Bab 21 : Alif Dijumpai

Horror & Thriller Completed 71561

Suasana di dalam kereta itu sunyi. Hanya kedengaran perlahan lagu Sampai Mati dendangan Hazama dimainkan melalui corong radio kereta Pesona milik Encik Hafiz itu. Ustaz Kamal masih tenang dengan tasbih di tangan kanan nya itu, Cik Jah pula yang berada di tempat duduk belakang bersama Syafiq hanya mendiamkan dirinya dan termenung jauh ke luar jendela.

Sesekali Encik Hafiz ada mengalihkan pandangannya ke arah jam yang berada di tangan kirinya itu. Dia seakan tergesa-gesa untuk ke sesuatu tempat, namun tak siapa pun tahu ke mana tujuan kereta itu dipandu.

Selepas hampir 10 minit bergerak, mereka mulai masuk ke kawasan jalan yang gelap. Jalan yang menghubungkan antara 2 daerah itu jarang dilalui oleh penduduk tempatan pada waktu malam kerana keadaan jalannya yang berselekoh tajam dan gelap.

Apabila mereka mulai masuk ke jalan itu sahaja, fikiran Syafiq terus teringatkan roomatenya, Alif. Ialah, di dalam kawasan inilah Alif pernah melanggar seseorang. Namun apabila memikirkan kejadian yang menimpanya tadi, soalan lain pula yang bermain di dalam fikirannya sekarang. Di mana sebenarnya Alif berada saat ini?

"Bawak perlahan sikit Hafiz. Jangan tergesa-gesa. Cuba istigfar sikit. Jalan ni dah lah gelap, bahaya kalau bawa laju-laju." Akhirnya Ustaz Kamal berbicara selepas beberapa kali Encik Hafiz hampir terbabas ke tepi jalan yang berselekoh.

"Betul tu Hafiz, jalan ni dah lah gelap, selekohnya pulak tajam. Bawak lah perlahan-lahan sikit, bahaya bawak laju-laju ni." Sambung Cik Jah yang kelihatan sudah tidak senang duduk di belakang itu.

"Saya tahu tu Ustaz, Cik Jah. Tapi kita memang kena cepat sampai ke sana. Dorang tengah tunggu kita ni." Balas Encik Hafiz yang masih memandu laju.

Ustaz Kamal dan Cik Jah terdiam mendengar kata-kata itu. Masing-masing kemudiannya melemparkan pandangan mereka jauh ke luar cermin kereta. Hanya hutan gelap yang kelihatan, Cik Jah mulai tidak sedap badan.

"Maaf Encik Hafiz, sebenarnya kita ni nak ke mana ni?" Tanya Syafiq tiba-tiba yang memecah sunyi suasana di dalam kereta itu.

"Nanti kita sampai sana awak tahu lah Syafiq." Balas Encik Hafiz ringkas.

Syafiq mengeluh perlahan. Soalannya tidak dijawab, malah dibiarkan tergantung begitu sahaja. Malah sebelum ini, Ustaz Kamal juga ada bertanya, namun jawapan sama yang diberikan oleh Encik Hafiz padanya.

-0-0-0-0-

Syafiq terlelap saat menunggu mereka tiba ke destinasi yang dituju. Saat kereta itu tiba-tiba berhenti dari bergerak, Syafiq terus terjaga dari lenanya. Diusap matanya perlahan, lalu dia menggeliatkan badannya sedikit.

Encik Hafiz berlari keluar saat tiba ke destinasi yang dituju. Cik Jah dan Ustaz Kamal juga mulai bergerak keluar dari kereta yang diparkir tidak jauh dari jalan raya itu. Syafiq orang terakhir yang keluar, lalu dia berjalan perlahan di belakang Ustaz Kamal.

Cahaya lampu dari kereta milik Encik Hafiz menerangi sedikit kawasan itu. Masing-masing mulai melihat ke kiri dan ke kanan, namun hanya kelihatan pokok-pokok besar memenuhi kawasan itu.

Syafiq yang leka melihat ke sekeliling kawasan itu, kemudiannya terpandang pada satu objek yang berwarna putih di atas dahan betul-betul di atas kepalanya. Semakin dia cuba untuk melihat, semakin degupan jantungnya itu berdegup laju.

Syafiq cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain apabila dia yakin bahawa objek yang dilihatnya itu turut memandang tepat ke arahnya. Sangkaanya itu cuma adalah sebuah objek salah kerana sebenarnya seekor pontianak sedang memandang tepat ke arahnya.

Syafiq yang mengalihkan pandangan nya ke hadapan, mulai ketakutan apabila kelibat Ustaz Kamal, Cik Jah dan Encik Hafiz sudah tidak kelihatan. Dengan penuh cemas, Syafiq cuba mencari mereka di sekeliling kawasan itu. Namun pencariannya gagal.

Kereta Pesona Encik Hafiz masih disitu, menerangi kawasan yang sama. Dengan sepantas kilat Syafiq berlari ke arah kereta itu dan cuba untuk memasukinya. Pintu nya berkunci dan tiada siapa pun yang berada di dalamnya.

Syafiq bertambah risau. Dia ingatkan segalanya sudah berakhir, namun dirinya masih lagi diganggu. Zikir dan segala ayat Al Quran tidak lekang dari bibirnya. Pesanan Ustaz Kamal masih lagi diingatinya.

Syafiq bersandar di tepi kereta itu lalu duduk ke bumi. Lututnya dirapatkan ke badan dan matanya tidak berhenti dari memerhati ke kanan dan kiri kawasan itu. Telinganya dipasang kuat, sehinggakan jika ada ranting yang jatuh pun mampu didengari olehnya.

"Syafiq. Tolong aku Syafiq." Tiba-tiba kedengaran suara seseorang meminta tolong.

Syafiq yang sudah ketakutan bertambah takut. Mana kan tidaknya, dalam hutan gelap seperti itu tiba-tiba ada suara yang meminta tolong. Sudah pasti Syafiq tidak akan bangun lalu mencari dari mana arah suara itu datang.

"Syafiq, ni aku Syafiq. Tolong aku." Sekali lagi suara itu kedengaran perlahan.

Bacaan ayat Al Quran dari mulut nya semakin dikuatkan. Tubuhnya yang bergerak ke belakang dan ke depan semakin laju kelihatan. Syafiq benar-benar hilang kekuatan untuk menghadapi semua ini lagi.

"Syafiq, ni aku Alif. Kau kena tolong aku Syafiq. Hanya kau je yang boleh tolong aku." Kata suara itu yang mengaku dirinya sebagai Alif.

Mendengar kata-kata itu, Syafiq terdiam seketika. Dia cuba untuk mendengar sekali lagi suara itu untuk memastikan bahawa suara itu benar milik roomatenya, Alif.

Suasana menjadi sepi seketika. Suara itu sudah tidak kedengaran lagi. Hanya kedengaran perlahan bunyi cengkerik di sekeliling kawasan itu bernyanyi berkumpulan.

Syafiqqqqqqqqqq!!!

Tiba-tiba kedengaran suara itu menjerit meminta tolong. Syafiq yang terkejut, bangun lalu melihat ke sekeliling kawasan itu. Matanya tertumpu pada pokok besar di hadapannya itu. Kelihatan ada kelibat seseorang sedang meronta-ronta minta dilepaskan.

Dengan bantuan dari lampu kereta milik Encik Hafiz itu, Syafiq mulai berjalan perlahan ke arah pokok itu. Dari kejauhan, dia seakan mengenali orang itu. Sangkaannya tepat kerana orang itu sebenarnya adalah Alif.

"Ya Allah, Alif." Jerit Syafiq lalu berlari ke arah Alif yang terikat di pokok itu.

Keadaan Alif sungguh lemah. Tubuhnya basah dan kelihatan dia menggigil kesejukan. Melihat Syafiq menghampiri, raut wajah Alif tersenyum kecil.

"Ya Allah Alif, kenapa kau jadi macam ni? Apa kau buat dekat sini wei?" Tanya Syafiq sambil cuba melepaskan Alif dari ikatan itu.

"Syafiq, kau tak akan boleh lepaskan aku dari sini. Aku dah terikat dekat sini selamanya. Cuma ada satu je cara untuk kau tolong aku Syafiq." Kata Alif lemah.

"Apa dia?" Tanya Syafiq yang masih tidak mengalah mencuba.

"Ingat tak kes yang aku cerita dekat kau hari tu? Kau mesti buat laporan polis tentang kes kemalangan aku tu Syafiq. Lepas tu kau kena bawa pihak polis datang sini untuk selamatkan aku. Dengan cara tu je kau boleh tolong aku." Terang Alif yang masih dalam keadaan lemah.

"Haaaaa? Aku tak faham. Kenapa sampai kena panggil polis ni? Tak apa lah Alif, aku tak akan tinggalkan kau seorang diri dekat sini. Apa pun jadi, aku akan tunggu kau." Kata Syafiq sambil melihat ke sekeliling untuk mencari sesuatu sebagai pemotong tali itu.

"Syafiq, aku dah tak ada masa ni Syafiq. Tolong aku please." Rayu Alif padanya.

"Alif, aku memang boleh tolong kau. Tapi macam mana aku nak ke balai polis sekarang? Kereta Encik Hafiz berkunci, Ustaz Kamal, Cik Jah semua hilang entah ke mana. Kau nak aku buat apa?" Tanya Syafiq dengan nada yang sedikit tinggi.

"Balik lah Syafiq, balik. Tempat kau bukan dekat sini. Tapi janji dengan aku, yang walau apa pun kita tetap sahabat sampai bila-bila ye." Kata Alif yang semakin lemah.

"Apa kau merepek ni Alif. Dah-dah kau jangan cakap apa-apa lagi. Biar aku cari jalan supaya aku boleh bawak kau keluar dari sini. Kau tahan kejap ye." Kata Syafiq sambil memegang erat tubuh roomatenya itu.

Sedang Syafiq melihat-lihat ke sekeliling kawasan itu, tiba-tiba lampu dari kereta Encik Hafiz terpadam. Keadaan yang tadinya sedikit terang kini terus menjadi gelap gelita. Pegangan tangan Syafiq pada tubuh Alif semakin erat.

Dalam keadaan yang penuh mendebarkan itu, tiba-tiba lampu tersebut bernyala semula. Syafiq yang sedikit lega memalingkan mukanya ke arah Alif.

Betapa terkejutnya Syafiq apabila mendapati bahawa tubuh Alif yang tadinya elok, kini sudah bertukar menjadi mayat yang menakutkan. Perutnya menggelembung, mukanya biru penuh lebam, malah seluruh tubuhnya basah seperti direndam lama di dalam air.

Syafiq berlari jauh dari arah pokok itu. Dia menjerit ketakutan dan memanggil-manggil nama Ustaz Kamal sekuatnya. Matanya dipejamkan erat, tubuhnya sekali lagi disandarkan ke sisi kereta itu lalu kedua tangannya menutup kedap kedua telinganya. Syafiq benar-benar ketakutan saat itu.

Dalam kesamaran, kedengaran sekali lagi namaanya disebut-sebut. Kali ini badannya turut digoncang kuat, seolah-olah mahu dia membuka matanya itu. Namun Syafiq tetap terus memejamkan matanya kerana bimbang mayat yang dilihatnya itu ada di depan mata.

"Syafiq! Syafiq! Buka mata kamu Syafiq." Kedengaran suara itu memberi arahan padanya.

Syafiq terus membatu tanpa mahu membuka matanya. Malah tubuhnya dikeraskan supaya sukar untuk digoncang.

"Syafiq, ni Ustaz ni Syafiq. Kamu selamat dekat sini. Buka mata kamu Syafiq." Kali ini suara itu mengaku sebagai Ustaz Kamal pula.

Syafiq yang mendengar dalam samar-samar nama Ustaz disebutkan mulai membuka matanya sedikit demi sedikit. Dilihatnya dari sisi mata kanannya, Ustaz Kamal sedang duduk di sebelahnya. Dibukanya lagi mata kirinya lalu dilihatnya Cik Jah dan beberapa orang pelajar yang lain turut berada di sisinya itu.

Melihat dia berada di dalam bilik nya, Syafiq terus memeluk erat tubuh Ustaz Kamal itu. Tangisannya mula kedengaran lalu air mata jernih mula mengalir keluar dari kelopak matanya itu.

"Alhamdulillah, sedar jugak akhirnya kamu Syafiq. Susah betul nak buang makhluk yang menggangu kamu ni." Kata Ustaz Kamal sambil mengusap belakang badan Syafiq lembut.

"Terima kasih Ustaz, saya tak tahu nak balas jasa baik Ustaz pada saya. Kalau Ustaz tak ada, apa yang akan jadi pada saya pun tak tahu lah." Kata Syafiq tersedu-sedu.

"Ustaz cuma jalankan tugas Syafiq. Yang selebihnya itu adalah dengan keizinan Allah. Kamu sembuh ni pun bukan sebab Ustaz, tapi sebab Allah yang izinkan. Jadi berterima kasih lah pada Allah. Sesungguhnya segala pujian hanya layak buat diri Nya." Kata Ustaz Kamal sambil tersenyum melihat Cik Jah dan yang lain-lain.

"Cuma saya pelik sikit Ustaz, tadi bukan ke kita dah halau makhluk tu keluar dari sini? Kenapa pula tiba-tiba saya dirasuk lagi?" Tanya Syafiq pelik.

"Tapi lepas saya dah halau makhluk tu, tiba-tiba kamu diam dan mula tak sedarkan diri. Lepas tu kamu mula meracau. Disebabkan saya dan Cik Jah tak mampu kawal kamu, saya terpaksa panggil pelajar-pelajar ni di tingkat bawah. Selamat ada mereka, kalau diharap tenaga saya memang tak kuatklah nak pegang kamu." Jelas Ustaz Kamal sambil membetulkan kopiah di atas kepalanya.

Syafiq mengangguk lalu mendiamkan dirinya seketika. Dia memandang ke lantai lalu raut wajahnya mulai berubah.

"Kamu ok tak Syafiq?" Tanya Cik Jah yang perasan akan raut wajah Syafiq yang berubah.

"Saya rasa saya tahu mana nak cari Alif, Cik jah, Ustaz." Kata Syafiq sayu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience