SORAKAN dari para peminat mula menggamatkan suasana. Kelihatan Ariel berjalan perlahan-lahan menaiki pentas, petikan gitar dan alunan piano sayup-sayup mengiringi langkahnya. Sepi. Seakan peminatnya bertafakur seketika, menunggu lantunan suara Ariel. Ariel senyum. Nafas di hela lembut. Gemersik suara Ariel mula bergema memenuhi stadium.
Tiupan sang bayu menyapa dirimu
Terpana diriku diulit cinta
Agungnya kasih dari-Nya
Menyatukan hati kita
Oh sayang,
Haruman kasihmu membelai jiwaku
Tika malam berlabuh
Engkaulah Nur dihatiku
Peminat-peminat Ariel turut serta menyanyikan lagu ‘Nur Dihatiku’. Stadium semakin hangat dan riuh apabila Ariel berjalan mendekati peminatnya. Bila sahaja dia berhenti dan mengambil gambar bersama, jeritan mula kedengaran. Mungkin sahaja ada yang cemburu dengan peminat bertuah itu.
Hamzah di sebalik tirai pentas hanya mampu tersenyum melihat telatah Ariel.
“Sayang korang semua. Korang memang terbaiklah.” laung Ariel sebagai tanda terima kasih, lalu di sambut dengan, “We love you!!” mula bergema menyelubungi stadium.
“Thanks again, jumpa di konsert yang akan datang.” akhiri Ariel sebelum menghilangkan diri di sebalik tirai besar.
HAMZAH menepuk bahu Ariel yang sedang termenung jauh di atas pentas. “Hei bro, keep up the good work! ” puji Hamzah .
Ariel senyum. “Thanks bro, ini pun berkat bantuan dan sokongan kau juga kalau tidak impian aku ni hanya tinggal impian.”
“That’s what friend are for right? Apa yang penting sekarang, mari kita raikan kejayaan konsert kau ni. Orang lain dah berkurun tunggu kau. Kasihan dia orang,”
Hamzah faham sangat tabiat pelik Ariel yang satu ini. Selesai sahaja konsert dia pasti akan ‘bertafakur’ di pentas konsert kononnya hendak mengambil aura untuk konsert yang seterusnya.
Ariel lantas ketawa mendengar seloroh Hamzah . “Yalah, sahabatku.”
Share this novel