BAB 6

Crime Completed 5579

“Ah, aku lupa. Aku yang menyelamatkan kau daripada menjadi makanan ayam dulu. Ha, inilah masa yang tepat untuk kau membalas perbuatan Ular Putih. Salah seorang budak kita akan berurusan dengan mereka. Kita akan cuba merampas kembali maruah kita yang tercalar dulu!” berkobar-kobar Bang Joe dengan ucapannya. Bang Joe bergerak ke belakangku, membuka zip beg milikku dan aku dapat rasa dia memasukkan sesuatu ke dalamnya. Bang Joe kemudian menutup kembali zip beg.

“Apa tu?” aku mencapai beg dan menjenguk ke dalam. Aku terkejut bukan kepalang. Badanku seolah-olah baru dipanah petir, terketar-ketar.

“P...pis...pistol?” Aku tidak pernah menduga semua ini akan berlaku. Aku tidak pernah mengagak akan sampai ke tahap ini. Aku tidak pernah memegang pistol sebelum ini.

“Apa ni bang?” Aku masih ragu-ragu.

“Simpan sajalah. Itu hadiah aku untuk kau. Kalau kita bernasib baik, mungkin kau akan dapat terus menyimpannya dalam keadaan yang suci. Kalau keadaan jadi berbahaya, kau mungkin akan terpaksa menggunakannya. Kau sendiri yang bersetuju untuk sahut cabaran ini, bukan?” Kata-kata Bang Joe memang ada benarnya. Ah, tapi kalau sudah sampai ke peringkat ini, bererti aku mungkin akan terpaksa untuk bergadai nyawa. Adakah aku harus menarik balik apa yang telah kuucapkan sebentar tadi?

“Baiklah Bang Joe. Aku akan laksanakan. Kau cuma perlu beritahu aku apa yang perlu ku lakukan.”

***

Aku berjalan mundar-mandir. Iman dan Hakimi hanya memerhatikanku sejak dari tadi. Ah, terlalu banyak yang bermain di fikiranku saat ini. Serius, aku benar-benar buntu.

Seolah-olah aku sedang mengalami komplikasi otak. Malam esok. Ya, malam esok aku akan bertarung. Bertarung untuk memperjuangkan maruah? Persetankan maruah. Aku lebih peduli tentang keselamatan nyawaku.

Tetapi aku telah berjanji dengan Bang Joe untuk melaksanakan misi malam esok. Sudah beberapa hari aku memikirkan masalah ini. Semakin dekat dengan masa yang ditetapkan, semakin bergelodak jiwaku.

“Bro, kali ni aku betul-betul serius. Boleh tak kau ceritakan apa sebenarnya krisis yang sedang melanda diri kau sekarang ni?” Iman menyoal untuk kesekian kalinya. Aku masih mundar-mandir, sesekali memegang kepalaku lagak pengurus syarikat yang baru muflis. Kalau aku cerita sekalipun, mereka tetap tidak akan dapat membantu.

“Atau mungkin dia baru putus cinta?” Hakimi mula menembak yang jauh tersasar. Aku akhirnya cuba mententeramkan diriku sendiri.

“Man, Kimi, aku memang ada masalah. Masalah yang sangat berat sehingga aku tak mampu untuk ceritakan. Masalah ini yang mengganggu aku sehingga hari ini.” Dan mungkin masalah terakhir yang aku alami di dunia ini sebelum aku pergi.

“Takkan sedikit pun kau tak mahu ceritakan?” Hakimi menduga. Aku menggeleng.

“Beginilah Shahril. Mungkin kami berdua dan kau sendiri tak dapat selesaikan masalah kau. Tapi aku kenal seseorang yang boleh selesaikan masalah kau,” kata-kata Iman sungguh membuatkan aku tertarik.

“Siapa, bro?”

“Allah SWT.” Nama itu menggegarkan jiwaku, sungguh gegarannya lebih kuat berbanding nama Nur Khalisah apabila disebut.

Semacam timbul suatu perasaan aneh dalam jiwaku. Aku tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan itu. Sejuk, resah, tenang, gelisah, semuanya bercampur menjadi satu.

Aku mengaku, semenjak Iman membawaku mengikuti usrah bulan lepas, aku mulai tertarik akan yang bernama usrah. Aku mulai kenal perkataan-perkataan Arab seperti dakwah, tarbiah, dan banyak lagi.

Bukan sekali saja aku mengikuti usrah, tetapi dalam dua tiga kali selepas itu. Bezanya aku masih belum solat, aku masih malas berdoa. Doa yang ku hafal hanya doa makan dan al-Fatihah. Mungkin juga surah Qulhuwallahuahad.

“Allah?” Aku menuturkan nama itu perlahan, tetapi aku yakin dapat didengari oleh si Iman dan Hakimi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience