Hamka kelihatan tersentak apabila aku meninggikan suara padanya. Dia memandangku seketika sebelum melangkah ke balkoni, meninggalkan aku sendiri. Perasaan bersalah mula menguasai diri. Wajah diraup kasar.
"Abang, sayang minta maaf." Ujarku perlahan.
Aku menarik tangannya dan digenggam erat. Namun dia langsung tidak mengendahkan kata maafku. Malah wajahku langsung tidak dipandang. Remuk hatiku apabila Hamka melayanku sebegini.
Air mata mula mengalir. Entah mengapa senang sekali air mataku tumpah sejak akhir akhir ini.
Aku mengaku ini memang salahku kerana meninggikan suara. Namun semua ini bermula daripada Hamka sendiri! Kalau bukan dia yang melanggar janjinya, tentu semua ini tidak akan terjadi.
"Abang, Lara ke yang call?" Soalku dalam tangisan yang masih bersisa.
Lengannya digoncang gongcang, sekadar untuk menarik perhatiannya. Namun usahaku sia sia malah dia menarik lengannya daripada terus dipegangku.
"Hamka, Rose tahu memang salah Rose sebab tinggikan suara pada Hamka. Tapi Rose nak Hamka tahu yang Rose tak suka orang yang melanggar janjinya dengan Rose. Hamka dah janji taknak bercakap dengan Lara kecuali hal kerja. Tapi Hamka cakap juga. Dah la tadi Hamka balik dan pergi kerja dengan dia. Sakit hati Rose, Hamka. Sakit. Isteri mana yang tak sedih bila melihat suaminya berdua duaan dengan perempuan lain. Dah la perempuan tu tak sedar diri. Lewat malam macam ni masih lagi call suami orang. Tapi Hamka masih layan dia. Mestilah dia semakin terhegeh hegeh. Rose tak kisah kalau Hamka nak anggap Rose cemburu buta atau apa. Tapi Rose nak Hamka tahu Rose tak suka Hamka rapat dengan Lara."
Penat aku berleter, namun Hamka masih seperti tadi. Langsung tidak mengambil endah dengan apa yang dituturkanku.
Hatiku yang sudah sedia remuk bertambah remuk. Pedih mataku akibat tidak berhenti menangis sejak siang tadi. Perlahan lahan aku melangkah pergi apabila Hamka melayanku begitu.
Biarlah dia, mungkin dia sudah tidak betah dengan perangaiku. Aku mengaku kadang kadang baranku tidak dapat dikawal.
Aku merebahkan badan di atas katil. Selimut ditarik sehingga menutupi dada. Air mata yang mengalir dibiar tanpa diseka.
Sedang aku melayan perasaan, selimut yang menyelimuti tubuhku ditarik. Aku menggenggam erat hujung selimut namun terlepas juga. Mata dipejam rapat. Bukan tidak ingin menatap wajahnya namun risau jika air mata yang ditahan tumpah.
Mengikut firasatku, Hamka berada sangat dekat denganku. Tambahan pula apabila terasa hembusan nafasnya menyapa wajahku. Aku yakin wajahnya hampir dengan wajahku, sangat hampir.
"Sayang."
Nafasku tidak teratur apabila suara garau itu menyapa gegendang telinga. Tersekat sekat nafasku mendengar suaranya. Seluruh badanku terasa kebas. Sudahlah badanku langsung tidak berbalut selimut. Seluruh reseptor di dalam badanku terjaga. Menanti tindakan Hamka seterusnya.
"Sayang."
Kali ini suara itu berbisik lembut di telingaku. Aku hanya mampu membatukan diri. Tidak kuat untuk membuka mata.
Tiba tiba tangannya diletakkan di dadaku. Bertambah laju detak jantungku seiring dengan laju nafas disedut dan dihembus.
"Lajunya berdegup. Mimpi berlari 100 meter ke?" Kata Hamka.
Tiba tiba terasa sesuatu yang berat menimpa dadaku. Aku membuka mata. Rupa rupanya Hamka meletakkan telinganya di dadaku, mungkin ingin mendengar detak jantungku.
"Abang."
Aku menolak kepalanya daripada terus menindih dadaku. Sesak nafasku dibuatnya. Dia mengangkat kepalanya memandangku. Matanya menikam tepat ke dalam anak mataku. Biarpun aku sudah biasa dengan keadaan begini, aku belum dapat mengawal perasaanku apabila ditenungnya begitu.
"Sayang marah abang?"
Aku memandang ke arah bibirnya yang bergerak gerak apabila menutur kata. Comel.
Melihat aku mendiamkan diri, dia menyambung bicara.
"Abang minta maaf sebab langgar janji. Abang cuma serabut sebab Lara tak henti henti call abang. Selagi tu abang tak jawab, selagi tu dia call. Pasal petang tadi, abang memang terpaksa. Abang dah janji nak balik makan kat rumah. Tapi bila ada orang ikut abang, abang jadi risau. Mesti dia nak cari rumah kita. Memang tak ada orang lain yang boleh tolong abang tadi. Abang dah tak guna phone lagi okay? Sayang peganglah phone abang yang dah berderai tu. Abang boleh guna pub..."
Aku meletakkan jari telunjuk dan jari hantuku yang dirapatkan di bibirnya. Geram aku melihat ia tidak henti henti bergerak.
Dia mengalihkan jariku daripada terus melekat di bibirnya. Wajahnya didekatkan dengan wajahku. Dikucup dahiku lembut. Aku menutup mata apabila dia mengucupku. Lama. Sama seperti ciuman pada hari pernikahan kami.
"Abang."
Hamka melarikan bibirnya dari dahiku. Matanya redup memandangku yang turut memandangnya.
"Ye sayang?"
"Abang tak kisah ke kalau sayang tak dapat lahirkan anak?"
Hamka menarik nafas panjang. Kelihatannya berat sekali untuk dia menjawab persoalanku. Dia terdiam. Mungkin hendak mengatur bicara.
"Sayang, semua orang yang berkahwin inginkan anak. Tapi takkanlah abang nak bermasam muka sebab sayang tak dapat bagi abang anak. Hidup berdua dengan sayang pun dah cukup untuk buat abang bahagia. Lagipun, sayang dah bagi abang anak. Cuma dia tak dapat hidup lama. Tak apa, dia ada menanti kita disyurga."
Kata kata yang dituturkan Hamka sedikit sebanyak melegakan perasaanku yang berkecamuk. Perasaan sebak yang menguasai diri sudah sedikit berkurang.
"Abang, sayang rasa ni semua balasan untuk sayang."
Dia yang sedang memainkan jari jemarinya di leherku terhenti. Jari telunjuknya diletakkan di bibirku.
"Shhh. Abang taknak sayang ingat semua tu." Kata Hamka lembut.
Aku menganggukkan kepala demi menurut arahannya. Peristiwa lama yang masih berlegar di layar mindaku cuba dilenyapkan.
Hamka menguap kecil. Matanya sudah layu menahan kantuk. Kasihan pula melihat wajahnya yang kelihatan penat. Aku menyuruhnya agar berbaring di sebelahku.
"Sayang, boleh tak baring menghadap sebelah sana?" Tanya Hamka.
Tanpa banyak soal, aku hanya menurut kemahuannya. Apabila aku berbaring mengiring membelakanginya. Dia memelukku dari belakang. Tangannya ditekapkan di mahkotaku.
"Abang suka macam ni." Bisiknya perlahan di telingaku.
Aku tersenyum. Buat pertama kali aku berada dalam keadaan seperti ini dengan suami tercinta. Terasa seperti diriku dilindungi. Perlahan lahan mataku terkatup sendiri, mungkin terlalu selesa berada di dalam pelukan Hamka.
Share this novel