SYAFIQAH berlari-lari anak mendapatkan Ustazah Najihah yang sedang menunggunya di luar rumah. Seperti biasa, waktu petang ialah rutin baginya untuk mengaji. Dan macam biasa jugak, Syafiqah la pelajar yang datang paling awal berbanding yang lain.
"Kejap lagi saya ambik Syafiqah macam biasa. Dalam pukul 10:15 macam tu," ujar Syafiq kepada Najihah.
"Ha, okey."
Tapi mata Najihah tertancap tepat pada wajah Syafiq. Wajah lelaki itu akhir-akhir ini nampak muram. Mukanya cengkung. Kadang nak ajak lelaki itu berbual pun, macam nak tak nak aje dia.
"Syafiq, awak okey tak ni?" tanya Najihah kerisauan.
Syafiq jongketkan keningnya. Tiba-tiba ditanya sebegitu membuat dirinya pelik. Dirinya ini nampak berlain sangat ke?
"Ya. Saya okey je. Kenapa?"
"Oh. Tak ada apalah," dalih Najihah padahal dia tak mahu panjang lebarkan keadaan.
Syafiq angguk.
Selepas meminta izin untuk mengundurkan diri, dia berpamitan pergi. Pergi sehingga kelibatnya lesap dari penglihatan.
"Syafiqah."
"Ya, ustazah?"
"Along kamu kenapa? Dia sakit ke?" tanya Najihah kepada Syafiqah pula. Segan nak tanya kepada tuan badan, lebih baik tanya kepada si adik.
Syafiqah jongket bahu. Mulutnya turut dimuncungkan. "Tak taulah, ustazah. Syafiqah pun tengok along lain macam je. Makan pun macam tak ada selera," adu Syafiqah.
Najihah hela nafas. Keluh berat dilepas. "Kamu tahu tak kenapa along kamu jadi macam tu?"
"Entahlah. Tapi apa yang Syafiqah tahu, Sabtu lepas along ada pergi kat rumah Kak Damia." Syafiqah mulakan cerita.
Dengar je nama Damia disebut, mata Najihah terbuka luas. Memang semua benda pasal Syafiq, mesti ada kaitan dengan Damia ke?
"Lepas tu?" tanya Najihah yang mulai ingin tahu.
"Along kata, Kak Damia jemput dia pergi rumah. Syafiqah sebenarnya nak ikut along tapi along tak bagi sebab dia kata tak nak buat keluarga Kak Damia tak selesa."
Najihah telan liur. Sampai tahap berkunjung ke rumah masing-masing ni, ada apa? Lepas tu, sanggup tinggalkan adik sendirian kat rumah. Memang dah kenapa Syafiq tu? Najihah geleng kepala.
"Syafiqah pun ikutkan jelah. Along kata dia pergi tak lama pun jadinya dia tinggalkan Syafiqah sorang kat rumah. Along tepati janji dia. Dalam setengah jam lepas tu, along balik. Tapi muka along berubah. Muka dia nampak sedih je," sambung Syafiqah lagi.
Najihah sedikit tercengang dengan cerita dari Syafiqah itu. Segera dia kawal semula mulutnya yang terbuka luas itu. Asyik sangat dengar cerita dari Syafiqah.
"Jadi sejak dari hari tu la along kamu tak banyak bercakap?"
Syafiqah mengangguk laju.
Benda apa yang jadi kat Syafiq ni eh? Takkanlah ni kerja Damia. Teka Najihah dalam hati.
Bukannya dia nak berburuk sangka dengan Damia tu tetapi pastinya semua perkara ini terjadi kerana ada kaitan dengan gadis itu.
"Syafiqah. Nanti kalau boleh, Syafiqah tanyakan along kamu kalau dia okey ke tak. Lepas tu nanti pujuklah dia. Bagi along kamu ceria semula."
"Okey, ustazah. Nanti Syafiqah cuba." Syafiqah bersetuju.
Najihah lalu buang pandangan ke arah lain. Fikirannya kini hanya bermain dengan nama antara Syafiq dan Damia sahaja.
Ada sesuatu yang berlaku kat dia orang ke? Bisik hatinya.
*****
Lokman mulakan pemanduannya. Kereta berjenama Perodua Myvi miliknya membelah jalan usai berpamitan dengan Mak Siti.
Hari ini adalah kali pertama dia keluar berdua-duaan dengan Damia. Rasa gugup, teruja dan gusar, semuanya menyelubungi rasa. Biarlah, yang penting hubungannya dengan Damia akan menjadi lebih rapat dengan cara ni.
Damia sandarkan diri. Pandangan matanya masih menembus tingkap. Nak buka mulut untuk berbual? Jangan harap. Mulutnya terasa berat nak lontarkan sesuatu.
Lokman hanya kerling sahaja Damia dari ekor matanya. Nampak gayanya, gadis di sebelahnya itu nampak segan je. Lantas dia hidupkan radio agar suasana tidak terlalu senyap dan janggal.
"Damia." Lokman mulakan bicara.
"Ya?"
"Awak okey tak? Saya nampak awak macam tak sihat je. Kalau awak tak okey tak apalah, kita cancel je keluar makan hari ni."
"Tak ada apalah. Saya okey je. Tak payahlah patah balik rumah. Lagipun alang-alang kita dah keluar ni, kan?" ujar Damia acuh tak acuh.
Memang mahu pulang semula ke rumah adalah keinginannya dari tadi tetapi apabila difikirkan semula, nanti macam-macam hal pulak yang bakal ibunya tu tanyakan kepada dirinya. Ibunya yang seorang itu bukan boleh, nanti dituduh Si Damia ini mahu mengelak dari Lokman. Kan lagi susah mahu menjawab.
Lokman angguk dan turuti kata Damia.
Setelah menempuhi perjalanan hampir setengah jam, akhirnya mereka tiba di sebuah restoran yang agak terkenal di dalam pekan. Sebuah restoran yang menyediakan pelbagai menu masakan Melayu dan menggunakan asam pedas ikan pari sebagai menu utama mereka.
Usai memesan hidangan untuk makan tengah hari mereka, Damia lihat sekeliling restoran. Agak ramai juga orang di situ tetapi nasib baiklah tidak terlalu sesak. Dirinya bukan suka sangat bertembung dengan ramai orang ni.
"Damia, boleh saya tanya satu soalan tak?" tanya Lokman tatkala mata Damia merewang mengimbas ruang restoran.
Damia angguk sahaja.
"Kenapa mak awak tak bagi kita pergi kat kampung sebelah? Ada apa sebenarnya?" Lokman terus ajukan soalan.
Damia membatu. Lidah menjadi kelu. Cakap pasal kampung sebelah, seorang lelaki yang bernama Syafiq itu bermain di fikirannya.
'Lokman bawaklah Damia ni pergi berjalan mana-mana pun. Janji jangan kat kampung sebelah tu. Pergi jalan jauh-jauh pun tak apa. Lagi bagus.'
Kata-kata dari suara lantang Mak Siti sebelum mereka berpamitan tadi diimbas semula. Peringatan yang diamanahkan kepada Lokman tadi memang menunjukkan yang Mak Siti risau benar kalau Si Damia itu mahu buat hal lagi.
"Damia?" Lokman layangkan sebelah tangannya betul-betul di hadapan muka Damia.
Damia segera tersedar dari lamunan. Kepalanya segera digeleng dan hanya jawapan tiada apa-apa sahaja yang dituturnya. Tak naklah beritahu perkara sebenar. Lokman bukannya boleh buat apa pun.
Ketika itu juga, hidangan yang mereka pesan sampai. Pelayan restoran menghidang satu per satu juadah kepada mereka.
Damia yang sudah berkeroncong perutnya laju je mulakan suapan pertama. Nasi kosong berlauk tom yam menjadi pilihan. Sedap dan pedas, kena dengan tekak. Dihirupnya kuah tom yam itu tanpa rasa segan padahal Lokman sedang memerhatinya di depan.
Lokman lalu tertawa kecil sahaja melihat tingkah Damia itu.
Damia terus menikam Lokman dengan pandangan tajam. "Kenapa awak gelak?"
"Tak ada apalah. Cuma saya terhibur sikit. Awak dari dulu memang tak makan sayur ke?"
Damia mampu meleretkan senyum malu. Mana taknya, sepanjang dia makan, semua jenis sayur dia asingkan kat tepi pinggan. Brokoli, bayam dan bahkan lobak merah pun dia letak tepi.
"Saya ingat lagi masa kita budak-budak dulu. Awak asyik kena marah dengan mak awak sebab awak suka buang sayur, kan?" sambung Lokman sambil melepaskan tawa yang tersisa.
Nostalgia tatkala zaman kanak-kanak mereka kembali bermain di layar minda. Memang masih segar lagi ingatan mereka ketika itu. Makan sama-sama, bermain sama-sama.
Dan hari ini, mereka berdua kembali menggamit memori berbelas tahun dahulu.
"Ingat awak dah lupa." Damia teruskan mengisi perutnya. Lantaklah tak makan sayur pun, janji kenyang.
Makan sudah, kenyang pun sudah. Lokman dan Damia lalu keluar dari restoran itu dan masuk ke dalam perut kereta.
Hal makan bersama sudah settle.
"Takkanlah kita keluar ni nak pergi makan je? Saya ni dahlah cuti hujung minggu je, jadi jarang tau kita nak keluar berdua macam ni," luah Lokman.
Dari di restoran tadi dia sedikit tak puas hati dengan permintaan Damia. Damia beritahu yang dia mahu pulang awal.
Selepas makan je, terus balik. Padahal tadi dah rancang nak pergi ke tempat-tempat yang lain di sekitar pekan itu.
Nak pergi pantai la, nak pergi taman la, last-last semua tak jadi.
"Maaf, Lokman. Saya tiba-tiba rasa tak sedap badan pulak. Nak berjalan jauh pun dah tak larat," dalih Damia.
Lokman akur. Mungkin hari ini bukan rezeki buatnya untuk luangkan lebih masanya bersama Damia. Tak apalah, minggu depan boleh keluar berdua lagi.
Lokman fokus dengan pemanduan. Tiba-tiba matanya tertarik ke arah jajaran gerai di tepi jalan. Dia terus memberi signal dan berhentikan kereta di bahu jalan.
"Awak, saya nak beli something jap. Awak nak beli apa-apa tak?"
"Tak apalah." Damia menolak. Sambil itu dia sedang asyik menatap telefon barunya dari tadi.
Lokman angguk. "Okeylah. Kalau macam tu, awak tunggu kejap tau."
Lokman terus keluar dari kereta. Dia terpaksa berjalan kaki menuju ke gerai itu memandangkan keretanya sedikit terlajak.
Damia pasangkan matanya ke arah cermin sisi. Kelibat Lokman dikerlingnya sekejap sebelum keluhan berat dilepasnya.
Aku ni dingin sangat ke dengan Lokman tu? Padahal kami ni akan kahwin. Hatinya bertanya.
Hmm ... biarlah. Lagipun aku bukannya suka kat dia pun. Segera fikirannya membentak hati yang membisik tadi.
Dalam beberapa minit sahaja, Lokman kembali semula dari berbelanja di gerai. Dua bungkus beg plastik dia bawa bersama.
"Nah ni, sate untuk awak." Lokman lalu hulurkan beg plastik yang berisi beberapa cucuk sate itu kepada Damia.
Mata Damia terus membulat. Kerongkongnya terasa tersekat. Entah mengapa, makanan yang dihulurkan Lokman itu tiba-tiba membuatnya teringat akan sesuatu. Lebih spesifiknya, dia teringat akan seseorang.
Dengar je sate pastinya nama Syafiq terlintas di fikiran. Lamanya tak bertemu dengan lelaki itu. Rindu rasanya mahu makan lagi sate yang dibuatnya.
"Awak tak suka sate ke?" Lokman bertanya lagi.
"Tak adalah. Terima kasih sebab belanja saya sate ni." Damia cuba berpura-pura kuat. Berpura-pura seperti tiada apa-apa.
Biarpun bungkusan sate yang digenggamnya sekarang ini bukan sate yang dibakar Syafiq, tetapi rasa rindunya kepada lelaki itu semakin membuak-buak.
Kenapa mesti sate? Kenapa? Semakin diri Damia menjauh dari Syafiq, semakin membara pulak rasa hati untuk teringat akan lelaki itu.
*****
Selesai saja mengaminkan doa, Syafiqah terus kucup tangan abangnya. Syafiq hanya usap lembut kepala adiknya itu.
Baru je Syafiq mahu bangun dari duduknya, Syafiqah segera menghalang. "Along! Adik nak cakap sikit boleh?"
Syafiq terus batalkan niatnya. Dia duduk bersila semula sambil melipat sejadahnya.
"Ya, adik. Nak cakap apa?"
"Tapi kalau adik tanya ni, along jangan marah tau."
"Kamu belum tanya lagi takkanlah along nak marah. Ha tanyalah."
Syafiqah telan liur. Entah mengapa, agak resah jugak hatinya mahu ajukan soalan yang mungkin akan menghiris hati abangnya itu. Tapi tak apa, dia tahu abangnya itu seorang yang kuat.
Abangnya mungkin sedikit tegas tetapi tidaklah segarang mana pun kerana abangnya tu tak pernah sekali pun meninggi suara kepada dirinya tu.
"Along dengan Kak Damia bergaduh ke?"
Syafiq tersentak. Nama gadis yang keluar dari mulut adiknya itu meruntun jiwanya. Hatinya rawan.
"Kenapa adik tanya macam tu?" Syafiq turunkan pandangannya tetapi wajahnya sudah ditutupi bayang-bayang pilu. Tak mampu dilindungi lagi.
"Dulu setiap kali along balik dari jual sate, along mesti call Kak Damia. Bersembang dengan dia, bergelak dengan dia. Tapi sejak-sejak ni, along macam tak pernah pun call dia. Along pun dah tak bersemangat macam dulu."
Syafiq bungkamkan diri. Tanpa disedari, pandangannya mulai kabur dek air mata yang berlinang. Bila teringatkan Damia, hatinya jadi luluh.
"Mana ada, dik. Along tak call Kak Damia bukan sebab kami bergaduh. Tapi Kak Damia busy. Along tak nak kacau dia," dalih Syafiq yang masih menahan air matanya dari jatuh berderai. Rasa bersalah membaluti diri kerana berbohong.
"Busy? Jadi Kak Damia tak boleh datang sinilah? Tapi along kata lepas je along pergi rumah Kak Damia minggu lepas, along nak jemput dia pulak datang sini?" Syafiqah bertanya.
Dia masih ingat lagi janji abangnya itu. Janji dari Syafiq yang mengatakan akan membawa Damia ke rumah mereka lagi.
"Maafkan along. Tapi along janji, bila Kak Damia dah tak busy, along bawak dia datang sini, ye."
Syafiq berusaha meleretkan senyum namun senyumnya tidak dapat menutup mendung yang menyelubungi wajah. Satu lagi janji palsu terpaksa dia buat. Janji yang sukar dan tak mungkin lagi untuk dia tepati.
"Ala, tapi bila along? Adik dah rindu dengan Kak Damia." Syafiqah tarik mukanya.
"Bukan sekarang, tapi insya-Allah nanti. Along pun rindukan Kak Damia jugak. Rindu sangat."
Air mata semakin galak berlinang. Segera Syafiq bangun dari duduknya dan beredar pergi dari ruang tamu itu. Dia terus masuk ke dalam biliknya, pintu ditutup dan dikunci rapat.
Tatkala dirinya sedang berseorangan ketika ini, akhirnya air mata yang ditahan di depan Syafiqah tadi dibiarkan jatuh. Tak mampu lagi dia lawan rasa perit yang menyulam diri.
Wajah dan suara Damia semakin giat bermain di layar fikiran. Dirinya menjadi lemah apabila memikirkan tentang gadis itu.
Syafiq putuskan membuka almari yang terletak di hujung bilik. Kemeja-T berwarna putih yang siap dilipat itu diambilnya. Satu-satunya baju yang pernah Damia pakai ketika gadis itu menetap semalaman di rumahnya.
Punggung dilabuhkan di atas katil. Sesak di dada masih tersisa. Bukannya memudar bahkan semakin menusuk-nusuk. Syafiq genggam dan cium baju itu. Dengan cara itu sahajalah yang mampu dia lakukan untuk lepaskan rasa rindu.
Seminggu tak bertemu, perasaannya sudah begini? Macam mana kalau sebulan? Kalau setahun? Hatinya pasti belum bersedia menghadapi semua itu.
'Jangan sekali-kali kau nak berhubung dengan anak aku lagi sebab dia dah nak jadi bini orang dah. Aku takkan restui dan takkan benarkan kau berkawan dengan anak aku lagi sampai bila-bila. Faham?'
Amaran yang Mak Siti hamburkan itu tak pernah dia lupa. Biarpun kampung mereka bersebelahan, tetapi kerana wanita bengis itulah yang membuatkan dirinya dan Damia terasa jauh. Amat jauh.
Ya Allah! Aku rindu dia. Aku tahu usia perkenalan kami masih awal, tapi aku mengaku yang aku sukakan dia. Tapi kenapa takdir kami begini? rintihnya sendiri.
Bersambung...
Done updated √ Terima kasih baca dan sudi tinggalkan komen tu :-)
Share this novel