BAB 2

Mystery & Detective Series 5545

"HAH? Pergi camping? Habis tu plan kita dengan Mirul tu macam mana? Cancel?" Soal Zafuan serius. Namun matanya tetap fokus pada permainan video di komputer.

"Hmm." Serba-salah Haiqal menjawab. Zafuan beku untuk seketika sebelum menghela keluh pendek.

"Kalau kau nak pergi kau pergilah. Aku tak nak." Zafuan berkeras.

"Zaff, kau jelah kawan baik aku tau. Aku minta tolong sangat dengan kau. Kali ni je. Please... temankan aku." Rayu Haiqal.

Dia tahu bukan mudah memujuk lelaki yang bernama Amir Zafuan itu. Kalau A sudah menjadi pilihannya sampai bila-bila dia tak akan ubah pendiriannya itu. Haiqal menemui jalan buntu.

"GAME OVER"

"Aishhhh!" Headphone diletak kasar ke atas meja. Zafuan menarik nafas dalam sebelum menoleh ke arah rakannya itu.

"Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku..." Kata-kata Zafuan terhenti di situ. Suaranya bagai tersekat di kerongkong.

"Pasal planning kita nak konvoi dengan geng Mirul tu kau tak payah risau. Biar aku yang settlekan."

"Kau tahu kan macam mana lecehnya kalau pergi camping dengan perempuan. Orang yang betul-betul penyabar je boleh hadap perangai pelik perempuan ni. Contohnya kau." Tambahnya lagi.

Haiqal tidak mengiya atau menidakkan perkara itu. Dia sekadar diam membisu. Sebelum ini sudah beberapa kali mereka melakukan aktiviti hutan bersama kenalan wanita. Memang agak menguji kesabaran.

"Habis tu takkan kau nak biarkan aku sorang je dekat sana. Boringlah aku nanti. Kalau kau ada sekali taklah aku rasa sunyi sangat."

"Sunyi konon. Padahal bukan main syok lagi dapat berkepit dengan awek baru kau tu. Macamlah aku tak tahu perangai kau." Balas Zafuan. Haiqal tersengih seperti kerang busuk.

"Kira jadilah ni kau teman aku? Thanks bro. Kaulah sahabat aku dunia akhirat."

Lantas dia memeluk Zafuan yang baru sahaja memulakan permainan baru di komputer. Kepala lelaki itu dicium beberapa kali. Dengan spontan Zafuan menepis dengan tangan.

"Ini kali terakhir aku tolong kau. Lepas ni kalau kau nak keluar dengan awek kau, jangan libatkan aku." Zafuan memberi amaran.

"Yes sir." Balas Haiqal sambil mengangkat tabik hormat.

*****
TIGA MINGGU KEMUDIAN

Pon! Pon!

Beberapa kali hon dibunyikan. Fira dan Linda tiba dengan menaiki sebuah van retro berwarna kuning dengan logo Volkswagen terhias di bahagian depan van tersebut. Batang hidung Nisa masih belum kelihatan.

"Ish, mana pula minah sorang ni." Bebel Linda. Jam ditangan dipandang sekilas.

Fira yang duduk di sebelahnya sibuk menilik cermin sambil mengoleskan lipmatte pada bibir. Sekejap mulut dimuncungkan sekejap tersenyum lebar. Linda menggeleng.

Pap!

Peha wanita itu ditampar dengan geram. Pantang nampak cermin pasti nak melawa. Fira mengaduh kesakitan. Haba panas mula mengalir di peha kanannya.

"Apa ni main pukul-pukul. Sakit tau tak."

"Baik kau simpan barang mainan kau tu sebelum aku lempar semuanya ke luar." Arah Linda sebelum menekan hon untuk kesekian kalinya.

Nisa dengan terburu-buru keluar dari pintu utama rumahnya dengan menggalas sebuah beg sambil berlari anak.

"Sorry weh. Perut aku buat hal tadi."

"Dah cepatlah sikit. Kita dah lewat ni." Dengan nafas yang masih tercungap-cungap Nisa segera melangkah masuk ke dalam perut van.

"Cantik van kau. Mana kau rembat ni?" Ujar Nisa sambil tangannya menyentuh kulit kerusi tempat duduknya.

"Datuk aku punya. Dah lama sangat aku tengok terbiar dekat dalam bengkel tu jadi aku ambillah." Balas Linda.

Tidak cukup dengan itu dia selongkar pula kabinet 2 pintu bersaiz sederhana yang berada berdekatan. Sekali pandang seperti almari biasa sahaja. Namun rupanya ia adalah peti ais mini.

Van tersebut telah diubah suai sedikit oleh datuknya menjadi seperti camper van cuma tiada tempat untuk memasak. Nisa tidak dapat menyembunyikan keterujaannya itu. Linda yang melihat gelagat rakannya itu di cermin sekadar tersenyum.

"Kau yakin ke van ni boleh bawa kita sampai jauh nun ke utara?" Nisa sedikit ragu apabila Linda memberitahu van tersebut sudah lama terbiar.

"Aku dah hantar pergi servis dah. Lagipun datuk aku ada je guna van ni sekali sekala. Kau tak payah risaulah." Balas Linda yakin.

Linda terus memecut laju. Mereka bertiga kemudian bergerak untuk mengambil Haiqal dan rakannya. Tak sampai 10 minit mereka tiba di kawasan perumahan yang disewa oleh jejaka tersebut.

"Mana satu rumah dia Nisa?" Tanya Linda selaku pemandu. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan melihat nombor rumah.

"Kau jalan terus je. Carl cakap dia dah tunggu dekat pondok taman permainan." Balas Nisa. Linda mengangguk.

Beberapa ketika kemudian dari jauh Fira menunjukkan dua susuk lelaki yang sedang duduk di sebuah pondok. Linda membunyikan hon sebelum memberhentikan kenderaan yang sedang dipandunya.

Fira dan Nisa melambai sambil tersenyum lebar sebelum keluar mendapatkan lelaki tersebut.

"Janji melayu. Cakap pukul 7.30 pagi tapi sekarang dah 7.50 pagi." Ujar Haiqal sambil melihat jam ditangannya.

"Sorrylah sayang, lambat sikit je." Tutur Nisa manja.

"Aku pukul 7.00 dah keluar rumah. Yang lambat puteri raja dua orang ni." Balas Linda membela diri. Matanya sekilas memandang Zafuan yang hanya diam seribu bahasa.

"Sorang ni je ke kawan kau yang ikut?" Haiqal mengangguk.

"Zaff, kenalkan ni Linda dan Fira, kawan Nisa." Ujar Haiqal sambil menepuk bahu rakannya itu.

"Zafuan tapi panggil Zaff je." Balasnya sebelum menyibukkan diri dengan memunggah beg masuk ke dalam van.

Fira yang agak teruja untuk berkenalan dengan lelaki itu berasa sedikit hampa. Linda pula sekadar melihat sahaja kelakuan dingin lelaki tersebut.

Sebelum bertolak untuk kali terakhir mereka memeriksa kembali senarai barangan dan keperluan yang perlu dibawa. Selepas 15 minit barulah mereka memulakan perjalanan yang panjang menuju ke lokasi perkhemahan.

*****
LAGU "Bad" dendangan kumpulan Dolla berkumandang dicorong radio. Tiga gadis tersebut dengan girang turut mengalunkan bait-bait lagu tersebut sambil tubuh meliuk lentok mengikut rentak lagu.

Zafuan yang sedang memandu menjeling sekilas pada cermin melihat telatah gadis tersebut. Dia berkerut. Haiqal yang sedang bersantai di sebelah tertawa kecil melihat reaksi rakannya itu.

Penat berkaraoke Nisa mengeluarkan beberapa tin minuman dari peti ais mini bagi membasah tekak yang mulai terasa kering. Berbagai jenis minuman dan makanan ringan sudah disediakan oleh Linda sebagai kudapan sebelum mereka bertolak.

Dia kemudian menghulurkan dua tin minuman kepada Haiqal untuk dikongsikan bersama Zafuan yang sedang tekun memandu.

"Coke atau Nescafe?" Tanya Haiqal sambil menunjukkan dua jenis air yang berada di tangannya. Zafuan menoleh sekilas.

"Mana-mana je." Jawabnya ringkas.

Memandangkan rakannya itu sedang memandu Haiqal kemudian membuka air Nescafe lalu diberikan kepada Zafuan.

4 jam sudah berlalu. Suasana di dalam van tersebut mulai sunyi sepi tanpa suara. Yang kedengaran hanyalah alunan lagu yang diputarkan oleh DJ radio. Tiga wanita yang tadinya sungguh bersemangat sudah lena di tempat duduk masing-masing.

Haiqal yang beria ingin menjadi teman berbualnya turut tumbang dek nafsu tidur. Kini dia sendirian mengendarai kenderaan tersebut. Mujurlah tadi dia sudah meneguk air kopi.

SELAMAT DATANG KE KOTA WARISAN

Setelah hampir 6 jam perjalanan akhirnya mereka  melepasi pintu gerbang yang tertera nama Kota Warisan. Pohonan hijau yang penuh dibibir jalan melambai-lambai dek ditiuap angin seolah-olah menyambut kedatangan mereka.

Papan tanda menunjukkan lebih kurang 40KM sahaja baki jarak yang tinggal untuk ke Bukit Awan Putih. Itu bermakna perjalanan jauh mereka sudah hampir tamat.

Zafuan mencuit peha Haiqal beberapa kali bagi mengejutkannya. Namun lelaki itu masih hanyut dibuai mimpi. Zafuan menghela keluh pendek.

"Ish... tidur mati ke mamat ni?" bisiknya di dalam hati.

"Carl!" Panggilnya lagi. Kali ini nadanya kedengaran sedikit keras. Digoncang kasar tubuh lelaki itu tanpa belas kasihan. Mujurlah tali pinggang keledar masih utuh terpasang. Namun lelaki itu hanya sekadar menggeliat sebelum merubah kedudukan tidurnya.

Tayar van berhenti bergerak. Linda yang sudah separa sedar terdengar pintu van ditutup kuat. Dia menggosok matanya dan memandang ke luar tingkap. Matanya membulat.

Stesen minyak. Tapi sangat sunyi dan kelihatan sedikit usang. Tiada sebuah pun kenderaan lain yang ada di situ. Hanya van milik mereka sahaja. Air liur ditelan kesat. Dia kemudian melihat Nisa dan Fira yang masih lagi lena. Begitu juga dengan Haiqal yang masih berdengkur di kerusi hadapan.

Pintu van dibuka. Linda melangkah keluar sebelum melakukan regangan ringan. Tubuhnya yang tadinya berasa sedikit lemah kembali segar.

"Dekat mana ni?" Tutur Linda perlahan sambil matanya ligat mencari papan tanda atau sesuatu yang boleh memberikan jawapan kepada pertanyaannya itu. Namun tiada. Kelibat Zafuan juga masih belum kelihatan. Dia segera mengejutkan rakannya yang lain.

"Dah sampai ke?" Soal Fira separa sedar. Linda mengangkat bahu.

"Zaff mana?" Tanya Haiqal setelah sedar ketiadaan rakan lelakinya itu. Nisa yang mula rasa seram sejuk dengan tempat itu mula menempel disisinya.

"Tu sorang lagi. Masa aku sedar tadi dia dah tak ada. Dah dekat 10 minit juga ni."

"Dia pergi buang air kot. Kita tunggu jelah dia balik."

"Kot ye pun pundi tu dah nak meletup bagitahulah sepatah. Bukannya pergi senyap-senyap macam ni." Bebel Linda panjang.

"Kau pergi mana Zaff. Buat kita orang risau jelah." Soal Haiqal lantang apabila melihat lelaki itu berlari anak ke arah mereka.

"Sorrylah, aku pergi buang air kejap. Banyak kali tau aku kejut korang tadi tapi haram. Semua tidur mati. Sebab dah tak tahan sangat aku singgahlah dekat sini."

Sempat Zafuan melirik ke arah Linda yang bersandar pada pintu van sambil berpeluk tubuh. Muka ketat macam nak makan orang.

"Kita dah nak sampai ke?" Tanya Fira. Zafuan mengangguk.

Mereka kemudian bersiap untuk menyambung kembali perjalanan. Namun secara tiba-tiba van yang tadi tiada sebarang masalah tidak dapat dihidupkan. Haiqal selaku pemandu bagi menggantikan tempat Zafuan mulai risau. Berkali-kali dia cuba menghidupkannya namun tidak berjaya.

"Kenapa ni sayang? Tak hidup ke?" Tanya Nisa. Haiqal menggelengkan kepalanya.

"Kau biar betul Carl. Tadi elok je aku bawa van ni. Takkan tiba-tiba tak hidup pula."

"Manalah aku tahu. Dah dia tak nak hidup nak buat macam mana."

Tanpa banyak soal Zafuan segera keluar lalu memeriksa jika ada masalah pada enjin kenderaan tersebut. Mujur dia pernah bekerja di bengkel milik abang saudaranya.

Lebih kurang 30 minit memeriksa akhirnya enjin van berjaya dihidupkan semula. Mereka bersorak riang. Fira dan Nisa saling bertepuk tangan. Mana tidaknya hari sudah lewat. Perjalanan juga masih agak jauh untuk ditempuh. Sebolehnya mereka mahu tiba di tempat tersebut sebelum matahari terbenam. Zafuan mengambil alih semula stereng lalu memecut laju dijalanan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience