bercakap dengan nada aslinya sambil memandang Syahiran tajam. Benarkah kawan? Jika kawan kenapa nampak prihatin sangat? Jangan-jangan perempuan tak guna tu bermain kayu tiga dibelakang aku? Haikal bermonolog sendiri.

Syahiran yang mendengar pengakuan lelaki itu seakan-akan berasap telinganya lagi-lagi apabila melihat wajah Haikal yang tidak langsung menunjukkan riak bersalah atas apa yang dia lakukan terhadap Rina. Syahiran tidak menunggu lama dan segera dia menghayunkan penumbuk ke pipi kiri Haikal dengan kuat. Belum sempat Haikal berdiri tegak semula sekali lagi satu tumbukan kena tepat di pipi yang sama sehingga Haikal jatuh ke tanah.

"Satu tumbukan untuk Rina dan satu lagi tumbukan untuk keluarga dia sebab kau rogol kawan aku dan ini sebab kau buat hidup dia merana!" Syahiran menyepak kuat perut Haikal yang berada di tanah sehingga terbatuk-batuk lelaki itu dibuatnya.

"Bangun, setan!" Syahiran menjerit sekuat hatinya memandang tajam ke arah Haikal yang cuba berdiri tanpa sebarang bantuan. Dia masih tidak berpuas hati dan mahu membelasah lelaki itu lagi sehingga dia berasa puas.

"Apa yang kau dah buat pada kawan aku tak boleh dimaafkan. Sepatutnya kau sudah lama meringkuk dalam penjara tapi disebabkan belas ihsan kawan aku dia biarkan kau lepas di luar sana. Sekarang kenapa kau nak cari dia lagi? Tak cukup kau hancurkan hidup dia?!" Syahiran menarik kedua kolar baju Haikal dan mendekatkan wajahnya dengan wajah Haikal. Jika diikutkan hatinya ketika itu mahu sahaja dia membunuh Haikal tetapi akal warasnya masih mampu menghalangi dirinya daripada melakukan perkara terkutuk itu.

"Ini je ke yang kau ada?" Haikal berkata sinis sebelum dia menolak Syahiran jauh daripadanya dan menendang kuat perut Syahiran sebagai balasan lelaki itu menendang dan menumbuknya tadi. Syahiran terundur ke belakang sedikit dan memegang perutnya yang perit akibat ditendang oleh Haikal.

"Sayang betul kau pada kawan kau ye? Betul ke kau kawan dia atau kau ada perasaan pada isteri aku?" Haikal meludah ke lantai apabila terasa cairan darah di lidahnya. Haikal memegang hujung bibir kirinya yang pecah akibat ditumbuk oleh Syahiran. Kuat juga penumbuk lelaki ni! Haikal tersenyum sinis dan memprovok Syahiran agar datang mendekatinya untuk berlawan.

"Lelaki sial macam kau ni tak akan faham persahabatan aku dengan Rina. Rina tu aku sudah anggap macam ahli keluarga aku sendiri. Aku sayangkan dia sama seperti aku sayangkan adik aku. Kau rasa aku akan duduk diam ke bila adik aku merana disebabkan jantan tak guna macam kau?" Syahiran bercakap lantang dengan badan yang terketar-ketar menahan amarah. Dia masih ingat malam dia menemui Rina di dalam bilik hotel lima bintang di dalam pakaian yang mengaibkan disebabkan perbuatan lelaki durjana di hadapannya itu.

"Kau tak payah nak tunjukkan siblinghood kau depan aku lah wei! Mana isteri aku sekarang? Dekat mana kau sembunyikan dia?" Haikal menengking Syahiran apabila lelaki itu asyik memakinya dengan kata-kata kesat.

"Astaghfirullahalazim, ada apa ni?" Suara Tok penghulu membuatkan mereka berhenti bergelut. Mereka melihat lelaki yang sudah lanjut usia itu datang mendekati mereka. Serta merta mereka menolak badan satu sama lain untuk menjauhkan diri sesama sendiri.

"Pakcik ni siapa?" Haikal bertanya jengkel. Siapa pula lelaki ini yang menyibuk urusannya. Mengapalah Rina dikelilingi oleh penduduk kampung yang sangat menjengkelkan dirinya?

"Pakcik tok penghulu di sini. Jadi pakcik bertanggungjawab jika berlaku apa-apa di dalam kampung ini terutamanya kes pergaduhan seperti kamu berdua ini. Kamu tu pula siapa? Setahu pakcik, kamu bukan orang kampung ini kan?" Tok Penghulu memandang Haikal yang masih tidak melepaskan renungan mautnya pada Syahiran. Daripada sikap dan cara bahasa yang dituturkan oleh Haikal jelas kelihatan bahawa pemuda itu berasal daripada bandar.

"Saya datang dengan niat yang baik sebelum tiba-tiba mamat celaka ini datang tumbuk saya." Haikal cuba menerkam ke arah Syahiran tetapi sempat ditahan tok penghulu kampung itu dan dibawanya dia menjauh dari Syahiran.

“Kau tu yang celaka dan tak guna.” Syahiran membalas seperti anak kecil saja perbuatannya itu.

"Jaga lisan kamu wahai anak muda. Setiap perkara boleh diselesaikan dengan cara baik-baik. Betul apa yang dikatakan oleh lelaki ini Syahiran bahawa kamu menumbuknya?" Tok penghulu bertanya inginkan kepastian dan menggelengkan kepalanya berkali-kali apabila melihat Syahiran menganggukkan kepala.

"Kenapa kamu tumbuk lelaki ini?" Tok penghulu bertanya kesal. Setahunya cucu sahabatnya itu bukan kaki gaduh sejak daripada kecil dia mengenali Syahiran.

"Kalau tok nak tahu, lelaki inilah yang membuatkan hidup Rina merana! Lelaki tak guna inilah punca saya kehilangan kawan baik saya tok!" Syahiran membela diri dengan memberitahu sebabnya mengapa dia menumbuk Haikal. Dia tidak mahu dipersalahkan dalam masalah itu kerana orang yang bersalah adalah Haikal.

"Ya Allah. Kalau tok boleh tahu apa hubungan kamu dengan Rina?" Tok penghulu bertanya inginkan kepastian apa yang dikatakan oleh Syahiran tentang lelaki itu.

"Pakcik dengarkan tadi apa yang dikatakan oleh dia? Saya suami Rina Altafunisa." Haikal menjawab malas.

"Astaghfirullahalazim, jadi benarlah Rina itu difitnah. Ternyata kamu suaminya, kamu tahu tak apa yang orang kampung lakukan terhadap isteri kamu? Mereka halau isteri kamu dengan mengatakan dia wanita penzina kerana mengandung tanpa seorang suami disisinya. Ke mana kamu pergi selama ini? Mengapa kamu persia-siakan isteri kamu?" Tok penghulu menggelengkan kepala kerana rasa bersalah yang menggunung terhadap Rina Altafunisa saat wanita muda itu diperlakukan teruk oleh penduduk kampungnya. Sudah empat tahun berlalu dia masih tidak mampu memaafkan dirinya lagi selagi dia belum meminta maaf kepada wanita itu.

"Isteri saya mengandung?" Haikal bertanya terkejut. Apa yang baru didengarnya tadi? Adakah selepas malam itu isterinya terus mengandung? Tidak mungkin!

"Tok tengok, isteri dia mengandung pun dia tak tahu. Dasar lelaki dayus." Syahiran menempelak apabila berasa meluat melihat wajah Haikal yang terkejut itu.

"Apalah nak jadi dengan manusia zaman sekarang ni. Astaghfirullahalazim." Tok penghulu menggelengkan kepala memikirkan perangai umat akhir zaman.

"Pakcik tahu tak di mana saya nak cari isteri saya?" Haikal bertanya tidak sabar.

Tok penghulu seakan-akan memikirkan sesuatu sebelum memandang Haikal.

"Pakcik tak tahu di mana dia sekarang tetapi kalau benar kamu suaminya, bapa kamu datang ke sini sewaktu dia di halau oleh orang kampung malam itu. Kalau tidak silap nama lelaki itu Tan Sri Mansur. Apa benar itu nama bapa kamu?" Tok penghulu bertanya tetapi dia tidak dapat jawapan daripada Haikal kerana lelaki itu terus berlari masuk ke dalam keretanya dan memandu pergi.

"Jadi selama ini tok tahu Rina bersama bapa mertuanya? Kenapa tok tak beritahu saya sewaktu saya bertanya kepada tok penghulu? Tok tahu tak saya macam orang gila cari Rina di merata-rata tempat?" Syahiran bertanya tidak percaya kerana selama ini dia selalu bertanya kepada tok penghulu perihal Rina tetapi lelaki itu sering menjawab tidak tahu apabila ditanya sehingga dia berputus asa.

"Maafkan tok sebab tak beritahu kamu tapi ini semua atas kehendak keluarga kamu sendiri. Demi kebaikan kamu dan Syuhada. Kamu sendiri tahu kenapa punca Rina dihalaukan? Jika bukan kerana isteri kamu yang memberitahu Mak Jenab tentang kehamilannya perkara ini tidak akan terjadi. Lupakan saja untuk mencari Rina, Syahiran. Mungkin ini yang terbaik untuk kamu berdua." Tok penghulu menepuk lembut bahu Syahiran sebelum pergi daripada situ. Dia tahu dia bersalah kerana menyembunyikan tentang keberadaan Rina bersama bapa mertua wanita itu tetapi disebabkan kawannya iaitu datuk Syahiran yang meminta untuk merahsiakan perkara itu maka dia turutkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience