Chapter 26

Mystery Completed 14816

Bab 26

Namun kata-kata itu tidak diendahkan. Tubuhnya terus didorong ke hadapan. Leo pun tidak tahu ke mana dia akan dibawa pergi. Namun dia tahu, bahaya ada di mana-mana, di hadapannya.

Tiba-tiba tubuhnya tidak lagi didorong. Lelaki yang ada bersamanya berbisik-bisik semasa sendiri kemudian ketawa.

“Perus mahu kau mati!” kata salah seorang daripada mereka.

“Kau akan menemui ajal kau di dalam gaung, di pinggir Gunung Ais. Di sinilah tempat pertama kali kau ditemui oleh Mak Upeh, sepuluh tahun lalu,” kata salah seorang dari mereka sambil ketawa.

Tanpa sempat Leo berfikir apa-apa, tubuhnya ditolak kuat. Saat itu dia merasakan tubuhnya melayang-layang. Guni yang menutup kepalanya terurai ditolak angin. Dia memejamkan matanya rapat-rapat, tidak berani memandang ke bawah ke arah gaung yang menganga. Tubuhnya beberapa kali terbentur pada dahan-dahan pokok. Sakitnya tidak terkira sehingga dia tidak dapat bertahan lagi. Leo pengsan saat kepalanya terhantuk dengan kuat pada sebatang pokok besar.

Suara itu menyapanya dengan lembut, “Hei… bangunlah. Kau sudah cukup kuat untuk bangun!”

Namun dia masih tidak berdaya. Dia mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Namun suara itu terlalu dekat. Suara itu amat dikenalinya. Itu suara gadis yang dicintai… Amalina.

“Bangunlah Leo… Perlahan-lahan. Kau boleh lakukannya. Bukankah kau heroku? Jangan hampakan aku. Cepat bangun!”

Leo tersenyum. Dia amat senang mendengar suara Amalina berkata begitu. Dia menggerakkan tangannya, namun terasa amat payah. Dia ingin membuka matanya, tetapi terlalu berat. Kegelapan yang padu sedang mengelilinginya.

“Ingat gua ni? Kita pernah bermalam di sini.”

Leo merasakan memang gua itu terlalu keras dan dingin. Dulu dia tidak dapat tidur. Unggun api yang dinyalakan tidak mampu memanaskan tubuh. Lantas mereka berjaga sepanjang malam. Namun akhirnya Amalina tertidur jua.

“Apalagi Leo… bangunlah. Mari kita ulangi kenangan lalu itu. Kita berbual lagi… mahu tak?”

Leo mengangguk. “Tentu aku mahu Amalina. Sudah tentu aku mahu… Aku rindu hendak mendengar suaramu lagi. Kau suka bercakap dan bertanya. Tetapi aku tak gemar menjawab pertanyaanmu yang panjang itu. Aku tak suka bercakap banyak. Tapi kadang-kadang aku terdorong juga mengikut rentak hidupmu yang kurasakan amat aneh…”

“Hei… Leo! Bangunlah!”

“Ya! Amalina. Aku akan bangun. Aku nak tengok muka kau yang cantik. Aku nak renung mata kau yang sungguh mempesona, berkilau seperti bintang kejora.”

Leo membuka mata. Dia tersedar dari tidur yang panjang. Leo terjerit, benar-benar terkejut. Tubuhnya terselit di atas dahan pokok, tangannya terikat dan tersangkut. Tak semena-mena dia jatuh lagi beberapa kaki ke bawah. Leo menjerit sekuat hatinya. Tangannya cuba mencapai dahan. Tali yang mengikat tangannya terlalu kuat hingga tidak mungkin terhurai. Akhirnya tubuh Leo mendarat jua di atas serumpun pokok renek.

Dia terus jatuh menggelosor ke bawah lantas terbanting ke arah ke seketul batu. Kepalanya terhantuk. Dia pengsan sekali lagi.

Matahari memancar dengan galak. Kawasan berbatu itu terlindung dari cahaya matahari. Tempat itu memang teduh, terletak betul-betul di gigi air. Tidak jauh dari situ terdapat air terjun. Leo menggerakkan badannya perlahan-lahan. Tubuhnya terasa begitu sakit. Dia membuka mata. Pandangan pertama yang dapat dilihatnya adalah langit yang terang, dengan sinar matahari yang begitu galak. Serta merta matanya menjadi silau. Leo memejamkan matanya beberapa ketika.

Dia kembali memerhati sekeliling. Apa dah jadi padanya? Mengapa dia ada di sini. Tangannya terikat. Leo berusaha membuat ikatan tali yang membelit tangannya dengan menggunakan gigi. Setelah tali itu terurai, spontan dia meraba-raba dahinya yang berdarah. Kepalanya rasa sakit berdenyut-denyut. Dia mendongak ke atas. Ya Allah! Tingginya tempat aku jatuh tadi… Bisik hatinya apabila dia terlihat pokok yang tinggi menjulang tempat dia jatuh.

Ya Allah! Aku masih hidup? Sesungguhnya ini semua adalah kehendakmu jua. Aku masih hidup. Sudah berapa lama aku di sini? Ya Tuhan! Apa sudah jadi sebenarnya? Leo kebingungan. Dia merasakan segalanya masih baru. Dia meraba-raba mukanya yang terasa sakit. Pipinya perit. Ada luka dan calar-calar di merata-rata tubuhnya yang tidak berbaju.

Mana baju aku? Ehhh… mengapa segalanya aneh? Dia meraba-raba kepala lantas tersentuh rambutnya yang panjang menghurai di bahu. Leo jatuh terduduk di atas batu semula. Dia berusaha keras untuk mengingat apa yang telah terjadi padanya dan bagaimana dia boleh terhumban ke dalam hutan itu. Dia meraba-raba rambutnya semula. Kemudian dia memerhati telapak tangannya sendiri. Dia melihat urat-urat di tangannya yang timbul. Dia bukan lagi seorang remaja. Dia sudah menjadi seorang lelaki dewasa. Berapa tahun sudah berlalu pergi meninggalkannya? Dia tidak tahu!

Ya Allah!

Leo menangis. Dia menangis sekuat-kuat hatinya. Dia meraung. Gema suaranya memecah, mengejutkan beburung yang ada di dahan. Dia meraung lagi.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang terjadi kepada Leo seterusnya? Dapatkan dia menyelamatkan diri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience