PERLAHAN-LAHAN Najwa mengayunkan langkahnya masuk ke dalam masjid, bersama-sama dengan Mak Hanum dan juga Mak Itah. Sebentar lagi, dia akan melangsungkan pernikahannya.
Dari jauh kelihatan bapanya, Encik Jazir dan juga ibu tirinya Puan Asiah sedang berbual-bual di dalam masjid tersebut. Wajah bapanya, dipandang dengan penuh rasa benci. Hanya kerana hutang, dirinya telah dicagarkan.
Setelah itu, pandangannya terus sahaja dihalakan ke arah ibu kandungnya, Puan Nafisah yang sedang duduk di sebelah adik lelakinya, Nazir. Masih ada lagi kesan lebam di wajah ibunya, akibat ditumbuk bapanya dua minggu yang lepas. Najwa benar-benar berasa kasihan, saat melihat wajah ibunya itu.
“Mak Hanum, Mak Itah, saya nak jumpa dengan mak saya sekejap.”
“Pergilah...” kata Mak Hanum. Mak Hanum dan Mak Itah terus sahaja duduk di ruang menunggu.
Puan Nafisah yang duduk bersama Nazir, terus sahaja menuju ke arah Najwa. Dia tidak mahu anak perempuannya bernikah dengan lelaki lintah darat yang telah dicagarkan oleh suaminya.
“Awa, Awa boleh berhenti Awa. Kita boleh beritahu pada tok kadi, yang Awa dipaksa. Ni, bukti dah ada. Wajah mak ditumbuk ayah. Kesan lebam pun belum hilang lagi. Jangan teruskan lagi Awa.” Puan Nafisah cuba memujuk anak perempuannya.
“Tak boleh mak. Ayah dah berhutang. Awa kena teruskan juga. Kalau tak, mana kita nak cari duit itu semua.”
“Kita boleh cari duit Awa. Kita bayar aje hutang ayah tu.”
“Mak, hutang ayah tu banyak mak. 500 ribu. Mana kita nak cari? Kita ni dah memang hidup susah mak. Kita memang tak akan mampu nak bayar. Dengan Naz yang masih sekolah lagi. Tak akan mak nak bekerja, semata-mata nak bayar hutang ayah aje? Sudahlah mak, kita tak boleh nak berbuat apa-apa lagi, melainkan Awa teruskan sahaja.”
“Tapi, lelaki yang Awa nak nikah ni, Awa tak kenal. Awa percayakan dia ke? Dia mesti orang jahat Awa, dan dia juga lintah darat. Ayah jumpa dia pun, dekat kelab malam. Entah berapa banyak perempuan dah disentuhnya. Entah-entah ada HIV. Macam mana dia nak jadi suami yang baik untuk Awa? Dan macam mana dia nak bimbing Awa nanti?” Air mata Puan Nafisah mula bertakung di dalam kelopak matanya. Dia sudah penat menangis sebenarnya.
“Apa yang awak bisik dengan anak awak tu! Awak jangan nak buat hal ya?!” tengking Encik Jazir.
Puan Nafisah tersentak. Nasib baiklah di dalam masjid tersebut, hanya ada mereka sahaja. Dan orang kampung tidak dijemput.
“Kenapa awak cagarkan anak kita? Kenapa awak tak cagarkan aje, anak tiri awak tu! Kenapa Awa yang jadi mangsa?” Puan Nafisah jadi hilang sabar.
“Mak, sudahlah...” Najwa menenangkan ibunya.
“Eh, kak. Apa pasal pula Atikah kena nikah dengan lintah darat tu? Lagipun Abang Jazir yang cagarkan Najwa. Jadi, Najwalah yang kena nikah.”
“Kau diam! Kalau bukan sebab anak kau nak sambung belajar, siap nak belikan kereta untuk si Atikah tu, Abang Jazir tak berhutanglah. Lepas tu yang jadi mangsa, anak perempuan aku! Dan awak pun satu, ingatkan bila dah keluar dari pusat serenti, dah berubah. Rupa-rupanya ambil lagi barang terlarang tu!”
Encik Jazir tidak mengambil kisah. Biarlah isterinya mahu berkata apa pun. Yang penting, hutangnya langsai.
“Eh, kau dah melampau!” Puan Asiah mahu menyerang Puan Nafisah.
“Sudah!” tengking satu suara di luar pintu masjid. Kelihatan Adrian sedang melangkah masuk ke dalam masjid. Dia kini sedang mengenakan baju melayu berwarna kuning.
Masing-masing memandang ke arah Adrian.
“Itu ke lelaki yang patut nikah dengan Awa? Ya Allah, mak tak boleh terima. Dengar suara dia menengking pun, mak dah takut. Entah apalah yang akan jadi pada Awa nanti.” Puan Nafisah memegang erat tangan Najwa.
Najwa sekadar menggeleng. Dia tidak mahu lagi berbahas tentang bakal suaminya, lalu dia melabuhkan punggungnya di atas kusyen nikah.
“Apa bising-bising ni. Tak malu ke? Inikan masjid. Hormatlah sikit.” Adrian bersuara.
“Maaf Tuan Adrian. Maafkan isteri-isteri saya,” ucap Encik Jazir.
“Assalammualaikum...” ucap satu suara. Seorang lelaki berbaju melayu berwarna putih sedang melangkah masuk ke dalam masjid, bersama-sama dengan tok kadi dan juga juru saksi.
Puan Nafisah, Puan Asiah, dan juga Nazir, tidak melepaskan pandangan memandang wajah lelaki yang mengenakan baju melayu putih itu. Inikah lelaki yang bakal bernikah dengan Najwa? Dan bukannya lelaki yang berbaju melayu kuning tadi? Pasti itu adalah bakal suami Najwa.
“Semua dah sampai ya? Kita boleh mulakan akad nikah sebentar lagi,” kata tok kadi.
Puan Nafisah terus duduk di sebelah Najwa. “Awa itu ke lelakinya? Kita boleh hentikan Awa. Tok kadi dah ada ni. Kita beritahu cepat,” bisik Puan Nafisah.
“Mak, sudahlah. Jangan ulang lagi. Awa tak kisah dah.”
“Tapi Awa...”
“Mak, jangan risau okey? Lagipun lelaki yang bakal jadi suami Awa ni, memang Awa kenal. Awa tahu, dia bukan seorang lelaki yang jahat.”
“Apa? Awa memang kenal? Tapi macam mana Awa boleh kenal dia?”
Najwa hanya mampu mengeluh. Puan Nafisah pula masih terpinga-pinga. Bagaimana pula anak perempuannya boleh mengenali lelaki itu? Kenapa baru sekarang anak perempuannya mahu memberitahu perkara yang sebenar kepadanya?
Share this novel
lama cerita ni tergantung
Timbul dah parasit
ndjxosklal