Bab 7 Adam

Fantasy Series 1787

Langit petang redup memayungi alam. Kertas putih telah mula berwarna. Bagai menari-nari jari Shia melakar lukisan dengan cat air pemberian Rafei.

"Mata ni, walaupun sikit je kelopak yang terbentuk, nampak senget sebelah pulak tu, Shia masih boleh lihat dengan jelas tau."

Meskipun punggung hanya beralas tanah, Shia megah bercerita dengan sahabat barunya.

"Tangan ni pun, kau nampak je hodoh. Jari hantu ni walaupun paling pendek, tapi Shia boleh melukis lebih baik daripada budak-budak lain dalam kelas."

Cat airnya masih basah. Shia cuba melindungi gambar kuntuman bunga raya. Suaranya sedikit meninggi.

"Eh! Tepi la sikit. Bulu kaki kau panjang sangat. Kena lukisan ni nanti habis comot."

Sahabat baru Shia mendengar kata. Perlahan-lahan diundur kedudukannya menjauhi Shia.

"Cikgu kata Shia ni berbakat. Ada banyak kebolehan. Sebab tu Shia tak perdulipun apa orang lain nak kata. Diaorang tu nampak je bagus tapi tak boleh nak tandingi Shia pun. Haah... kau ada bakat tak?"

Makhluk itu terangguk-angguk. Air liur senantiasa berjuraian daripada celah giginya yang tajam. "Ada. Kau nak tengok?"

Shia lemparkan pandangan was-was. "Tunjuklah sekarang."

Dalam sekelip mata sahaja, wajah hodoh di depan mata Shia telah berubah. Pandangan yang tak berkedip pada awalnya beransur-ansur suram. Walaupun tersenyum, mata Shia mula menakung air. Suaranya sebak.

"Kau ... nampak sempurna."

Titis-titis jernih dari tubir mata Shia jatuh ke permukaan kertas. Air itu mencairkan warna merah bunga raya. Jelmaan kanak- kanak lelaki yang amat comel ditatap lama.

"Kau nak aku ubah semula? Seperti sediakala?" Suara itu keluar dari dua bibir yang mongel. Tadi mulut itu terkoyak luas sehingga ke tepi telinga.

Air mata dikesat laju. Shia menggeleng.

"Kalau Shiapun sempurna macam ni, mesti semua orang suka pandang Shia lama-lama. Mesti tak ada orangpun yang takut nak tengok wajah Shia. Mesti ... mak dan abahpun tak buang Shia."

Kanak-kanak lelaki itu hanya berdiam diri. Ada riak sayu di wajahnya. Dia mengerti isi hati Shia.

"Kau tak ada nama lagikan? Panggil kau Adam je la."

Manis benar wajah Adam bila dia tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience