Zahiraa Pulang Sekolah

Drama Series 1270

Pengenalan

Ayah Adi bersiap untuk pergi mengambil Zahiraa yang akan pulang dari sekolah. SK Kajang Utama merupakan antara sekolah yang paling lambat waktu pulang, iaitu pada jam 6.40 petang.

Petang itu juga merupakan hari bersejarah buat Ayah Adi kerana berhasrat mengambil Zahiraa pulang dengan berjalan kaki. Ini pertama kali berlaku semenjak Ayah Adi pulang dari Exeter, UK. Di sana, memang dia selalu ambil setiap hari dengan berjalan kaki kerana sekolah hanya belakang rumah saja!

Perjalanan dari rumah ke sekolah memakan masa sekitar 10 minit sahaja. 5 minit berjalan dari rumah ke jejantas untuk melintas lebuhraya SILK dan baki 5 minit lagi untuk berjalan sampai ke sekolah.

Ayah Adi siap berpakaian lengkap track-suit dan kasut sukan dengan niat hendak mencuba teknik Slow-Jogging, saranan seorang Profesor dari Jepun yang tular beberapa minggu lalu. Dia menontonnya di laman Fac TLiNGE, sebuah laman yang sering mempromosikan aplikasi buku audio bagi memudahkan orang ramai mendengar buku melalui telefon pintar.

Namun, Ayah Adi sudah dapat mengagak yang senaman Slow-Jogging ini akan terbantut dek kerana Zahraa hendak mengikut sekali mengambil Zahiraa. Zahraa pula hanya memakai selipar. Ayah Adi hanya mampu pasrah.

Perjalanan ke sekolah terasa begitu mengujakan walaupun hanya 10 minit berjalan. Ayah Adi tampak gembira kerana berjaya melakukan senaman sihat hari ini walaupun kerap kali diminta oleh Zahraa untuk memperlahankan langkah kerana kepenatan.

Sampai sahaja di sekolah, mereka berehat sebentar di gazebo sekolah sementara menunggu Zahiraa keluar dari kelas. Tahun ini, Zahiraa ditempatkan di kelas 3 Gemilang. Selang beberapa minit sahaja, Zahiraa muncul dengan senyuman kerang busuknya itu.

Ayah Adi lantas menyuruh Zahiraa berehat sebentar di situ untuk beberapa minit lagi. Zahira yang kehairanan, bertanya kenapa mereka perlu menunggu lagi di sekolah sedangkan ramai ibu-bapa yang berpusu-pusu menuju ke pintu pagar sekolah. Kebetulan ada seorang kawan baru dari kelas Zahiraa datang menemani mereka.

"Adik borak-borak lah dulu dengan kawan baru tu,” kata Ayah Adi. Zahiraa tidak perasan yang Ayah Adi dan Zahraa masih tercungap-cungap mengambil nafas.

Selesai berehat, mereka pun segera beredar dari perkarangan sekolah menuju ke jalan besar. Zahiraa sibuk bertanya di mana Ayah Adi meletakkan kereta. Dengan tenang, Ayah Adi hanya menjawab ringkas.

“Kita jalan kaki je hari ni dik,” kata Ayah Adi dengan selamba. Zahraa pula hanya mampu tersenyum mendengar jawapan ayahnya yang masih bersemangat dari tadi. Zahraa juga turut bersekolah di situ iaitu di Tahun 6 Dinamik tetapi sesinya pada sebelah pagi.

Zahiraa yang kelihatan terkejut, spontan berkata, “It’s a long way la, Ayah!” Zahiraa mula menunjukkan muka cemas dan mendengus. “Dekat je lah dik,” jawab Ayah Adi lagi. Sebenarnya Ayah Adi telah merancang sesuatu ketika melintas di depan kedai makan Tomyam semasa dalam perjalanan datang ke sekolah tadi.

“Kita singgah dulu kedai makan tu ye. Adik nak makan Nasi Goreng Cina kan?” kata Ayah Adi cuba memujuk. “Ok, tapi adik tak mau sayur dan nak sup kosong,” jawab Zahiraa. Ada sedikit riak kegembiraan di wajah anak kedua Ayah Adi ini.

Zahraa dan Zahiraa lantas berlari-lari anak menuju ke kedai tersebut yang hanya terletak beberapa meter dari sekolah. Lega sedikit perasaan Ayah Adi dapat memujuk hati Zahiraa yang sukar di duga itu. Mana tidaknya, baru hari kedua persekolahan, sudah kena balik jalan kaki. Nanti, tidak pasal-pasal kena lari balik rumah ambil kereta pula.

Selesai makan, Ayah Adi, Zahraa dan Zahiraa pun berjalan menuju ke kaunter pembayaran. “Semuanya 26 ringgit encik,” kata pemilik kedai berketurunan Siam itu. “Bolehlah tak mahal sangat, tapi portion nasi macam kurang sikit,” bisik Ayah Adi seorang diri.

“Adik, biar ayah bawakan beg sekolah tu ye. Zahraa tolong bawa botol air Zahiraa tu” kata Ayah Adi lembut. Ayah Adi masih lagi dalam fasa berjaga-jaga. Takut juga kalau Zahiraa mengadu letih. Lebih-lebih lagi lepas makan pula. “Ok ayah,” jawab Zahraa dan Zahiraa ringkas.

Jam pun sudah menunjukkan hampir jam 7.05 malam. Azan Maghrib pun sudah kedengaran dari surau yang berdekatan. “Jom, dah senja ni,” kata Ayah Adi. Mereka pun berjalan beberapa minit sehingga ke jejantas. Sampai sahaja di tangga jejantas, Zahiraa terus menjerit. “Ayah, tingginya tangga ni!” Ayah Adi cuma tersenyum kambing melayan karenah Zahiraa. “Naik je, dah dekat nak sampai ni,” balas Ayah Adi tenang.

Mereka lantas meneruskan perjalanan menuju ke rumah. Sesekali Zahraa mengusik dan bergurau dengan Zahiraa. Sekurang-kurangnya leka sedikit Zahiraa tanpa mengeluh penat. Setelah beberapa minit berlalu, akhirnya sampai juga mereka di rumah.

Ibu Ani telah sedia menunggu di depan pintu dan bertanyakan kepada Zahiraa pengalaman berjalan sebentar tadi sambil mengambil Nasi Goreng Cendawan yang dipesannya dari Ayah Adi. “Best je kan jalan tadi dik,” Ayah Adi mencelah.

Zahira beg sekolahnya tadi dan terus duduk di sofa. Tiba-tiba dia mengesat air mata. “Penatlah ibu. Jauh kena jalan. I don’t like it,” Zahiraa bersuara sambil menangis.

Ayah Adi tersentak. “Eh, tadi elok je. Drama Queen sungguh!” keluh Ayah Adi. Ibu Ani cuba memujuk Zahiraa dengan mengatakan esok dia akan pulang sekolah naik kereta. Zahraa hanya mampu ketawa kecil. Zaim yang berumur 4 tahun pula sibuk melompat-lompat atas katil. Dia tidak pernah ambil tahu dan hanya dalam dunianya sahaja.

“Takpe, esok kita cuba lagi,” kata Ayah Adi seorang diri. Dia telah bertekad hendak meneruskan aktiviti Slow-Joggingnya itu esok. Hasratnya hendak mencergaskan badan sambil kelihatan Sado di mata orang ramai walaupun dia tahu manusia tidak pernah puas hati dengan semua perkara. Ada saja yang tidak kena di mata mereka. “Lantaklah, wall FB aku, aku punya sukalah nak tulis cerita apa,” kata Ayah Adi sambil tersenyum seorang diri.

Malam itu Ayah Adi tidur sambil bermimpi Dato Siti menjadi pembaca buku genre kekeluargaan bagi aplikasi TLiNGE. Maklumlah, tidak lama lagi beliau pun akan menimang cahaya mata. Sebelum tidur, sempat Ayah Adi makan Burger Daging Special dari warung di bawah rumahnya. Ada hati nak kelihatan Sado konon.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience