BAB 8

Thriller Completed 592

“May God have mercy on your soul!!!!”

Aku berlari keluar dari bilik air. Aku mengunci pintu dari luar. Nafas aku tercungap-cungap. Seluruh tubuh aku menggigil ketakutan. Gigi aku berlaga sesama sendiri. Tidak pernah aku alami kejadian menakutkan sebegitu seumur hidup. Aku dihambat satu lagi kejutan apabila telefon bimbit berbunyi secara tiba-tiba memecah kesunyian. Aku lekas-lekas mendapatkan telefon bimbit. Nama Sheery tertera di ruangan skrin. Pantas aku menjawab panggilan.

“Akhirnya kau jawab call aku. Kau ada mana ni? Puas aku cari kau.”

“Aku tak ada masa nak terangkan. Kau kena tolong aku Mona.”

“Tenang Stephen. Kau ada mana? Aku datang sekarang.”

“Aku tak tahu aku ada dekat mana. Tapi aku dapat rasa ajal akan datang jemput aku bila-bila masa.”suara aku menggeletar. Aku tertoleh-toleh bimbang jika kelibat-kelibat menakutkan muncul lagi secara tiba-tiba.

“Apa kau cakap ni? Cuba bawa bertenang. Bagitau kau ada dekat mana sekarang?”

“Aku masih dalam Melaka. Hotel Ludwig.”

“Hah? Kau biar betul. Mana ada hotel nama macam tu dalam Melaka ni.”

“Aku tak tahu. Tapi memang aku check in hotel nama tu. Tolong aku Mona. Aku tak boleh keluar dari sini.”suara aku separuh merintih.

“Kau tenang. Aku akan selamatkan kau. Aku….”

Suara Mona lenyap dari talian.

“Hello! Hello! Mona !...”panggil aku berulang kali.

“May God have mercy on your soul!!!!!”

Panggilan aku disahut dengan satu tengkingan yang amat kuat. Suara garau dan keras itu melantun-lantun keluar dari corong speaker Galaxy S4 aku. Aku mencampakkan telefon bimbit di atas lantai.

Telefon berkecai dan bateri terkeluar tercampak ke bawah katil.Tapi suara itu masih menjerit berulang-ulang dari corong speaker. Aku duduk bercangkung memeluk lutut dan menekap telinga. Tubuh aku menggeletar ketakutan. Aku menangis teresak-esak merintih. Aku tak mahu dengar suara-suara itu lagi. Aku tak sanggup lagi diganggu sebegini. Aku nak keluar dari tempat ini!!!!

Aku tercari-cari arah dalam kegelapan. Aku pun tidak pasti bagaimana aku boleh berada di kawasan seperti ini. Sekeliling gelap dan amat sunyi. Tiada secebis cahaya pun yang menerangi kawasan sekeliling. Aku berjalan tertatih-tatih dan teraba-raba. Hanya bergantung pada deria rasa sentuhan semata-mata.

Aku menjerit meminta tolong. Lantunan suara aku bergema sebelum lenyap ditelan kegelapan. Aku menghempaskan keluhan kasar. Aku harus mencari jalan keluar dari tempat itu. Aku melangkah berwaspada. Namun tidak semena-mena kaki kanan aku tersepak sesuatu yang keras. Aku terdorong ke hadapan sebelum jatuh tertiarap. Aku menyeringai menahan kesakitan yang mula menjalar.

Saat itu, kawasan yang tadinya gelap mula dilimpahi cahaya. Aku mendongakkan kepala. Rupa-rupanya sang bulan mula memunculkan diri dari sebalik awan. Aku menarik nafas kelegaan. Sakit sebentar tadi mula beransur kurang. Aku bangun semula perlahan-lahan. Baju dan seluar dikibas berulang kali cuba menyinkirkan debu dan habuk yang melekap.

Sejurus pandangan aku rayapi di seluruh kawasan aku berada kini. Tidak semena-mena mata aku terbentang luas melihat pemandangan di hadapan aku. Rupa-rupanya aku berada di kuburan Kristian. Lambang-lambang salib berceracak di serata tempat. Aku menelan liur. Terasa lambat dan perlahan melalui anak tekak.

Aku berjalan terketar-ketar cuba mencari jalan keluar dari kawasan perkuburan itu. Tetapi tanah perkuburan itu seolah-olah terlalu luas. Di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang penuh dengan kubur dan seolah-olah tiada penghujungnya. Peluh renik mula membasahi dahi. Aku terlingas-lingas mencari jalan keluar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience