AI 1 - SUMPAHAN

Romance Completed 784623

“JIJIK aku lihat wajah kamu ni.”

“Kenapa kamu mahu mengejek Mustofa? Sedangkan kita sama-sama manusia ciptaan Allah. Lagipun kamu adalah sahabat aku,” ucap Jahar.

“Kamu bukan sahabat aku lagi. Ramai yang mengutuk aku kerana bodoh berkawan dengan kamu. Aku tak ada sahabat macam kamu lagi. Nyah kamu dari sini. Dasar manusia jijik.” Mustofa dengan megahnya mengejek Jahar, iaitu sahabat baiknya sejak dari mereka kecil lagi.

“Sampai hati kamu Mustofa. Aku tak sangka, ada manusia seperti kamu di dunia ini. Dan paling aku sedih, kita sudah lama berkawan. Kenapa sampai begini kamu mengejek aku? Aku tak minta wajah aku begini.” Jahar menangis saat ini. Air mata yang ditahan tadi, akhirnya mengalir deras di pipi.

“Kamu tak faham lagi ke, apa yang aku cakapkan tadi? Wajah kamu ni hodoh! Aku malu berjalan dengan kamu. Orang kampung, mula ketawakan aku, kerana bodoh berkawan dengan kamu. Nyah kamu!” Satu tendangan diberikan kepada Jahar. Jahar terus jatuh tersembam di atas tanah. Mustofa terus sahaja berjalan meninggalkan sahabat baiknya itu.

Jahar benar-benar berasa terhina. Akhirnya dia menyumpah keturunan rakannya itu, sehinggalah ke keturunan terakhir, iaitu keturunan yang ke-tujuh.

“Nek, memang wajah Riz ni takkan berubah ke? Sampai bila-bila pun, tetap akan begini ke nek? Riz tak nak muka cacat macam ini. Tolonglah nek...” Tuan Mukhriz sudah mula menangis.

Baiyah tersedar dari lamunan. Hilang sudah apa yang pernah diceritakan oleh arwah suaminya dahulu. Tidak sangka, kini cucunya pula menerima sumpahan itu.

Tuan Mukhriz mula perasankan wajahnya tiba-tiba sahaja berubah, selepas bangun dari tidur pagi tadi. Sepatutnya hari ini, dia akan menyambut hari lahirnya yang ke -15 tahun. Tetapi lain pula yang jadi. Dia benar-benar ketakutan, saat melihat wajahnya yang berubah menjadi sungguh hodoh. Kulitnya menggelebeh ke bawah, bibirnya senget sebelah, dan juga wajahnya berubah menjadi menggerutu. 

“Maafkan nenek cu. Keturunan kita memang telah disumpah. Kamu keturunan yang ke-tujuh cu. Dan kamu merupakan keturunan yang terakhir.” Baiyah mula memujuk cucunya itu.

“Sumpah apa? Riz tak faham nek. Apa yang sebenarnya yang terjadi? Kenapa Riz pula yang jadi mangsa?”

“Bukan kamu sahaja yang kena cu. Sejak dari keturunan pertama lagi, sehinggalah keturunan yang ke-tujuh, iaitu kamu.”

“Tak, tak. Riz tak nak dengar semua tu. Riz tak nak muka hodoh ni! Lebih baik Riz mati je nek! Lebih baik Riz mati!” Tuan Mukhriz mula berlari menuju ke dapur untuk mengambil pisau, tetapi ditahan oleh ibunya.

Puan Sri Kalsom, memang dari tadi memerhatikan sahaja dari jauh. Memang dia berharap ibu mentuanya dapat memujuk anaknya.

“Jangan Riz, mama tak nak Riz mati,” rayu Puan Sri Kalsom.

“Mama, tengoklah wajah Riz ni mama. Tengoklah mama. Macam mana Riz nak berdepan dengan semua orang. Cuba mama fikir!”

Puan Sri Kalsom hilang kata saat ini. Dia tidak tahu, bagaimana cara dia mahu memujuk Tuan Mukhriz.

Bunyi deruman enjin kereta dari luar, telah mengejutkan mereka bertiga. Tidak lama itu, Tan Sri Tuan Malik muncul di muka pintu. Dia telah dihubungi isterinya tadi supaya pulang ke rumah secepat yang mungkin.

“Riz…” panggil Tan Sri Tuan Malik, dengan rasa sebak.

Tuan Mukhriz hanya mampu menangis. Tan Sri Tuan Malik juga turut mahu menangis. Tidak disangka benda yang ditakutkannya akhirnya terjadi juga.

Puan Sri Kalsom memandang ibu mentuanya. “Macam mana ni mak? Macam mana nak bagi wajah Riz normal balik?”

Baiyah mengeluh perlahan. “Seperti yang dilakukan keturunan arwah ayah dulu, apabila dia meningkat umur 20 tahun, dia perlu berkahwin dan cari wanita yang ikhlas dan berhati bersih untuk bersama dengannya. Kalau tidak, sampai bila-bila dia tetap akan kekal begini.”

“Siapa yang nak kahwin dengan dia mak? Mesti semua perempuan takut nak bersama dengan dia nanti.” Keluhan berat dilepaskan. Puan Sri Kalsom memandang anak lelakinya.

“Umur 20 tahun?” Tuan Mukhriz mengetap bibirnya. Berapa tahun lagi dia perlu menunggu? Masih adakah wanita yang sudi berkahwin dengannya nanti? Dan yang paling penting kekasihnya, iaitu Tania. Adakah Tania akan tetap mencintainya? Dan adakah Tania sanggup berkahwin dengannya nanti?

“Ya Riz. Bila umur Riz dah 20 tahun nanti.” Baiyah berwajah muram memandang Tuan Mukhhriz.

Tuan Mukhriz menggelengkan kepalanya. Tidak sanggup lagi dia mendengar kata-kata yang keluar dari mulut neneknya. Laju sahaja kakinya melangkah ke bilik. Hendak melihat wajahnya ke cermin pun, dia tidak sanggup. Apatah lagi orang lain yang akan melihat wajahnya nanti.

 

 

SEMUA pelajar sekolah yang ada di situ, mula memandang Tuan Mukhriz dengan pandangan yang jijik. Ada yang meludah, dan ada juga yang mengejeknya, tanpa memikirkan hati dan perasaannya saat ini. Tetapi Tuan Mukhriz cuba untuk tidak mengambil peduli dengan pandangan mereka terhadapnya, walaupun hatinya sudah tidak sanggup berada di situ lagi.

Tuan Mukhriz mula mencari rakan-rakannya. Sejak dari pagi tadi, rakan-rakannya seakan mahu mengelak darinya. Ya dia tahu, wajahnya sudah berubah. Mana mungkin mereka mahu berkawan dengannya lagi.

Dari jauh, kelihatan sahabat baiknya Hakim, sedang berbual-bual di tepi longkang dengan rakan sekelas yang lain. Langkah diatur menuju ke arah Hakim.

“Hakim,” panggil Tuan Mukhriz.

Hakim mula berpusing, begitu juga dengan yang lain. Mata mereka terus tertumpu ke arah Tuan Mukhriz. 

“Kau pergi mana Hakim? Merata aku mencari kau tadi.”

“Kau cari aku buat apa? Kita bukan kawan lagi. Eh, gelilah tengok muka kau ni,” ejek Hakim.

Berubah wajah Tuan Mukhriz saat ini. “Bukan kawan? Sampai hati kau Hakim. Aku betul-betul kecewa dengan kau. Aku ni kawan kau tau? Sejak dari kita sekolah rendah lagi.” Tuan Mukhriz seakan mahu menangis.

“Sorry, aku tak ada kawan macam kau ni. Semua pun tak nak kawan dengan kau. Takkan aku sorang aje, yang nak kawan dengan kau?”

“Aku betul-betul kecewa dengan kau Hakim.”

“Dah, tak payah nak banyak cakap. Aku tak nak berkawan dengan kau lagi. Antara kita, putus sahabat.” Hakim terus sahaja berjalan bersama rakannya yang lain, dan meninggalkan Tuan Mukhriz keseorangan di situ.

Tuan Mukhriz terus sahaja menundukkan wajahnya. Sepatutnya dia mendengar sahaja arahan ibunya supaya memakai pelitup muka, sebelum pergi ke sekolah pagi tadi. Tetapi dirinya degil. Tuan Mukhriz mula berasa malu apabila kedengaran bisikan pelajar di sekolah itu, mula mengejek wajahnya. Kerana dia tidak tahan mendengar ejekan mereka, dia terus sahaja berlari keluar dari pekarangan sekolah, sehinggalah matanya tertumpu ke arah seorang gadis yang dicintainya iaitu Tania.

“Tania! Tania!” panggil Tuan Mukhriz, dengan kakinya lalu menuju ke arah Tania. Dia berharap Tania tidak seperti yang lain. Tetapi Tania seakan tidak mendengar akan panggilannya.

“Tania! Tunggu saya,” panggil Tuan Mukhriz lagi.

Tania semahu-mahunya tidak mahu berhenti. Dia perlu melarikan diri dari situ. Dia benar-benar ketakutan. Tidak sangka, kekasihnya yang dulunya kacak, kini berubah menjadi sungguh hodoh.

Tuan Mukhriz terus menarik tangan kekasihnya itu, dari berjalan meninggalkannya.

“Kenapa awak lari?”

“Ee! Jangan pegang akulah. Kau pergilah. Jangan ikut aku. Aku jijiklah dengan kau.” Tania menepis tangan Tuan Mukhriz dari menyentuhnya.

Tuan Mukhriz tersentak dengan kata-kata yang keluar dari mulut Tania. “Sampai hati awak Tania?  Awak pun nak jadi macam Hakim? Jijik sangat ke saya ni?”

“Ya. Memang aku jijik tengok kau ni. Kau ingat aku nak bercinta dengan budak hodoh macam kau ni ke? Hodoh, kau tahu tak! Kulit muka menggelebeh! Aku geli! Jatuh standard aku nanti! Dahlah miskin. Kau tak layak dengan aku!”

Tuan Mukhriz terdiam. Air matanya mula bertakung di dalam kelopak matanya. Sehingga kini Tania langsung tidak tahu akan statusnya yang merupakan salah seorang anak jutawan di Malaysia. Ini kerana, dia benar-benar merahsiakan identitinya dari rakan-rakannya, dan begitu juga Tania.  

“Tapi saya terkena sumpahan. Bukan saya yang minta nak jadi macam ni. Hanya awak aje yang dapat bantu saya Tania. Kahwinlah dengan saya bila umur kita dah masuk 20 tahun nanti. Dan wajah saya akan kembali normal semula, kalau awak sudi jadi isteri saya dan ikhlas terima saya,” rayu Tuan Mukhriz.

Tania hampir sahaja menghamburkan ketawanya, apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Tuan Mukhriz tadi.

“Kau ingat, ini cerita dongeng dulu-dulu? Muka hodoh dan perlu berkahwin, supaya wajah tu boleh berubah semula jadi kacak? Aku tak sebodoh itulah. Entah mana kau pergi. Ataupun kau pakai pencuci muka apa entah, ataupun terkena asid ke apa ke? Mestilah berubah jadi macam ni. Siapa yang berdendam dengan kau ha?”

“Tania saya memang tak tipu awak. Memang keturunan saya terkena sumpahan.” Tuan Mukhriz cuba mahu meraih tangan Tania.

“No! Aku geli dengan kau. Aku tak nak kau ganggu aku lagi!” Tania terus sahaja menolak tubuh badan Tuan Mukhriz menjauh darinya.

Tuan Mukhriz terus hilang imbangan lalu jatuh terduduk di atas rumput.

Tanpa menunggu lagi, Tania terus sahaja berlari meninggalkan Tuan Mukhriz di situ.

Tuan Mukhriz hanya mampu merenung Tania yang sudah jauh menghilang dari pandangannya. Bagaimana dia mahu meneruskan kehidupannya, jika dia dicaci sebegitu?

“Riz, kau okey ke?” Muncul Johan dari arah hadapan. Johan tidak sekelas dengan Tuan Mukhriz, tetapi mereka sama-sama satu pasukan dalam sukan bola sepak di sekolah mereka.

Tuan Mukhriz memandang wajah Johan, dengan pandangan yang sayu.

“Sini, aku bantu kau.” Johan mula menghulurkan tangannya kepada Tuan Mukhriz. Dari tadi memang dia memerhati rakannya itu dari jauh. Dia benar-benar kasihan kepada Tuan Mukhriz.

“Kau pun nak ejek aku jugakan?” soal Tuan Mukhriz tiba-tiba.

“Kau cakap apa ni? Aku tak macam dia oranglah.”

“Kau masih nak berkawan dengan aku lagi?”

“Riz, sampai bila-bila pun, kau tetap kawan aku. Kau jangan pedulikan dia orang semua. Kau ada aku,” ujar Johan.

“Aku tak nak sekolah sini lagi dah “

“Kenapa kau cakap macam tu? Habis tu kau nak pergi mana?”

“Semua orang ejek aku. Kau ingat aku nak lagi ke sekolah dekat sini? Aku dah tak sanggup.”

“Sabarlah Riz. Mungkin ada sebab, kenapa kau jadi macam ni.”

“Aku tak nak cakap lagi.” Tuan Mukhriz terus sahaja bangun dari atas rumput tersebut, lalu berlari meninggalkan Johan di situ. 

Johan terpinga-pinga apabila Tuan Mukhriz berlari meninggalkannya.

 

 

TUAN MUKHRIZ akhirnya membuat keputusan untuk berhenti sekolah. Dia kini, hanya belajar dari rumah sahaja. Guru peribadinya, akan  datang setiap hari ke rumah agamnya untuk mengajarnya semua mata pelajaran yang ada, sehinggalah dia tamat tingkatan lima.

Kerana tidak mahu dihubungi oleh sahabatnya Johan, Tuan Mukhriz telah pun menukarkan nombor telefon yang lama, kepada yang baru. Dan Johan juga, langsung tidak tahu tempat tinggalnya, dan juga, siapakah dirinya yang sebenarnya. Tuan Mukhriz benar-benar merahsiakan identitinya.

Beberapa tahun kemudian, ibu bapa Tuan Mukhriz pula meninggal dunia, akibat kemalangan jalan raya. Waktu itu, umur Tuan Mukhriz baru sahaja menginjak ke 18 tahun. Itu telah membuatkan Tuan Mukhriz langsung tidak mahu meneruskan kehidupannya lagi.  Ada sekali itu, dia cuba untuk membunuh diri, tetapi sempat diselamatkan oleh neneknya.

Sekarang ini, dia tiada pilihan lain lagi. Dia perlu mencari calon isteri yang berhati bersih, dan bersetuju untuk melakukan hubungan suami isteri. Dan dia juga berharap, bakal isterinya ikhlas menerimanya. Itu sahaja caranya, untuk wajahnya kembali normal semula.

Share this novel

Nor Zuraida
2023-09-09 12:25:25 

Best nye cite nii

sal73
2022-12-29 22:43:38 

tq update

Ahmad Al-arqam
2020-11-09 18:49:05 

sampai bab 41 je ke?


NovelPlus Premium

The best ads free experience