Bab 3

Romance Series 297590

“I still love her.”

Buk! Bagaikan ada batu besar yang sedang menghimpap kepalanya sekarang ini. Sesak dadanya mendengar hentakan kenyataan yang keluar daripada mulut Hayl.

Hayl masih cintakan Dhia?

“Leen...” seru Hayl.

Aileen terus menarik kembali tangannya yang berada di dalam genggaman Hayl. “Apa semua ni Hayl?” soalnya dengan suara yang bergetar. Pandangan matanya sudah kabur dek air mata yang bertakung di tubir mata.

“Hayl minta maaf. Hayl tak ada niat naj sakitkan hati Leen. Hayl cuma nak berterus-terang dengan Leen.”

“Jadi Leen ni apa? Sekadar tempat untuk Hayl lupakan dia?” lirih suara Aileen menyoal. Hatinya benar-benar hancur. Bodohnya dia yang hanya menjadi pengganti kepada cinta pertama suaminya. Dan hakikatnya suaminya itu masih mencintai bekas kekasihnya.

Patutlah selama ini Hayl tidak pernah mengucapkan kata cinta padanya. Lelaki itu cuma mengungkapkan rasa sayangnya pada Aileen. Sayang dengan cinta itu adalah perkara yang berbeza. Tidak sama.

“Leen... Bukan macam tu. Hayl bukan nak mempergunakan Leen.”

“Habis tu apa? Kalau Hayl masih cintakan dia, kenapa kahwin dengan Leen? Ya ALLAH...” Aileen memejamkan matanya. Dadanya dicengkam kuat. Sakitnya bagai dirobek-robek. Dia tidak pernah rasa sesakit ini.

“Hayl ikhlas sayangkan Leen. Tapi Hayl minta maaf. Hayl masih belum mampu betul-betul lepaskan dia. Di hati Hayl masih ada dia.”

Bibir diketap kuat. Wajah sudah basah dengan air mata. Sungguh Aileen tidak kuat. Dia tidak pernah terfikir yang Hayl akan menyeksa perasaannya sehingga sesakit ini. Apalah erti sebuah pernikahan jika suaminya mencintai perempuan lain? Impian untuk Aileen menggapai bahagia retak seribu. Semuanya hilang sekelip mata!

“Leen... Hayl minta maaf...” Hayl betul-betul rasa bersalah sekarang ni. Bila tengok Aileen menangis kerananya, lagilah bertimpa-timpa rasa bersalahnya.

“Tolong jujur dengan Leen, Hayl cintakan Leen?” Matanya merenung dalam mata Hayl. Mencari sebuah jawapan.

Hayl membetulkan duduknya. “Hayl cintakan Leen sebab Leen isteri Hayl.”

Aileen menggeleng perlahan. Bukan ini jawapan yang dia mahu dengar. Hayl cuma cintakannya kerana statusnya sebagai isteri lelaki itu. Itu bukannya cinta.

Sekarang ni nak menyesal pun dah tak guna. Mereka sudah sah menjadi suami isteri. Takkan nak bercerai pula kut. Mana dia nak letak mukanya nanti? Baru sehari berkahwin, sudah bercerai. Dan Aileen juga perlu fikirkan tentang ahli keluarga mereka. Dia tidak sanggup melihat mereka sedih. Sekarang ni satu-satunya pilihan yang Aileen ada ialah, hadap semuanya.

Tak mengapalah jika sekarang Hayl masih cintakan bekas kekasihnya itu. Aileen akan buat Hayl lupakan wanita itu dan jatuh cinta dengannya. Sekarang ini kedudukannya lebih tinggi daripada wanita itu. Lagipun sekarang wanita itu sudah tidak wujud dalam kehidupan Hayl. Aileen tidak perlu risau.

“Leen, Hayl betul-betul minta maaf. Kita cuba ya? Kita cuba bina hubungan ni macam suami isteri yang lain.”

Aileen mengesat air matanya. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Nak terus bersedih pun tiada guna.

“Leen akan buat Hayl lupakan dia. Leen akan buat Hayl jatuh cinta dengan Leen. Leen tak akan mengalah.”

“Thank you for not giving up.” Hayl menarik tubuh Aileen ke dalam pelukannya. Dia rasa teruk sangat sekarang ni. Di malam pernikahan mereka dia membuat isterinya itu menangis. Dia lukakan hati Aileen.

“Dah lewat ni. Hayl mesti penat kan. Jom tidur.” Aileen meleraikan pelukan.

Aileen terus bangun daripada duduknya. “Leen nak pergi toilet sekejap. Hayl tidurlah dulu.”

Hayl mengangguk. Hanya gerak matanya menghantar pemergian Aileen.

AILEEN tak dapat nak melelapkan matanya. Fikirannya melayang teringatkan kembali pengakuan Hayl. Susah untuk dia buang rasa ini.  Hatinya dihurung sebak kembali.

Dia mendongakkan kepala sedikit memandang wajah Hayl yang sedang lena tidur itu. Perlahan tangannya naik menyentuh pipi Hayl. Tak semena-mena air matanya mengalir.

Kenapa Hayl? Kenapa bukan Leen yang Hayl cinta? Kenapa susah sangat untuk Hayl lupakan perempuan tu?

Dan... Jika daripada awal lagi Hayl tidak pernah cintakan dia, mengapa lelaki itu memberinya harapan?

Esakan Aileen semakin kuat. Dia dah tak mampu nak tahan lagi tangisannya. Bimbang Hayl terjaga, Aileen terus bangun dan turun daripada katil. Langkah di bawa ke kamar mandi.

Perlahan-lahan Hayl membuka matanya. Dia hanya berpura-pura tidur tadi. Melihat Aileen menangis kerananya membuatkan hatinya remuk. Jujur dia sayangkan Aileen. Tapi dalam masa yang sama hatinya masih mencintai bekas kekasihnya.

“LEEN... bangun Leen. Dah subuh ni.” Kejut Hayl lembut.

Aileen langsung terjaga daripada tidurnya. Rasanya dia baru saja terlelap setengah jam yang lalu. Nak buat macam mana, dia tidak boleh melelapkan matanya malam tadi.

“Good morning.” Hayl mengukir senyum.

Aileen senyum segaris. Figura Hayl yang memakai baju melayu berwarna hitam itu menjamah mata. Kacaknya!

“Morning.” Aileen mengeliat kecil. Berat betul rasanya badan ni nak bangun turun daripada katil.

“Masih mengantuk?” soal Hayl.

Aileen mengangguk. “Rasa nak sambung tidur.”

Hayl tergelak mendengar jawapan Aileen. “Boleh nak sambung tidur tapi sekarang... Bangun dulu.” Tubuh Aileen ditarik bangun daripada pembaringannya.

“Pergi mandi. Kita solat subuh berjemaah.”

“Hmm.” Aileen mengangguk.

“Boleh mandi sendiri tak? Ke nak Hayl yang tolong mandikan?” usik Hayl.

Aileen ketawa kecil. “Mengada.” Dia terus turun daripada katil. Tuala mandi dicapai. Langkah kaki terus diatur menuju ke kamar mandi.

Sementara menunggu Aileen mandi, Hayl melabuhkan duduknya di birai katil. Melihat mata isterinya itu bengkak, tahulah dia yang Aileen menangis teruk malam tadi. Dan semua itu gara-garanya!

USAI membaca doa, Hayl terus memusingkan tubuhnya menghadap Aileen. Tangan dihulur pada Aileen. Isterinya itu mengucup lembut kekura tangannya.

“Leen.”

“Hmm.” Aileen jungkit kening.

“Hayl minta maaf sebab dah lukakan hati Leen di malam pertama kita. Malam yang sepatutnya jadi malam yang terindah untuk kita. Hayl dah rosakkan semuanya.”

Aileen menghela nafas perlahan. “Hayl... Boleh tak kita tak cakap tentang hal ni lagi? Hayl anggap yang Leen tak tahu apa-apa. Itu lebih baik.” Aileen mahu melupakan semuanya. Semakin diingat hal itu, hatinya semakin sakit. Cukuplah dia menangis sepuas-puasnya malam tadi. Selepas ini dia tidak mahu serabutkan kepalanya dengan hal itu.

Hayl mengangguk. Dia menghormati keputusan Aileen.

“Leen tak bencikan Hayl kan?”

Aileen menggeleng. “Leen tak ada alasan yang kukuh untuk bencikan Hayl. Lagipun bekas kekasih Hayl tu cuma masa lalu Hayl. Leen akan goda Hayl sampai Hayl jatuh cinta berkali-kali dengan Leen.” Aileen ketawa di hujung ayatnya. Dah penat menangis semalam. Hari ni biarlah dia ketawa.

Hayl turut ketawa. Puncak kepala Aileen yang berbalut telekung itu dikucup lama. “Hayl sayang Leen.”

Aileen hanya tersenyum. Sayang? Sayang tak sama dengan cinta. Tak mengapalah. Dia akan terus menunggu Hayl membuka pintu hatinya untuk mencintai dia.

TUBIR mata bergenang melihat gambar perkahwinan pasangan itu. Sebak menghempas dada. Akhirnya lelaki itu sudah bertemu dengan pasangan pilihan hatinya. Beruntungnya wanita itu.

Dhia meletakkan telefon bimbitnya di tepi. Wajah anaknya yang sedang tidur di atas katil itu dipandang sayu. Andai saja dia tidak salah membuat pilihan dulu, pasti dia sudah lama hidup bahagia dengan Hayl.

“Maafkan ibu, Aira. Ibu salah pilih ayah untuk Aira,” ujarnya sebak.

Anak-anak tak mampu memilih siapa ibu bapa mereka tetapi dia boleh memilih siapa bapa kepada anak-anaknya. Jika tersalah pilih, inilah harga yang perlu ditanggung sekarang. Mungkin juga ini adalah kifarah kepadanya kerana meninggalkan Hayl dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience