Cinta merupakan hal terindah yang mampu menggembirakan semua orang di muka bumi apabila ia hadir di dalam diri. Lebih gembira lagi apabila dapat memiliki orang yang dicintai itu. Terasa dunia hanya milik seorang.
Namun, cinta juga boleh mendatangkan rasa sakit yang mendalam, salah satu sebab iaitu apabila cinta dikhianati. Begitulah yang Hanis hadapi saat ini. Hatinya sangat menderita. Seolah-olah anak panah yang baru sahaja terlepas dari busurnya, menusuk menembusi benteng paling dalam. Lelaki yang dicintai dan disayangi, rupanya secara diam-diam sudah mempunyai pasangan. Berstatus 'tunang' pula tu.
Hatinya sedih. Fikirannya kosong. Air mata sudah jatuh. Cukup deras. Sekali lagi, dirinya dihambat rasa kecewa. Hatinya retak entah kali yang keberapa. Retak bagaikan kaca yang tidak dapat diperbaiki semula. Renyuk umpama kepalan kertas yang tidak dapat lurus seperti sedia kala. Sakit jiwa dan raganya apabila teringat kata-kata Haifah. Tunang? Kenapa lelaki itu tidak mahu jujur dengan dirinya?
Hanis menukar posisi menghadap siling rumah. Sarung bantal sudah pun basah akibat terkena air matanya. Biarlah. Hanya air mata saja yang mampu berbicara bagaimana rasa sakitnya saat ini. Harapan yang diletakkan setinggi gunung, hancur begitu sahaja.
Undur diri? Jawapannya, ya! Suka atau tidak, dia kena mengundurkan diri. Cinta tidak semestinya memiliki. Melepaskan dan merelakan lelaki itu bersama yang lain, adalah jalan terbaik!
Malam semakin tua. Namun, mata Haiqal Jason masih tidak mahu terlelap. Wajah Putri Hanis asyik muncul dalam ruang fikiran. Lebih-lebih lagi, teringat pasal tadi. Siapa sangka, mereka boleh terserempak di kawasan itu. Keadaan menjadi semakin rumit.
Jason mengeluh berat. Nombor telefon Hanis tidak aktif sejak tadi. Dia pun telah datang ke rumah Hanis, namun wanita itu tidak berada di sana. Entah di mana keberadaan kekasih hatinya itu.
Sekali lagi lelaki itu mengeluh berat, memikirkan keadaan Hanis. Sudah tentu wanita itu marah besar pada dirinya. Memang salahnya juga kerana tidak memberitahu lebih awal tentang perkara tersebut. Apa kan daya, masa tidak boleh diundur kembali. Tiada apa yang boleh dibuat, selain menghadapi dengan sabar.
Mahukah wanita itu memaafkan dirinya? Mahukah wanita itu mendengarkan penjelasan nanti? Mahukah wanita itu mempercayai dirinya lagi? Argh! Banyak persoalan yang bermain dibenaknya saat ini. Tapi setiap kali memikirkan persoalan itu, mula timbul jawapan negatif dan itu sudah pasti menakutkan dirinya sendiri!
Pagi telahpun melabuhkan tirainya. Jason bergegas menuju ke rumah Putri Hanis untuk menjelaskan perkara sebenar, meskipun sudah terlambat. Terbayang-bayang wajah wanita itu saat mengetahui perkara ini. Walaupun wanita itu tersenyum dihadapannya, namun pandangan mata tidak dapat menipu. Wanita itu sudah terluka dari dalam.
“Hanis...” Panggilnya saat turun dari kereta. Kebetulan, Hanis sedang berjalan menghampiri pacuan dua rodanya saat itu. Jason berlari anak mendapatkan wanita itu. Hatinya cukup berdebar saat ini.
“Hanis, saya minta maaf pasal semalam. Semua tu...”
“Semua tu sudah jelas depan mata saya, Haiqal Jason. Tiada apa lagi yang perlu awak jelaskan. Sebaiknya, awak pergi dari sini dan jangan pernah muncul depan saya lagi,” tegas wanita itu. Tiada secalit senyuman yang hendak dikuntumkan, melainkan wajah tegang sahaja.
“Please, dengar penjelasan saya dulu...”
“Tolong... jauhkan diri dari saya. Tak pasal-pasal pula nanti saya kena serang dengan Haifah. Saya tak mahu semua tu terjadi. Awak kena ingat status awak sekarang!”
“No. Sekali pun, saya tak akan jauhkan diri dari awak. Please, saya sayangkan awak...” Tangan Hanis dicapai lalu digenggam erat.
“Lepas, lepaslah!” Hanis menarik tangan dengan kasar. Ini kali pertama dirinya bersikap demikian dengan lelaki itu.
“Please... listen to me, princess. Yes, Haifah memang tunang saya. Tapi, dia bukan pilihan saya. Mama yang masuk meminang dia semasa awak kena tuduh hantar sihir tu dulu. Mama buat keputusan terburu-buru sebab tak nak awak dekatkan diri dengan saya. Tolonglah, percaya saya...” Luah Jason sungguh-sungguh. Wajah Hanis dipandang saat itu.
“Sekarang baru nak jelaskan? Masa dia datang dekat Cafe tu dulu, ada awak cerita dekat saya pasal dia? Tak de, kan? Awak hanya bagitahu saya, awak ada hal. Yelah, hal pergi berdua dengan dia, kan?” sinisnya. Asap kemarahan mula dilepaskan sedikit demi sedikit.
“Bukan tak mahu bagitahu, tapi saya cemas awak marahkan saya,”
“Saya lagi marah sebab awak tak jujur dengan saya! Saya kecewa dengan awak, Jason. Mulai hari ni, kita dah tak ada apa-apa hubungan. Pergilah dengan tunang awak tu,” Kata Hanis sebelum melangkah kembali ke dalam rumahnya. Hasrat ingin keluar terbantut serta merta.
“Jangan macam ni, please. Saya nak awak aje. Saya akan putuskan tunang dengan Haifah secepat mungkin. Saya tak mahu orang lain... Please,” Rayu Jason sungguh-sungguh. Jujur, dia tidak sanggup kehilangan wanita dihadapannya saat ini.
“Sedar tak apa awak cakap ni? Fikir Haifah tu robot? Tak ada hati dan perasaan? Suka hati awak cakap macam tu, kan. Fikirlah pasal perasaan dia sikit!” bidas Hanis laju.
Walaupun berat hati melepaskan lelaki itu, namun dia juga tidak rela ingin menyakitkan hati wanita lain. Dia juga seorang wanita. Dia tahu macam mana rasa sakit bila disia-siakan. Biarlah derita dia tanggung sendiri demi kebahagiaan orang lain. Dalam dunia ni memerlukan banyak pengorbanan. Inilah salah satu pengorbanan seorang Putri Hanis!
“Perasaan awak macam mana pula? Tak kan tak fikir pasal diri sendiri dulu?” nada lelaki sedikit di tekan.
Hanis menatap mata lelaki itu dengan dalam.
“Tak payah fikir pasal perasaan saya. Awak lupa ke? Sederas apa pun air hujan tu turun, pasti redah juga akhirnya. Macam tulah juga perasaan saya. Sakit macam mana sekalipun, dia pasti akan pulih walau mengambil masa yang agak lama,” Air mata yang cuba ditahan akhirnya tumbang dengan sendirinya. Kesakitan dan kekecewaan mengalir sama mengikuti rentak arus air mata itu.
Jason cuba mengesat air mata itu menggunakan hujung jarinya. Malangnya, Hanis mengelak dengan pantas.
“Awak baliklah. Lupakan semua tentang saya. Anggap saja saya tak pernah wujud. Saya doakan kebahagiaan awak bersama Haifah. Saya ikhlas...” ujar Hanis bersama sisa kesedihan yang masih tersemat. Sejujurnya, dia masih belum redha, tapi dia cuba sedaya-upaya.
“No, no. Saya tak boleh hidup dengan dia. Hati saya pada awak, Hanis. Tak kan saya nak paksa diri bersama dengan dia? Saya tak boleh bahagia!” nada lelaki itu mulai berubah semakin cemas. Air mukanya juga seperti menahan air mata daripada mengalir.
“Terkadang, cinta ni tak semestinya memiliki. Mungkin saya bukan pasangan yang terbaik untuk awak. Haifah jauh lagi baik dari saya. Jangan sia-siakan dia. Saya yakin, awak boleh hidup bahagia bersama Haifah. Saya undur diri, terima kasih...” ucap Hanis buat kali terakhir sebelum menutup pintu rumahnya dengan perasaan yang sebak.
Jason terdiam tidak berkata. Seketika, kaki dihayunkan kembali ke kereta dengan perasaan hancur. Sangat hancur. Wanita idamannya sudah pun mengundurkan diri. Satu tragedi hitam telah tercatat dalam sejarah kehidupannya. Seseorang tolong kejutkan dan beritahu bahawa semua ini adalah mimpi!
Tak, ini bukan mimpi. Inilah hakikatnya. Sukar baginya untuk menerima kenyataan ini. Masih adakah kesempatannya untuk membetulkan keadaan ini? Entah, dia sendiri tidak pasti!
“Jason? Lama aunty tak jumpa kamu. Dari tadi ke kamu dekat sini? Maaflah, aunty baru selesai bagi kucing makan dekat halaman belakang,” ujar Datin Hafizah sebaik sahaja muncul di ruang tamu tersebut.
“Baru je sampai, aunty.” jawab lelaki itu. Sewaktu dia tiba disitu, pembantu rumah yang menyambut dirinya.
Datin Hafizah adalah ibu kepada Haifah. Ya, dia berada disini hanya kerana mahu menjelaskan dan berbincang secara baik tentang hubungan dirinya dengan anak wanita dihadapannya itu. Tiada jalan selain berbuat demikian. Dia sanggup menerima cemuhan dan tanggung rasa malu. Apa jua keadaan, dia akan pikul tanpa ada rasa menyesal dalam diri.
“Terkejut aunty tadi. Rupanya, kamu yang datang. Haifah tak ada pula cakap dengan aunty kamu nak datang sini. Kalau tak, aunty boleh masak lauk sedap-sedap...” ujar wanita itu.
“Tak apa, aunty. Sebenarnya, Haifah tak tahu pun saya datang sini. Maaf andai kedatangan saya sedikit mengejutkan. Cuma, ada perkara saya nak bincang dengan aunty.... pasal hubungan saya dengan Haifah,” luah Jason sedikit gugup.
“Okay, teruskan...”
Jason menghembus nafas perlahan. Cuba mengumpulkan keberanian di dalam diri. “Saya tak boleh teruskan hubungan ni dengan anak aunty. Kami tak sehaluan. Saya tak pernah sayangkan dia. Saya tak nak dia menyesal satu hari nanti...” Kata-kata lelaki itu berhenti seketika.
“Sebelum perkara yang tak diingini berlaku, ada baiknya kalau ikatan pertunangan ini diputuskan. Saya minta maaf, jika sikap saya kurang sopan. Tapi, saya memang tak boleh nak teruskan pertunangan ni. Saya minta tolong dengan aunty, jangan salahkan mama saya. Semua ni salah saya,” tambahnya lagi.
Datin Hafizah tersenyum. Entah, senyuman itu ikhlas atau sebaliknya, Jason sendiri tidak tahu.
“Tak adelah sampai nak salahkan mama kamu pula. Aunty rasa, apa yang kamu buat ni betul. Soal perasaan memang tidak boleh dipaksa. Aunty suka cara kamu. Mencegah lebih baik daripada mengubati,” balas wanita itu dengan lemah lembut.
“Jadi, aunty setujulah kalau pertunangan ini diputuskan? Aunty tak marah, kan?” soal lelaki itu ragu-ragu. Bukan apa, jangan disebabkan perkara ni, hubungan antara mamanya dengan Datin Hafizah menjadi renggang.
“Nak marah buat apa? Lagipun, aunty tak nak satu hari nanti perkara lain pula berlaku antara kamu dengan Haifah. Aunty setuju dengan keputusan kamu ni...”
“No! Haifah tak setuju, ma! Jason tetap akan jadi suami Haifah. Awak pun satu, saya dah kata kan, cinta boleh dipupuk! Saya boleh bantu dan buat awak sayang pada saya,” kata dengan tegas. Dari tadi lagi dia mencuri-curi dengar perbualan antara Datin Hafizah dengan Haiqal Jason.
“Tapi, aku tak boleh bantu diri aku sendiri, Haifah.” mendatar suara Jason memberi balasan saat itu.
“Awak tak cuba lagi, Jason. Percaya cakap saya...”
“Cukup, Haifah. Jangan paksa orang lagi,” potong Datin Hafizah. “Jason, sebaiknya kamu balik dulu, ya. Pasal Haifah ni, biar aunty urus kan,”
“Jason, please...” Dia cuba menghalang lelaki itu, namun Datin Hafizah segera menahan anaknya.
“Apa mama buat ni?! Jason mesti kahwin dengan Haifah!” marahnya. Saat itu, Jason sudah meninggal kan kawasan itu. Tinggallah dua beranak itu.
“No, mama tak izinkan. Cukuplah kamu malu kan dua kali. Kamu tak ingat ke, disebabkan perangai kamu yang suka memaksa, mama kena tanggung malu sampai saat ini,” Datin Hafizah cuba bertegas.
Sebelum ini, Haifah sudah pernah bertunang dengan lelaki yang entah datang dari mana. Semua itu disebabkan perangainya yang suka memaksa. Ya, dia telah memaksa lelaki itu untuk masuk meminang dirinya. Sampailah satu masa, di mana majlis akad nikah mereka akan berlangsung, namun lelaki yang ditunggu tidak pernah munculkan diri.
Perkara itu sudah berlaku kali kedua. Pengantin lelaki tidak memunculkan diri semasa majlis akad nikah berlangsung. Oleh sebab itu, Datin Hafizah bersetuju jika Jason memutuskan pertunangan itu awal-awal. Takutnya, terjadi lagi peristiwa yang sama.
“Ma, itu dah lama. Jason tak akan buat macam tu. Dia lelaki yang baik. Dia boleh sayang dan jaga Haifah. Mama tak nak ke tengok Haifah bahagia?” berkaca-kaca mata anaknya itu.
“Mama tahu dia baik. Sebab tu, dia datang jumpa mama dan bincang pasal benda ni. Dengar cakap mama, Haifah. Akan ada lelaki yang betul-betul sayangkan kamu. Lelaki itu akan mengejar kamu, bukan kamu mengejar lelaki....”
“Mama ni kejamlah! Mama tak sayang Haifah pun sebenarnya, kan?!”
“Bukan macam tu. Mama sayang dekat kamu, Haifah...”
“Tipu! Kalau mama sayangkan saya, mama tak buat macam ni dekat Haifah! Mama sepatutnya pujuk Jason tu kahwin dengan Haifah!”
“Kamu dengar kan apa Jason cakap tadi? Dia tak boleh buka hati untuk kamu. Tak kan kamu nak paksa dia? Dengar cakap mama, Haifah. Mama buat semua ni sebab untuk kebahagiaan kamu,” Jelas Datin Hafizah.
“Tak...”
“Haifah... Mama tak mahu anak mama ni bertepuk sebelah tangan. Ada baiknya putuskan pertunangan ni, sebab mama ada feeling yang kamu tak akan bahagia kalau kamu kahwin dengan Jason. Maafkan mama sebab tak tolak awal-awal pinangan ni...” timbul rasa bersalah dalam diri wanita itu. Jika ditolak dari awal, semua ni tidak akan terjadi.
“Ma... Haifah sayang dia, ma. Dari zaman Universiti lagi, Haifah tunggu dia...”
“Dengar cakap mama, orang yang kita sayang tak semestinya jadi milik kita. Allah dah tetapkan jodoh kamu dengan seseorang. Cuma, belum masanya lagi ia muncul...”
“Sudahlah, sayang. Mama harap kamu redha dan ikhlas melepaskan Jason, ya? Jason pun ada kebahagiaan dia sendiri,” Datin Hafizah cuba memujuk hati anaknya itu.
“No! Haifah tetap nak kahwin dengan Jason!” ujarnya sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya. Kedengaran pintu tersebut di hempas dengan sekuat hati. Datin Hafizah hanya menggelengkan kepala sahaja. Begitulah kelakuan Haifah jika kemahuannya tidak dituruti. Suka memberontak!
*****
Happy reading semua <33
Share this novel