14 Bukan Dia Tapi Dia!

Family Series 57531

Rhett Raffendy memandang kosong rumah agam yang tersergam mewah di hadapannya. Separuh jiwanya tiada di situ. Mungkin dah tertinggal di rumah opah. Suasana rumah agam yang telah dihuni sejak bayi tiba-tiba terasa begitu asing bagi dia. Argh, mengapa begini? Rhett pantas meraup wajah. Tak bolehlah macam ni, Rhett. Baru dua puluh lapan jam kot! Batin bermonolog, cuba memujuk diri sendiri.

Dengan langkah gontai, Rhett menapak masuk. Di belakangnya, pembantu Tok Teh mengekori sambil membawa barang-barang Rhett. Beberapa langkah menuju ke ruang tengah, Rhett diterpa oleh Tok Teh bersama sebuah jeritan teruja yang bisa menggegarkan corong telinga.

“Cucu tok dah balik!” Rhett dipeluk dengan erat. Ciuman Tok Teh mendarat di kedua-dua pipi Rhett.

“Ewah cucu tok ni, bahagia sangat ke di kampung orang sampai tak ingat nak balik? Kau janji paling lama pun seminggu. Ni kalau tok tak hantar Aiman kau dah tak jumpa jalan balik agaknya!”

Eya nenda, silap-silap Rhett kahwin dan punya anak berjurut tiap tahun di situ. Batin menjawab pilu. Ah, dia dah setengah mati merindu! Macam mana nak teruskan hidup kalau macam ni?

“Hilang macam tu je, langsung tak dapat dihubungi, tok hampir mati saban hari memikirkan tentang kau, Rhett.” Hanya mampu tersenyum sumbing bila dengar Tok Teh mulai membebel. Sebijik macam opah!

“Kau mesti penat kan? Jom, kita duduk dulu sebelum kita sambung berbual.” Rhett mengeluh tetapi kaki tetap diorak bila Tok Teh menarik tangannya menuju ke sofa. Dia tak yakin dengan kata-kata nenda dia ni, berbual katanya tetapi bagi Rhett lebih kepada membebel.

“Kau penat tak? Ni, tok nak tanya sebelum papa kau balik dari pejabat. Yela, tok tak nak mereka tahu. Macam mana dengan bekas pembantu rumah tu? Dapat jumpa tak? Begitu lama kau di situ, takkanlah tak jumpa kan? Cepatlah beritahu tok.” Ketidaksabaran terpampang jelas di wajah tua Tok Teh ketika bertutur.

Rhett hanya mengangguk. Dia memang penat gila seharian memandu, tapi dia faham sangat dengan perangai Tok Teh. Selagi tak diberi apa yang dimahukan, memang tak senang duduklah jawabnya. Tok dia ni suka mendesak. Tiada kesabaran langsung.

“Ni ke pembantu rumah yang tok cari?” Rhett menarik keluar sekeping gambar seorang wanita muda dari dalam dompetnya. Menurut Pak Semat, gambar anaknya itu diambil ketika masih bujang. Rhett sengaja pilih gambar tersebut supaya lebih mudah nenda membuat pengecaman. Laju Tok Teh merampas gambar tersebut dari tangan Rhett lalu ditenung bersungguh-sungguh dengan mata tuanya.

“Ini siapa, Rhett?” Berkerut dahi Rhett apabila disoal dengan suara sedikit meninggi.

“Inilah Maryam, anak Pak Semat. Dia pernah datang ke bandar ni untuk bekerja.”

Tok Teh menghentak gambar tersebut di atas meja. Buntang matanya memandang Rhett.

“Tok suruh kau cari yang namanya Mardhiah, bukan Maryam!”

Terpinga Rhett dengar. Patutlah macam ada yang tak kena ketika dia sebut sebaris nama itu di depan opah dahulu. Rupanya Mardhiah, bukan Maryam! Bingkas Rhett berdiri tegak dengan wajah kembali bersemangat.

“Silap ke tok? Nampaknya terpaksalah saya balik ke kampung itu dan teruskan pencarian.”

“Tak payah! Kau langsung tak boleh diharap. Biar tok je yang uruskan. Lagi pun papa kau tu dah bising! Mulai sekarang, tumpukan je pada syarikat tu.”

Rhett pantas melabuhkan punggung di sisi Tok Teh. Lengan wanita itu dipeluk manja.

“Ala, tok! Papa kan ada. Apa salahnya papa uruskan dahulu syarikat tu? Saya janji…”

“Tok kata tak payah! Hesy, kau ni kan… sia-sia tok menaruh harapan tinggi pada kau. Entah perempuan mana kau kasi tok! Ni perempuan biasa-biasa je. Mardhiah tu cantik! Mungkin jadi rebutan di kampung tu dulu.”

“Takpe tok. Saya sanggup pergi…”

“Dah! Tok tak nak kau uruskan hal ini lagi. Tok risau papa kau dapat tahu. Kau pergilah berehat. Esok kau boleh masuk pejabat!”

“Tok!”

Rayuan Rhett tak diendahkan. Tok Teh bingkas bangun dan melenggang tinggalkan Rhett seorang di ruang tamu. Argh! Rhett mengusutkan rambut. Dia masih belum ada hati mahu bekerja. Tak bolehkah dia berehat sehari dua lagi? Melihat jam di pergelangan tangan, Rhett bingkas bangun dan bergegas menuju ke biliknya. Sebentar lagi papa akan muncul. Dia belum bersedia bila papa bawa bicara tentang hal syarikat kalau mereka terserempak nanti.

Rhett dikejutkan dengan kunjungan Dato’ Razif Raikal, iaitu papanya pada pagi itu ketika dia masih sedap berdengkur di atas katil. Seperti yang diduga, papa menyuruh dia bersiap untuk masuk ke pejabat. Rhett terpaksa menurut kerana dia tidak punya alasan kukuh untuk melepaskan diri.

Bermulalah kesibukan Rhett. Dari hari ke hari, semakin dia tidak punya masa untuk memikirkan tentang hal peribadi. Ingatan semakin berkurang seiring rasa rindu semakin memudar. Semakin masa berlalu, semakin dia kembali menjalani kehidupan normalnya sebelum dia bertemu gadis kampung itu.

Bukan langsung tak ingat, sesekali di masa senggang wajah Deila menjelma di layar mata. Kenangan manis bersama gadis itu tertayang di layar minda, buat Rhett tersenyum-senyum. Buat keinginan mahu bertemu dengan Deila membuak-buak. Buat Rhett mulai melihat jadual kerjanya dan mulai merancang sesuatu. Tetapi macam tu jela. Tamat masa senggang, otak Rhett kembali dipenuhi dengan kerja dan semua tentang Deila terus sirna dari kepala.

Suatu hari, selepas tamat mesyuarat rutin dengan ketua-ketua bahagian, Rhett menerima panggilan telefon dari seseorang yang tidak dijangka.

“Babe, I miss you!” Tersentak Rhett mendengar suara manja di corong telefon bimbitnya itu. Dada tiba-tiba berdebar. Dia hampir terlupa suara yang tidak pernah tidak berjaya buat dia terbuai dengan perasaan. Suara lembut dan merdu. Suara yang mampu membelai jiwa.

“Kenapa diam ni? You tak rindukan I ke?” Rhett masih diam. Cuba mengawal gelora yang tiba-tiba melanda jiwa.

Kerana jarak yang memisahkan dan kurangnya berhubung, dia hampir terlupa kewujudan seorang Zara Adelia di dalam hidupnya. Ya, Zara Adelia ialah kekasih Rhett. Hubungan cinta mereka sudah terjalin hampir tiga tahun lamanya. Mereka sudah merancang mahu terus mengikat hubungan cinta mereka dengan perkahwinan sebaik sahaja Zara tamat pengajian dan kembali semula ke tanah air.

“Babe, what’s wrong with you ni? Asyik diam je. Tak suka I call ke? Kalau macam tu, I’ll hang up, by…”

“No, Zara! I okay, I gembira you call. Maaflah, I cuma terkejut je you tiba-tiba call I.” Rhett cepat-cepat mencantas. Zara tergelak pendek di hujung talian.

“I rindukan you, Rhett. Nak harapkan you call I, memang taklah. Tapi takpe, I faham situasi you sekarang. You must be very busy sejak you gantikan tempat papa you kan?”

Rhett diam sejenak. Dalam hati terbit rasa bersalah kerana mengabaikan kekasih hatinya itu.

“Thank you sayang sebab memahami situasi I.” Jawab Rhett dengan sedikit tergagap. Entah mengapa dia rasakan yang kata-kata itu dia ucapkan tanpa keikhlasan. Kedengaran tawa Zara sekali lagi di hujung talian.

“You masih sama seperti dahulu kan? Masih setia ke? Atau you dah curang dengan I?”

“Eh, you janganlah cakap yang bukan-bukan. I sibuk, manalah I ada masa mahu curang.” Dan entah mengapa jawapan yang terbit dari mulut buat hatinya tiba-tiba sakit.

“I trust you, babe. I gurau je. Guess what? I’m coming home, yeay!!!”

Rhett benar-benar tersentak. Tubuh auto mengeras. Mendengar sorakan girang Zara, seharusnya dia pun begitu bukan? Sekian lama memendam rindu, dia patut merasa sangat gembira dengan perkhabaran itu. Lalu, mengapa dia tiba-tiba merasa resah? Seolah berita itu berita sedih, bukan berita gembira.

“Babe, kenapa you diam ni? Tak excited ke I nak balik?” Nada suara Zara merundum. Rhett semakin dihimpit rasa bersalah.

“Tak, sayang. I am happy of course. Cuma banyak sangat kerja sekarang. Later on I call you boleh? I kena settlekan beberapa perkara penting secepat mungkin.” Rhett beralasan. Dia keresahan, fikiran kacau bilau. Dia perlukan masa untuk bertenang. Risau tersilap cakap dan buat kekasihnya terasa hati.

“I faham. Call me later okay, I tunggu. Bye sayang! I love you so much.”

“Bye, babe. Take care!” Panggilan Rhett tamatkan dengan laju. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Cuba menenangkan perasaannya yang tengah berkecamuk.

Ya, Zara Adelia kekasih hatinya. Janji sudah termeterai antara mereka dan dia harus tunaikan. Tak perlu wujud rasa terbeban. Tak perlu wujud rasa berbelah bagi, teragak-agak apalagi berat hati. Argh! Dia sudah gila agaknya! Rhett mengorak langkah dengan kasar sambil melonggarkan ikatan tali lehernya.

Rhett sampai ke rumah agam ketika matahari sudah lama berlabuh dan diambil alih oleh bulan. Waktu kepulangan yang sudah jadi rutin hidupnya kini. Macam biasa, ketika masuk, suasana sepi. Tiada seorang manusia pun kelihatan di ruang tamu. Tok Teh pasti sudah lama tidur. Kedua orang tuanya mungkin berada di dalam bilik kerana garaj penuh bererti tiada yang masih berada di luar kecuali dia.

Rhett terus menuju ke bilik tidurnya. Sebaik saja pintu ditolak, Rhett menekan suis lampu.

“Rhett Raffendy!!!”

Omak kau! Rhett terlompat ke belakang lalu menabrak dinding berhampiran pintu. Macam terkena jurusan elektrik sekujur tubuhnya hingga terbuang lalu melekat di dinding. Mata terbelalak dan mulut ternganga boleh sumbat sebiji bola tenis.

“T… T… Tok!” Hampir tak mampu Rhett keluarkan suara. Dia benar-benar terkejut melihat Tok Tehnya sedang duduk di birai katil. Betul-betul dia ingat hantu tadi, cis!

“Ke mari kau, Rhett!” Panggilan Tok Teh tiba-tiba buat bulu tengkuk meremang. Lain macam nada suara nenda dia ni tau. Buat dia dilanda gelisah.

“K… kenapa tok?” Rhett masih tidak berganjak. Belakang tubuh masih melekat di dinding. Kaki berjarak luas, kedua-dua tangan terangkat separas kepala, juga masih dalam keadaan menempel di dinding. Begitu sekali Rhett punya terkejut!

“Tok kata ke mari cepat!” Ulang Tok Teh dengan suara naik seoktaf. Tak tunggu lama, Rhett bergegas mendapatkan Tok Teh.

“Ini siapa Rhett?”

Rhett terkedu. Air ludah ditelan perit. Macam mana Tok Teh boleh nampak benda tu? Ah, dia lupa! Benda itulah jadi peneman tidur dia setiap malam. Selalunya Rhett akan sisip di bawah bantal saja. Siapa sangka nenda masuk dan menemui benda tu.

“Itu… itu ialah…”

“Siapa wanita dalam gambar ini, Rhett Raffendy?” Tok Teh bersuara tegas. Rhett menarik nafas, cuba mengatur aksara untuk berterus terang dengan nenda mengenai wanita dan anak kecil di dalam gambar tersebut. Gambar yang dia curi dari bilik Deila Araferro.

“Wanita itu anak opah, tok. Opah ialah wanita tua yang bagi saya tempat tidur dan urus makan minum saya sepanjang saya berada di kampung terpencil itu. Dan budak comel tu…” Wajah Rhett tiba-tiba dicemari tompokan merah. Jantung berdegup laju saat seraut wajah comel menjelma di layar mata. “budak comel tu…”

“Apa budak ni anak kepada wanita di dalam gambar ni?” Tok Teh memangkas kata-kata Rhett. Bebola mata tidak dilarikan dari terusan merenung sekeping potret di dalam bingkai berbentuk empat segi itu.

Rhett memandang Tok Teh dengan pelik sebelum mengangguk. Kenapa dengan nenda? Apa yang menarik perhatian nenda mengenai gambar tersebut?

“Berapa usia anak perempuan ini sekarang, Rhett?”

Rhett kembali tergagap. Usia Deila? Mana dia tahu. Dia terlalu sibuk mengorat gadis comel itu sampai terlupa mahu tanya. Rhett mengeluh kesal. Sungguh baru dia sedar, dia langsung tak tahu apa-apa tentang Deila Araferro.

“Rhett, berapa usia anak ini sekarang?”

“Errr…” Rhett tidak mampu memberikan jawapan.

“Kau pasti dah jumpa mereka kan? Kau kata kau tinggal di rumah mereka. Kalau tak tahu, kau bagi tok anggaran usia anak itu! Ia penting bagi tok, Rhett!”

Rhett kembali berfikir.

“Saya tak pasti tok, Rasanya kami seusia. Agaknya sekitar pertengahan dua puluhanlah kot.”

“Ya Allah… anak ini… Ya Allah… ampunkanlah dosaku…”

Terkejut bukan kepalang Rhett bila Tok Teh tiba-tiba menangis sebelum bersujud di atas lantai sambil memeluk gambar tersebut.

“Tok, kenapa ni?!” Rhett meluru lalu duduk mencangkung di hadapan Tok Teh.

“Ampunilah to, Dhiah! Tok bersalah, tok berdosa terhadap kau dan anak ni! Maafkanlah tok, ampuni tok!”

Rhett terpempan sekali lagi.

Dah mula dah huhu, bertabahlah

Share this novel

norsila
2024-02-21 20:54:39 

cucu dio juga ke? huuu..abis si cucu laki ni cmno lak..adik bradik lah..huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience