Aku hanya ingin kau tahu
Besarnya cintaku
Tingginya khayalku bersamamu
Tuk lalui waktu yang tersisa kini
Di setiap hariku
Di sisa akhir nafas hidupku – Repvblik, Hanya Ingin Kau Tahu.
Penat sungguh hari ini, tapi puas melihat keadaan rumah kemas dan bersih. Lega sikit hati bila memikirkan nanti tak perlu fikir keadaan rumah bersepah dan berhabuk bila dah kena tahan di hospital nak-nak lagi bila dah keluar dari wad nanti, tak juga malu dan segan dengan tetamu yang datang berkunjung. Aku melabuhkan punggung di kerusi di balkoni. Aku tersenyum memandang perutku yang sudah membesar. Aku mengusap perlahan perutku yang kini sudah mencecah sembilan bulan tiga hari. Menurut jangkaan doktor, lagi seminggu aku akan melahirkan. Pada peringkat awal kehamilan, aku mengalami alahan yang teruk. Aku tidak boleh menghidu wangian yang dipakai oleh Syed Zarif Uwais, suamiku.
Keadaanku itu membuatkan Zarif membuang kesemua minyak
wanginya. Apabila aku cuba melarang dia melakukan pembaziran, jawapan
yang diberikan, “minyak wangi boleh dibeli tapi Arissa Damia hanya satu,
tiada galang ganti.”
Sungguh aku tersentuh dengan jawapannya itu. Aku bersyukur dia adalah
suamiku dan aku bersyukur kerana Allah menemukan kami. Aku berdoa agar
Allah memanjangkan jodoh kami. Aku berharap dengan kehadiran anak yang
bakal lahir ini akan mengeratkan lagi hubungan kami yang memang sudah
sedia erat.
“Sayang buat apa kat sini?” Zarif yang sudah lengkap
berpakaian pejabat, menarik kerusi di hadapanku lalu duduk.
“Mia nak tunggu matahari naik. Doktor kata, cahaya matahari
baik untuk kandungan. Abang dah nak pergi kerja ke?”
“Haah tapi sebelum tu abang nak bercakap sikit dengan orang
dalam ni.” Zarif merapatkan telinganya ke perutku. “Anak papa jaga mama
elok-elok ya, jangan nakal-nakal. Kalau nak tendang, tendang
perlahan-lahan, jangan sakitkan mama tau...” Zarif mengusap perut aku
lantas mengucupnya.
Aku tersenyum mendengar kata-katanya.
“Abang pergi kerja dulu ya.” Dia mula bangkit.
Aku juga turut bangkit mahu menghantarnya ke tingkat bawah.
“Sayang duduk je dalam bilik ni, abang boleh turun
sendiri. Ingat tak apa pesanan abang?” Dia menyoal semula pesanan yang
pernah dia berikan pada aku.
“Ingat...” jawabku lemah.
“Apa dia?” Dia mengangkat sebelah keningnya mahu mendengar
jawapan aku.
“Mia tak boleh keluar bilik...”
“Lagi?” Zarif mengeluarkan ibu jari sebaik saja aku memberikan jawapan.
“ Tak boleh buat kerja rumah...”
“Lagi?” Jari telunjuk pula dikeluarkan.
“Tak boleh angkat benda berat termasuk bangku meja solek yang tak berapa
nak berat tu,” jawab aku sedikit menyindir.
“Good girl!” Dia menggosok keplaku.
“Kalau tolong ummi memasak boleh, kan bang?” Aku meminta izin. Bosan
jika asyik terperap saja kat dalam bilik tanpa membuat sebarang kerja.
Masuk hari ini, sudah sebulan aku tidak menjejakkan kaki ke tingkat
bawah. Jangan kata ke bawah, hendak ke gazebo di luar rumah pun tidak
diberinya. Bila masa makan tiba, makanan akan di bawa naik ke bilik.
Naik segan pula aku. Bukannya teruk sangat pun mengandung ni sampai
semuanya nak berhantar ke bilik. Nasiblah aku dapat mak mertua yang
sporting.
“Tak boleh, sayang. Rehat je dalam bilik,” bantah Zarif.
Aku mengeluh perlahan. “Nanti apa pulak kata ummi kalau
Mia tak tolong kat dapur. Dahlah sejak Mia mengandung ni abang larang
Mia buat kerja rumah.” Aku mula bersungut. Takkanlah aku nak goyang kaki
saja biarkan ibu mertua terkontang-kanting di dapur?
“Ummi tak kisah. Dia cuma nak Mia berehat je,” ujar Zarif
lembut.
Aku mengeluh lagi.
“Kalau nak tolong ummi memasak tak boleh, siram pokok bunga boleh, kan? Lagipun bukan berat sangat nak menyiram, just angkat host u dan siram je.Boleh ya bang, Mia turun bawah?” Aku mencuba nasib. Memang bosan asyik terperap kat dalam bilik. Macam burung kena kurung dalam sangkar pun ada.
“Tak boleh. Sayang dah lupa ke apa yang berlaku pada sayang
enam bulan lepas? Abang tak nak perkara tu berlaku lagi. Ini untuk
kebaikan sayang dan bakal anak kita jugak. Sayang dengar cakap abang
ya?” pujuk Zarif.
Aku mengangguk lemah. Tangannya aku salam.
Dia mengucup dahiku, kemudian dia melangkah keluar dari bilik.
Aku menghantar pemergiannya dengan pandangan mata. Sebaik saja pintu
bilik ditutup, aku melemparkan pandangan ke luar balkoni. Kejadian enam
bulan lepas mula menari-nari di mindaku.
Share this novel