Chapter 27

Romance Completed 11348

Bab 27

Amin berlari mendapatkan 'ibunya' yang kedua. Ex aku menyambut Kina dengan mesra. Saling bermaafan, serta ucapan terima kasih untuk baju raya mereka berdua. Aku lihat, bersihnya hati Kina. Aku tahu, bertahun dia cuba memenangi hati aku, akhirnya aku tak memilih dia. Dia juga tak berdendam dengan aku mahupun ex aku. Malah, kasih sayangnya dicurahkan sebaiknya kepada Amin. Amin bertuah memiliki keluarga besar yang sayang padanya. Aku senyum mesra menjemput Kina menjamu selera. Hari raya tahun ini antara tahun yang terbaik untuk kami semua.

"Anak mama sihat sayang? Cantik baju raya, siapa beli?" Kina berseloroh dengan Amin. Amin tersengih-sengih, sambil jari telunjuknya dituju ke arah Kina. Mustakina Baharudin, nama penuhnya. Ringkas dan cantik namanya. Sama seperti orangnya juga.

"Papa dengan mama tak datang ke Kina?" Aku menyoal Kina. Raya, takkan datang sorang je. Aku buat makan-makan, terfikir juga, tak bertandang ke rumah ke?

"Papa dengan mama takde la awak. Semua takde dekat sini. Raya dekat Indonesia. Tak sempat balik. Lan bawak semua beraya sana." terang Kina pada aku. Lan, adiknya yang intern di negara seberang mengajak papa dan mama Kina beraya ke sana. Barangkali ini mainan orang kaya agaknya, jalan-jalan antara negara macam Kuantan ke Melaka.

"Awak tak ikut? Habis, beraya dengan siapa je dekat sini?" soal aku semula padanya.

"Saya kerja raya ketiga nanti. Sepupu saya datang, beraya sini tahun ni. Lagipun, mama abah awak kan ada, saya tumpang beraya la ye? Amin pun ada." jelas Kina. Mudah betul jawapannya. Ex aku yang sedang menuang air hanya tersenyum. Aku tak berkata apa. Lancar mulut aku menukar topik sambil menyuap lontong ke mulut Amin.

Ex aku bangun dan pergi meninggalkan kami di meja makan menuju ke dapur. Membantu apa yang patut, untuk persiapan tetamu seterusnya.

Aku tahu, ada timbul rasa cemburu dalam dirinya.

*****

Perjalanan dari Kuantan menuju ke Pontian pada hari raya pertama tidak terlalu sesak, melainkan di sekitar lebuhraya PLUS menuju ke selatan. Beberapa kilometer lagi, sebelum exit Benut, tetapi jalan terlalu sesak dek kerana hampir 90% kenderaan di lebuhraya.

Amin dan ex aku sudahpun tertidur. Jam dah hampir 6 petang. Aku gerak agak lewat, selepas Kina, Atan dan Shahir serta kawan-kawan yang lain balik baru aku bertolak. Aku nak temukan ex aku dengan keluarganya. Aku nak raya kali ini lebih bermakna. Sementara jalan sesak itu, aku tatap wajah ex aku lama-lama. Aku kesian. Dah terlalu lama dia menderita. Cukuplah kali ini aku nekad nak perbetulkan kesemuanya.

*****

"Mak..." Ex aku mencium tangan ibunya. Bekas ibu mertua aku. Aku hanya tersenyum tawar. Sesekali Amin terpinga-pinga, tidak mengenali sesiapa pun di rumah itu.

"Mana kau pergi nak.. Kenapa tinggalkan mak?" Mak bersuara pilu. Aku sendiri pun menahan airmata. Pilu hati seorang ibu, berhari raya tanpa anaknya yang tercinta. Kerana bersama keluarga adalah segalanya. Kerana itu, aku paksa dia bertemu semula dengan keluarganya.

"Maafkan saya mak..." Hampir-hampir saja ex aku melutut ingin mencium kaki ibunya, tetapi dihalang ibunya sendiri. Amin menarik-narik baju melayu aku, ketika aku mendukungnya.

"Ayah, siapa ni?" soal Amin. Kesian Amin. Dia tak mengenali pun wajah tua itu. Kali terakhir aku berjumpa mak, pada hari aku bercerai, dan menghantarnya pulang ke rumah usang ini. Dan sejak pada hari itu, aku langsung tak ambil tahu.

"Ni lah nenek Amin. Belah ibu. Belah ayah dekat Kuantan sayang." balas aku lembut. Amin berkerut dahi. Aku kembali bersuara,
"Pergi salam opah sana." arah aku sambil menurunkan Amin.

Amin menggelengkan kepala dan berlari keluar menuju ke kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience