MATAHARI masih malu-malu menyembul di ufuk timur saat Zulaikha berdiri tegak di atas hamparan tanah berbatu dan pasir halus yang belum dimampatkan sepenuhnya. Deruan enjin ekskavator dan bunyi dentuman logam menyatu dengan aroma simen basah serta debu tanah liat yang menyesakkan rongga paru-paru.
Topi keselamatan putih bertulisan “ZR & Partners Architect” terletak kemas di kepalanya. Rompi keselamatan jingga terang menutupi blaus krim berkolar tinggi, dipadankan dengan seluar slack hitam.. ringkas, namun cukup rapi untuk menggambarkan siapa dirinya hari ini.
Dia bukan lagi pelajar jurusan seni bina yang sibuk mengejar tarikh akhir. Dia kini pelakar realiti. Penentu garis masa dan struktur.
“Cik Zuzu, pelan level beam untuk lot A12 kita dapat mark-up baru dari HQ semalam. Ada minor shifting pada grid D,” ujar Aidil, juruteknik tapak dari syarikat kontraktor utama. Tangannya menunjuk pelan cetakan besar yang dikepit klip logam.
Zulaikha mengangguk tenang. Matanya tajam meneliti pelan; bibirnya terkatup rapat, seolah-olah sedang berbicara dalam diam dengan setiap inci garisan yang dilakar di atas kertas.
“Kamu dah dapat drawing terbaru dari pejabat?”
“Dah. Dapat petang semalam.”
“Baik. Kita semak terus di lokasi. Saya nak pastikan alignment grid D dengan D1 betul-betul selari. Jangan ada offset. Kalau tidak, kita akan hadapi masalah masa naik kolum nanti.”
Nada suaranya lembut tapi tegas. Otoriti bukan dibina melalui jeritan, tetapi melalui ketelitian dan rasa percaya yang terbit dari ilmu. Di lapangan, Zulaikha bukan sekadar wanita bertudung yang cuba bertahan.. dia adalah akal yang menyusun bina, dan jantung yang menahan struktur daripada rebah.
“Baik, Cik Zuzu. Saya panggilkan site engineer.” Aidil angguk pantas sebelum berlari ke arah barisan kontena pejabat.
Zulaikha menanggalkan sarung tangan, melangkah ke satu sudut tanah yang telah ditanam besi tetulang. Dia mencangkung, menarik pita ukur yang tergantung di pinggang. Tangannya lincah, mencatat sesuatu dalam buku sketsa kecil yang selalu ada di sisi.. di mana ilham dan realiti bertemu.
Mentari kini lebih tinggi. Terik. Peluh mula membasahi tengkuknya, tertahan di bawah tudung satin longgar yang digayakan ringkas. Tiada rias pada wajah, tiada perhiasan berlebih. Tapi redup matanya membawa karisma yang sukar ditiru.
Tiba-tiba telefon bimbit bergetar di poket.
Panggilan masuk dari Ummi
Dia melangkah ke sisi, menjauh dari bunyi mesin dan hiruk-pikuk tapak. Suaranya, yang tadi tegas dan bersahaja, kini lembut dan penuh rasa.
“Assalamualaikum, Ummi...”
“Waalaikumsalam, sayang. Dah sampai site?”
“Dah, tengah periksa pelan baru. Kenapa Ummi telefon pagi-pagi?”
Ada jeda. Sunyi yang menandakan sesuatu. Di hujung talian, hanya deru nafas yang kedengaran.
“Ummi nak beritahu... Walid Ika... dia nampak makin lemah. Tadi batuk berdarah sikit.”
“Ummi…”
Nada itu hampir pecah. Dunia yang selama ini tersusun dalam garisan dan ukuran kini terasa seperti retak tanpa pelan sokongan. Nafas Zulaikha tersekat di kerongkong. Tangannya menggenggam kuat di sisi.
“Ika jangan risau dulu. Ummi dah panggil doktor. Tapi... Ummi rasa... mungkin Ika patut pertimbang semula.”
“Maksud Ummi…?”
“Kerjaya awak. Hidup awak. Ummi tak nak awak menyesal, sayang.”
Zulaikha pejam mata. Panas debu yang menyentuh wajahnya terasa seperti luka lama yang kembali terbuka. Dunia yang dia bangunkan dengan kedua-dua tangan kini terasa menggigil di bawah kaki sendiri.
Dia membuka mata perlahan. Wajahnya kosong, tetapi mata itu masih menyimpan cahaya.
“Ika akan fikirkan. Petang nanti... Ika ke hospital. Ika nak tengok Walid.”
“Terima kasih, sayang. Ummi tahu kamu kuat.”
Talian terputus.
Zulaikha berdiri memandang jauh ke arah tanah berbukit yang bakal dibangunkan sebagai fasa seterusnya projek. Tapi persoalan yang lebih besar kini bergetar dalam dirinya.
Adakah fasa seterusnya... hidupnya akan diteruskan di sini?
Atau inilah titik pulang kepada sesuatu yang lebih penting dari cita-cita?
Langit mendung mengiringi langkah Zulaikha ke dalam lobi utama Hospital Putrajaya, bangunan megah berlapis kaca yang berdiri anggun di puncak bukit, menghadap Taman Wawasan dan tasik yang tenang. Di mata dunia, ia sebuah hospital kerajaan moden. Tapi bagi Zulaikha, hari ini ia menjadi tempat dia menggantung harapan tempat Walidnya, Zahim, berjuang dengan setiap hela nafas.
Setelah mendaftar di kaunter pelawat, dia menekan butang lif menuju ke Aras 8. Wad Perubatan Am. Suasana sunyi tapi tak pernah mati. Langkah kaki petugas bergema di lantai marmar, irama yang hanya difahami oleh mereka yang sudah terbiasa berlari melawan masa.
Sebaik tiba di koridor wad, Zulaikha segera menyedari sesuatu yang aneh... kehangatan. Bukan pada suhu. Tapi pada layanan.
Seorang jururawat lelaki lewat 40-an sedang membantu seorang pesakit tua berdiri perlahan-lahan, dengan suara lembut penuh sabar.
“Encik Din nak ke tandas, ya? Meh saya tolong. Jangan risau, saya ada sini.”
Di sudut lain, seorang jururawat muda bertudung warna putih sedang menyuapkan bubur ke mulut seorang wanita lumpuh.
“Buka sikit mulut, makcik... haaa pandai. Pelan-pelan, ya. Kita makan sama-sama hari ni.”
Zulaikha terpaku.
Setiap jururawat di situ bukan hanya menjalankan tugas. Mereka seperti keluarga kepada pesakit-pesakit itu. Ada yang duduk di tepi katil membetulkan rambut pesakit. Ada yang tolong betulkan selimut. Dan di setiap wajah mempunyai senyuman. Walaupun mata masing-masing letih, tak ada satu pun wajah yang kaku atau bosan.
Dia berjalan ke katil B-8, tempat Walidnya terbaring, berselimut putih bersih, dengan tiub oksigen menyambung ke hidung. Wajah Zahim tenang, tapi warnanya sudah suram. Nafasnya naik turun, kadang-kadang seperti tersekat.
“Walid... Ika datang,” suara Zulaikha bergetar.
Mata Zahim terbuka sedikit. Senyum nipis menyapa.
“Puteri Walid... lambat ya?”
Zulaikha genggam tangan ayahnya. Mata mula berkaca.
“Maafkan Ika...”
Beberapa minit berlalu dalam diam. Namun tiba-tiba, dada Zahim mula berombak deras. Nafasnya berbunyi kuat, seolah-olah tenggelam dalam air.
“Walid?” Zulaikha panik. “Walid, kenapa ni?”
Dia berdiri, menggoncang perlahan bahu ayahnya.
“Jururawat! Tolong! Tolong!”
Seolah-olah ada sensor tidak kelihatan, dua orang jururawat muncul serentak. Salah seorangnya ialah jururawat memakai tag nama ‘WANI’ tergantung di dada.
“Cik, tolong beri ruang ya. Kami akan bantu,” katanya lembut tapi tegas.
Dia segera memegang tangan Zahim, sambil bercakap perlahan, “Encik Zahim, tarik nafas perlahan. Saya Nurse Wani. Saya tolong, ya?”
Sambil itu, seorang jururawat lelaki melaraskan oksigen di dinding dan menukarkan kepada jenis sambungan yang lain. Kali ini menggunakan topeng pula. Seorang lagi memanggil pegawai perubatan.
Zulaikha hanya mampu berdiri di sisi langsir. Tidak faham apa-apa pun. Dalam huru-hara itu, suara Wani tetap tenang.
“Encik Zahim kuat orangnya. Sekarang tarik nafas ikut saya. Satu… dua… bagus sangat tu...”
Tiada herdikan. Tiada suara tinggi. Yang ada hanya kesabaran dan belaian suara yang menyentuh.
Beberapa minit kemudian, keadaan stabil. Nafas Zahim kembali perlahan. Nurse Wani menepuk perlahan bahu Zahim.
“Hebat Encik Zahim. Dah tenang dah..”
Zulaikha menahan air mata.
Nurse Wani menoleh padanya. “Anak Encik Zahim kan? Tak apa, ni biasa untuk pesakit yang ada masalah paru-paru. Kita akan pantau ketat. Cik jangan risau, kami ada di sini setiap masa.”
Suara itu bukan sekadar menenangkan. Ia memeluk hati yang sedang retak.
Zulaikha mengangguk, suaranya tenggelam. Dia tunduk, terasa lumpuh. Untuk pertama kali, dia rasa kecil.. bukan dalam rasa hina, tapi dalam kesedaran bahawa kasih manusia kadang tak memerlukan darah untuk bersambung.
Dia duduk semula di sisi katil Walid, memegang tangan walidnya.
“Maaf, Walid. Ika... Ika tak tahu nak buat apa.”
Zahim membuka mata, letih tapi senyum.
“Kamu ada, Ika. Itu... lebih dari cukup.”
Tapi di hati Zulaikha, kata-kata Jururawat Wani tadi bergema,
“Kami ada di sini setiap masa.”
Zulaikha pandang wajah Jururawat Wani yang sudah berlalu ke pesakit lain. Dia menyaksikan perempuan itu memimpin tangan seorang nenek ke bilik air, sambil berjenaka kecil.
“Ala Mak Yam ni, menari pun boleh ni, kuat betul jalan.”
Dan Mak Yam tergelak kecil, sambil dipimpin dengan yakin.
Zulaikha tarik nafas. Mungkin... untuk pertama kali dalam hidupnya, dia mula bertanya semula.
Apa sebenarnya makna kerja yang bermakna?
Zulaikha duduk di sisi katil, matanya memandang jari-jemari Walid yang semakin susut, urat-uratnya timbul seperti akar pohon tua yang pernah megah berdiri.
Tangannya masih menggenggam tangan walidnya, tapi hatinya terasa jauh.. sejauh jurang antara kemegahan dunia yang dikejarnya, dengan saat ini... di wad ini... di sisi orang yang paling dia sayang.
‘Apa guna semua ini?’
Gelang emas di pergelangan. Blazer dari butik eksklusif yang tergantung di kerusi. Telefon bimbit berkelip di dalam tas tangan, penuh dengan notifikasi mesyuarat, e-mel, tawaran kerjasama dari luar negara.
Semua itu pencapaian yang pernah membanggakan dirinya.
‘Tapi sekarang... untuk bantu Walid bernafas pun aku tak tahu nak buat apa.’
Dia tunduk, dadanya ketat. Terasa dirinya terlalu kerdil di tengah segala kehebohan hidup yang selama ini dibanggakan.
Dia ingat lagi, dia ambil jurusan itu bukan kerana minat. Tapi kerana ego. Dia mahu buktikan bahawa dia tak akan kalah. Bukan pada kawan-kawan. Bukan pada pesaing-pesaing akademik. Tetapi pada seorang itu...
‘Tapi aku dah kalah pun. Bukan pada dia. Tapi pada takdir sendiri.’
Tangisan yang ditahan mengalir juga perlahan.
‘Aku belajar tinggi. Aku petah bercakap di pentas. Aku mengendalikan projek juta-juta. Tapi sekarang… aku tak mampu buat apa-apa untuk walid aku sendiri.’
‘Bila Walid sesak nafas tadi, aku hanya mampu menjerit. Menggigil. Terpacak. Apa gunanya semua ini kalau saat paling penting dalam hidup… aku tak mampu lindungi orang yang paling aku sayang?’
Tangannya meramas selimut walidnya.
‘Aku malu. Aku rasa kalah. Tapi dari kekalahan inilah, mungkin aku harus bangkit. Dengan cara lain. Bukan untuk menang, tapi untuk berbakti.’
‘Cukuplah aku biarkan orang lain buat segalanya untuk Walid. Selama ni aku hanya datang dengan makanan, dengan senyuman, dengan janji esok aku balik kerja awal. Tapi kini… aku tak mahu tangan orang lain sentuh dia lagi.’
‘Biar tangan aku sendiri suapkan makan. Basuhkan tubuh. Betulkan bantal. Bacakan doa. Biar aku yang temankan dia bila malam sejuk dan sunyi.’
Dia mengelus tangan Zahim yang terlentok di sisi.
‘Aku anak Walid. Dan hanya tangan aku yang patut ada di sini. Bukan orang lain. Bukan sesiapa pun. Bukan sebab aku lebih baik dari jururawat itu. Tapi sebab aku anak dia.’
Matanya terpejam. Dalam sepi wad yang hanya bertemankan bunyi mesin dan dengus pesakit lain, dia buat satu keputusan.
‘Aku akan lepaskan semuanya. Kerja, dunia, perlumbaan yang aku sendiri tak pasti kenapa aku masuk. Aku nak jaga Walid. Sampai dia sembuh. Sampai dia pulang. Atau… sampai dia benar-benar pulang.
Dan waktu itu, dia mahu satu perkara saja—
‘Aku nak walid tahu… anak dia ada di sisi. Tak lari. Tak sorok. Tak kalah lagi.’
“Zulaikha…”
Suara itu serak, perlahan… tapi cukup untuk menggegarkan benak Zulaikha yang sedang termenung jauh.
Dia berpaling pantas. Wajah Walid sudah lebih tenang. Nafasnya tidak lagi mendesak-desak seperti tadi. Mata tua itu memandang tepat ke arahnya, penuh kelembutan yang sudah lama tidak dia rasai.
“Termenung apa tu?” tegur Walid sambil cuba mengangkat tangannya. Lemah.
Zulaikha pantas bangun, menggenggam jemari itu, mengurut lembut.
“Tak ada apa… Zulaikha cuma… penat sikit,” jawabnya perlahan, mengukir senyum palsu yang cuba menutup segala gelora di dada.
Zahim mengelus kepala anaknya yang berlapik tudung satin, tangan yang sudah berusia itu masih tahu membelai dengan kasih yang sama sejak Zulaikha kecil.
“Walid… susahkan kamu, ya?” soal Zahim tiba-tiba. Ada sesuatu dalam suara itu antara rasa bersalah dan bimbang.
Zulaikha diam. Tapi senyumnya tetap terukir.
“Zulaikha…” panggil Walid lagi. “Kamu marah Walid, kan? Sebab yang perkara dulu.”
Dada Zulaikha terasa senak. Soalan itu bagai menghiris kulit yang belum sempat sembuh.
Dia pandang wajah tua itu , wajah yang pernah mengecewakannya. Namun kerana sayang, dia pendam segala rasa kecewa. Dia hanya ada Walid dan Ummi. Selagi hidup, dia kan terus berbakti pada keduanya.
Banyak yang berlaku. Banyak yang ditelan. Banyak yang tak pernah dibincang. Segalanya tersimpan… dalam diam.
Zulaikha hanya geleng perlahan. “Zulaikha tak marah, Walid.”
Walid renung anak perempuannya lama-lama.
“Tapi kamu tak pernah bantah apa-apa. Kamu ikut semua cakap Walid. Sampai sekarang. Padahal... kadang-kadang Walid tahu... kamu tak suka.”
Zulaikha menunduk. Matanya terasa panas. Tapi dia paksa senyumnya kekal.
“Sebab Ika sayang Walid. Ika sayang Ummi juga”
Sepotong ayat itu.. tulus, jujur, dan penuh kepedihan yang dibungkus kemas.
“Ika cuma nak Walid bahagia. Kalau ikut cakap Walid boleh buat Walid rasa senang, Ika akan ikut. Bahagia Walid.. bahagia Ummi.. Ika pun bahagia..”
Masih cuba menanam dalam-dalam kebohongan hatinya.
Zahim terdiam. Matanya berkaca.
“Kamu anak yang baik…” suara Zahim pecah, bergetar.
“Terlalu baik sampai Walid pun rasa... bersalah.”
Zulaikha cepat-cepat menggenggam tangan ayahnya, menggeleng lagi.
“Jangan cakap macam tu. Walid dah buat semua yang Walid mampu. Ika tahu, Walid nak yang terbaik untuk Ika. Sekarang giliran Ika pula. Ika nak jaga Walid. Dengan tangan sendiri. Walid tunggu Ika ya..”
Dia angkat tangan ayahnya dan cium. Lama.
“Sampai Walid sihat. Sampai Walid bangga dengan anak Walid yang satu ni.”
Zahim hanya mampu memandang. Tak berkata-kata. Air mata yang jatuh dari hujung mata Zulaikha bukan lagi perlu dijelaskan. Ia sudah cukup menjadi bahasa kasih sayang yang paling dalam.
Share this novel