Lelaki Dalam Foto

Short Story Series 2822

MALAM kian larut. Professor Zamri baru terjaga setelah terlena di bilik pejabat pusat makmal sejak beberapa jam yang lalu atau lebih tepat lagi sejurus pertikaiannya dengan pihak atasan berkaitan sebuah projek mustahil yang cuba di bangunkannya  sejak setahun lalu.

Masih terngiang-ngiang kata-kata pengarah utama pusat makmal kepadanya...

"Dah tiba masanya untuk kamu lupakan saja idea gila untuk menyiapkan peranti seperti tu Professor Zamri...dah setahun masa di beri...kamu masih juga gagal untuk merealisasikan plan projek kertas kerja kamu. Pusat makmal dah berhabisan banyak dana untuk tujuan itu Zamri"

"Tapi Tuan Pengarah harus beri kepercayaan dan sedikit masa lagi kepada saya.."

"Cukup-cukuplah tu Zamri. Kita tak mahu bazirkan lebih banyak dana untuk suatu perkara mustahil yang mana tidak pernah ada seorang saintis atau ahli fizik pun pernah muncul mendakwa berhasil menciptakan hal semacam itu"

Zamri mengeluh kesal dengan sikap tidak yakin serta kehilangan sokongan moral yang di tunjukkan oleh Tuan Pengarah Makmal. Saluran dana ke atas projek yang cuba di bangunkannya telah di hentikan serta-merta. Kini Zamri buntu. Sedikit sebanyak semua itu turut menyumbang kepada perasaan goyah dan hilang kekuatan serta keyakinan di dalam dirinya.

Zamri tersandar di bangku sambil menatap kertas kerja miliknya yang mengandungi kerangka terperinci setiap proses dalam membangunkan projek yang di impikannya itu.

Hatinya berbelah bahagi samada mahu meneruskan juga projek itu atau berhenti setakat di situ sahaja. Kalau mahu di teruskan, Zamri terpaksa mencari dana sendiri bagi membiayai projeknya.

Dan akhirnya Zamri mengambil keputusan untuk bercuti buat seketika bagi menenangkan fikiran yang buntu di samping dapat beliau memikirkan secara masak-masak apakah langkah yang harus di ambilnya nanti. Jabatan Pusat Makmal telah pun memberi kelonggaran kepada beliau untuk bercuti. Lagipun professor muda berusia awal tiga puluhan itu harus menghadiri sebuah prosiding di mahkamah berkaitan suatu kes di mana Zamri mendakwa salah sebuah paten rekabentuk ciptaannya menjadi mangsa ciplak oleh suatu pihak. Jadi beliau telah menyaman pihak terbabit. Segalanya akan di putuskan sewaktu perbicaraan kes di mahkamah nanti.

                       ========

Langit biru di hiasi tompok-tompok awan putih yang gebu memayungi Desa Kayu Manis di mana letaknya lokasi rumah ibu dan ayah Zamri.

Kereta yang di pandu oleh Zamri masuk ke halaman. Sebuah rumah kampung yang cantik tersergam megah sejak berdekad-dekad yang lalu. Namun separuh dari rumah itu telah di ubahsuai menjadi rumah batu yang moden dan selesa.

"Asalamualaikum mak! apa khabar?"sapa Zamri tatkala melihat ibunya sedang memberi ayam itik makan.

Seorang wanita dalam lingkungan usia pertengahan enam puluhan menoleh kepadanya bersama sebuah senyuman.

"Waalaikumsalam...Zamri,khabar baik. Mak sihat-sihat aja ni" balas Mak Timah,ibu si Zamri.

Professor muda itu keluar lalu pergi menyalam ibunya.

"Ayah mana mak?"

"Ayah kau keluar pergi ke pekan sekejap. Nanti baliklah dia"

                       ========

"Ai sedapnyalah gulai jering tumbuk ni" kata Zamri ketika duduk makan tengahari bersama ibu dan bapanya.

Berselera betul professor muda itu makan. Selain gulai jering,ada emaknya buat keli salai masak lemak cili padi,kangkung goreng belacan dan ulam-ulam.

"Tambah lagi Zam. Mak tau sangat kau tu suka gulai jering. Pokok-pokok jering ayah kau pun tengah musim sekarang ni"kata Mak Timah.

Zamri mengangguk-angguk.

"Janganlah cepat sangat nak balik Zam. Kalau tak boleh lama pun,duduk sehari dua dulu" kata ayahnya pula iaitu Pak Abas.

"InsyaAllah...kali ni Zam ingat nak duduk seminggu kat sini yah...mak" kata Zamri.

"Haa macam itu lah. Nanti boleh kita pergi memancing ke sungai ke..pergi ke kebun. Sekarang ni dusun pun tengah musim berbuah. Ayah nak petik buah-buah tu semua tak larat Zam. Ada kau senang sikit" kata Pak Abas.

"Aih boleh sangat-sangatlah yah. Zam pun dah rindu benar nak jenguk dusun" balas Zamri.

Sudah beberapa hari berlalu. Buat seketika Zamri langsung terlupakan terus tentang segala bebanan kerjanya di Jabatan Pusat Makmal sains tempat beliau bertugas. Sehari suntuk di kampung,Zamri seronok benar meluangkan masa di dusun,sungai atau menziarahi rakan dan kenalannya di situ.

Di rumah orang tuanya itu ada sebuah rak almari lama. Malahan almari itu telah berada di situ semenjak Zamri masih belum lahir lagi.

Di dalam almari usang itu penuh dengan buku-buku dan koleksi album foto lama-lama milik keluarganya.

Zamri tergerak hati untuk membelek sebuah album gambar sewaktu majlis perkahwinan ibu dan ayahnya yang di adakan sekitar tiga puluh tahun lebih yang lalu.

Habuk dan debu yang membelenggui album itu di bersihkan terlebih dahulu. Asyik benar Zamri membelek dan menatap setiap foto yang terkandung di dalamnya.

Dia tersenyum sendirian melihatkan gambar muda ibu dan ayahnya ketika duduk bersanding di pelamin. Ada gambar datuk dan nenek nya. Gambar pakcik makciknya. Gambar saudara mara,serta orang-orang kampung yang sebahagiannya telah pun kembali ke rahmatullah.

Di dalam foto persandingan itu,Zamri terperasan akan seseorang berdiri di celah-celah tetamu yang berkerumun di sekitar pelamin ibu dan ayahnya.

Seorang lelaki berusia awal tiga puluhan yang bercermin mata dengan memakai T-shirt yang mempunyai logo popular Jabatan Pusat Makmal tempat dia sedang bertugas kini walhal itu adalah mustahil berlaku kerana syarikat fasiliti pembangunan sains fizik itu hanya akan wujud sekitar dua puluh tahun kemudian dari tahun persandingan ibu dan ayahnya.

Dan gambar lelaki dalam foto lama itu pun bukan sesiapa melainkan diri Zamri sendiri. Serta-merta Zamri berasa takjub,hairan dan meremang bulu roma. Padahal album mengandungi foto-foto lama di hari perkahwinan ibu dan ayahnya itu telah di belek dan di ulang lihat oleh Zamri dan adik beradiknya yang lain sejak dari mereka kecil-kecil dulu lagi. Namun tiada siapa yang pernah menyedari akan hakikat gerangan lelaki di celah tetamu majlis persandingan itu.

Semangat Zamri yang sedikit luntur berkaitan projek pembangunan peranti mesin masa di Jabatan Pusat Makmal itu kembali hadir bersama sebuah keyakinan dan kekuatan.

Gambar lelaki dalam foto lama itu adalah buktinya. Bukti bahawa Zamri akan berhasil jua menciptakan mesin waktu dan kembali ke masa silam,menghadiri majlis perkahwinan ibu dan ayahnya sendiri.

Foto itu Zamri keluarkan dari album lalu menyimpannya.

Lepas seminggu meluangkan masa di rumah orang tuanya, Zamri kembali ke kota. Dia menghadirkan diri ke mahkamah demi mempertahankan sebuah hak cipta miliknya yang di curi oleh suatu pihak.

Dan Zamri akhirnya telah memenangi kes terbabit. Pihak tertuduh di arahkan untuk membayar saman kepadanya dalam nilai yang mencecah angka juta.

Zamri kembali bertugas di Jabatan Pusat Makmal bersama semangat baru. Cita-citanya untuk membangunkan peranti mustahil itu akan di teruskan. Dana tidak menjadi masalah lagi. Pihak yang di dakwa dekat mahkamah telah pun membayar nilai saman yang di tetapkan ke atas mereka. Dan ia lebih dari mencukupi buat Zamri.

Maka bekerjalah Zamri siang dan malam di dalam makmal sungguhpun pihak atasan memandang semua itu sebagai usaha sia-sia. Zamri tidak mahu membuang masa dengan cuba meyakinkan mereka lagi. Cukuplah gambar lelaki di dalam foto lama perkahwinan ibu dan ayahnya menjadi kekuatan bagi dirinya untuk terus berinovasi.

Beberapa bulan kemudian terbinalah sebuah mesin peranti yang di perkirakan sebagai mustahil itu. Tiada sukarelawan mahupun objek di gunakan dalam menguji sejauh mana keberhasilan mesin tersebut, sebaliknya Zamri sendiri akan mengambil risiko duduk di sit mesin kronomekanisme itu dalam percubaan menghantar dirinya ke masa silam.

Zamri berdiri di hadapan cermin dalam bilik makmal. Dia mengenakan T-shirt putih dengan logo Jabatan Pusat terbabit. Kemudian di tatapnya pula gambar lelaki di dalam foto lama itu.

Kemudian dia pergi ke meja dan membulatkan gambar lelaki itu dengan pen marker. Kepingan foto itu di tinggalkannya atas meja sebelum beliau berpusing dan melangkah ke arah mesin waktu ciptaannya.

Zamri duduk di atas bangku dalam kokpit dan mulai menghidupkan mesin terbabit. Jarinya mulai memasukkan data dekat papan kekunci kokpit yang di sokong oleh kelajuan pengiraan matematika komputer kuantum itu.

Butiran maklumat seperti hari,tarikh,lokasi dan tahun tujuannya di taip lalu terpapar dekat skrin. Mesin itu mulai bergema kuat sehingga dapat di dengari oleh warga Jabatan Pusat Makmal.

Zamri memeriksa segala-galanya secara sepintas lalu. Maklumat yang terpapar juga menyatakan segalanya berada di dalam keadaan optimum. Dia berpuas hati.

Beberapa saat kemudian Zamri dan mesin waktunya terselubung di dalam cahaya yang amat terang sebelum ghaib hilang entah di mana.

Akan tetapi bunyi gema yang terhasil tadi telah menyebabkan penggera kecemasan fasiliti Jabatan Pusat Makmal berkumandang kuat hingga menimbulkan kepanikkan di kalangan warganya. Para kakitangan pusat berlari menuju ke arah bilik makmal Zamri sebelum terkejut bila mendapati mesin waktu yang di bina oleh professor muda terbabit telah hilang ghaib bersama dirinya.

                        =======

Zamri tersedar dan mendapati dirinya masih duduk di dalam kokpit mesin waktu yang muncul dekat dalam sebuah hutan. Cahaya mentari yang menerobos melalui celah rimbunan pokok-pokok menyinari tubuhnya saat dia keluar dari mesin itu.

Bunyian unggas dan kicauan beburung menghidupkan suasana di dalam sana. Zamri melangkah keluar dari hutan dan akhirnya muncul dekat kampung Kayu Manis.

Dia mengetahui tentang itu apabila terlihatkan pintu gerbang masuk ke situ. Ada tertera perkataan Desa Kayu Manis di atas permukaannya.

Pemandangan dan suasana di desa itu terlalu berbeza dengan waktu asalnya. Pokok-pokok dan hutan di pinggiran masih tebal dan banyak yang bekum di terokai.

Kediaman penduduk pula masih lagi seperti rumah-rumah kampung di zaman silam. Tidak seperti di zaman asalnya, rumah-rumah penduduk banyak yang telah di naik taraf menjadi rumah batu atau banglo walaupun dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri kekampungan.

Kelihatan para penduduk beramai-ramai berjalan menuju ke suatu arah. Mereka berpakaian seperti hendak pergi ke majlis kenduri.

Zamri mengikuti mereka. Sehinggalah ada seorang pemuda lelaki menyapanya. Dari paras wajahnya,Zamri dapat meneka lelaki itu ialah Haji Dahmin sahabat ayahnya semenjak dari waktu kecil-kecil. Tapi Haji Dahmin yang berada di hadapan Zamri kini masih lagi muda.

"Awak dari mana?" tanya nya.

"Ohh saya dari Kuala Lumpur. Sahabat saya Abas jemput ke majlis perkahwinan nya" balas Zamri.

"Kalau begitu marilah...saya pun sama nak ke majlis perkahwinan Abas dan Fatimah"kata pemuda itu.

Mereka berjalan ke rumah pengantin. Orang ramai sudah membanjiri khemah-khemah yang di sediakan sambil menjamu selera.

Bunyi paluan kompang bergema di saat pasangan pengantin di iringi ke pelamin.

Zamri tersenyum melihatkan ibu dan ayahnya di satukan di hadapan matanya. Terasa bulu romanya meremang kerana takjub bila memikirkan yang dia kini di hari bersejarah itu.

Ketika Zamri berdiri di celah-celah tetamu lain yang berkerumun di hadapan pelamin, dia terlihat salah seorang makciknya sedang memegang kamera dan sibuk mengetik gambar-gambar di majlis tersebut buat di abadikan di dalam album perkahwinan ibu dan ayahnya nanti.

Lensa kamera makciknya menyinari diri Zamri di sebalik kerumunan tetamu. Betapa pentingnya foto yang bakal terhasil dari ketikkan itu. Dan dek kerana foto itu jugalah nanti yang akan mendorong semangat dan kemahuan Zamri dalam penciptaan mesin kronomekanisme mustahil itu pada tiga puluh tahun akan datang.

                        =======

Kehilangan Zamri bersama mesin waktu yang berjaya di bangunkannya telah menggemparkan bukan saja Jabatan Pusat Makmal tempat beliau bertugas,malah satu negara di hidangkan dengan berita berjudul 'SAINTIS GHAIB BERSAMA MESIN WAKTU CIPTAANNYA'

Hari tu ahli keluarga Professor Zamri yang terdiri dari ibu,ayah,adik-beradik dan saudara-maranya telah hadir ke Jabatan Pusat Makmal bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan kehilangan beliau.

Ibu bapanya iaitu Puan Fatimah dan Pak Abas ternyata begitu sedih dengan berita kehilangan anak mereka.

Di dalam sebuah bilik yang di jadikan sebagai tempat perbincangan bersama pihak Jabatan,ada berita mengejutkan yang di sampaikan sendiri oleh Pengarah Pusat Penyelidikkan sains terbabit.

"Pihak Jabatan turut berdukacita di atas kehilangan anak Puan Fatimah dan Encik Abas iaitu Professor Zamri. Beliau adalah seorang ahli fizik yang amat dedikasi dan banyak memberi sumbangan dalam pembangunan teknologi sains. Kami tidak di beritahu apa-apa oleh Professor Zamri sewaktu hari kehilangan beliau,tapi...beliau ada meninggalkan sekeping foto lama di atas meja makmalnya" kata Tuan Pengarah.

"Foto lama?apa maksud Tuan Pengarah?" tanya Pak Abas,bapa kepada Zamri.

Sekeping foto di serahkan kepada orang tua Zamri.

"Eh? ini bukan ke gambar foto lama sewaktu hari kita berkahwin dulu Timah?" kata Pak Abas sambil tunjukkan gambar tersebut kepada isterinya.

Timah terkejut besar bila melihat gambar lelaki yang di bulatkan dalam foto tersebut. Bukan gambar sesiapa pun melainkan gambar anaknya sendiri iaitu Zamri yang telah dewasa.

"Macam mana Zam boleh muncul pada waktu ni pulak bang? Macam mana boleh jadi macam ni?ini tak masuk akal langsung" kata Timah.

"Gambar foto ni dah lama ada dalam album perkahwinan kita Timah. Cuma baru sekarang kita sedar ada gambar Zamri kat dalam" ujar Pak Abas yang masih kehairanan.

             
                    ==TAMAT==

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience