BAB 4.

Horror & Thriller Series 5413

FIRA, Lan, Ayra dan Aswan semuanya sudah bersepakat akan bercuti di tarikh di tetapkan.  Meena menarik nafas kelegaan kerana pada asalnya Fira seperti banyak cerita. 

Meena sudahlah masih lagi ketiadaan mood kerana sikap tunangnya.  Fira pula menambah. Meena menahan asakan marahnya bertimbun-timbun.  

Nasiblah ada Ayra sebagai penyelamat suasana. Jika tidak, Meena sudah naik angin nanti diketahui pula sikap barannya. Menyusahkan dia juga nanti. Oleh sebab itulah, Meena mengambil jalan bertenang sambil mata sesekali merenung garfu di atas pinggan serta botol ubat dalam tas tangan atas paha. 

"So, kita nak bergerak dari sini kira-kira dalam pukul berapa tu? Jauh jugak kan dari sini nak ke kawasan tu." Aswan menyoal selaku pemandu.  

Lan, Ayra serta Fira juga mendengar dengan teliti. Terutama sekali Ayra kerana nanti dia yang kena cari barang-barang keperluan khasnya stok makanan kerana itulah dia mahu tahu kiraan hari tinggal di cabin itu nanti.

"Herm… apa kata awal pagi? Macam ni… kauorang keluar dari rumah dalam 5 pagi camtu ok tak? Aku pun nanti samalah… Aku tunggu kat sini jelah. Lagi pun tak jauh kut dari kondo aku." Jawab Meena sambil memandang semua wajah yang ada di depan.

Ayra memandang Aswan. Lan dan Fira sebelum kesemua mereka mengangguk. 

"Ok set!" Kata mereka berlima.  Dan Meena sembunyi senyum sambil mata tajam memerhati riak tidak senang Fira.

LOKASI LAIN,

ERFAN  akhirnya tersedar dari lenanya.  Matanya yang kuyu,  terus dia bawakan ke bawah.  Pada mulanya dia masih lagi berada di dalam keadaan mamai.  Terbelek-belek satu barangan yang diperbuat daripada besi berkilat tetapi sisinya agak tajam.  Ianya agak lurus. 

Sejurus kemudian,  dia tenung pula kedua-dua tangannya yang dipenuhi cecair merah pekat yang hampir mengering.  Lalu merenung pula baju yang sedang dipakainya.  Agak rimas dia rasakan pada kepala.  Seraya dia geleng dengan semahunya sehingga hud yang menyerkup keseluruhan kepala melorot ke bawah.

‘Apa semuanya ini? Apa yang telah terjadi pada aku hah?’  batinnya mulai berbicara. 

‘Apakah kau dah lupa?  Apa yang telah kau lakukan?’  Satu suara ghaib pula muncul.  Dan ini telah membuatkan lelaki yang mempunyai rahang terbentuk cantik itu, melingaskan mata tajamnya ke arah kawasan berdekatan dia berada.

“Siapa kau?  Kau di mana? Keluarlah woii!”  Dia terasa tercabar lalu terus menghambur bentakkan. 

Suara ghaib itu seakan lagi sengaja, mengacah kesabarannya.

‘Ariell!  Ariell!  Cepat sungguh kau lupakan apa yang telah terjadi, ya?’ Suara yang sama seakan sengaja mahu mempersenda jiwa celaru Erfan.  Erfan mengetuk-ngetuk dahinya agar suara dari minda itu ghaib.  

“Aku Erfan lah!  Siapa Ariell?!”

“Kau Ariell!”

“Tidak!  Bukan!  Apa yang kau mahukan dari aku?  Pergi kau dari sini!  Pergi! Pergi!  Jangan ganggu aku!”   Erfan bingkas bangun.  

Pisau yang masih lagi berada dalam genggaman, di acah-acah  dengan  cara  menghunus  muncung tajam  ke  setiap  arah setiap kali dia berpusing.

Tiba-tiba, pandangan terjatuh pada seketul daging merah yang dia sendiri tidak sedar bila dia letakkan  ke dalam balang botol sederhana lebar di atas para tepi dia itu.

Uwek!!!

Terjeluak muntahnya.  Sungguh dia tidak menahan melihat akan benda tersebut.

"Hahahah! Geli? Kau geli… Selama ni tak pula? Bukankah tangan kau tu yang memegangnya?" Provok suara itu sinis.

Diselukkan tangan ke dalam botol yang dia sudah pun membukanya, ketulan daging yang kenyal dan licin dek kerana berdarah-darah, terus di angkat.  Sambil dia merenung ketulan daging yang masih berdenyut-denyut itu,  dia memandang pula pada lelaki misteri depannya.

‘Ariell kau lihat tu!  Berbaloi bukan?  Kau ciptakan trofi kau sendiri’  Dia yang memandang cermin terus berkata dengan nada sedikit kasar. 

"Aku dah  berkali kata, aku Erfan. Aku Erfan. Aku bukan Ariell. Kau… kau siapa hah? Macam mana kau masuk sini?" Erfan mulai tersedar bagaimana lelaki misteri itu masuk ke dalam unit kondo miliknya.

Lelaki misteri itu hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan.

Tangan yang memegang ketulan daging berbentuk hati, masih lagi menggigil dan berpeluh-peluh. Dalam dia berasa nak muntah lagi tapi kerana rasa ingin tahunya dia gagahkan jua memegang dan meneliti.

"Ini jantung siapa hah? Jantung kan? Bagaimana jantung orang lain ada dalam? Aku pening. Aku nak berehat.  Kau keluar sekarang…"

Erfan tergeleng-geleng apabila imbasan dia berada dalam sebuah rumah dalam hutan memasuki fikiran.

‘Kau adalah aku!’  Ucap lelaki itu lagi.

"Aku kata aku pening… tolong keluar…" Pinta Erfan lagi. 

"Kau adalah aku!" Provok lelaki misteri itu lagi.

"Argh! Kau ni memang tak faham ke hah? Aku kata keluar. Kelu… ar!!!" Erfan dari memekup telinga terus membuntangkan matanya pada figura tersebut. 

Dia terus mencampakkan ketulan daging yang masih dia pegang dan berdarah-darah ke lantai.  Dia kembali memekup telinga sambil kedua belah ditegakkan dan merapat ke dada. 

“Ariell… kau pembunuh.  Kau pembunuh.   Hahahahaha!” 

“Tak, aku bukan pembunuh. Aku bukan pembunuh.  Kau gila!  Kau pergi!  Kau pergi!  Pergi!!!”

Bergema suaranya yang sedang bersendirian di ruangan tersebut. 

Beberapa minit kemudian…

Titisan darah tersebut telah membuatkan dia ingin bangun dari duduknya.  Dia tenyeh matanya berkali-kali.  Darah yang bagaikan sebuah lukisan abstrak masih lagi terlukis di lantai.

"Darah apa pula ni? Tadi takde pun," omelnya.  Resah kembali semula sedangkan kegalauan tadi pun masih bersisa.

Erfan bingkas bangun kerana dia mahu melihat di manakah garisan itu berakhir.  Debar dada menyakitkan Erfan saat itu. kaki tetap diperlajukan sehinggalah dia terlihat sebujur tubuh yang sedang telangkup atas permaidani. Erfan masih lagi berdebar-debar. Peluh yang keluar selaju aliran adrenalinnya semakin membuatkan baju jaket berhudnya itu lencun dan agak makin berbau.

Makin menggeletar tika anak mata hitam terhala  pada gunting besar yang terbenam diperut berdarah tersebut, saat mayat itu ditelentangkan. 

“Hah? Tidak!!”   Dan dia, laju mengundur lalu terjelepuk ke lantai tatkala kakinya tertempuh clothes stand  langsung  terduduk dengan kedua belah tangan menghempas lantai.  Begitu juga dengan punggung.  Sakit.

Demi Allah, dia tidak sedar apa yang telah terjadi.  Dia makin serabut memikirkan bagaimana semua ini terjadi.  Terlalu pantas.  Darah semakin membuak keluar dari perut si mangsa.

“Unit aku kena pecah masuk!  Ya, ada orang masuk!”  katanya yakin.  Terangguk-angguk sendirian.  Bagaikan sedang bersembang dengan seseorang.

“Tapi… Kenapa ba…Ba..Baju aku yang berdarah?  Tidak!  Aku tak bunuh dia!  Aku tak bunuh Irene! Dia kawan aku!” Nafi Erfan tergeleng-geleng serta laju engsotan punggungnya agar menjauh dari mayat tersebut. 

Dari tergeleng-geleng, Erfan mendongak dan di hadapannya ada tayangan kisah beberapa jam lalu…

"Tidak. Tak mungkin aku yang lakukan semua ini. Mayat ini tak boleh ada di sini."  Dia berkata-kata sebelum tergeleng-geleng semula. Moment di rumah tersebut masih mengekori jaganya.  Dia sendiri tidak tahu atau lebih tepat lagi tidak sedar bila dan bagaimana dia boleh sampai ke situ. 

"Argh! Otak aku ni dah kenapa asyik teringat je hah? Cepat Erfan. Cepat!" Dia mengomel dengan mata mulai meliar ke sekeliling.  Mayat tersebut dia harus bawa keluar dari dalam unit kondo. Bahaya!

Kini pandangan tertunak pada satu  pouch  hitam berzip besar (yang selalu digunakan untuk  mengisi pakaian). Terangguk-angguk dia memandang tubuh mayat dan dengan segera dia ambil pouch tersebut.

Setelah pouch berada dengannya. Dengan rakus, zip ditarik secara kuat lalu tubuh lembik dan berbau hanyir dia sarungkan dengan  pouch tersebut.  

Agak sukar kerana ruangannya yang sempit dan pisau dia campakkan jauh lalu ianya meluncur ke bawah meja  di mana sebelah atasnya di penuhi alatan kamera.

Setelah mayat tersebut diheretkan keluar.  Pintu ditutup seperlahan mungkin kerana dia tidak mahu ada yang sedar.  

Sebelum melangkah ke arah lif, dia melingas dahulu sehingga keadaan benar- benar selamat.

Langkah dipantaskan, bukan sahaja mahu cepat tetapi tangannya sudah tidak larat mengheret mayat tersebut.  Tergedik-gedik kakinya saat menanti lif turun ke tingkatnya. 

Ting!
Pintu terbuka sambil terpaksa menahan beban di bahu, dia melangkah ke dalam perut lif.  Dengan sebelah tangan menahan tubuh kaku itu agar tak melorot, tangan kiri menekan punat pada dinding lif.

Pintu lif tertutup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience