Bab 55

Short Story Series 55082

Ahli keluarga Tan Sri Mansur beransur-ansur pulang selepas majlis doa selamat selesai dijalankan. Masing-masing sangat terkejut dengan perkahwinan Aqil dan Haikal yang tiba-tiba itu. Tiada seorang pun diantara mereka yang mengetahui tentang perkahwinan kedua anak lelaki Tan Sri Mansur untuk bertanya lebih lanjut juga mereka tidak berani kerana berasa segan terhadap Tan Sri Mansur yang sering membantu mereka jika mereka menghadapi kesusahan.

Sekumpulan wanita separuh baya yang duduk di ruang tengah sambil menunggu suami masing-masing yang sedang berbual dengan Tan Sri Mansur mula berbisik-bisik sesame sendiri. Mata mereka memandang ke arah dua menantu Tan Sri Mansur yang sedang duduk di hujung sudut berbual kecil.

“Kau semua tak perasan ke?” Seorang wanita yang dipanggil Mak Embun oleh mereka memulakan bicara. Matanya melirik ke kiri dan ke kanan tidak mahu ada orang yang mendengarnya kecuali mereka yang berada disitu.

“Apa?” Tiga orang wanita yang duduk bersama Mak Embun bertanya hampir serentak.

“Perempuan berpurdah itu, aku yakin dia perempuan yang aku nampak dulu waktu tidur di sini sewaktu perkahwinan Aqil dengan Shofwah.” Mak Embun mengerling ke arah Rina diikuti oleh yang lain.

“Kau juga tahu ada perempuan dekat tingkat atas dahulu? Aku ingat aku seorang saja.” Mak Kalsum membuka rahsia yang dia simpan selama ini.

“Mestilah aku tahu sebab aku pernah ternampak bayangan dia di tingkap sewaktu nak balik. Aku juga dengar suara bayi menangis. Aku yakin wanita itu wanita yang sama dengan perempuan yang berpurdah itu. Anaknya juga sudah besar.” Mak Embun menunjuk ke arah Qalifh yang sedang didukung oleh Aqil yang berbual dengan saudara mara yang lain bersama Haikal.

“Aku dengar Mansur kata dia itu janda anak satu. Aqil dengan dia sudah lama berkenalan sejak di universiti lagi.” Mak Shima pula membuka cerita apa yang didengarinya daripada Tan Sri Mansur tadi sewaktu suaminya bertanya kepada Tan Sri Mansur tentang menantu-menantunya.

“Masalahnya sekarang betul ke dia janda? Kalau janda orang kenapa dia duduk di sini dulu?” Mak Embun cuba menanamkan prasangka buruk ke dalam hati saudara-saudaranya yang lain.

“Habis tu kau nak cakap apa sebenarnya Embun?” Mak Shima sudah menjeling tajam ke arah Mak Embun yang sudah sangat dikenali sikapnya yang suka mengumpat hal peribadi orang.

“Aku rasa budak yang didukung Aqil tu anak kandung dia. Kau lihat saja cara layanan dia pada budak itu seperti bapa kandung sendiri. Mungkin mereka terlanjur di universiti dan kebetulan Aqil sudah dijodohkan dengan Shofwah sebab itu mereka sembunyikan perempuan berpurdah itu.” Mak Embun membuat andaiannya sendiri yang dia yakini itu adalah perkara yang sebenarnya terjadi.

“Jaga-jaga Embun jatuh fitnah nanti kau. Kalau betul itu anak Aqil kenapa baru sekarang nak berkahwin. Boleh saja dia kahwin selepas kematian Shofwah.” Mak Shima sudah menggeleng cuba tidak mahu ikut berprasangka terhadap keluarga Tan Sri Mansur terumata kepada isteri Aqil yang kelihatan baik dan sopan sahaja.

“Iyalah, kau ni tak baik. Mungkin Mansur mahu menolong perempuan itu ketika itu. Kita tidak tahu perkara yang sebenar jangan cepat melatah.” Mak Kalsum pula menyokong pendirian Mak Shima.

“Tapi aku rasa ada betulnya juga apa yang dia katakan. Jika benar mahu menolong kenapa harus disembunyikan di tingkat atas? Perkenalkan saja kepada kita sewaktu itu.” Mak Sakiya yang sudah mula termakan dengan kata-kata Mak Embun mula berfikiran negatif.

“Tapi Aqil itu baik budaknya. Tidak mungkin dia menconteng arang ke muka Mansur yang selama ini sudah asuh dia dengan baik.” Mak Kalsum cuba menafikan kata-kata Mak Sakiya dan Mak Embun yang sudah sedikit masuk ke dalam hatinya. Dia segera beristighfar.

“Baik depan kita belum tentu baik di belakang kita. Sekarang banyak saja anak-anak muda yang ikut hawa nafsu sehingga terlanjur dan mempunyai anak luar nikah. Seumpama sebuah trend saja sekarang ini. Semoga anak-anak kita dijauhi daripada perkara buruk. Kalau boleh aku nak cari menantu perempuan seperti isteri Haikal itu. Sudahlah cantik, sopan dan baik hati pula. Di dalam keadaan Haikal yang seperti itu dia masih setia dengan Haikal dan mahu berkahwin dengan Haikal. Jarang kita jumpa wanita yang baik seperti itu sekarang ini.” Mak Embun memandang pula ke arah Areen yang cantik berjubah biru gelap dan tudung yang sedondon dengannya tidak seperti Rina yang serba hitam seperti orang yang sedang berkabung.

“Apa yang kalian lihat dan dengar belum tentu benar.” Tiba-tiba seseorang bersuara di belakang mereka sehingga mereka menoleh serentak dan melihat Mak Minah yang sedang mengutip cawan-cawan kotor di atas meja.

“Minah, kau mesti tahu dan kenal perempuan berpurdah itu kan? Dia orang yang macam mana? Diakan wanita yang berada di atas itu dahulu?” Mak Embun bertanya tidak henti-henti kerana berasa teruja mahu mengetahui tentang wanita misteri itu.

“Cuma satu yang puan-puan harus tahu bahawa saya tidak pernah jumpa wanita sebaik anak yang bernama Rina Altafunisa itu. Dia tidak pernah melakukan perkara yang dilaknat Allah. Anak yang didukung oleh Aqil itu adalah anak suci yang terhasil daripada sebuah perkahwinan yang sah.” Mak Minah pergi membawa dulang yang berisi cawan kosong itu setelah membela Rina yang sedang diumpat oleh saudara-saudara majikannya itu.

“Itukan kau, aku sudah kata. Cakap itu jangan sembarangan. Siapalah kita mahu menghukum seseorang.” Mak Shima menggelengkan kepala sebelum bangun dan menuju ke arah Rina dan Areen yang masih berbual.

“Makcik minta diri dulu ya. Selamat pengantin baru untuk kamu berdua. Ada masa nanti datang ke rumah ya.” Mak Shima menghulurkan tangan bersalaman dengan kedua menantu Tan Sri Mansur itu. Disaat Mak Shima memeluk tubuh Rina dia sangat terkejut dengan apa yang dia rasakan. Tubuh isteri Aqil itu sangat kurus tetapi memberikan kehangatan ketika memeluknya seakan tidak mahu dilepas tubuh itu daripada pelukannya.

“Terima kasih kerana sudi mempertahankan saya walaupun makcik tidak mengenali saya. Semoga Allah merahmati makcik.” Rina bersuara lembut sambil membalas pandangan mata Mak Shima.

Sekali lagi Mak Shima terkejut dan terdiam dengan apa yang didengarinya. Dia hanya tersenyum janggal sebelum memandang kearah saudaranya yang lain yang masih berbual. Bagaimana Rina boleh mengetahui apa yang mereka bualkan sedangkan kedudukan mereka boleh dikatakan agak jauh dan suara mereka juga tidak kedengaran daripada tempat Rina duduk. Akhirnya Mak Shima hanya menganggukkan kepalanya dan menuju ke arah suaminya yang sudah bersalaman dengan Tan Sri Mansur.

“Andai mereka tahu siapa Areen dan siapa Rina pasti mereka tidak akan berkata buruk tentang Rina.” Areen bersuara saat Mak Shima sudah tidak berada disitu.

Areen juga terkejut saat mendengar suara keempat-empat wanita itu yang berbual tentang dirinya dan Rina tetapi apa yang pelik mereka seolah tidak mengetahui bahawa suara mereka itu sedikit kuat sehingga boleh kedengaran oleh Rina dan dirinya. Nasib baik sahaja tiada orang lain disitu melainkan mereka.

“Semoga Allah mengampuni mereka.” Rina hanya berkata pendek dan tidak memperdulikan kata-kata mereka itu. Sesungguhnya saat itu dia berasa berat dikepalanya. Dia berasa sakit yang teramat tetapi cuba ditahan demi menjaga maruah keluarga Tan Sri Mansur. Dia tidak mahu mereka tertanya-tanya tentang dirinya kepada bapa mertuanya itu. Cukuplah mereka mengetahui bahawa dia isteri kepada Adam Aqil.

Setelah semua tetamu balik, Aqil mendekati Rina yang sedang menyandarkan kepalanya di sofa. Dia duduk melipat lutut dihadapan Rina dan mengusap kepala Rina dengan penuh kasih sayang. Rina tidak memberikan respon sehingga membuatkan Aqil mula panik. Perlahan-lahan dileraikan ikatan purdah yang menutupi separuh wajah Rina. Aqil sangat terkejut apabila melihat darah merembes keluar daripada hidung Rina. Segera dia memanggil Mak Minah untuk membawakan ubat Rina.

Keadaan menjadi sedikit tegang ketika itu kerana masing-masing risau dengan keadaan Rina. Selepas Rina meminum ubatnya, Rina tertidur akibat kesan ubat yang kuat. Hidungnya sudah dibersihkan oleh Aqil. Aqil meminta izin untuk membawa Rina ke atas selepas memujuk Qalifh untuk tetap berada di bawah bersama yang lain apabila anak kecil itu masih menangis selepas melihat keadaan ibunya yang sakit tenat.


Aqil menatap wajah Rina yang pucat dan lesu. Sangkanya Rina semakin sembuh selepas pulang menziarahi kubur Puan Mawar dan Nek Jah minggu lepas apabila isterinya itu bersetuju dengan cadangan Tan Sri Mansur untuk membuat majlis doa selamat untuk menyambut dirinya dan Areen. Ternyata harapannya yang tinggi penuh pengharapan runtuh dalam sesaat apabila melihat keadaan isterinya itu.

“Astaghfirullah…Allahurabbi…” Aqil mengucap panjang cuba menenangkan kekecewaan hatinya. Tangan Rina dicium lama bersama dengan linangan air mata. Dia sedaya upaya mencuba menerima ujian yang diberikan oleh Allah kepada dirinya.

“Ya Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang memiliki hati hamba-hamba-Nya. Yang Maha Mengetahui. Sungguh, Kau mengetahui betapa aku mencintai dirinya lebih daripada aku mencintai diriku sendiri. Jujur Ya Rahim, aku tidak mampu menanggung kehilangan dirinya di dalam hidupku ini. Kau cinta abadi, Rasulullah s.a.w. cinta yang satu dan isteriku cinta yang menyerikan hidupku. Bukan aku tidak redha tapi takdir yang telah ditetapkan merobek perasaanku. Jantungku ini seakan terhenti saat melihat isteriku menanggung kesakitan yang teramat. Ringankanlah kesakitannya dan jika harus ada yang menggantikan posisi dirinya maka aku sanggup menanggung kesakitan itu.”

“Ya Allah, apakah sudah hampir perpisahan kami di dunia ini? Apakah sudah hampir tiba saat waktunya dia pergi? Apakah sudah hampir malaikat maut menjemput zaujahku ini?” Aqil bertanyakan kepada Yang Maha Mendengar dengan tangisan yang teresak-esak yang cuba dikawal agar tidak mengganggu Rina yang sedang lena.

“Isteriku, andai sudah hampir perpisahan kita di dunia ini aku mengikhlaskan dirimu menemui Kekasih abadi yang kau rindui. Isteriku, andai sudah hampir tiba saat waktunya kamy pergi aku merelakan kau menempati janji Allah yang pasti. Isteriku, andai sudah hampir malaikat maut mencabut nyawamu aku memaafkanmu dunia dan akhirat. Aku menghalalkan segala makan dan minummu. Dan ketahuilah duhai zaujati, Adam Aqil mencintaimu sehingga hujung nafasku.” Aqil mengucup umbun-umbun dahi Rina sebelum dilepaskannya genggaman tangannya dan menuju ke luar memberikan ruang untuk Rina beristirehat.

Saat Aqil menutup pintu bilik, kakinya terasa lemah dan dia terjelupuk jatuh di hadapan pintu kamar itu. Badannya menggigil. Air matanya semakin deras merembes keluar daripada kelopak matanya.

“Allah!!!” Aqil menyeru dengan kuat sambil mendongakkan wajahnya. Kedua tangannya mencengkam bajunya dibahagian dada. Sungguh sakit itu hanya Allah yang mengetahuinya.

Ahli keluarga Aqil yang mendengar suara Aqil itu segera bergegas naik ke atas untuk melihat apa yang terjadi tetapi langkah mereka terhenti apabila melihat keadaan Aqil yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Mak Minah yang tidak tahan menahan air mata memalingkan wajahnya dan ikut menangis. Areen menundukkan wajahnya ke lantai begitu juga dengan Ain. Hanya Tan Sri Mansur saja yang berani mendekati Aqil.

“Aqil, istighfar. Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Sabar, bawa mengucap.” Tan Sri Mansur merangkul leher Aqil dan dipeluk anak angkatnya itu dengan erat memberikan kekuatan.

“Allahurabbi…Allahurabbi…Allahurabbi…” Aqil mengucap lirih.

Di waktu yang sama Rina yang terdengar rintihan Aqil itu turut mengalirkan air matanya. Dia menutup mulutnya dengan kedua tangannya kerana tidak mahu suara tangisannya didengari oleh Aqil. Hancur hatinya melihat keadaan Aqil dan mendengar doa-doa Aqil sepanjang hari tetapi dia tidak bosan mengingatkan Aqil agar tidak mentangisi dirinya. Dia mahu Aqil kuat menerima ujian Allah.

“Ya Rabb, tiada tuhan yang layak disembah melainkan-Mu dan tiada tempat untuk hamba meminta kecuali kepada-Mu. Pertemukanlah kami di dalam syurga-MU kelak. Jadikan dia zaujku dunia dan akhirat. Bersaksikan-Mu dan malaikat-Mu aku mencintai suamiku seluruh hatiku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience