Permulaan

Adventure Series 173

Suasana indah dan menyamankan di suatu hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya. Di saat semua pelajar sibuk belajar, membuat ulangkaji dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, terdapat gelombang bunyi yang berfrekuensi rendah dengan kekuatan bunyi yang mampu didengari sejauh 50 batu dari sekolah tersebut. Bunyi tersebut datang dari sebuah kelas yang telah didaftar namanya sebagai Kelas 2 Bestari, atau singkatannya, 2B!

"Adakah anda sudah bersedia? " soal Saizo dengan penuh semangat. Pelajar yang lain juga menyambut dengan sorakan yang hebat menandakan sebuah permainan bola sepak yang akan diadakan sebentar lagi di dalam kelas. Saizo memulakan permainan dengan tendangan yang hebat lalu bola tersebut meluru ke arah Nash. Nash membalas tendangan tersebut dengan kuat sehingga bola tersebut melayang tinggi di udara.

Dalam keadaan genting itu, hanya Kimie yang mengambil alih sebagai penjaga gol sahaja yang mampu menghalang bola itu. Semua pelajar bersorak dengan penuh berdebar. "Hentikan bola itu!"

"Hentikan permainan ini!!!" jerit Puan Hasniza, Guru Kelas 2 Bestari dan juga merupakan guru mata pelajaran sejarah untuk kelas 2 Bestari. Seluruh kelas menjadi diam dan sunyi. Mereka kehairanan. "Bukankah kamu semua bermain Bola Sepak di dalam kelas sebentar tadi? " soal Puan Hasniza kepada semua pelajar di dalam kelas. "Ya, memang kami bermain bola. Tetapi kami hanya bermain permainan bola di atas kertas. " jelas Saizo, yang merupakan seorang Ketua Tingkatan 2 Bestari.

Puan Hasniza menjadi bisu untuk seketika. Lalu Puan Hasniza menuju ke meja guru yang terletak di hadapan kelas. Puan Hasniza terpaksa berjalan berbantukan tongkat disebabkan oleh masalah kakinya yang tidak sembuh sehingga sekarang yang menyebabkan beliau berjalan dengan sangat perlahan. Seluruh kelas menunggu Puan Hasniza berjalan ke arah meja guru sehingga muncul rasa bosan dalam diri pelajar. Lalu Nash mengeluarkan bola daripada begnya. "Anda fikir apa yang saya fikirkan? " soal Nash. Pelajar lelaki yang lain hanya tersenyum kambing menunjukkan ada sebuah rancangan nakal mereka yang mereka akan lakukan sebentar lagi. Iaitu bermain Bola Sepak di dalam kelas!

Semua pelajar lelaki bermain bola sepak di dalam kelas tanpa menghiraukan orang lain. Puan Hasniza berkali-kali menyuruh mereka berhenti, tetapi semuanya sia-sia, umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Lama kelamaan, Puan Hasniza menjadi marah lalu beliau menengking pelajar di dalam kelas. "BERHENTI!!!!!". Mi 9 yang terkejut ketika itu tanpa sedar telah menanduk bola ke arah Puan Hasniza. Bola itu pun meluru ke arah Puan Hasniza dengan laju sehingga terkena Puan Hasniza yang menyebabkan beliau tercedera dan tongkatnya patah. Tanpa dapat menahan amarah, Puan Hasniza berleter panjang lebar di dalam kelas dan memarahi pelajar kerana tidak menghormati beliau sebagai guru mereka.

Walaupun pelajar 2B telah dimarahi lamanya sehingga tamat mata pelajaran sejarah, tetapi mereka tetap tidak mendengar kata-kata Puan Hasniza menyebabkan Puan Hasniza makin marah lalu terus meninggalkan kelas tersebut sambil dipapah oleh Nuha. Sebelum Puan Hasniza beredar, Natasya, yang merupakan Penolong Ketua Tingkatan 2 Bestari, datang untuk memohon maaf kepada Puan Hasniza bagi pihak kelas 2B. Nasib baik di dalam kelas tersebut masih ada pelajar yang baik hati seperti Nuha dan Natasya yang telah membuatkan hati Puan Hasniza tenang semula.

Walaupun Puan Hasniza telah memaafkan pelajar kelas 2B, beliau tetap tidak dapat melupakan hal yang berlaku sebentar tadi. Setibanya Puan Hasniza di meja gurunya di dalam bilik SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks), beliau mengadu dengan rakan sekerjanya yang duduk disebelah meja Puan Hasniza. Malah, perbualan tersebut semakin rancak apabila ada beberapa guru yang juga mengadu tentang perangai buruk pelajar kelas 2B. Perbualan ini bertambah hangat sehingga perkara ini sampai di telinga pengetua sekolah, Puan Zurhiati binti Saad.

Pada masa yang sama, terdapat seorang guru baharu yang baru sahaja mendaftarkan dirinya di pejabat sekolah. Namanya Rohayati binti Hussin. Menurut rekod yang dipegang oleh beliau, Puan Rohayati merupakan seorang guru yang cemerlang di sekolah lamanya. Memikirkan tentang masalah yang dihadapi Puan Hasniza, Puan Zurhiati mencadangkan bahawa Puan Rohayati mengambil alih tugas Guru Kelas 2 Bestari. Dengan hati yang rela, Puan Rohayati menerima tugas tersebut dengan bersemangat.

Pada keesokan harinya, Saizo, seorang yang suka melukis, telah menconteng papan putih dengan melukis muka Puan Hasniza dengan sangat hodoh. Mukanya dilukis dengan ditambah misai dan janggut serta mempunyai hidung yang besar sehingga bulu hidungnya terkeluar. Ada pelajar yang tertawa dan ada juga yang mengutuk lukisan Saizo.

Pada masa yang sama, Puan Rohayati tiba di hadapan kelas 2B. Beliau merenung Saizo dengan agak lama sebelum Saizo menyedari bahawa terdapat guru baharu di belakangnya. Sebaik sahaja Saizo menoleh ke belakang, Saizo tidak gentar lalu melukis misai, janggut dan bulu hidung pada muka Puan Rohayati.

Lalu Puan Rohayati menengking Saizo dan memarahi beliau. Satu kelas menjadi sunyi. Natasya memohon maaf kepada Puan Rohayati bagi pihak Saizo lalu Natasya bertanya kepada Puan Rohayati, "Maafkan saya~ Err... Puan ini siapa? " soal Natasya kepada Puan Rohayati yang baru sahaja dia temui hari ini. Lalu Puan Rohayati membalas, "Saya, Puan Rohayati, Guru Kelas baharu kamu. Kamu sangat malang kerana mendapat guru kelas seperti saya. ". Seluruh kelas terkejut mendengar kenyataan yang diberikan oleh Puan Rohayati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience