BR 11

Romance Series 4386

Mia bermalas-malasan di katilnya malam itu. Tugasan kuliahnya dibiarkan dahulu kerana tidak begitu susah untuk dilaksanakan. Entahlah, malam ini dirinya seakan tidak mahu berbuat apa-apa melainkan berbaring sahaja. Ah semuanya sebab insiden di makmal dia jadi sebegitu seperti hilang semangat.

Fikirannya melayang-layang tanpa ada arah tuju. Sesekali fikirannya cuba mengimbau masa lalu namun pasti rasa sakit menyerang bahagian kepalanya sekaligus menghentikan niatnya itu. Kenapa sukar benar dia ingin mengingati masa lalunya?

Tika keluarganya masih disisi dan sehingga saat terakhir mereka bersama. Entah mengapa, Mia merasa sungguh rindu akan keluarganya. Air mata mula mengalir tanpa diminta.

Mendengar esakan halus dari sebelah kirinya, Bella segera memalingkan muka memandang Mia. Usaha menaip tugasan yang telah siap dikarang ke dalam perisian Microsoft Word itu tergendala. Butang simpan ditekan untuk memastikan kerja separuh jalannya tersimpan ke dalam memori komputer ribanya.

"Mia, kau nangis ke?" soal Bella yang mendekati Mia.

Hanya gelengan yang diberikan Mia. Mia berbaringan sambil lengan menutup sebahagian wajahnya yang menghadap ke siling bilik.

Melihat gerak-geri Mia, Bella tahu yang Mia pasti bersedih. Memang begitulah tabiatnya. Bella perasan akan perubahan sikap Mia sejak berlaku insiden di makmal hari itu, Mia seakan tidak tenteram. Tidak mungkin disebabkan usikan kawan kuliah merekakan?

"Mia kau nak kongsi apa-apa ke dengan aku? Aku sedia nak dengar apa sahaja yang kau nak luahkan." Bella sentiasa menanti Mia bercerita dengannya tentang apa yang dipendamkannya.

Beban apa yang dipikul Mia?

Hanya kebisuan Mia pula yang menjawab pertanyaan Bella. Takpe ini Bella okey. Pantang mundur kecuali operasi. Ceit!

"Mia kau nak aku peluk kau ke? Supaya boleh redakan rasa sedih kau?" Usaha, jangan tak usaha Bella.

"Aku teringatkan arwah keluarga aku je"

"Okey. Yang tu aku tahu tapi takkan tu aje."

Mia kembali membisu. Dia bangun dari pembaringannya sambil mengelap air mata yang tersisa. Membetulkan duduknya agar menghadap Bella. Dari mata ke mata. Cewah! Segala kekuatan dikumpulkan semula sebelum meneruskan bicaranya.

"Aku tak tahu nak cakap macam mana Bella tapi walau macam mana pun aku cuba ingat. Aku tetap tak boleh ingat apa yang berlaku."

"Benda apa yang berlaku yang kau nak ingat sangat tu?"

"Aku... Aku..."

"Aku?"

"Aku cuba nak ingat kemalangan yang terjadi kepada keluarga aku."

"Asal kau nak ingat!" nada Bella mengeras tanda dia tidak suka dengan apa yang diluahkan Mia.

"Kau janganlah marah aku dulu. Tadi kata nak dengar luahan aku." lirih sahaja suara Mia.

Kini Bella pula yang mendiamkan diri sambil menanti bait-bait Mia yang seterusnya.

"Kau pun tahukan apa yang berlaku pada arwah keluarga aku."

"Ya! Aku tahu. Jadi kenapa kau cuba nak ingat balik kemalangan tu?" cantas Bella. Aku tak nak kau ingat Mia.

"Dan kau pun tahu yang aku langsung tak ingat macam mana kemalangan tu berlaku?" Segigih mungkin Mia menutur kata-kata yang seakan tersekat dikerongkongnya.

"Eeyyee... Sebab tu aku tanya kenapa kau nak ingat balik benda yang dah lama berlaku dan yang kau memang tak ingat?" sebak mulai mencengkam hati Bella. Kenapa kau nak seksa diri kau Mia?

"Sebenarnya lepas insiden makmal semalam, aku mimpi balik pasal kemalangan keluarga aku. Tapi mimpi tu terlampau samar-samar. Aku cuba nak ingat macam mana kemalangan tu berlaku tapi aku langsung tak boleh ingat apa-apa. Bukan setakat macam mana kemalangan tu berlaku tapi apa yang aku dan keluarga aku buat sebelum kemalangan tu pun aku tak boleh ingat. Padahal masa aku dalam mimpi tu, semua yang berlaku nampak jelas. Tapi... Bila aku bangun, mimpi tu jadi lenyap. Aku tak faham. Dan yang aku hanya ingat sehari sebelum kemalangan tu aje. Aku rasa selagi aku tak ingat selagi tu aku akan dihantui mimpi buruk tu lagi." Mia menggenggam erat tangan Bella. Berharap diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Kini, air mata yang tertahan-tahan akhirnya tumpah jua.

Melihat keadaan Mia, Bella turut menitiskan air mata. Tahu benar dia akan derita Mia namun manakan sama beban yang ditanggung Mia. Bella memeluk erat tubuh Mia agar dapat menghulurkan sedikit kekuatan buat Mia. Pasti perit untuk Mia menjalani kehidupannya dengan memori yang tidak indah itu.

Tambahan pula, mimpi yang sering mengganggu tidur lenanya mungkin adalah cebisan-cebisan memori Mia sendiri yang terbebas daripada kekangannya.

Bella tidak tahu bagaimana mahu membantu Mia kerana dia sendiri tidak tahu pemula derita Mia itu. Apa yang Bella tahu hanya Mia sahaja yang sempat diselamatkan oleh ahli bomba daripada rumah mereka yang dijilat api. Untuk mengingati kejadian yang dilihatnya sahaja Bella sudah tidak sanggup. Apatah lagi kejadian sebenar yang menimpa arwah keluarga Mia. Cukup mengerikan dan tragis.

Sebolehnya, Bella mahu menghalang Mia dari terus cuba mengingati apa-apa memori lamanya walaupun Mia mahu. Kerana itu juga apa yang keluarga Bella cadangkan. Biar memori itu terkubur selamanya dan menjadi rahsia Mia sendiri.

Esakan Mia yang semakin kuat menarik perhatian tiga lagi sahabatnya yang leka dengan dunia mereka di ruang tamu.

Keadaan ruang tamu ketika itu amat sepi kerana televisyen di ruang tamu itu tidak dibuka. Kelihatan Kaira meniarap bersebelahan Humaira untuk membantunya yang sibuk menyelesaikan tugasan individu mereka dan harus dihantar secara atas talian sebelum hari esok pukul 5.00 petang. Syahira pula sedang bersantai di atas sofa sambil tangan tidak henti menyuap kerepek pisang pedas.

Jari Humaira lincah menekan papan kekunci komputer ribanya sambil mata melihat ke arah draf kertas kerja di sebelah komputer riba. Kaira sesekali menegur kesalahan penulisan Humaira. Kunyahan kerepek pisang daripada Syahira yang kuat tiba-tiba sahaja mengganggu fokus Humaira yang kelam kabut menyiapkan tugasannya. Humaira memandang geram ke arah Syahira.

"Boleh tak kau perlahan sikit kunyah tu. Mengganggulah."

Syahira yang senang hati kerana telah menyiapkan tugasannya itu hanya mengabaikan kata-kata Humaira. Malah dia semakin menguatkan kunyahannya dengan niat untuk menyakitkan hati Humaira. Girang hatinya dapat mengganggu Humaira yang masih tekun menyiapkan kerjanya.

Humaira berasa geram dengan ejekkan Syahira pantas mengambil sebatang pen yang berada di lantai lalu di baling ke arah Syahira.

"Auchh!" aduh Syahira.

"Kenapa kau ni?" soal Syahira sambil menggosok kepalanya yang terkena pen.

"Itulah, aku cakap kau buat bodoh je. Kan dan kena." ujar Humaira tanpa rasa bersalah.

"Ish..." niat Syahira untuk bertelagah dengan Humaira tidak jadi apabila dia terdengar suara esakan dari bilik Mia dan Bella.

Humaira yang merangkap untuk mengambil kembali pen yang tergolek berdekatan pintu bilik yang sedikit terkuak itu juga mendengar suara esakan.

Siapa yang menangis?

Humaira dan Syahira berpandangan. Lantas mereka segera menadah telinga mereka untuk mendengar apa yang berlaku di dalam bilik itu. Melihatkan Humaira dan Syahira yang seakan mahu bertelagah tiba-tiba senyap, berperangai pelik dan terhendap-hendap di hadapan bilik Mia dan Bella menarik perhatian Kaira. Kaira cuba mengintai namun tidak jelas akan apa yang berlaku dalam bilik itu.

Bella mengusap lembut belakang badan Mia untuk membantu menenangkan Mia. Mia meleraikan pelukannya bila gelora hatinya makin reda.

"Terima kasih Bella sebab kau sudi jadi tempat aku mengadu." Senyuman cuba dihadiahkan biarpun hambar.

"Mestilah kitakan adik-beradik. Kenalah selalu tolong each other. Dahlah aku nak sambung kerja aku tadi. Kau rehatlah. Tidur. Insya-Allah, semuanya okey." Bella bergerak ke katilnya semula apabila merasakan emosi Mia stabil.

Kaira, Syahira dan Humaira gagal mengambil tahu apa yang menyebabkan Mia menangis sebegitu. Pilu sungguh esakkannya sebentar tadi. Apa yang berlaku? Itu sahaja yang muncul di fikiran mereka.

Bukan niat mereka untuk bersikap biadap mencuri dengar perbualan orang lain. Namun mereka sahabat serumah dan wajar untuk mereka mengambil tahu serba sedikit tentang apa yang berlaku kepada setiap seorang daripada mereka. Mereka bertiga berpandangan antara satu sama lain sebelum mengangguk.

Bukk

Mereka bertiga pantas menerjah masuk ke dalam bilik itu. Mia dan Bella tersentak. Kaira, Syahira dan Humaira berdiri memandang Mia dan Bella meminta penjelasan.

Syahira melangkah setapak ke hadapan.

"Ada apa-apa yang kitaorang perlu tahu?" soal Syahira sambil berpeluk tubuh.

Bella yang mahu merehatkan diri di atas katil terhenti. Dia berpaling.

"Tak a—"

"Assalamualaikum."

Kata-kata Bella terpotong apabila menangkap bunyi seseorang memberi salam. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Siapa pulak datang malam-malam ini. Mengganggu betul.

Terkocoh-kocoh Kaira berlari ke luar apabila dia mendengar suara insan yang amat dikenalinya. Buah hati Kaira rupanya.

Kaira segera mencapai tudung lalu menyarungnya dengan gelojoh.

Salah timing betullah dia ni datang, getus hati Kaira yang sedang membuka pintu rumah dan kemudian pintu jerigi.

"Nah Mekdi awak." hulur Naufal sambil tersengeh-sengeh di hadapan pintu pagar.

"Okey. Okey. Terima kasih. Bye. Malam ni tak sempat borak okey. Ada hal ngan budak rumah." Kaira segera kembali ke dalam rumah untuk meletakkan makananya. Lalu dia kembali keluar untuk mengunci kembali segala pintu yang ada.

Naufal masih terkulat-kulat di situ melihatkan kerenah buah hatinya sebelum masuk ke dalam keretanya. Setelah melihat pintu rumah Kaira tertutup rapat, barulah dia berlalu pergi.

Bau makanan segera Mc Donald yang di bawa masuk oleh Kaira memenuhi ruang rumah sewa itu.

"Supper kita dah sampai tu. Jomlah makan dulu. Nanti-nanti kita cerita ya." ujar Humaira memecah kesunyian bilik tidur itu.

Syahira mengeluh. Tidak guna juga dia mendesak Mia mahupun Bella untuk bercerita sekarang apabila dua-dua itu enggan membuka mulut.

"Ingat korang berdua hutang penjelasan dekat kita orang." kata Syahira lalu ke ruang tamu.

Untuk ke berapa kalinya mereka masih tidak mendapat penjelasan mengenai masalah Mia. Ketat betul mulut mereka kalau bab itu. Rahsia sangat!

"Hah, cepat-cepat makan ni. Kang sejuk tak sedap. Mia McFlurry kau nak cair dah ni. Cepatlah makan." Jerit Kaira yang sudah pun menghidangkan makanan di ruang tamu itu sahaja. Malas dia hendak ke meja makan.

Mia memunculkan diri apabila namanya diseru.

"Mana McFlurry aku?"

"Nah." Mia menyambut aiskrimnya daripada Kaira. Sofa menjadi pilihan dia untuk menikmati aiskrimnya.

Bella yang mengekori Mia ke ruang tamu mengambil tempat di sebelah Syahira yang sudah pun meratah ayam goreng pedas McD itu. Tak tunggu orang dah minah sorang ni.

"Sape beli ni?" soal Bella.

"Sape lagi Naufal la. Perempuan tu punya pakwe." terang Humaira sambil menjuihkan bibir ke arah Kaira.

Masing-masing menikmati makan lewat malam mereka tanpa mempersoalkan apa yang berlaku sebentar tadi. Biarlah reda dahulu. Bila sampai masa yang sesuai akan dibicarakan semula rahsia yang tersimpan itu.

Tbc

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience