30

Romance Completed 132664

Mengimbau kembali saat-saat pertama pertemuannya dengan Hana, membuat dada Hazim jadi sesak. Besarnya rasa bersalah terhadap Hana, hanya Tuhan yang mengerti.

Hazim tersedar dari lamunan panjang tatkala bunyi hon kereta menjengah pendengaran. Lampu isyarat sudah bertukar hijau rupanya.

Ada beberapa buah kereta bertindak memotong kereta yang dipandu Hazim. Begitu juga dengan kereta Myvi yang tadi di belakang dia. Mencerlung tuan kereta sambil mangangkat jari tengah apabila melihat Hazim terkebil-kebil mahu menukar gear.

Berkerut lagi dahinya memikirkan nasib sepanjang hari ini. Hazim meleraikan tiga butang atas baju kemeja hitam yang dipakai. Dari pagi-pagi lagi nasib sudah tidak menyebelahinya.

Belum habis malu kerana datang lewat ke mahkamah, dihujani pula dengan pelbagai soalan setelah perbicaraan selesai.

Tanpa sedar, kereta sudah sampai ke rumah. Kali ini bukan rumah sendiri yang dituju. Sebaliknya Hazim terpanggil untuk mengunjungi apartment milik satu-satunya isteri yang dimiliki.

Sedar tak sedar Hazim sudah berada di hadapan pintu rumah. Tahu tiada siapa bakal menyambutnya seperti selalu, pintu yang dimanggar sekian lama dibuka sendiri.

Hazim menapak masuk dengan perlahan.

'Abang, kenapa tak cakap nak datang?'

Suara Hana mengulang tayang di benak Hazim. Seakan terdengar suara lunak itu menyapa corong telinga, kepalanya melilau melihat sekeliling. Masih kosong.

Keadaan rumah yang sudah berhabuk dipandang sepi. Kaki melangkah ke bilik yang pernah dimasuki dahulu. Bingkai gambar yang sudah kembali disusun di atas rak diambil Hazim.

Masih juga dia tertarik untuk merenung bingkai gambar berisi gambar nikah dia dan Hana. Gambar yang menyimpan seribu satu makna. Gambar pernikahan yang tidak kelihatan semewah pasangan pengantin yang lain.

Cuma ada dia dan Hana, berpakaian biasa. Namun tertampang senyum di wajah Hana, menggambarkan betapa gadis itu bahagia di saat itu. Hazim terduduk.

Siapakah Hana sebenarnya di hati dia?

'You nak buat i macam perempuan simpanan you pulak?!'

Kali ini kata-kata Hana kedengaran lagi, waktu sebelum mereka berkahwin. Pernah gadis itu menyuarakan apa yang terbuku di hati. Benarlah, kesetiaan Hana terhadapnya selama ini tidak berbelah bagi.

Malah seingatnya, dia merupakan lelaki pertama yang meniduri Hana. Kerana cinta, Hana menyerahkan mahkota kewanitaannya.

Namun balasannya, Hana dilayan bak perempuan simpanan. Bila terasa mahu bertemu Hana, dia akan ke mari. Bila tidak, tiga empat hari dia menghilang tanpa khabar. Dibiarkan Hana sendiri di rumah itu.

Hana tidak pula merungut dan marah-marah. Sebelum menjadi isterinya yang sah pun, makan minum Hazim dijaga. Kedatangan Hazim ke rumah ini sentiasa disambut bahagia. Apartmen milik Hazim ini juga dijaga dengan baik.

Paling membuat dia kesal, Hana rela haknya sebagai isteri pertama diketepikan. Selama ini perasaan Hana tidak pernah dia ambil peduli.

Hana yang manis, yang lemah lembut. Jarang sekali wanita itu melawan dan meninggi suara.

'Apa khabar Ati sayang? Ke mana sayang menghilang? Sihatkah? Sakitkah? Kenapa tinggalkan abang?'

Fikiran Hazim berkecamuk. Hangat takung matanya tanpa disedari. Pertama kali menangis kerana cinta dan kesal terhadap seorang wanita. Air mata jantannya menitis jua.



.

*flashback*

Hana dipaksa datang ke majlis hi-tea dianjurkan syarikat petang itu. Boleh cuci mata kata Azleen.

"Hana, Azleen, makan la. Jemput jemput." pelawa salah seorang staff HR mereka, Encik Firdaus

"Thank you Encik Firdaus." Azleen dan Hana beriringan meninjau-ninjau di antara makanan yang disajikan.

"Jap, aku scan orang jap." Kepala Azleen sudah menghendap-hendap.

"Ada rupanya. Jejaka-jejaka hot Duta Holdings." Azleen tersengih sambil membetulkan rambut yang menutupi dahi.

Giliran Hana memandang ke arah jejaka yang dimaksudkan Azleen. Di suatu sudut kelihatan sekumpulan lelaki dewasa seramai lima orang. Masing-masing berwajah tampan dan sepertinya bukan staff yang biasa ditemui di office.

Salah seorangnya adalah Hazim Ikmal. Yang lain, tidak pula dia kenal. Walaupun empat orang lagi semuanya kacak, matanya masih melekat pada Hazim yang berkemeja biru cair.

Paling menyerlah di mata Hana. Eh!

"Geng-geng eligible bachelor dalam company ni..." Azleen menerangkan tanpa diminta. Macam tahu-tahu je dia.

"Semua single lagi ke?" Hana masih lagi memandang sosok tinggi itu.

"Too bad, yang single encik Hazim sorang je. Yang lain dah berpunya, termasuklah crush aku huhuhu. Try la encik Hazim tu, Hana." Azleen berdrama pula.

"Apasal aku pulak. Aku ni staff biasa-biasa je." Hana buat-buat minum air.

Tengah dia ralit memandang Hazim, tiba-tiba mata lelaki itu dikenyitkan ke arahnya. Uhuk! Terbatuk Hana dibuatnya.

"Minum slow-slow sikit la oi" Azleen menepuk kecil belakang Hana.

"Sorry." Hana masih batuk kecil.

'Kurang asam punya mamat hensem, berani dia kenyit mata kat aku!'

Hazim gelak kecil melihat gelagat Hana. Comel! Setelah meminta diri, langkah diatur mendekati Hana dan Azleen. Terpanggil untuk menegur staf yang baru dikenali itu.

.

Dalam keheningan malam, air mata Hana terus mengalir tanpa henti. Semua kerana teringatkan lelaki itu. Pipi yang basah dikesat laju.

Setiap malam sebelum lena pasti Hana akan mengimbau kembali kenangan-kenangan lama bersama Hazim. Walaupun sudah lama tidak bertemu mata, rindu terhadap suami tidak pernah padam.

'Kenapa abang tak cari Ati. Abang dah tak nak jumpa Ati lagi ke?'

Kerusi roda digerakkan menuju ke pintu rumah. Terdengar butir bicara Azizah dan Halim yang berada di beranda rumah.

"Jah... saya ni, ayah yang gagal ke?" tanya Halim sambil melempar pandangan ke arah pekatnya malam.

Sunyi seketika, hanya bunyi cengkerik yang saling bersahutan. Tidak lama kemudian belakang Halim diusap perlahan. Ada esak kecil dari si isteri yang duduk di sebelah.

"Saya ni tak pandai mengajar anak ke jah? Sampai anak sendiri terlanjur pun saya tak tahu.." pandangan Halim tertunduk ke lantai.

Halim tidak mampu menyembunyikan betapa kecewa yang amat ketika mendapat tahu perkara sebenar. Sepanjang hari dia mengelak dari bercakap dengan anak bongsunya itu.

Hana yang kaku di birai pintu hanya menjadi pendengar. Makin laju airmata Hana mengalir jatuh mendengar ayahnya tidak henti-henti menyalahkan diri sendiri.

"Benda dah jadi bang... macam-macam mana sekali pun dia tetap anak kita."

"Mungkin sebab saya kurang pandai didik dia selama ni, jah. Salah saya." lelaki tua itu memicit-micit pelipisnya.

"Kalau macam tu, saya pun bersalah bang. Bukan abang sorang. Buruk mana pun si Hana tu, dia tetap darah daging kita. Lepas apa yang jadi, cuma kita tempat dia bergantung. Abang maafkan lah dia, ya bang?"

Hana menahan suara dari menangis kuat.

"Mama...ayah..." Hana muncul di tengah-tengah Azizah dan Halim.

"Hana minta ampun. Hana yang salah! Hana tahu Hana ni anak tak guna. Mama dan ayah tak pernah salah mendidik Hana, Hana yang degil. Ampunkan Hana, ayah!" merambu-rambu airmata Hana jatuh sambil merayu.

Hana cuba untuk bangun dari kerusi roda dan melutut di hadapan ayahnya. Disuruh sujud sekalipun dia sanggup. Asal dia dimaafkan.

"Hana malu dengan mama ayah. Hana dah buat benda tak baik, Hana takut mama ayah marahkan Hana. Hana minta maaf... Ayah ampunkan Hana yah.."

Azizah turut merasa sayu dengan rayuan Hana. Dipeluknya tubuh Hana yang sedang melutut memohon ampun. Terluka mana pun hatinya, masih ada belas dan kasih sebagai seorang ibu. Ibu mana yang tak sayang anak?

Halim menghalang Hana dari terus bersimpuh. Tangan yang dicium Hana dileraikan, lalu Halim juga sama memeluk Hana yang masih mengongoi.

Redha dengan ujian yang melanda, dia harus kuat. Ikutkan hati, mahu sahaja mencari dan mengheret ke mari lelaki bernama Hazim Ikmal untuk penjelasan.

"Ayah maafkan. Jangan buat ayah dengan mama macam ni lagi..." serak suara Halim berbicara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience