TIGA hari sudah berlalu tetapi pintu bilik Damia masih tertutup rapat. Bila dia dengar aje suara Damia berbual dengan suaminya tu di dalam, terasa darah Nadia macam nak mendidih.
Tak guna! Ibunya tak halau pun suami isteri tu keluar. Semua yang diramal sebelum ini salah belaka.
Okey. Jadi ni yang mak pilih, kan? Along takkan tarik balik kata-kata along! Getus hati Nadia. Dia geram!
Bertemankan hati yang bersambar-sambar dengan api kemarahan, Nadia terus menuju ke dalam biliknya. Beg pakaian dikeluarkan. Kesemua pakaian dan keperluan lain dimasukkan ke dalam beg tanpa banyak fikir. Mulutnya tak henti-henti memaki.
Dia sudah mati akal dan putus harap. Ibunya sudah tak endah dengan ugutannya tiga hari lepas. Perancangan untuk lari rumah patut diteruskan. Jadi, memang betul la ibunya masih sayangkan dan melebihkan adiknya itu daripada dirinya.
Dulu, ibunya la yang sentiasa berada di pihaknya tak kira apa perkara pun. Sebarang hasutannya, pasti ibunya akan termakan umpan. Sebarang rancangannya, pasti ibunya akan turuti. Tapi itu hanyalah dulu.
Apabila dia yakin barang yang perlu dibawa sudah tersedia di dalam beg, dia angkat beg itu keluar. Rozaimi sudah membalas pesanan bahawa lelaki itu sudah menunggu di luar rumah. Memang tepat pada masa! Tak salah Nadia tinggalkan mesej kepada Rozaimi setengah jam lepas.
Dalam kepayahan mengheret beg pakaian yang agak berat itu, nasib tak menyebelahinya. Boleh pulak dia terserempak dengan si adik yang paling dia menyampah. Diimbas tubuh adiknya dari atas ke bawah yang sedang memegang sebotol pencuci muka.
Kenapa baru sekarang nak cuci muka? Padahal punyalah banyak masa sepanjang malam ni, pukul 12:10 tengah malam jugalah adiknya mahu turun pergi bilik air. Mulalah Nadia tak puas hati.
Tak hairanlah mereka boleh terserempak. Biliknya dan bilik Damia saling menghadap. Tapi sejak bila Damia ni keluar dari biliknya? Bunyi pintu dikuak pun tak didengar pulak.
"Kak long nak pergi mana?" Terpacul soalan itu dari mulut Damia. Dia pandang sekilas beg itu sebelum matanya tepat tertancap kepada wajah Nadia.
"Kau tak ada kaitan dengan hal aku. Tepilah! Tak payah menyibuk." Nadia teruskan mengheret begnya.
Dia menerobos adiknya, tetapi tak dijangka tiba-tiba langkahnya terhenti. Lengannya ditarik dan secara automatik tubuhnya menghadap adiknya.
"Kak long nak lari rumah ke?"
Nadia diam. Matanya melilau mencari jawapan tetapi tak kunjung tiba pula jawapan yang dicari. Memang betul dia mahu lari rumah, tetapi kenapa rasa berat mahu mengatakan kebenaran? Dia dah muak dengan semua ni.
Nadia rentap tangannya kasar. "Kau diam! Jangan cakap dengan aku. Aku benci tengok muka kau. Kau tak sedar diri, yang kau pernah kurang ajar dengan aku, tampar aku. Lepas tu kau nak buat baik dengan aku? Aku meluat dan benci dengan kau."
"Bencikan angah sampai nak lari rumah? Habis mak? Bukan ke kak long paling sayang kat mak? Kenapa tiba-tiba macam ni?"
"Kau diam! Kau tak tahu apa-apa!"
Bergegar seluruh ruang di luar bilik itu. Memang suara bingit Nadia itu turun dari ibunya. Tak peliklah kalau nada suaranya itu membolehkan orang kat luar pun boleh dengar.
Syafiq di dalam bilik Damia terus munculkan diri. Tertanya-tanya jugaklah dia, kenapa bising sangat kat luar bilik tu. Rupanya isterinya tengah bergaduh dengan Nadia ...
Matanya menatap Nadia sebelum dia arahkan pula matanya kepada isterinya, beberapa saat.
"Apa yang bising-bising ni? Malam buta pun nak bergaduh ke?" Mak Siti juga keluar dari biliknya dengan muka mamainya. Mata digosok-gosok untuk menilik kejadian yang berlaku. "Ka ... kamu nak pergi mana ni, along?" Terus matanya bertukar bulat apabila matanya menangkap beg pakaian yang boleh tahan besar berada di sisi Nadia.
Tanpa menjawab sepatah, Nadia teruskan langkahnya. Sempat dia jeling tajam ke arah ibunya itu. Dia tak hiraukan apa yang berlaku.
Kalau diikutkan, dia mahu lari rumah secara senyap-senyap tetapi gagal pulak. Tak mengapa, itu semua tak mematahkan rancangannya. Dia tetap berdegil!
"Along! Along!" Mak Siti terus bergegas mahu mendapatkan anaknya itu tetapi makin pantas pula Nadia menuruni tangga.
Damia masih terkebil-kebil. Wajah suaminya dipandang lalu bahu dijongketkan. Biarpun mereka berdua terkejut dengan apa yang berlaku, mereka tetap turun juga ke bawah mahu menghalang Nadia keluar. Suara Mak Siti juga sudah membingit sambil mengejar anaknya tu.
"Nadia!" tempik Mak Siti lantang.
Bukan dipanggil dengan perkataan 'along' lagi tetapi dengan nama sendiri. Kalau ibunya memanggil sampai tahap sebegitu, pasti ibunya benar-benar marah sekarang ni. Langkah tiba-tiba terhenti dengan sendirinya.
"Kamu nak pergi mana?" Lagi-lagi soalan itu yang ditanya Mak Siti.
Nadia juling mata ke atas lalu menoleh menghadap ibunya. "Along nak blah dari rumah ni. Along dah penat. Mak biar sangat kan angah dengan suami dia tinggal kat sini? Sekarang biar along je yang pergi."
Wajah Mak Siti terus berubah. Jelas takungan air jernih sedang terkumpul di tubir matanya.
"Kamu tak melawak kan sekarang ni? Kalau kamu lari, kamu nak pergi mana?"
"Tak! Along tak melawak. Along dah ada seseorang yang boleh jaga along lebih baik dari mak jaga along. Dia lebih faham along daripada mak. Jadi mak tak payah nak halang along pergi dari sini sebab along dah tak tahan dengan semua ni!"
Pipi dilempang tanpa dibalas kata-katanya. Sepanjang hidupnya, ini adalah kali pertama ibunya naik tangan terhadap dirinya. Kali pertama!
Pada masa yang sama juga, Damia dan Syafiq juga baru tiba ke tingkat bawah. Terkejut mereka dengan adegan yang berlaku tetapi mereka kawal riak wajah mereka. Wajah Mak Siti dan Nadia dipandang mereka bersilih-ganti.
Nadia sentuh pipi kirinya yang sudah naik merah. Rasa nak menangis sekarang ni tetapi dia tak boleh tunjukkan dia lemah. Dia mesti tonjolkan sisinya yang sedang gembira biarpun sedang menanggung perit. Gembira kerana bakal bebas dari 'neraka' ni.
Senyum sinis diberi Nadia. "Terima kasih mak sebab tampar along. Along hargai sangat." Penuh sarkastik nadanya. Lalu dipandang pula wajah Damia yang kelihatan tercengang. "Kau mesti seronok kan tengok aku macam ni? Baguslah kalau kau seronok. Lepas ni, aku tak ada dah kat rumah ni. Kau bolehlah bersuka-ria dengan suami kau dan mak sekali kat sini." Tajam matanya ketika itu seperti helang yang mahu menerkam mangsanya.
"Kak ... jangan macam ni. Kalau kak long marah angah pun, jangan buat macam ni. Angah nak mintak maaf kalau angah ..."
"Ah! Diamlah. Jijik aku dengar suara kau." Tak menunggu Damia habiskan katanya, Nadia angkat begnya semula. Pintu dibuka tanpa menoleh ke belakang. Kelihatan sebuah kereta Honda Civic sedang menunggu di pekarangan rumah. Dia tahu kereta itu milik siapa.
"Along ..." seru Mak Siti biarpun dia tahu, itu pasti tak berkesan. Menjeritlah sampai terkeluar anak tekak pun, Nadia takkan berpaling punya. Dia baru aje menampar Nadia, masakan Nadia mahu mendengar katanya lagi.
Tapi Mak Siti tak mengalah. Dia tetap mahu menghentikan Nadia tak kira apa pun. Jantungnya sudah berdetak makin laju. Biarpun langkahnya sudah mati, nama Nadia tak henti dipanggilnya.
"Kalau kamu nak jugak pergi dari sini, jangan harap kamu boleh balik kat sini semula!"
Nadia terus kaku. Kata-kata Mak Siti tu umpama kilat yang memanahnya. Sontak tindakannya mahu memasukkan bagasi ke dalam but kereta terhenti.
Tetapi atas desakan Rozaimi yang tak henti-henti menyuruhnya agar cepat masuk ke dalam kereta, hatinya menjadi keras semula. Benteng ego, kembali kukuh. Dia tak patut berpatah masuk semula ke dalam rumah. Dia sudah memilih jalan ini.
Hati Mak Siti berderai apabila melihat anaknya tidak ambil peduli akan ucapannya tadi. Dirinya tersungkur kerana terkilan. Air mata sudah berjurai turun.
Mujurlah Damia sempat menampan ibunya sambil dibantu Syafiq. Ini adalah kali kedua mereka lihat Mak Siti menangis, meraung sebegitu.
Kereta yang dinaiki Nadia dan teman lelakinya sudah berdesup pergi. Kelibat kereta sudah semakin lesap. Makin galak Mak Siti menangis.
Kepala Mak Siti terasa berdenyut-denyut sakit. Tiba-tiba dia rasakan kepalanya berat. Anak matanya berpinar-pinar sebelum semuanya menjadi gelap-gelita ...
*****
"Mak makanlah sikit. Dari semalam mak tak makan. Mak makan semulut dua pun, jadilah." Tangan Damia masih setia memegang sudu bubur lalu disuakan ke mulut ibunya.
Senyap. Suapan dibalas dengan kebisuan. Pandangan Mak Siti masih terpaku ke arah dinding. Sejak dia pulang dari hospital lagi dia jadi macam tu.
Sebaik saja Nadia pergi kelmarin, Mak Siti pengsan. Mujurlah Damia dan Syafiq ada. Merekalah yang meminta tolong Pak Ya dan Najihah untuk membawa Mak Siti ke hospital. Nak angkut Mak Siti guna motosikal Syafiq tu? Memang taklah.
Mak Siti cuma demam terkejut. Darahnya juga meningkat disebabkan perkara yang berlaku tetapi tidaklah seserius mana.
Tak serius pun, pening kepala tetap terasa. Dah berapa keping tampalan koyok dilekat pada pelipis, ubat pun sudah beberapa biji ditelan tetapi kesakitan masih tak kebah. Selera makannya pun merosot.
Terkejut dan tergamam dengan apa yang Nadia sudah lakukan padanya. Nadia tinggalkannya macam tu sahaja padahal dia sayang sungguh dengan anak sulungnya tu.
Telefon tak diangkat, mesej tak dijawab. Jadi Mak Siti sudah mengandaikan bahawa Nadia memang betul-betul mahu memutuskan hubungan kekeluargaan dengannya.
Damia putus asa. Dia letak sudu itu ke dalam mangkuk yang berisi bubur itu semula. Rasanya sudah hampir 10 minit dia nak menyuap ibunya tetapi ibunya tu masih berdegil tak mahu menjamah apa-apa.
Dia pandang Syafiq yang setia menunggunya di belakang. Syafiq angguk memberi isyarat bahawa lain kali ajelah mereka menyuap Mak Siti itu. Lagipun sekejap lagi isterinya sudah mahu berangkat menjaga kedai runcit menggantikan Mak Siti yang sedang sakit. Syafiq pun sudah bersiap-siap mahu menghantar isterinya ke sana.
"Mak, angah pergi jaga kedai dulu. Mak berehatlah. Nak makan, angah tinggalkan bubur atas meja ni." Damia letakkan mangkuk bubur itu di atas meja kopi berdekatan ibunya. Kalaulah rasa lapar ibunya datang ketika ketiadaannya, bolehlah ibunya menjamah sendiri bubur itu.
Mak Siti masih diam. Dia memandang dinding umpama dinding itu menayangkan satu tayangan visual yang indah pulak. Tak lepas-lepas langsung dari mengelamun ke arah dinding itu. Cumanya, pandangannya penuh kesedihan.
Selepas minta diri, Damia dan Syafiq terus keluar dari rumah. Mak Siti hela nafasnya, air matanya turun membasahi pipi sebelum enjin motosikal yang didengarnya tadi sudah hilang dari pendengaran.
Anak dan menantu yang paling dibencinya sanggup berada di sisinya tatkala dirinya ditimpa kesedihan. Padahal sudah banyak khilaf dia lakukan kepada kedua suami isteri itu. Mak Siti buntu, adakah dia patut terima mereka atau tidak?
Damia dan Syafiq nampak ikhlas menjaganya. Buktinya, dari kelmarin lagi mereka berdua tampak risau dengan keadaannya.
Tapi hatinya takkan senang-senang terjerumus ke dalam kotak simpati terhadap mereka. Kerana merekalah semua ini terjadi! Kalau mereka berdua tu tak kahwin, keluarganya pasti tak mengalami masalah besar macam ni!
*****
Enjin motosikal milik Syafiq kedengaran menandakan lelaki itu sudah tiba semula sebaik menghantar isterinya ke kedai runcit.
Mak Siti yang menyedari kehadiran Syafiq segera menoleh kepalanya menghadap ke televisyen. Lebih spesifiknya, dia tak mahu langsung menghadap wajah Syafiq yang bakal masuk ke rumah sebentar nanti. Nampak gayanya, terpaksalah dia ditemani dengan menantu tak diiktirafnya tu.
Salam diberi, tetapi macam biasa, Mak Siti tak membalas. Jawab salam pun tak mahu, apatah lagi mahu bertentang mata dengan Syafiq.
Syafiq membiarkan salamnya disahut sepi. Dia tak terguris pun dengan semua itu. Dia sudah masak dengan perangai Mak Siti. Sakit-sakit Mak Siti itu pun, dinding egonya tetap menebal. Tak terhakis sedikit pun.
Terasa derap langkah Syafiq semakin lama semakin mendekatinya. Cepat-cepat Mak Siti mengiringkan tubuhnya. Dalam keadaan duduk di sofa pun, dia paksa juga tubuhnya membelakangi Syafiq.
"Nah, nasi goreng kampung. Saya beli kat warung Mak Cik Niza. Kalau mak tak nak makan bubur, makanlah nasi tu. Kalau mak tak nak makan jugak, mak biar je nasi tu atas meja. Jangan buang pulak." Ayat terakhir yang dilontarkan Syafiq sengaja dia leretkan seakan memberi peringatan.
Lalu sebungkus nasi goreng yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja. Kalau bubur pun tak mahu makan, mungkin makanan yang sedikit istimewa mampu ibu mentuanya tu telan.
Dia tak meletakkan harapan tinggi pun agar ibu mentuanya menjamah nasi yang dibelinya tetapi cukuplah ibu mentuanya itu tak membuang nasi itu.
Mak Siti kerling nasi goreng yang dibungkus dengan kertas berwarna coklat. Memang dia nampak tertarik dengan nasi goreng yang dibeli Syafiq tu. Bau sedap nasi goreng itu pun sungguh menusuk hidung. Kecur liur dibuatnya.
Tetapi dia tak nak dan tak akan ambil semua benda yang diberi Syafiq. Hasilnya, dia pusingkan semula badannya. Paksa dirinya menahan nafsu lapar yang sudah mengganas. Kalau bukan Syafiq yang beli, sudah semestinya disambar habis nasi goreng itu.
Syafiq geleng kepalanya. Tak terkejut sangat dengan sikap degil Mak Siti itu. Ego! Tak menunggu lama, langkahnya diatur semula menuju ke luar.
Apabila tersedar saja Syafiq menuju ke arah pintu, Mak Siti keluarkan suaranya yang kedengaran serak. "Kau nak pergi mana?"
"Keluar." Sepatah Syafiq menjawab.
"Suka hati kau je eh nak keluar masuk rumah aku tak mintak izin. Apa kau ingat aku ni tunggul kayu? Aku selama ni bagi kau duduk kat sini, lepas tu kau pulak buat macam rumah ni kau punya, ya?"
Masih tak insaf setelah apa yang terjadi. Itulah Mak Siti. Kalau kebaikan yang Syafiq buat, dia pura-pura tak nampak. Bahkan kelakuan Syafiq yang tak salah untuk keluar rumah tadi tu pun dia labelkan sebagai satu kesalahan.
Syafiq hembus nafas panjang. Ada sahaja pasal yang mahu dicari ibu mentuanya itu.
"Buat apa saya nak mintak izin keluar dari mak? Mak kan tak suka saya. Kalau mak tak nak tengok muka saya sangat, nanti layanlah saya macam halimunan. Anggap je saya ni tak wujud kat dalam rumah ni. Baru mak tak sakit hati, kan?" bidas Syafiq lagi.
Mak Siti merengus geram. Nasib baiklah dia sedang sakit sekarang ni. Kalau tak, mahu dia baling nasi goreng di atas meja itu tepat ke muka Syafiq.
"Biadab! Memang tak salah aku rasa menyesal bila aku biarkan kau kahwin dengan Damia. Tengok sekarang! Mulut tak reti jaga. Lepas tu banyak pulak bala yang kau bagi kat keluarga aku," balas Mak Siti dengan ketajaman kata-katanya.
Halkum Syafiq bergerak-gerak. Hatinya sungguh hancur dengan segala perilaku dan ucapan Mak Siti. Tipulah kalau dia tak terasa hati. Biarpun dia cuba kekalkan muka tenangnya, pasti terguris juga hatinya walaupun sedikit.
"Saya yang bagi bala kat mak atau mak yang tempah bala kat diri mak sendiri? Kenapa nak salahkan saya sedangkan segala yang berlaku berpunca dari mak sendiri?" Syafiq tak gentar melawan tetapi dia masih mengekalkan kerendahan nada suaranya.
"Mak ingat tak lagi, mak pernah dera arwah Syafiqah? Saya takkan lupa semua benda tu. Kalau diikutkan, tengok muka mak pun saya tak nak tapi disebabkan mak tu masih ibu kandung Damia, saya gagahkan jugak. Sebab mak masih ibu mentua saya. Tapi kalau hal memaafkan atau melupakan segala yang mak buat kat arwah Syafiqah, jujur saya katakan, saya tak boleh."
Hati Syafiq masih sakit dengan peristiwa hitam yang menimpa arwah adiknya. Peristiwa sebelum tragedi rumahnya terbakar. Entah arwah Syafiqah sempat memaafkan Mak Siti atau tidak, tetapi biarlah itu hanya Allah yang uruskan.
Hal tentang arwah Syafiqah dibangkitkan membuatkan Mak Siti menjeling tajam matanya.
Ya, memang betul. Dirinya kejam dan zalim. Tetapi dia zalim sebab Syafiq jugak! Kalau Syafiq tak hantar arwah adiknya itu ke sini, tak adanya dia mahu mendera bagai. Mak Siti mencipta alasan tetapi itu hanya terbuku dalam relung hatinya.
Mak Siti putuskan untuk diam. Tiada kata-kata yang mampu dihamburkan untuk membalas kata-kata Syafiq.
"Saya mintak maaf kalau saya dah meninggi suara kat mak." Biarpun Syafiq diselubungi geram, perkataan maaf tak dia lupakan. Apabila diingat-ingat Mak Siti masih ibu mentuanya, rasa bersalah menerpa fikiran.
Mak Siti tancapkan pandangan ke arah lain. Tunjuk tanda protes. Memang taklah dia mahu maafkan menantu kurang ajar sebegitu.
Syafiq hela nafas lalu terus menyambung langkahnya yang tergendala tadi. Dan sekali lagi ada sesuatu yang membekukan langkahnya. Bukan suara Mak Siti tetapi kali ini bunyi nada dering yang memekik di dalam poket seluarnya.
Jari-jemari diseluk ke dalam poket dan telefon dikeluarkan. Tertera nama Pak Ya yang sedang menelefonnya. Pantas jarinya menolak skrin ke butang berwarna hijau.
"Assalamualaikum. Ha, Pak Ya. Ada apa call Syafiq?"
Suara Pak Ya di hujung talian membuatkan Syafiq terangguk-angguk. Apabila berubah sahaja suara Pak Ya menjadi serius, wajah Syafiq juga bertukar muram.
"Hah? Pelaku tu dah kena tangkap?" Kerasnya suara Syafiq membunuh kesunyian yang tadinya hanya diselangi dengan bunyi detikan jam dinding.
Bukan sahaja Syafiq yang terkejut, Mak Siti yang turut curi dengar perbualan Syafiq pun rasakan hal yang sama. Pelaku kena tangkap? Jadinya, mestilah tu tentang pelaku kebakaran rumah Syafiq tu!
Tangan Syafiq jelas sedang menggigil. Sudah lima hari sejak kematian Syafiqah, dan baru hari ini pelaku yang menyebabkan tercetusnya tragedi itu berjaya diberkas. Biarpun mengambil masa yang sedikit lama, Syafiq tak pernah berhenti berharap agar pelaku itu ditangkap.
Hari ini doanya dimakbulkan dengan berita yang disampaikan Pak Ya. Pelaku itu sedang ditahan di balai polis. Tapi siapa dia?
Jawapan itu mampu terjawab selepas dia ikut Pak Ya ke balai polis sebentar nanti. Sungguh, dendamnya kepada pembunuh yang mengkhianati dirinya itu masih menyala-nyala. Takkan sesekali dia maafkan pembunuh tu! Disebabkan pembunuh itulah, Syafiqah yang tak bersalah sudah pergi buat selama-lamanya.
Bersambung...
Ambik kau, Mak Siti. Dulu kau lebihkan sgt Nadia tu last-last anak kesayangan kau tu jgk yang lari rumah... Anyway siapa agaknya ye yg bakar rumah Syafiq tu? Coming ... next chapter √
Share this novel