1 Cinta Pertama

Short Story Completed 68138

Okay gaiz, sebelum tirai empat belas hari diselak lebih lanjut, izinkan aku memperkenalkan diri dahulu. Nama aku Anggun Adeelo, anak bungsu daripada tiga beradik. Abang sulung aku bernama Arjuna Azel, seorang lelaki kacak dan punya ramai peminat. Manakala kakak aku bernama Anggun Aveela, punya paras wajah dan bentuk badan yang bisa menggentarkan mata yang memandang. Aku? Sejak kecil aku memang dimanjakan oleh keluarga, maklumlah anak bungsu, jadi akulah yang paling gempal antara kami bertiga. Usia kami cuma berjarak dua-dua tahun. Meaning, kakak aku Veela lahir selepas umur Azel dua tahun dan aku pula lahir selepas kakak aku berumur dua tahun.

Ayah aku berdarah kacukan, seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi manakala ibu wanita tempatan, juga bekerja di bahagian pendidikan. Ayah ambil pencen muda, kemudian berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hinggalah dia mampu membina empayar sendiri, taklah segah syarikat besar yang lain, tetapi cukup untuk memewahkan kami anak beranak. Dari dunia perniagaan, ayah bertemu seorang rakan yang sentiasa membantu di kala kesusahan, mereka akhirnya menjadi rakan baik. Dari situlah aku mulai mengenali Dariz Kaden.

Aku bertemu Dariz Kaden buat pertama kali ketika aku berumur sepuluh tahun, ketika dia dan keluarganya datang ke rumah. Dariz melangkah masuk seumpama seorang putera raja di mata aku, bersinar-sinar menyilaukan mata. Masa tu, aku masih perasan aku seorang puteri raja, suka pakai gaun princess, siap ada crown di kepala. Waktu itu, hanya aku seorang diri di ruang tamu. Dariz datang mendekati aku, lalu memberikan senyuman paling manis pernah aku terima dari mana-mana lelaki sebelum itu.

"Hello princess yang manis..boleh berkenalan?"

Itu kata-kata pertama Dariz pada aku. Saat itu, aku tahu hati aku sudah jadi milik Dariz! Dan mulai saat itu juga, aku sentiasa mengejar Dariz Kaden. Bersungguh-sungguh aku minta dipindahkan ke sekolah Dariz hingga Azel dan Veela terpaksa berpindah sama. Oleh kerana usia Azel dan Dariz sama, sekejap sahaja mereka berdua jadi akrab. Dan semenjak mereka berdua jadi bff, semakin selalulah aku dapat melihat Dariz lepak di rumah aku..Bahagia!! Aku benar-benar bahagia!

Aku selalu jadi mangsa buli masa sekolah rendah dahulu disebabkan badan aku yang agak gempal. Paling aku suka, Darizlah selalu muncul jadi penyelamat, siap ugut budak-budak nakal yang selalu menganggu aku. Paling aku tak suka pula, dia akhirnya menghabiskan masa berbual panjang dengan Veela dan bukan aku! Aku seolah cuma orang perantaraan Dariz untuk mendekati Veela.

Aku dan Veela memang jauh berbeza. Aveela mempunyai wajah runcing, kulit putih bersih, mata bulat hitam, hidung kecil dan runcing serta tubuh tinggi langsing, persis model! Di mana-mana pun Aveela pergi, pasti jadi perhatian. Aku? Kebanyakan fizikal aku warisi dari ayah. Rambut coklat, iris mata coklat, wajah bujur sirih, pipi tembam..warna kulit saja sama dengan Veela, cuma aku lebih putih dan nampak sedikit pucat, bila agak lama di bawah terik mentari barulah nampak kulit aku kemerah-merahan. Ibu selalu kata aku yang paling cantik, cuma aku tidak pandai menonjolkan kecantikan, tidak seperti Veela yang sentiasa tampil cantik walau hanya ke kedai runcit.

Dan kisah kami berterusan hinggalah aku berusia 16 tahun. Di mana ada Dariz, di situlah akan ada aku. Kemudian, Azel dan Veela akan menyusul datang, dan aku akhirnya cuma jadi orang tengah..yang menyaksikan Dariz dan Veela bergelak ketawa dengan bahagia. Di kala aku bergembira di majlis hari jadiku, Dariz datang membawa perkhabaran gembira baginya tetapi menyedihkan buat aku. Dia dan Azel diterima masuk ke sebuah universiti terkenal di luar negara.

Aku cuba kuatkan hati untuk berpisah dengan cinta pertama aku, bersungguh-sungguh aku pamer wajah ceria masa menghantar mereka berdua, balik saja ke rumah, seminggu aku tidak keluar bilik menanggung duka. Dua tahun kemudian, Veela pun menyusul..Buat aku benar-benar panas punggung! Mulai waktu itu, aku bertekad dan belajar bersungguh-sungguh, kerana aku juga mahu menyusul mereka bertiga. Malangnya, permohonan aku ditolak dan aku terpaksa menyambung pelajaran di universiti tempatan..sedih toksah katalah!

Aku jadi lebih pendiam, low self esteem dan asyik merasakan aku perempuan paling hodoh di dunia! Ibu perasan akan perubahan aku. Dia kemudian daftarkan aku ke kelas aerobik dan kelas kecantikan. Keyakinan aku kembali bila tubuhku jadi langsing dan wajahku semakin jelita. Lebih-lebih lagi pada suatu hari, aku dengan tidak sengaja terdengar perbualan ayah dan ibu di ruang tamu. Ayah dan papa Dariz mahu mengukuhkan hubungan dengan mengahwinkan Dariz pada salah satu anak gadis ayah..hehe..pasti aku!! Dengan yakinnya aku jawab dalam hati!! Aku semakin bersemangat mahu jadi cantik, mengamalkan diet keterlaluan hingga terpaksa keluar masuk hospital!

Sampailah umur aku genap 21 tahun, tamat belajar dan jadi penganggur terulung menghabiskan beras di rumah. Masa itu, Azel dan Veela juga sudah kembali, masing-masing sudah mempunyai pekerjaan yang menjamin masa depan. Pagi itu, ibu suruh kami bertiga bersiap-siap, kerana akan ada rombongan datang merisik. Aku bukan main senyum lebar, kerana aku sudah dapat agak siapa yang bakal datang. Sejak Dariz kembali ke tanah air, dia langsung tidak pernah muncul depan aku. Mungkin dia malu agaknya, yelaa..tak lama lagi kami kan bakal disatukan hehehee...tak sabar rasanya menunggu ketibaan hari itu!

Aku punya bersiap mengalahkan level mak andam pengantin! Bersungguh-sungguh aku paitung muka hingga sedikit cela di muka pun tidak kelihatan. Rambut aku dandan cantik-cantik mengalahkan rambut orang nak kahwin, pastu baju aku..huish..macam nak pergi candle light dinner! Beberapa kali aku belek-belak satu badan di depan cermin.. Tak over ke? Hati bertanya..ishh..taklahh, kaukan bakal diraikan..kenalah over sikit!! Aku tergelak sendirian macam orang gila. Setelah puas hati, aku melangkah lemah gemalai menuju ke pintu..Kenalah praktis sedia kan, nanti buat depan bakal mentua dan bakal laki aku, biar mereka rasa kagum dan bertuah bakal memiliki aku hehe..

Sebaik saja aku kuak pintu luas-luas, aku bertembung dengan Azel yang kebetulan baru hendak keluar dari biliknya. Terlompat katak Azel memandang aku. Bukan main luas mulutnya ternganga!!

"O maigadd Deelo!!! Kau ke yang nak kahwin ni?!! Melebih pulak kau ya!!" Azel menghampiri lalu menguis-nguis bulu mata palsu aku.

"Kau sedar tak mata kau ni dah macam mata burung hantu? Tu gincu tu..teranggg menyala tau, sakit mata aku!! Pergi basuh sekarang!!! Baju tu..kau pergi tukar cepat!! Yang kau pakai dedah sana sini tu pehal Deelooo oiii?!! Kau tak tukar aku cekik kau sampai mampus, cepatt!!!"

Benci sungguh aku dengan Azel, berlagak macam abang mithali lah sangat!! Sebab tula sampai sekarang tiada lelaki berani nak dekat-dekat aku, pasal abang mithali aku tu ler!!! Sambil hentak-hentak kaki tanda protes, aku masuk bilik lalu aku hempas pintu dengan sekuat hati. Geram!! Sia-sia usaha keras aku dari pagi!! Wajah penuh tempelan mekap aku bersihkan guna make up remover, baju aku tukar ke pakaian ala-ala baju kelawar tu, siap warna pelangi lagi. Rambut aku biarkan mengerbang, betul-betul mahu tunjuk protes depan Azel.

Terkejut aku bila pintu aku buka, Azel sudah tercengat depan pintu, merenung aku dari atas ke bawah dengan wajah serius. Aku buat muka dunno di depannya. Wajah aku ketika itu benar-benar kosong, tanpa secalit pun bedak.

"Ok pass!! Jom ke bawah!" Azel akhirnya berpuas hati lantas buka langkah meninggalkan aku yang sudah tarik muka masam mencuka.

Azel memang berniat mahu jadikan aku anak dara tua ni, tak berhati perut punya abang.. dia ingat dengan mengawal aku dia dah jadi abang mithali ke? Ishhh..geram aku!!

Tika kaki aku jejak ke anak tangga terakhir, rombongan merisik sudah sampai depan pintu. Tepat sangkaan aku, ayah dan ibu Dariz Kaden serta beberapa ahli keluarganya. Tiba-tiba aku rasa menyesal dengan penampilan selekeh aku, apatah lagi bila melihat Aveela yang sedang duduk sopan di samping ibu..Hampir nak nangis aku lihat Veela saat itu. Punyalah cantik kakak aku yang sorang tu, baju merah ketat melekat di badan, berkilau-kilauan di mata aku! Wajah cantiknya bertambah cantik dengan mekap sederhana, rambut pula disanggul kemas, siap ada loket permata bercorak burung merak melekat di rambut. Azel memang tak aci, kenapa dia tak tegur Veela?!! Nak kata aku masih budak, aku dah 21 tahun kut!! Dah boleh jadi mama budak!!

Hampir je aku patah balik dan naik ke bilik bila aku dengar suara ibu memanggil suruh aku duduk di sebelahnya. Dengan berat hati, aku terpaksa pergi. Lebih-lebih lagi bila mendapat kerlingan tajam dari ayah dan Azel...bencii!! Aku duduk di samping ibu. Satu-satu wajah rombongan yang datang aku tenung, cuba mencari wajah jejaka kacak dambaan kalbu aku tu. Tiada!! Erm..Pasti Dariz malu, takpe sayang.. aku faham, kau mesti malu nak jumpa bakal isteri kau yang cantik jelita ni kan? Hehe..ishh.. tak sabar rasanya!

"Pucuk pauh di tepi permatang,
Buah berangan rasanya lazat,
Dari jauh kami ni datang,
Datang dengan seribu hajat."

Ok baik, sabar..kita dengan pantun dulu, adat resam dilupa jangan!! Aku memujuk hati yang sudah tidak sabar.

"Cantik memanjat pohon Ara,
Nampak cantik berseri laman,
Besar hajat kami tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman."

Ok, ada sambungan lagi..takpe, takpe..lepas ni pasti nama aku akan disebut..ish, tak sabo den!

"Kompang bergema pusaka bangsa,
Dipalu oleh si anak muda,
Hadir tuan puan meriah suasana,
Kami sambut dengan gembira."

Huish..Ayah boleh balas pantun bagai? Ini melambatkan proses! Adui..Aku sudah semakin panas punggung akibat tidak sabar..

"Sirih bermadah pinang dibelah,
Adat dituruti tersusun rapi
Niat hati bertanya kalau tak kisah,
Siapa gerangan berkenan di hati."

Ok, cukuplah ayah oiii!! Harap ini pantun terakhir dari ayah..Jawablah papa Dariz bakal mentua aku..sebut nama aku biar seluruh alam tahu aku bakal isteri Dariz Kaden hehe..

"Satu-satunya anak teruna aku, Dariz Kaden sangat berkenan dengan puteri pertama tuan, cik Anggun Aveela."

Boom!!

Bagai panahan petir memanah badan aku, hingga kejang seluruh urat-urat. Peluh sejuk merembes keluar..tanpa aku sedar, bibir bawah aku gigit kuat hingga kelihatan darah merah mengalir dari celahan gigi. Betulkah apa yang aku dengar? Nafas tiba-tiba jadi sesak, pandangan berbinar-binar.

"Deelo!! Kenapa ni?!"

Aku sempat dengar jeritan ibu, sayup-sayup di corong telinga aku, sebelum pandangan aku jadi gelap gelita!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience