Bab 11
“Sekarang aku boleh berehat sekejap, sementara kau membuat kerja kau mengambil gambar kan?” Kata Leo, dia memanjat lantas terus duduk di atas salah satu dahan pokok yang lebih tinggi sedikit daripada Amalina.
Amalina memandang sahaja Leo duduk selesa di celah-celah cabang pokok itu tidak ubah seperti orang utan. Aksinya itu membuat Amalina tertawa perlahan. Dia mengangkat lensa kameranya dan menghalakannya ke arah Leo.
“Kau gelak ya… Jangan ambil gambar akulah!” larang Leo.
Amalina tidak peduli, dia terus merakam lagi beberapa keping gambar Leo, tawanya terus meledak.
“Jangan ketawa kuat-kuat! Nanti harimau pun lari,” kata Leo sinis sambil menyandarkan badannya.
Amalina memerhati ke arah Leo. Dilihatnya tubuh Leo tidak bergerak-gerak. Matanya terpejam rapat. Amalina senyum sendiri sekali lagi menghalakan kamera ke arah Leo lantas mengambil gambar lelaki itu. Leo membuka matanya serta merta.
“Mengapa sejak tadi hanya aku yang jadi sasaran kamera kau tu?” tanya Leo.
“Kau macam orang utan,” kata Amalina, tergelak kecil.
“Jadi, itulah sebabnya kau ketawa tadi. Kau membayangkan aku macam orang utan?” Leo menggigit bibirnya dengan kuat. Amalina rasa bimbang kalau-kalau Leo marah. Memang Amalina tersasul mengungkapkan apa yang ada dalam hatinya.
“Anggapan aku, beri kesan pada kau?”
Leo menggeleng.
“Langsung tak. Ia tak beri kesan apa-apa padaku. Apa orang nak kata… katalah. Walaupun sebagai orang utan!” jawab Leo.
“Orang utan….” Rungut Leo.
“Tapi ada juga orang yang nak kat aku. Aku akan kahwin tak lama lagi.”
“Kahwin?” tanya Amalina.
Dia sepatutnya tidak terkejut dengan kata-kata itu. Tetapi sempat juga jantungnya berdebar.
“Ya… Dengar Pilar. Dia sedang belajar pasal agama Islam. Dia akan memeluk Islam tak lama lagi,” jawab Leo terus dengan sikap tenang dan bersahaja.
“Kau suka Pilar? Aku tengok dia masih muda sangat,” kata Amalina.
Langsung tak sesuai dengan kau. Aku rasa umur kau tentulah dua puluh enam atau lebih sikit… fikir Amalina.
“Tujuh belas.”
“Berapa umur kau?”
“Penting ke kau nak tahu?” tanya Leo semula.
“Kau cintakan dia?” tanya Amalina sekali lagi, tidak pernah putus asa.
Leo tidak menjawab. Matanya memandang jauh ke arah tanah lapang, kemudian berkata perlahan; “Tengok di sana… ada kijang!”
Amalina memerhati ke arah tanah lapang. Tidak perlu dia menggunakan teropong lagi. Sepasang kijang itu sedang berjalan beriringan di tanah lapang itu. Mata kedua-dua binatang itu nampak berkilat. Jaraknya tidak begitu jauh daripada pondok mereka. Kedua-dua binatang itu nampak tenang, merasakan bahawa mereka jauh dari bahaya.
“Itulah kijang aku yang nampak tadi,” kata Amalina perlahan ke arah Leo.
“Tapi tadi ia lari sebab takut dengar bunyi kau menebang pokok.”
Leo mengangkat bahu.
“Untuk pengetahuan tanah lapang tu memang tempat ia cari makan. Kijang makan daun kayu dari pokok-pokok renek. Janganlah bimbang. Hari-hari kijang tu ada di sini.”
“Thank you.” Amalina tersenyum manis ke arah Leo.
Lewat petang saat mereka kembali ke tapak perkhemahan, Amalina terlihat seorang lelaki dan seorang perempuan ada di kawasan perkhemahan. Setelah dekat Amalina dapat mengecam yang datang itu adalah Pilar dan abangnya Perus.
Leo terus mendahului menyambut kedatangan Pilar. Amalina lihat, Pilar menyerahkan sebuah beg plastik berisi baju Leo. Leo membuka beg plastik itu. Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada Pilar yang bermurah hati membawakan baju untuknya.
“Berapa lama Leo akan bekerja dengan kau di sini?” Perus bertanya.
“Mungkin seminggu atau dua,” jawab Amalina seringkas mungkin.
“Aku juga boleh mengambil alih kerjanya. Aku lebih cekap dari dia,” kata Perus.
Amalina menggigit bibir.
“Leo nak kahwin dengan Pilar tak lama lagi.”
“Aku tahu dia dah bertunang dengan Pilar.”
“Dia mesti balik. Dia akan kahwin dengan Pilar dua hari lagi…” Perus melanjutkan kata.
Tidak lama kemudian Perus dan Pilar beredar, pulang ke perkampungan orang asli.
“Tolong masak nasi,” kata Amalina pada Leo.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Amalina cemburu mendengar Leo akan berkahwin?
Share this novel