Rate

BAB 1

Humor Completed 635

Tak perlu cinta dan kasihku ini diperbandingkan dengan harta yang menimbun.
Kerana aku tidak punya apa-apa selain cinta yang tulus. Antah sama antah, beras sama beras.
Yang pipit sama pipit, yang enggang sama enggang. Manakan boleh
terbang bersama. Kata dua telah diberikan oleh keluargamu. Aku atau
mereka. Aku tahu dikau tidak punya banyak pilihan. Percayalah Fahim
Amsyar…kita tidak akan bisa mengecapi bahagia tanpa restu orang tua.
Pergilah cinta. Aku bukan untukmu. Kulepaskan dikau walau hati masih
sayang. Mungkin itu yang terbaik buat kita. Di akhir pertemuan, aku
lihat kau menitiskan air mata. Aku? Sudah kering air mataku. Biarpun aku
diuji hebat, namun aku pasrah dengan ketentuan yang telah Allah S.W.T.
rencanakan untukku. Kerana aku percaya, pasti ada hikmah disebalik semua
itu.

Bertahun aku sendiri. Melewati hari-hari tanpa cinta. Bukan mudah
merawat luka yang terpendam. Inilah penangan cinta pertama. Si dia?
Mungkin sudah bahagia dengan jodoh pilihan keluarga yang sedarjat. Aku
hanya mampu mendoakan kebahagiaan mereka dari jauh. Aku tidak cemburu.
Jauh sekali untuk berdendam. Kukunci hatiku rapat-rapat. Kuhindari untuk
setiap cinta yang datang. Bukan kerana aku membenci cinta. Cuma, aku
belum bersedia untuk mempunyai sebarang komitmen. Yang mana melibatkan
soal hati dan perasaan. Aku gusar andai hatiku terluka lagi. Namun, aku
hanya insan biasa. Aku tidak menolak jika ditakdirkan satu hari nanti
jodohku telah sampai. Pada-Mu Ya Allah, kupanjatkan doa agar
mempertemukan jodoh yang terbaik buatku.

Satu hari, aku menerima panggilan telefon daripada kampung. Seperti
biasa, aku menyambut salam ibu dengan penuh rasa rindu. Kami saling
berbalas bertanya khabar memandangkan aku jauh bekerja di kota
metropolitan. Di hujung perbualan, barulah ibu menyatakan hajat sebenar
mengapa dia menghubungiku. Ibu meminta daku pulang ke kampung. Ada hal
penting katanya. Ibu enggan membicarakan hal tersebut melalui talian
biarpun aku telah memujuknya berkali-kali. Aku jadi penasaran. Perkara
penting apakah yang ibu ingin bincangkan? Sungguh aku tertanya-tanya
sendirian.

Hujung minggu menjelma. Seperti yang dijanjikan, aku bertolak pulang ke
kampung dengan memandu kereta Perodua Viva milikku. Aku beruntung
mempunyai seorang majikan yang baik hati dan bertimbang rasa. Aku
dibenarkan bercuti selama tiga hari memandangkan perjalanan untuk pulang
ke kampungku memakan masa kira-kira 6 hingga 7 jam. Bella Bridal
terpaksa aku tinggalkan untuk beberapa hari. Kak Emma, majikanku bersama
beberapa orang pekerja yang lain pasti tidak menang tangan melayan
bakal-bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan. Sememangnya,
butik pengantin kami sering menjadi tumpuan. Terutama sekali apabila
tiba musim cuti persekolahan. Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan
khidmat yang Bella Bridal sediakan.

“Asyik design baju kawin orang je. Bila lagi nak design baju kawin
sendiri?” Kak Emma pernah mengusikku.

Bukalah pintu hatimu, dik. Sampai bila Auni nak terus hidup macam ni?
Beri peluang pada Hadif. Akak yakin, Auni akan bahagia dengan dia,”
pujuk Kak Emma. Kak Emma tahu kisah silamku. Dia bukan sekadar majikan.
Malah, aku sudah dianggapnya seperti adik sendiri.

Aku hanya tersenyum tawar. Kata-kata Kak Emma seperti tidak meninggalkan
kesan apa-apa padaku. Bagai angin lalu.

“Akak pun tahu kan jawapannya.” Aku tetap dengan pendirianku.

Entah mengapa hati aku begitu keras. Sedangkan aku tahu Hadif Naufal
tidak pernah berhenti mengejar cintaku.

“Sekali lagi awak buat macam ni, saya berhenti kerja!” Aku pernah
memberi amaran sebegitu kepada Hadif apabila dia cuba melamarku beberapa
kali di hadapan Kak Emma dan rakan-rakan sekerjaku yang lain. Wajahku
merona merah menahan rasa malu.

‘So sweet…’ Itulah kata-kata usikan mereka setiap kali Hadif datang ke
butik membawa jambangan bunga dan coklat kegemaranku, Cadbury.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience